21 Disember 2012
Heret, ugut pukul ibu
7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU – Seorang anak bukan sahaja tergamak mengheret ibunya dengan kejam, malah dia turut mengugut akan memukul mangsa menggunakan rantai pengunci motosikal apabila permintaannya untuk mendapatkan wang RM150 tidak dilayan.
Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan Mohd Hanafi Hasim, 30, dari Kampung Kubang Panjang, di sini, menerima balasan apabila dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Hukuman itu diputuskan apabila dia mengaku bersalah dengan sengaja mengugut dengan niat mendatangkan ketakutan menggunakan rantai pengunci motosikal untuk mencederakan ibunya, Tuan Rahamah Tuan Sulaiman, 57.
Mohd Hanafi yang tidak bekerja itu mengaku melakukan perbuatan itu di Kampung Kubang Panjang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 15 Disember lalu.
Dengan itu, Mohd Hanafi mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L. Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala Mohd Hanafi tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang enggan memberikan RM150 seperti diminta menyebabkan Mohd Hanafi naik angin lalu mengheret ibunya keluar dari bilik.
Ketika itu, Mohd Hanafi mengambil rantai pengunci motosikal dan mengugut mahu memukul mangsa.
Bagaimanapun, semasa kejadian, salah seorang daripada anak mangsa yang kebetulan berada di dalam bilik menghubungi adiknya memintanya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Balai Polis Chabang Tiga menahan Mohd Hanafi yang ketika itu berada di depan rumah.
Sebelum ini, Mohd Hanafi pernah mengugut ibunya menggunakan parang sekiranya permintaannya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan.
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan