21 Disember 2012
Ditetak ketika tidur
7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU - “Saya terkejut melihat anak saya menerpa ke dapur mengerang kesakitan dengan darah mengalir pekat di lantai dapur,” kata bapa kepada dua beradik yang ditetak, Jaafar Ibrahim, 60, dalam kejadian di Kampung Jejulok Binjai petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, Azri Jaafar, 35, mengalami kecederaan parah akibat ditetak ketika sedang tidur di dalam bilik di rumahnya, manakala adiknya Anuar Jaafar, 30, dan
rakannya Mohamad Jusoh, 43, ditetak di rumah suspek yang merupakan kenalan mangsa dan ketika itu mereka sedang melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di rumah lelaki berkenaan.
Menurut Jaafar, dia tidak menyedari kehadiran lelaki itu yang dipercayai menetak anaknya di dalam bilik, kerana kejadian berlaku begitu pantas dan selepas melihat keadaan anaknya yang parah, dia terus meluru keluar dan hanya nampak sebuah kereta Wira Putih memecut laju.
“Hanya cucu saya, Alisya Natasha Azlizu, 10, nampak kelibat lelaki terbabit masuk ke dalam rumah melalui tingkap bilik Azri yang terbuka luas dan mengikut katanya, lelaki itu membawa sebilah parang masuk ke dalam bilik Azri.
“Keadaan Azri amat mengerikan apabila belakang badannya terdapat kesan tetakan bertalu-talu yang begitu dalam serta kecederaan parah di bahagian pergelangan tangannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Jaafar berkata, melihatkan keadaan anaknya yang tidak dapat menahan kesakitan, dia bersama menantunya bergegas ke hospital dan dalam perjalanan ke hospital, dia menerima panggilan mengatakan seorang lagi anaknya, Anuar serta rakannya yang melakukan kerja-kerja pendawaian bersama rakannya Mohamad juga ditetak lelaki yang sama sebelum menetak Azri yang berada di rumah.
“Saya tidak tahu kenapa lelaki itu yang juga penduduk di kawasan kampung ini mengamuk dan menetak kedua-dua beradik itu termasuk rakan anak saya.
“Lagipun Azri dan Anuar sebelum ini tidak pernah mempunyai musuh dan menimbulkan kekecohan dengan sesiapa di kampung ini. Apa pun saya serahkan kejadian ini kepada pihak polis untuk mengesan lelaki itu yang kini masih bebas di luar sana,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Buat masa ini kita sudah mengenalpasti suspek yang berusia dalam lingkungan 24 tahun dan gerakan memburu sedang dijalankan bagi mengesan lelaki itu yang dipercayai melarikan diri bersama isteri dan anak berusia 1 tahun.
“Lelaki terbabit juga bekas penagih dan semasa membuat serbuan di rumahnya, di Kampung Jejabi, dia sudah larikan diri,” katanya.
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan