21 Disember 2012

Hasrat mencuri terbantut

7 Safar 1433H. [MOD] - MARANG – Dua lelaki terpaksa berputih mata apabila hasrat mencuri tembaga anti kilat di bumbung bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok di sini, tidak kesampaian apabila mereka ditangkap polis. Dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu, dipercayai menceroboh kawasan sekolah kira-kira jam 2.30 pagi semalam, melalui siling bangunan empat tingkat itu dengan memecah bahagian siling bilik air bangunan terbabit. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila sepasukan polis tiba di tempat berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh dua pengawal keselamatan sekolah yang menyedari kehadiran dua suspek terbabit. Pengawal keselamatan terbabit, Mohd Zol Deraman, 44, berkata, dia bertugas bersama seorang rakan menyedari kehadiran suspek selepas melihat kelibat dua lembaga menuju ke arah bangunan sekolah itu, awal pagi semalam. “Saya kemudiannya membuat rondaan di kawasan berdekatan, namun gagal mengesan mereka sebelum menemui sebuah motosikal dan selipar yang dipercayai ditinggalkan dua suspek terbabit di luar pagar bahagian belakang sekolah. “Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada rakan setugas sebelum bergegas ke bangunan empat tingkat itu untuk membuat pemeriksaan, lalu mendapati siling tandas di tingkat empat telah dipecahkan,” katanya di sini, semalam. Mohd Zol kemudiannya menghubungi pihak pentadbiran sekolah dan pihak polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu kerana mengesyaki dua suspek yang menceroboh sekolah itu, berada di atas siling bangunan sekolah berkenaan. Sekumpulan anggota polis tiba di lokasi kemudiannya berjaya menahan dua suspek terbabit. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan. Sinar Harian

Tiada ulasan: