21 Disember 2012
Suri rumah ditemui mati tertiarap di kebun ubi
7 Safar 1433H. [MOD] - BESUT - Seorang suri rumah ditemui mati oleh sepupunya di kebun ubi kayu di Kampung Bukit Tanah, di sini dekat Jabi, pagi kelmarin.
Mangsa Zalina Omar, 45, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam lopak air di kawasan kebun ubi yang terletak hanya 100 meter dari rumahnya kira-kira jam 9.20 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noor Zainy Mohd Nor berkata, kematian mangsa hanya disedari sepupunya selepas suami mangsa memberitahu isterinya tidak pulang ke rumah sejak patang Rabu.
Menurutnya, mangsa dikatakan pergi ke kebun itu untuk mengambil ubi kayu selepas keluar dari rumah kira-kira jam 5 petang kelmarin dan tidak pulang sehingga mayatnya ditemui.
“Suami mangsa yang mengalami kecacatan kaki kiri selepas terlibat kemalangan memberitahu saudara bahawa isterinya tidak pulang sebelum mayat isterinya dijumpai pagi kelmarin," katanya.
Noor Zainy berkata, mangsa yang tinggal bersama suami dan seorang anak lelaki berusia lima tahun, ditemui berpakaian lengkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan ia sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah.
Kata beliau, mangsa berasal dari Kampung Gong Tiong, Keluang di sini, dipercayai diserang penyakit sawan dan terjatuh di dalam lopak itu sebelum meninggal dunia.
“Rekod kesihatan menunjukkan si mati menghidap sawan dan sering mendapat rawatan di Hospital Besut," katanya.
Sementara itu suami mangsa, Wahab Mustafa, 50, berkata, dia tidak menyangka isterinya yang tidak pulang selepas ke kebun ubi rupa-rupanya meninggal dunia selepas diserang sawan.
“Keadaan saya yang uzur menyebabkan saya tidak berdaya untuk mencarinya,” katanya.
Menurut Wahab, isterinya sering diserang sawan, kadang-kadang dua kali sebulan, namun sebelum ini tidak pernah berlaku di kebun ubi berkenaan.
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan