7 Safar 1433H. [MOD] - HILIR PERAK - Seorang pemilik traktor terkejut apabila mendapati jentera miliknya bergerak tanpa pemandu di tengah sawah bersama seorang remaja lelaki tersepit pada roda besi jentera berkenaan, petang semalam.
Mohd Razali Talib berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Sungai Lampam Utara untuk mengambil petrol traktor tersebut setelah seharian membajak bendang miliknya di Parit 2, Sungai Rambai, di sini.
Menurutnya, ketika di rumah, dia diberitahu oleh adiknya, Mohd Faiz Talib, 17, yang mengatakan traktor miliknya hilang.
“Saya bergegas balik ke bendang berkenaan sebelum menjumpai jentera tersebut bergerak di tengah sawah tanpa pemandu.
"Ketika mahu mematikan enjin traktor itu, saya terjumpa seorang remaja lelaki tersepit pada roda besi dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Razali berkata, dia yang terkejut dengan kejadian itu segera memeriksa keadaan remaja lelaki yang juga salah seorang rakan adiknya dan mendapati dia sudah meninggal dunia sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, bapa mangsa, Najiri Alkias, 48, ketika ditemui di Hospital Teluk Intan berkata, kali terakhir jumpa anaknya, Mohd Hisamudin Najiri, 14, ketika bersarapan bersama pagi semalam, di rumahnya, di Parit 3, Chenderong Balai, dekat sini.
Jelasnya, anaknya itu sempat menjamah cempedak goreng dan minum air teh yang dibuat isterinya, Azizah Abu Hasim, 45, sebelum keluar membantu saudara membajak sawah.
“Kira-kira jam 2.30 petang tadi (semalam), saya menerima panggilan daripada rakan arwah (Mohd Faiz) mengatakan anak saya ditimpa kemalangan.
“Saya yang tidak percaya dengan berita itu berulang-kali bertanya kepada Mohd Faiz sebelum menyuruh dia menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Najiri berkata, arwah merupakan anak ketiga daripada lima beradik, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Menengah Sultan Abdullah, Chenderong Balai.
Katanya, arwah juga adalah seorang periang yang menyerikan rumahnya dan mereka sekeluarga redha dengan pemergian Mohd Hisamudin.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berkenaan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan