21 Disember 2012

Kompaun lebih RM27,000 dikeluarkan kepada perokok di KLIA dan LCCT


7 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Kompaun berjumlah RM27,774 dikeluarkan terhadap 244 individu termasuk 98 pelancong asing kerana merokok di kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata setiap seorang dikenakan kompaun minimum RM250 dan sekiranya gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan, mereka akan didakwa di mahkamah di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan. 



"Pejabat Kesihatan KLIA banyak menerima aduan mengenai orang awam yang merokok di kawasanlarangan di KLIA dan LCCT. 

"Berikutan itu operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 diadakan selama dua hari bermula 16 Disember lalu dengan kerjasama Malaysia Airports Berhad 

"Operasi itu memberi fokus kepada penguatkuasaan Peraturan 11 (1)(g) dan 11(1)(e), PPKHT 2004 di kawasan larangan merokok iaitu di Lapangan Terbang dan Hentian Pengangkutan Awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata dalam operasi itu juga sejumlah 494 Notis Kesalahan dikeluarkan kepada perokok di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana merokok di kawasan larangan.

Beliau berkata pihak jabatan akan meneruskan operasi berkenaan secara berkala di KLIA dan LCCT bagi mengawal dan memberi kesedaran kepada perokok serta melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok basi. - BERNAMA

Tiada ulasan: