21 Disember 2012
Didakwa menipu dua peniaga
7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dari Taman Sri Duyung, Seberang Takir, di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dua pertuduhan menyamar sebagai pengedar rokok dengan menipu dua peniaga kira-kira tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Affendy Ariffin, 36, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Affendy mengaku tidak bersalah menipu Sabirah Salleh, 25, dengan menyamar sebagai vendor rokok Dunhill dan mengambil 65 kotak, yang setiap satunya mengandungi 20 batang rokok dan 32 kotak yang mengandungi 14 batang rokok serta berjanji akan menggantikannya dengan rokok yang baru.
Dia mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu di Kedai Serbaneka 7-Eleven Bangunan Wisma Wan Chik, Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, 18 Disember 2009.
Selain itu, Mohd Affendy turut mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan sama dengan menipu Nor Siti Fatihah Jusoh, 19, dan mengambil 23 kotak rokok yang setiap satunya mengandungi 14 batang rokok di sebuah kedai runcit di Lorong Gagak, Kampung Durian Burung, kira-kira jam 5 petang, pada 22 Disember 2009.
Bagi setiap pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, Noradila menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Fakhri Abdul Matin, 37, turut dihadapkan ke mahkamah sama atas dakwaan bersubahat dengannya apabila menerima wang hasil penipuan jualan rokok di Kedai Serbaneka 7-Eleven, Bangunan Wisma Wan Chik, Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi pada 18 Disember 2009.
Bagaimanapun, Muhammad Fakhri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 kanun yang sama.
Sejurus pengakuan tidak bersalah Muhammad Fakhri direkodkan, Noradila membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratha manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan