21 Disember 2012

Ditemui mati depan bilik air

7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU - Misteri bau busuk di kawasan perumahan di Taman Uda Murni terjawab, apabila menemui mayat seorang warga emas mati terbaring di depan pintu bilik air rumahnya, petang semalam. Mangsa, Nik Azimah Nik Hussin, 60, dijumpai anak saudaranya, Nik Azli Nik Osman, 44, kira-kira jam 11 pagi, semalam. Nik Azli berkata, dia ada menghubungi mangsa namun tidak dijawab dan disebabkan rasa risau dengan keadaan ibu saudaranya, dia terus menuju ke kediaman Nik Azimah, bagi meninjau keadaannya yang tinggal berseorang di rumah. “Sesampainya di hadapan rumahnya, saya melihat pintu utama rumah terbabit tertutup dan cuba memberi salam beberapa kali namun tiada jawapan. “Curiga dengan keadaan itu saya tinjau keadaan sekitar dan tercium bau busuk dari dalam rumah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian. Azli berkata, melihatkan keadaan itu, dia terus menghubungi polis dan pihak terbabit tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang. “Ibu saudara saya itu tinggal berseorangan selepas anak lelakinya berkahwin dan menetap di Kuala Lumpur. “Dia mempunyai masalah jantung dan pernah di rujuk di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM) Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan berkala,” katanya. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk proses bedah siasat. Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian. “Mayat mangsa ditemui anak saudaranya dalam keadaan terbaring di hadapan pintu bilik air dengan berpakaian lengkap dan dipercayai mati dalam tempoh dua hingga tiga hari lalu. “Mengikut siasatan polis, mangsa dipercayai mempunyai masalah jantung dan kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada sebarang unsur jenayah,” katanya. Sinar Harian

Tiada ulasan: