13 Mei 2013

Berpuluh maut letupan bom di sempadan Syria

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

Berpuluh maut letupan bom di sempadan Syria
Bangunan dan kenderaan yang musnah dalam letupan bom di Reyhanli.
REYHANLI - Sekurang-kurangnya 43 terbunuh manakala berpuluh lagi cedera apabila dua bom kereta meletup di selatan Turki berdekatan sempadan Syria, semalam.

Jurucakap kerajaan Turki berkata, serangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak Kurdish atau konflik di Syria.

“Letupan di bandar selatan wilayah Hatay itu menyebabkan bangunan dan kenderaan musnah serta trafik di kawasan pusat membeli-belah Reyhanli sesak teruk,” katanya.

Menurutnya, operasi menyelamat kini tertumpu di kawasan runtuhan. Berpuluh mangsa dipercayai masih terperangkap dan jumlah kematian dijangka meningkat.

“Letupan itu juga menyebabkan bekalan elektrik terputus di sekitar Reyhanli,” katanya dalam dipetik laporan AFP

Stesen televisyen tempatan melaporkan, lebih sepuluh ambulans dan beberapa penyelamat udara berada di lokasi kejadian untuk operasi menyelamatkan.

“Lebih 100 mangsa runtuhan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal,” memetik laporan itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Muammer Guler berkata, anggota penyiasat kini telah mengenal pasti individu dan organisasi yang melakukan serangan ini.

“Kami berusaha mengumpul bukti dan akan menjejaki kumpulan tersebut dalam tempoh terdekat,” katanya.

sinar/-

Leher luka sangkut tali

Foto3 Rejab 1434 H. [MOD] -

Shah Alam: Seorang murid tahun lima sekolah rendah di sini menanggung derita apabila lehernya cedera terkena tali kain rentang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dipasang parti politik yang masih belum dibuang.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari 7 Mei lalu, Mohd Amir Iqbal Mohamad Zuhaizam, 11, sedang menunggang basikal apabila tiba-tiba lehernya tersangkut pada tali kain rentang yang dipasang pada paras rendah di laluan basikal.

Akibat kejadian itu, leher mangsa luka, namun ia bukan kecederaan serius selepas disahkan doktor yang merawatnya.

Bapa mangsa Mohamad Zuhaizam Kamarudin, 39, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jiran yang melihat kejadian itu.
KEADAAN leher Mohd Amir Iqbal akibat tersangkut pada tali kain rentang, minggu lalu.

Menurutnya, dia yang dalam perjalanan dari Perak bergegas pulang ke rumah dan membawa anaknya ke klinik berhampiran.

sinar/-

Petisyen: PR yakin BN tumbang

Lim Kit Siang3 Rejab 1434 H. [MOD] -

Lim Kit Siang - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
JOHOR BAHRU -  Pembangkang menaruh keyakinan akan dapat menumbangkan kerajaan BN termasuk menerusi cadangan memfailkan petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi parti pemerintah.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, jika usaha itu berjaya, kerajaan BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih Putrajaya.

"BN sekarang ada 133 kerusi Parlimen. Sekiranya daripada petisyen yang kita akan buat, kita berjaya dapat 22 kerusi, yang akan tinggal pada BN hanya 111 kerusi. Ini bermakna kita akan dapat majoriti dan jadi kerajaan," katanya di sini, semalam.

Kit Siang berkata, mengambil kira undi popular, PR sudah dapat 51 peratus berbanding BN yang hanya dapat 47 peratus.

"BN dapat sokongan minoriti daripada undi popular," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai petisyen yang akan dikemukakan, Kit Siang berkata, DAP sudah melantik Gobind Singh Deo untuk mengetuai jawatankuasa yang akan meneliti perkara itu.

"Kita tunggu keputusan PRU13 diwartakan, selepas itu dalam tempoh 21 hari, kita boleh buat petisyen. Kita jangka boleh kemuka petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi BN," katanya.

Ditanya mengenai cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan supaya 89 calon PR yang memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu tidak angkat sumpah kerana menolak keputusan PRU13, Kit Siang berkata: "Tidak perlu hirau cabaran ini. Kita  tak perlu jawab apa-apa cabaran."

sinar/-

Suami isteri maut kemalangan

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

Suami isteri maut kemalangan

Kancil dinaiki mangsa remuk dalam kemalangan.
SEREMBAN - Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Sikamat - Seremban, berdekatan Bandar Warisan Puteri, di sini, awal pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, mangsa, Woon Ah Long, 48, sedang memandu kereta jenis Perodua Kancil sambil ditemani isterinya, Yan Yoke Leng, 46.

“Siasatan awal mendapati, semasa insiden berlaku, difahamkan kedua-dua mangsa yang datang dari arah Seremban dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Ampangan.

“Bagaimanapun, ketika cuba membelok ke taman berkenaan, mereka telah dirempuh dengan kuat oleh sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux yang tiba dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, impak pelanggaran di bahagian kiri kereta menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit, sebelum berjaya dikeluarkan oleh bomba beberapa minit kemudian.

“Akibat kemalangan tersebut, isteri pemandu Kancil itu mati di tempat kejadian, manakala suaminya pula meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS),” katanya.

Jurucakap polis bagaimanapun berkata, pemandu Hilux terbabit yang berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali kenderaan dinaiki mengalami kerosakan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar/-

10 rumah dilanda banjir kilat

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

10 rumah dilanda banjir kilat

Zuraimi mengangkat peralatan bot bagi mengelak dihanyutkan banjir kilat.
ALOR PONGSU - Musim tengkujuh ditambah keadaan air laut pasang besar menyebabkan lebih sepuluh rumah dilanda banjir kilat di Parit Simpang Empat dan Parit Simpang Lima di sini sejak tiga hari lalu.

Sepuluh rumah di dua kampung itu dilanda banjir kilat selepas hujan lebat selama lebih dua jam menyebabkan air naik setinggi setengah meter dan memasuki beberapa rumah yang terletak pada paras rendah.

Mangsa banjir, Jamaluddin Hassan,55, berkata, penduduk terpaksa mengharungi banjir kilat setiap kali hujan dan situasi itu menjadi kebiasaan apabila sebanyak tiga kejadian serupa terjadi pada tahun lalu sahaja.

“Masalah itu berpunca daripada saliran pintu air mengalirkan air buang sawah padi di kawasan kampung kami agak sempit

“Keadaan itu ditambah pula dengan keadaan pengaliran air keluar ke Sungai Kerian yang sangat perlahan disebabkan pembinaan ban tebatan banjir di belakang kampung kami masih belum disiapkan sepenuhnya.

“Keadaan menjadi semakin parah apabila air yang turun dari Paya Kelubi, Gunung Semanggol tidak mampu dialirkan ke Sungai Kerian dengan lancar disebabkan masalah sistem perparitan yang akhirnya melimpah ke rumah kami,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini.

Seorang petani, Zuraimi Abdul Manaf, 41, berkata, hujan lebat sejak tiga hari lalu mula mengakibatkan bahagian ruang tamu rumahnya dinaiki air sehingga dua kaki, tetapi keadaan masih terkawal sehinggalah keadaan air kini semakin surut.

“Saya terkejut apabila lihat tilam dan barangan rumah terapung di bahagian bawah rumah kami lepas bangun tidur jam 5 pagi.

“Mujurlah kenderaan, peralatan pertanian dan enjin bot tidak rosak. Jika tidak, tidak tahulah macam mana saya hendak baikinya,” katanya.

Zuraimi turut menjelaskan pihaknya bimbang keadaan banjir kilat itu menjadi semakin serius sekiranya tiada mekanisme penyelesaian segera dicapai.

“Bagaimanapun, kami sudah diberi jaminan oleh Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat bahawa keadaan akan menjadi lebih baik setelah ban tebatan banjir di belakang kampung kami siap dibina.

“Saya berharap keadaan akan menjadi lebih baik pada masa hadapan demi keselesaan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Sham ketika dihubungi maklum dengan kejadian itu dan menegaskan lawatan ke lokasi kejadian sudah dilakukan untuk mengenal pasti punca banjir kilat.

Menurutnya, kekerapan banjir kilat yang berlaku disebabkan pembinaan ban tebatan banjir masih belum sempurna dan percaya ia selesai setelah ban itu siap dibina kelak.
“Saya minta penduduk bersabar kerana projek pembinaan ban tebatan banjir itu sedang dilaksanakan dan saya yakin segala permasalahan penduduk selesai setelah ia siap,” katanya.
Sinar/-

Anwar berikrar tak akan mengalah sehingga keputusan PRU13 disahkan

3 Rejab 1434 H. [MOD] -
Anwar Ibrahim: Perhimpunan di Kuantan pada hari Selasa, Rabu di Johor. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar malam tadi tidak akan mengalah dalam perlawanan Pakatan Rakyat (PR) untuk memastikan dakwaan seharusnya menang dan berada di Putrajaya, mengekalkan pendirian mereka Barisan Nasional (BN) menang dengan menipu pada 5 Mei.
Pemimpin de facto PR, kelihatan bertenaga dan penuh bersemangat apabila berucap di hadapan penyokong PR berpakaian hitam dalam perhimpunan ketiga selepas Pilihan Raya 2013 di Ipoh, Perak mengakui ianya seminggu selepas keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi.
Akan tetapi beliau menegaskan walaupun Datuk Seri Najib Razak telah mengangkat sumpah dan gabungan tersebut kelihatan berurusan seperti biasa di Putrajaya, pengerusi BN dan presiden Umno bukanlah orang sebenar yang dipilih untuk jawatan itu.
“Pemimpin Umno akan kata, kami mempunyai mandat jadi kamu diam. Tetapi saya kata — No way. Kita mempunyai mandat dan akan… lawan tetap lawan,” kata beliau mengundang hadirin untuk menjeritkan slogan tersebut.
“Najib telah disahkan menang… dan telah mengangkat sumpah. Apa harus kita lakukan?
“Sebab itu saya kata… di Kelana Jaya ratusan ribu rakyat hadir hanya dengan notis dua hari… Di Pulau Pinang, ratusan ribu hadir di Batu Kawan… kebangkitan rakyat.
“Kenapa? Kerana suara rakyat suara keramat,” kata Anwar.
“Hari Selasa kita akan berhimpun di Kuantan. Rabu kita akan berhimpun di Johor. Dan kita tidak akan berhenti sehingga keadilan ditegakkan di negara ini.
 “Kita tidak akan berhenti sehingga keputusan sah diumumkan. Ya. Kita akan teruskan dan tidak akan mengalah,” tambah beliau melalui siaran secara langsung di Internet malam tadi.
Anwar dan pasukannya dalam PR menegaskan keputusan pilihan raya 5 Mei yang baru diumumkan dicemari dengan penipuan, corak pengundian luar biasa, cara menguruskan kotak undi diragui dan isu lain.
Dengan mengatakan mempunyai bukti mencukupi untuk menyokong dakwaan mereka, peguam dari kedua-dua DAP dan PAS akan menjalankan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan tersebut.
Pemimpin PR mengatakan mereka akan mencabar 29 keputusan pilihan raya dan perhimpunan, yang bermula di Selangor Rabu lalu, bergerak ke Pulau Pinang pada Sabtu dan di Perak malam semalam, akan diteruskan di Kuantan pada Selasa dan Johor pada Rabu.
Gabungan BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi dalam Pilihan Raya 2008.
Lebih menyedihkan bagi BN adalah mereka kehilangan undi popular, hanya mendapat 48 peratus daripada undi, tiga mata peratusan lebih rendah dari 51 peratus oleh PR.
Di Perak, nasib BN lebih parah lagi, hanya mendapat 507,123 atau 45.25 peratus daripada undi, dibelakang PR yang mendapat 613,490 undi atau 54.75 peratus, walaupun menang 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PR Perak telah mengatakan keputusan pilihan raya tidak sah, menegaskan pentadbiran negeri ditangan mereka kerana majoriti daripada rakyat Perak telah mengundi menentang BN.
Dalam ucapan awalnya, Anwar turut menyelar pemimpin kanan Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kerana mendakwa komuniti CIna yang undi menentang BN dikelirukan kerana memikirkan kerajaan pimpinan PR akan memansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menafikan ini, menegaskan persetujuan tiga parti dalam PR — DAP, PKR dan PAS — secara rasminya mengiktiraf semua perkara dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk Artikel 153, yang menyentuh tentang hak keistimewaan etnik dominan negara ini.
The Malaysian Insider/-

Dua lelaki maut, dua lagi parah ditembak di Bukit Tambun

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

BATU KAWAN - Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, di sini malam tadi.
    
Kedua-dua lelaki itu mati ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya dan hasil siasatan awal polis mendapati mereka mempunyai beberapa rekod jenayah.
    
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata keempat-empat lelaki itu ditembak selepas pulang daripada majlis perkahwinan saudara mereka di sebuah dewan kira-kira 150 meter dari tempat kejadian.
    
"Mereka yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux datang dari Melaka. Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat itu kira-kira pukul 10.30 malam, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampiri kenderaan mereka dan melepaskan beberapa das tembakan dari arah kiri ke kanan," katanya.
    
Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, di sini awal pagi ini, Abdul Rahim berkata mereka yang ditembak itu berusia antara 28 dan 60 tahun.

"Dua lelaki yang mati itu berusia 28 dan 40 tahun manakala dua yang cedera parah kini dirawat di Hospital Seberang Jaya," katanya.
    
Abdul Rahim berkata polis menemui empat kelongsong peluru di tempat kejadian dan percaya suspek menggunakan pistol jenis automatik.
    
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan perniagaan.
    
"Saya meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. 

- Bernama

Antara Ahmad Said dan Abdullah Qulliam

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

“Pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan Dun yang kita (Barisan Nasional) kalah”.

Demikian tutur Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang telah heboh seantero negara, setelah beliau diberikan mandat oleh rakyat Terengganu untuk mengemudi bumi Darul Iman. Itu pun setelah direstui perlantikannya oleh Sultan Terengganu yang kita hormati. Apa reaksi Tuanku Sultan, saya tidak pasti.

Kami sayang Ahmad Said selaku seorang pemimpin Muslim. Namun sayang sekali jika sebagai seorang Muslim, kenyataan di atas benar-benar diutarakan beliau.

Ahmad Said mengingatkan saya kepada Abdullah Quilliam. Nama mereka mungkin bermula dengan aksara ‘A’ yang sama, namun pendekatan mereka jauh berbeza, bahkan lebih jauh antara aksara ‘A’ dan ‘Z’.

Siapakah gerangan Abdullah Quilliam ini?

Abdullah Quilliam merupakan seorang peguam tersohor di kepulauan British pada penghujung abad ke-19. Abdullah, setelah memeluk Islam pada tahun 1887, telah membuka masjid pertama di Britain, di kota raya metropolitan Liverpool yang merupakan bandaraya kedua dalam Empayar British selepas London.

Abdullah Quilliam merupakan seorang tokoh masyarakat dan ulama’ yang sangat dihormati oleh penduduk Liverpool, sehingga Khalifah Turki Uthmaniyah, Sultan Abdul Hamid II menggelar beliau sebagai ‘Sheikhul Islam of British Isle’.

Makanan percuma

Pada tahun 1888, beliau telah memulakan pendekatan menghidangkan sarapan pagi percuma kepada kanak-kanak miskin yang kelaparan, tanpa mengira batasan ras, agama dan keturunan. Walaupun Islam merupakan agama minoriti di Liverpool pada zamannya (dan masih sehingga kini), beliau tidak membutakan matanya kepada anak-anak kecil yang majoritinya berbangsa Inggeris dan beragama Kristian.

Demi kanak-kanak miskin Kristian dan Muslim. Sama-sama disuap, sama-sama diusap.

Namun sayang sekali di Terengganu, hanya 17 kerusi yang ingin ‘disuap’.
Semasa sambutan hari Natal pula, Abdullah Quilliam akan menggandakan sesi pemberian makanan. Akhbar tempatan melaporkan antara 200 ke 400 orang kanak-kanak Inggeris dijamu makanan pada waktu pagi dan antara 400 ke 600 orang kanak-kanak Inggeris disuapkan sandwic daging dan menghirup teh panas, untuk mengatasi kedinginan musim sejuk yang mencengkam anak-anak kecil.

Berlaku adil dan berkasih sayang kepada rakyat yang susah, lebih-lebih lagi semasa sambutan hari Krismas, menjadikan Abdullah Quilliam lebih dekat dengan ajaran Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w.

Abdullah Quilliam berlaku adil tatkala Muslim merupakan etnik minoriti.
Apa susah sangatkah untuk Ahmad Said berlaku adil semasa memimpin kumpulan majoriti?

Guru hebat, murid sama hebat

Lord Stanley of Alderley Edge merupakan salah seorang tokoh bangsawan yang telah memeluk Islam di hadapan Abdullah Quilliam. Semasa beliau meninggal dunia pada Disember 1903, penyempurnaan jenazah beliau menjadi konflik antara Abdullah dan paderi-paderi gereja.

Paderi-paderi gereja menyangka Lord Stanley masih seorang Kristian. Hujah mereka ialah beliau berterusan menyumbang perbelanjaan menyenggara gereja-gereja sedia ada dan membina gereja gereja baru di tanah-tanah milih beliau. Justeru mereka berpendapat bahawa jenazah Lord Stanley mesti diuruskan mengikut tatacara agama Kristian.

Namun Abdullah Quilliam menunjukkan surat wasiat Lord Stanley yang meminta agar jenazah beliau disemadikan berdasarkan tatacara Islam. Ini membuktikan beliau memang meninggal dunia sebagai seorang Muslim. Sungguh menarik apabila Abdullah berhujah bahawa beliau terus membiayai penyenggaraan dan pemulihan gereja-gereja di atas tanah beliau yang luas itu kerana itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Lord Stanley sebagai seorang Muslim.

Indah sekali apabila ‘orang kita’ dibiaya, ‘orang mereka’ turut sama merasa.

Islam mendidik keadilan

Biarpun fizikal Abdullah Quilliam dan Lord Stanley lahir sebagai seorang Kristian, Islam telah membangunkan ruh mereka menjadi pemimpin yang adil. Mereka bertindak sebagai ‘khadimul ummah’, iaitu pelayan kepada ummah, melangkaui sempadan bangsa dan agama agar rakyat harmoni dan bahagia.
Nama ‘Said’ itu sendiri secara literalnya sudah bermaksud ‘kebahagiaan’.

Justeru, kami mengharapkan keadilan Datuk Seri memancarkan sinar kebahagiaan dalam kehidupan kami selaku rakyat.

Adilkah jika pada tahun 2008 wakil rakyat Barisan Nasional daripada ‘team B’ berterusan memulaukan Ahmad Said walaupun setelah diperkenaan Tuanku Sultan?

Adilkah jika seorang Menteri Besar digaji oleh seluruh rakyat namun hanya berkhidmat dengan syarat?

Adilkah jika rakyat di 15 Dewan Undangan Negeri tersebut menolak untuk membayar cukai pintu dan cukai tanah?

Adilkah apabila royalti hasil minyak negeri Terengganu pernah dinafikan kepada rakyat Terengganu oleh orang Terengganu sendiri?

Bibir kita boleh mengetap, namun hati kita pasti boleh menjawab.

Rakyat, samada yang memangkah atau tidak memangkah BN pada 5 Mei lalu, mesti bersikap adil dengan menghormati Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Demikian juga Ahmad Said mesti berlaku adil kepada sekalian rakyat Terengganu. Simbiosis keadilan ini yang akan mewujudkan kebahagiaan dan kemajuan.

Legasi keadilan

Setelah seribu tahun, Khalifah Umar Abdul Aziz terus diingati walaupun hanya memerintah selama dua tahun.

Selepas seratus tahun, Abdullah Quilliam meninggalkan kesan di hati orang Melayu walaupun beliau seorang Inggeris.

Selepas lima tahun, kami yakin Ahmad Said boleh bersifat lebih adil daripada kata-katanya.

Legasi ketokohan seorang pemimpin bukan pada tempoh pemerintahan mahupun pada bangsanya. Wibawa seorang pemimpin itu terletak kepada keupayaan melimpahkan keadilan untuk dinikmati seluruh rakyat jelata.

Orang Melayu, Cina dan India akan terus makmur dan sejahtera andai legasi Abdullah Quilliam dirasai bersama!

harakahdail;y/-

Rakaman 'livestream' Himpunan "Blackout" 505 Negeri Perak

3 Rejab 1434 H.


Sekitar Himpunan "Blackout" 505 Negeri Perak

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

Himpunan "Blackout" Negeri Perak, Di Hadapan Ibu Pejabat Parti KeADILan Rakyat Perak, Medan Istana, Ipoh, Perak malam tadi 12hb Mei 2013....sambutan dianggarkah dihadiri lebih 30,000 0rang.

Walaupun Bernama menyiarkan satu laporan semacam untuk menakut-nakutkan rakyat untuk hadir pada himpunan itu namun ianya telah mendapat sdambutan yang luarbiasa dari rakyat Perak.

Kenyataan Bernama di petik sebagai berkata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata polis tidak meluluskan permohonan bagi Perhimpunan Bantah 505 peringkat negeri Perak kerana tidak menepati syarat-syarat di bawah Akta Perhimpunan Awam. 
    
Beliau berkata penganjur perhimpunan itu sepatutnya membuat permohonan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan. 

"Jika Penganjur terus mengadakan perhimpunan maka itu akan jadi satu perhimpunan haram," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Shukri menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut di Medan Istana di Ipoh.

Realitinya sepanjang himpunan berlangsung berlaku apa disebaliknya di mana pihak Poslis lah yang telah menjaga keselamatan dan lalulintas dengan baik dan pengerusi majlis mencuri sedikit peluang dengan mengajak hadirin untuk memberi kredit dengan mengajak yang hadir memberi tepukan gemuruh kepada pihak keselamatan yang memberi kerjasama yang baik itu.


Sumber gambar : http://omakkau.blogspot.com/

PRU 13 : 20 Parlimen majoriti tertinggi


3 Rejab 1434 H. [MOD] -Dari 20 majoriti tertinggi pada PRU 13 yang lalu... 19 berpihak kepada PR dan 1 untuk BN.Ahli Parlimen Seputeh YB Teresa Kok telah pecah rekod dengan majoriti 51,552 undi....

Sumber : http://omakkau.blogspot.com/

Tahniah : Mahfuz Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru

3 Rejab 1434 H. [MOD] -


PAS melantik Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar (gambar)sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Azizan Razak.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang bersidang hari ini di Pejabat Agung PAS, demikian berita yang dipetik dari media rasmi PAS Harakahdaily yang disiarkan petang semalam.

Laporan juga memaklumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memaklumkan, mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk membuat post mortem terhadap keputusan pilihan raya umum ke 13.

"Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub telah dilantik mengetuai jawatankuasa post mortem ini dengan timbalannya adalah Dr Dzulkefly Ahmad manakala Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Zuhdi Marzuki sebagai setiausahanya," umum Mustafa kepada Harakahdaily.

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat hari ini adalah yang pertama diadakan selepas pilihanraya umum ke 13, 5 Mei lalu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermula jam 10.30 pagi tadi yang berakhir jam 2.30 petang tadi.

Dalam PRU 13, PAS menang 21 kerusi Parlimen dan berjaya mempertahankan Kelantan namun kalah di negeri Kedah.

Mahfuz menggantikan Ustaz Azizan yang sehingga kini masih belum sihat selepas pembedahan kedua-dua belah kakinya akibat diebetis.

Mahfuz dalam PRU 13 menang kerusi Parlimen Pokok Sena manakala Ustaz Azizan kekal di Dun Sungai Limau.

Namun begitu, PAS hilang lima Parlimen di Kedah iaitu Jerai, Pendang, Sik, Baling dan Padang Terap di samping kehilangan negeri Kedah.

Post morterm dipercayai dibuat bagi mengenalpasti punca sebenar kekalahan PAS di Kedah dan beberapa negeri lain ekoran dakwaan pelbagai penyelewengan yang berlaku.

12 Mei 2013

Alkisah seorang pejuang…

2 Rejab 1434 H. [MOD] -


Seorang pejuang bernama Nasrudin Abduh yang terkenal dengan kejujuran dan amanahnya telah berjumpa dengan Tok Gurunya Ustaz Nik Ibrahim.

“Mengapa ana masih berasa tidak tenteram dan memandang rendah pada diri sendiri? Ana dah berjaya mengharungi pelbagai kegagalan, dan melakukan kebajikan dan menyelamatkan mereka yang lemah dan tertindas. Tapi apabila melihat Tok Guru, ana rasa masih tidak setanding Tok Guru,” kata Nasrudin.

“Tunggu sekejap. Lepas ana jumpa semua yang datang melawat hari ini, ana bagikan jawapan,” jawab Ustaz Nik Ibrahim.

Nasrudin melihat bagaimana Tok Guru menyambut semua yang melawatnya dengan senyuman dan penuh kesabaran sehinggalah matahari terbenam.

Selepas semua pelawat dah tiada, Nasrudin cepat-cepat bertanya, “Apa jawapannya Tok Guru?”

Tok Guru memimpin tangannya ke padang. Mereka berdua duduk melihat bulan yang penuh memancar dalam ketenangan.

“Nampak tak bulan itu? Cantik tak? Ia akan menjaga sepanjang malam sehinggalah subuh menjelma, di mana matahari pula akan bersinar,” kata Ustaz Nik Ibrahim.

“Tapi cahaya matahari lebih cerah, dan boleh menunjukkan segalanya dengan terang untuk ditatapi mata kita – pokok, gunung mahupun awan. Ana pun dah berfikir lama: Mengapa tidak pernah kedengaran bulan berkata: Mengapa saya tidak boleh seterang matahari?” tambah Ustaz Nik Ibrahim lagi.

“Sudah tentu tidak,” jawab Nasrudin. “Matahari dan bulan adalah dua benda berbeza – kedua-duanya mempunyai kecantikan sendiri. Tak boleh banding antara dua.”

“Anta sudah jumpa jawapannya. Ana dan anta adalah dua orang berlainan, kita sama-sama membantu orang ramai dalam cara yang kita tahu supaya dunia ini menjadi tempat lain lebih baik dan Islam didaulatkan. Yang lain adalah sampingan sahaja termasuklah jawatan,” jawab Ustaz Nik Ibrahim.

“Putus asa adalah kegagalan sebenar. Ingat itu,” tambah Ustaz Nik Ibrahim.

Nasrudin tersenyum. Mulai hari itu, beliau tidak lagi cuba membandingkan dirinya dengan Tok Guru – sebaliknya membuat segala perkara dan melawan segala kemungkaran dengan caranya tersendiri.

Senyum

Walaupun tanpa jawatan, kerja-kerja kebajikan dan lawan kemungkaran harus diteruskan. Jangan putus asa. Kerana itu titik noktah suatu perjuangan.

Harakahdaily/-

‘Penggeli pundi-pundi’ jadi beban kepada Najib

2 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kali ini sahajalah peluang bagi Najib untuk memperbetulkan keadaan. Itu pun jika beliau mempunyai keberanian yang kuat.


Justeru, Najib perlu paparkan barisan yang baru walaupun dari kalangan yang kuat memberikan kritikan terhadap beliau.

“Apa faedahnya hanya mengambil mereka yang mengampu dan yang hanya tahu ‘menggeli pundi-pundi’ beliau sahaja kerana mereka ini akhirnya akan menjadi beban kepada beliau,” tulis Aspan Alias di dalam blognya.

Menurutnya, apabila Najib dalam masalah mereka bukannya boleh membantu tetapi sebaliknya akan menambah beban demi beban terhadap negara dan beliau sendiri.

Bagi Aspan, mereka itu tidak akan lagi bersama beliau apabila beliau dalam masalah apatah lagi semasa persaraan beliau nanti.

“Najib perlu ingat kehidupan yang paling pahit ialah apabila semasa akhir hayat dan dalam persaraan kita dihina oleh masyarakat, lebih-lebih lagi ditinggalkan kawan-kawan dan sahabat yang pernah bersama kita,” tulisnya lagi, sebagaimana di bawah.

Pilihanraya ke-13 merupakan pilihanraya yang paling mahal sekali dalam sejarah negara merdeka. Ia disebabkan kerana membuat persediaan untuk mempertahankan kerusi BN setelah mengalami keputusan buruk pada pilihanraya sebelumnya pada tahun 2008 dahulu. Mahu tidak mahu, semua mesti mengakui ianya amat mahal kerana persediaan itu melibatkan perbelanjaan yang dilakukan secara ‘ad hoc’ kepada rakyat dalam berbagai-bagai bentuk untuk menawan hati rakyat.

Tetapi keputusan tetap lebih buruk kerana keseluruhannya BN telah mendapat hanya 133 kerusi, 7 kerusi kurang dari pilihanraya yang semasa itu dianggap yang terburuk pada 2008 dahulu. Dengan keputusan yang baru ini, ia menunjukkan BN terpaksa melakukan perkara yang baru, jika mahu disebut kembali seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas, iaitu melakukan perkara yang belum pernah terfikir oleh kita semua.

Memindahkan situasi politik dari situasi sekarang kepada situasi yang baru dengan jujur akan membawa rakyat kepada ‘ambience’ politik yang berbeza sedikit sebanyak akan membantu menenangkan pemikiran rakyat yang tidak berpuas hati dengan situasi dan keadaan persekitaran politik hari ini. PM Najib perlu memahami apa yang menjadi sebutan ramai yang tidak baik di bawah ini. Beliau mesti memahami semua masalah sebelum beliau berfikir untuk mencuba menyelesaikannya.

Bawalah rakyat berfikir ke persekitaran politik yang baru. Jangan lagi memaparkan peribadi yang sudah dipersoalkan oleh ramai terutamanya berhubung dengan rasuah dan menyalah gunakan kuasa. Tunjukkan yang Perdana Menteri sekarang benar-benar serius untuk memerangi rasuah dengan tidak memasukkan mereka yang sudah mempunyai stigma dan terbukti rasuah dari segi moralnya.

Selama ini rakyat sudah boleh meneka siapa yang akan dimasukkan ke dalam Jemaah Menteri kerana kebiasaannya pimpinan hari ini akan hanya memberikan jawatan penting itu kepada kroni dan rakan kerana kepentingan bersama dalam perniagaan. Inilah persepsi sebenarnya yang menjadikan ramai di antara rakyat sudah membenci UMNO dan BN itu. Rakyat sudah mempunyai persepsi buruk terhadap pemimpin yang sukar dihilangkan.

PM Najib pada persepsi mereka, akan meletakkan terus sahabat-sahabat beliau di dalam Jemaah Menteri orang-orang yang telah terbukti melakukan rasuah politik dan telah pun diambil tindakan terhadap mereka. Tetapi rakyat beranggapan yang Najib akan meletakkan mereka kembali dalam kabinet semata-mata kerana kepentingan politik beliau.

Jika keadaan ini masih berlaku salahkan rakyat berselindung di sebalik parti-parti pembangkang dan melakukan protes secara politik yang telah pun terbukti menjahanamkan imej kerajaan itu? Lagi pun jika mereka lakukan protes politik dan berusaha menukar kerajaan yang mereka sudah tidak yakini itu merupakan hak mereka kerana menukar kerajaan itu bukannya tindakan jenayah.

Ini negara demokrasi. Tetapi apabila rakyat memberontak pihak kerajaan tanpa malu-malu memarahi parti pembangkang kerana rakyat berdiri di belakang parti-parti itu. Jangan diikuti cara Dr Mahathir kerana beliau selalu memarahi sesiapa yang menyokong pembangkang tetapi tidak mahu mengakui kesalahan sendiri. Mahathir mempunyai kepercayaan yang berhak melakukan kesalahan ialah pihak BN sahaja dan tidak perlu diambil tindakan dan terus terlepas dari undang-undang. Mana boleh begitu?

Kali ini sahajalah peluang bagi Najib untuk memperbetulkan keadaan. Itu pun jika beliau mempunyai keberanian yang kuat. Paparkan barisan yang baru walaupun dari kalangan yang kuat memberikan kritikan terhadap beliau. Apa faedahnya hanya mengambil mereka yang mengampu dan yang hanya tahu ‘menggeli pundi-pundi’ beliau sahaja kerana mereka ini akhirnya akan menjadi beban kepada beliau.

Apabila Najib dalam masalah mereka ini bukannya boleh membantu tetapi sebaliknya akan menambah beban demi beban terhadap negara dan beliau sendiri. Mereka ini tidak akan lagi bersama beliau apabila beliau dalam masalah apatah lagi semasa persaraan beliau nanti. Najib perlu ingat kehidupan yang paling pahit ialah apabila semasa akhir hayat dan dalam persaraan kita dihina oleh masyarakat, lebih-lebih lagi ditinggalkan kawan-kawan dan sahabat yang pernah bersama kita.

Ingatlah, segala amal serta ubudiah kita ialah untuk kita mati dalam kalimah dan segala bakti kita kepada masyarakat yang untuk kita hidup dalam ketenangan semasa dalam sisa-sisa hayat kita nanti.

Berkawan dan bersahabatlah dengan mereka yang diyakini bersama kita terus-terusan sehingga hari tua kita. Itulah sebabnya Najib perlu mengenali siapa sahabat dan siapa rakan. Najib perlu ingat UMNO itu untuk membela orang ramai. Parti itu bukannya untuk menyediakan kepentingan seseorang yang mahu naik dalam parti dan akhirnya menguasai negara. UMNO itu untuk orang ramai.

Najib perlu bersahabat dan berkawan dengan rakyat bukannya bersahabat dengan mereka yang akhirnya membebankan beliau sendiri. Doa rakyat biasa yang ramai untuk beliau lebih mustajab dari doa kroni-kroni yang hampir dengan beliau kerana kepentingan peribadi mereka sahaja.

Harakahdaily/-

Undi dapat habuan

2 Rejab 1434 H. [MOD] -

Undi dapat habuan

Tze Tzin menunjukkan baucar yang diterima pengadu.
Undi dapat habuan

Tze Tzin (kiri) dan Abdul Halim (kanan) bersama kesemua hampir 200 pengadu menunggu dihadapan premis seperti yang dijanjikan pihak bertanggungjawab di Sungai Dua kelmarin.
GEORGETOWN - Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah menerima aduan orang ramai yang didakwa ditipu pihak tidak bertanggungjawab berhubung dakwaan ditawarkan wang tunai sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Laporan itu dibuat Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin bersama calon  PKR Dun Teluk Bahang, Datuk Abdul Halim Hussain yang menerima aduan daripada lebih 200 pengadu yang dilihat beratur di sebuah premis di Sungai Dua di sini, tengah hari kelmarin untuk menuntut wang tunai seperti yang dijanjikan kepada mereka.

Tze Tzin berkata, beliau yang menerima aduan itu bergegas ke premis berkenaan dan berjumpa sendiri dengan semua pengadu terbabit bagi mengetahui perkara sebenar.

“Mereka mendakwa, telah dihubungi seorang individu yang tidak dikenali yang memaklumkan supaya mereka boleh menuntut habuan yang dijanjikan sebelum ini di sebuah premis di Sungai Dua bermula semalam (kelmarin) hingga Ahad (hari ini), antara jam 11 pagi hingga 8 malam.

“Kesemua yang menerima panggilan serta sistem pesanan ringkas (sms) berpusu-pusu ke premis berkenaan untuk menuntut habuan mereka iaitu wang tunai," katanya. ketika menghubungi Sinar Harian kelmarin.

Lebih mengejutkan, ada juga daripada mereka mendakwa diminta oleh seorang Adun berbuat demikian.

Tze Tzin berkata, selepas menerima aduan daripada kesemua pengadu di situ, beliau bersama Abdul Halim kemudiannya bergegas ke Balai Polis Sungai Nibong untuk membuat laporan polis sebelum ke SPR negeri.

“Selepas berbual dengan mereka, saya merasakan ada yang tidak kena dengan perkara itu. Saya kemudiannya membuat satu laporan polis dan SPR. Laporan di SPR, ia dibuat kepada Timbalan Pengarah II, Rizal Kamis untuk diambil tindakan.

“Saya berharap agar polis dan SPR membuat siasatan menyeluruh, profesional serta adil. Saya juga berharap agar kes ini akan dibawa ke perhatian Pengarah SPR kerana ia dianggap serius. Saya menyifatkan ia perbuatan membeli undi,” katanya.

Sementara itu, Rizal berkata, beliau akan meluluskan aduan itu dan akan menyerahkan kepada ibu pejabat sebelum membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya.

Tze Tzin berkata, jika benar perkara itu berlaku, beliau mengharapkan agar pihak berkuasa akan mengambil tindakan berikutan ia menjadikan pilihan raya pada kali ini tidak bersih seperti yang diharapkan.

“Jika didapati ia satu perbuatan yang menyalahi undang-undang, saya kesal kerana ia seolah-olah membenarkan orang yang berduit dan kaya raya membeli undi rakyat semata-mata untuk kemenangan calon mereka.

“Jika ia terbukti benar ada unsur politik wang, ia satu perbuatan serius kerana ia melibatkan keputusan pilihan raya. Kita akan buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin ini (esok) untuk siasatan lanjut kerana merasakan ia ada hubung kait dengan gejala rasuah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara itu dan akan merujuk kes itu kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.

Sinar/-