06 September 2008

UMNO bangkit isu perkauman: Taktik memulih sokongan

Laporan The Malaysian Insider (September 5, 08), UMNO Penang mempertahan kenyataan Ahmad Ismail, Ketua Bahagian Bukit Bendera berhubung 'orang Cina adalah menumpang' ketika kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh!!
Sidang media yang diadakan (gambar dipetik dari The Malaysian Insider), dilihatkan penuh sentimen dan 'bersemangat perkauman' itu turut membariskan beberapa pemimpin Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang, kecuali Pak Lah itu semacam meminta-minta reaksi balas daripada pemimpin parti-parti yang mewakili kaum Cina.
Di samping turut membantai pihak media yang kononnya memanipulasikan kenyataan beliau.
Jikalau benar, pemimpin parti-parti Cina, terutama MCA dan Gerakan membuat tindak balas, maka berjayalah UMNO untuk memaut semula sokongan orang Melayu bernaung semula di bawah payung UMNO. Walaupun sebelum itu, UMNO telah bangkit menentang (melalui demontrasi aman) terhadap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubungan hasratnya untuk tidak meneruskan dasar-dasar DEB , namun ia gagal untuk menarik sokongan orang Melayu secara total. Oleh itu, kenyataan Ahmad Ismail itu dilihat peluang kedua bagi UMNO Pulau Pinang untuk mensentimen orang Melayu Pulau Pinang yang telah hilang sentimennya sejak sekian lama di bawah pemerintahan BN yang diketuai Gerakan.
Mungkin ini merupakan peluang baik bagi UMNO, yang dilihat suatu kesepakatan dalaman antara parti-parti komponen BN agar sama-sama membangkit isu perkauman, apabila keputusan pilihan raya umum lalu dan pilihan raya kecil Permatang Pauh didapati pola pengundiannya adalah bersifat 'merentasi perkauman' yang signifikan kepada Pakatan Rakyat. Sekiligus memberi petanda bahawa masa depan politik Malaysia telah menolak 'pendekatan perkauman'. Dengan kata lain, isu-isu perkauman telah mati dan tidak relevan lagi.
Jika situasi sebegitu, dapat dibaca dengan baik oleh orang Melayu, Cina dan India adalah sewajarnya rakyat tidak mudah tertipu dengan permainan UMNO, MCA dan Gerakan. Apa yang jelas, permainan UMNO itu tidak lebih daripada taktik untuk mengalih perhatian rakyat (khususnya orang Melayu) daripada membincangkan isu "16 September", iaitu agenda politik Anwar Ibrahim untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Sebagai rakyat Malaysia yang telah ditentukan Tuhan yang Maha Esa, hidup dengan aman damai bersama masyarakat pelbagai kaum sewajarnya mampu mengolah masa depan dengan bijaksana di atas setiap isu yang boleh memudaratkan keamanan dan kesejahteraan hidup.
Maknanya, kehidupan harmoni berteraskan permuafakatan, pakatan dan toleransi adalah arah baru politik Malaysia. Di sini, jelas sekali Islam adalah sesuai dijadikan rujukan bagi menyelesaikan kekusutan sesuatu isu perkauman. Lihatlah kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP Pulau Pinang dketuai Guan Eng; di dalam diam dilihat telah menerima pakai prinsip pentadbiran Islam.
Misalnya, kesungguhannya ingin meniru gaya pentadbiran khalifah Omar Abdul Aziz, memberi wang kebajikan kepada rakyat miskin, bertegas untuk memajukan sekolah agama Islam, komited menghapus rasuah dan penyelewengan, amalan tender terbuka secara e-tender; kesemuanya adalah penyelesaian yang ada di dalam Islam dalam menangani banyak kemelut pentadbiran ke arah membangun masyarakat yang cemerlang.

Realitinya ia merupakan cabaran yang tidak mudah untuk dihadapi BN, terutamanya bagi UMNO untuk merelevankan semula perjuangan Melayu yang telah nyata gagal di Pulau Pinang.Oleh sebab itu, permainan UMNO Pulau Pinang yang bermuka-muka mengungkitkan 'sejarah lama' isu perkauman itu boleh dianggap suatu tindakan 'backwards' yang tidak perlu dianggap bermakna kepada masa depan rakyat di negara ini. Ingatlah seperti mana posting saya ( September, 2)

"...Tuhan menjadikan manusia beriman atau tidak beriman ada tujuan dan manfaatnya. Harus diingat, manusia itu dijadikan berbangsa-bangsa/pelbagai kaum dan budaya supaya kita berkenal-kenalan dan berkasih sayang secara harmoni. Hiduplah kita dengan aturan kententuan Tuhan, baru aman dunia sejagat.

Sesungguhnya tidak ke mana kita jika terus terpaku dengan perjuangan perkauman yang baseless.

Sifat dengki merosak ibadah puasa.

Diantara penyakit yang merusak pahala puasa adalah dengki, dalam bahasa Arab disebut hasad. Dengki adalah perasaan tidak senang atas keberuntungan orang lain disertai usaha menghilangkan dan memindahkan keberuntungan itu kepada diri sendiri.

Adapun meninginkan hal yang serupa dengan yang diperoleh orang lain tidak termasuk dengki,karena al Qur'an bahkan menyuruh kita berlomba meraih kebajikan.

Mengapa orang mendengki ? Dasar dari sifat dengki adalah adanya keinginan orang untuk menjadi orang nombor satu, menjadi orang yang terhebat, terkaya, terhormat dan terkenal.

Dalam bahasa agama, dunia dengan segala urusannya sebenarnya adalah sesuatu yang rendah nilainya . Dalam bahasa Arab, 'dun ya' artinya dekat atau rendah atau hina. Jadi orang hanya mendengki manakala yang diperebutkan itu sesuatu yang rendah, hina dan bersifat jangka pendek, ibarat orang yang memasuki lorong sempit yang hanya muat untuk satu orang. Ruang sempit itulah yang menyebabkan para peminat harus berasakan dan saling menolak orang lain ke tepi.

Selanjutnya jika ada satu orang yang telah berhasil memasuki lorong dan berhasil menduduki kerusi duniawi yang diperebutkan, kerusi sebagai Wakil Rakyat contohnya, maka orang yang kalah memandang orang yang telah menang sebagai musuh yang harus disingkirkan, kerana itulah orang yang menang menduduki kerusi itu mesti sentiasa waspada dengan khianat dan sifat dengki mereka itu.

Adapun jika memperebutkan sesuatu yang besar, mulia dan bersifat panjang hingga akhirat, maka diantara para peminat saling berhubungan. Orang yang merindukan derajat takwa akan senang jika ada orang lain yang bermaksud sama. Demikian juga orang yang ikhlas bersedekah [rujuk dalam QS. Al-Baqarah: 261] ; maka ia sangat senang jika ada orang lain yang juga gemar bersedekah.

Jika di antara orang yang ingin menjadi orang yang dekat Pimpinan didunia pasti terdapat sifat iri, dengki dan sebagainya . Hal itu adalah kerana sempitnya ruang untuk menjadi orang dekat dengan Pimpinan tersebut. Sebaliknya jika ingin menjadi orang yang dekat dengan Tuhan Allah SWT, maka berapa banyakpun orang yang menginginkan, di sana tersedia ruangannya seluas-luasnya, kerana Allah Maha Luas rahmat Nya.

Dengki itu sangat bahaya, bukan hanya bagi diri pemiliknya tetapi juga bagi masyarakat umum. Dengki itu disifatkan dalam hadis nabi ibarat setitik api yang dapat membakar kayu api seberapa banyaknya. Ia juga bagaikan pisau cukur yang boleh mencukur bersih amal seseorang.
Sabda Nabi, hanya dua hal orang boleh irihati ; yakni jika ada orang yang dikurnia ilmu yang banyak, ia dapat mengajarkan kepada orang lain dan juga yang bersangkutan mengamalkannya. Kedua, jika ada orang yang dianugerahi banyak harta, tetapi ia membelanjakannya di jalan yang benar hingga habis.
Selain itu jika ada yang timbul sifat irihati dalam melihat kejayaan orang lain didunia sebenarnya adalah suatu kejahatan yang mesti dihindari. Terlebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini agar pahala puasa kita tidak terhapus kerananya.

Perjuangan

“Bila hidup kita untuk orang lain, maka kehidupan ini akan terasa panjang dan memiliki makna yang dalam” (Sayyid Quthb).

Kata orang bijak, hidup ini adalah suatu perjuangan yang panjang. Namun, arah perjuangan hidup manusia yang berbeza-beza, sehingga menghasilkan kenikmatan hidup berbeza pula. Sebahagian orang berjuang hanya untuk kepentingan dirinya sendiri, sedangkan sebahagian yang lain untuk orang lain di samping untuk dirinya sendiri. Menurut Sayyid Quthb, sangat berbeza jauh kenikmatan hidup yang dirasakan oleh orang yang berjuang untuk diri sendiri dan orang yang berjuang untuk orang lain.

Berjuang untuk orang lain jauh lebih nikmat dibandingkan berjuang hanya untuk diri sendiri. Hidup akan terasa lebih bermakna. Sebab, kenikmatan akan menjadi berlipat ganda, iaitu kenikmatan yang dirasakan diri sendiri juga kenikmatan yang dirasakan orang lain. Bahkan, ada kenikmatan lain lagi, yakni kenikmatan yang muncul ketika melihat orang lain merasa nikmat. Hasil perjuangannya juga memberi makna jauh setelah kematian. Di mana saja orang yang berjuang untuk orang lain berada, orang-orang di sekitarnya akan merasa damai dan dipandu dengan berbagai ilmu pengetahuan yang ditinggalkan .

Lain halnya bila berjuang untuk diri sendiri. Hati menjadi sempit. Setiap orang lain dirasakan sebagai lawan dan musuh . Yang difikirkan bagaimana menaklukkan orang lain, baik dengan kelicikan kata-katanya atau kejahatan tangannya. Meskipun mengaku muslim, orang-orang seperti ini bukanlah orang baik. Menurut Rasulullah SAW, seorang yang baik ialah yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan orang yang paling buruk ialah yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya (HR. At Tarmidzi dan Abu Yu‘la).

Ketua Menteri, Exco, MP Parlimen DAP berbuka puasa bersama PAS Pulau Pinang

SEBERANG JAYA, 4 Sept :-Hari ini dalam sejarah politik Kepimpinan DAP dan PAS Pulau Pinang dimana suatu majlis berbuka puasa dapat diadakan di Restoran Kassim Mustaffa.

Kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang disambut oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang bersama ahli jawatan kuasa harian PAS negeri.

Ketua menteri, beliau berharap berhubungan PAS, DAP & PKR dapat dieratkan lagi dan mahu segala selisih faham dihentikan demi perpaduan rakyat dan mahu PAS turut serta dalam menjayakan program kerajaan yang akan diaturkan kelak.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man berharap perhubungan DAP dan PAS khasnya Pulau Pinang perlu bertemu kekerapan dan segala masalah dapat diatasi dengan segera. Secara langsungnya mengeratkan lagi tali siratulrahim antara PAS, DAP & PKR.

Majlis berbuka puasa dihadiri oleh YB.Chow Kon Yeow, YB.Chong Eng bersama suaminya, YB.Lim Hock Seng, YB.Phee Boon Poh, YB.Leew Chin Tong, YB.Ng Wei Aik serta Chong.

Bagi pihak PAS Negeri Pulau Pinang yang hadir berbuka puasa ialah YB.Hamdan Abdul Rahman, YB.Mujahid Yusuf Rawa, Ust Taquiddin Hamzah, YDP kawasan-kawasan, Dewan Ulama, Pemuda serta ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri serta kawasan-kawasan Pas Pulau Pinang.

sumber :http://www.tranungkite.net/v7/

05 September 2008

Pemimpin PR meraikan Hari Kemerdekaan.

IPOH, 31 Ogos :- Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan kali ke 51, pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Perak telah mengadakan Majlis Minum Teh disebuah hotel terkemuka di sini.

Hadir sama dalam Majlis tersebut ialah YAB Menteri Besar Perak, Muhammad Nizar Jamaluddin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat, Pemimpin kanan Parti, PAS, DAP dan PKR negeri Perak.


Majlis dimulai dengan ucapan dari Pengerusi DAP Negeri, Dato' Ngeh Koo Ham. Seterusnya diikuti oleh Pengerusi PKR , Hj. Ismail, YAB Menteri Besar dan diakhiri dengan ucapan dari Lim Kit Siang. Dalam ucapannya beliau mengatakan bahawa sambutan kemerdekaan untuk tahun ini ialah sambutan kemerdekaan untuk Fasa ke 2 untuk rakyat Malaysia.


Acara kemuncak ialah laungan 'merdeka', mengibarkan bendera dan memotong kek Hari Kemerdekaan oleh semua yang hadir.

Pelancaran Ihya Ramadhan di dataran MBI malam ini.

IPOH, 4 Sept :- Buat pertama kalinya dalam sejarah, Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan 'Majlis Perasmian Berbuka Puasa, Solat Tarawih dan Tazkirah' di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada 4 Ramadan bersamaan 4 September bermula jam 6.30 petang hari ini.

'Majlis Perasmian Berbuka Puasa, Solat Terawih dan Tazkirah' di Dataran MBI itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin.

Disamping Menteri Besar dijangka hadir sama ialah Exco Agama dan semua Ahli yang berhormat pakatan Rakyat Perak.

Majlis Perasmian ini akan meliputi sembahyang tarawih dan tazkirah yang akan dipimpin oleh Nizar sendiri.

Di samping itu, penganjur majlis juga turut menyediakan jamuan untuk berbuka puasa.

Dijangkakan lebih 300 orang akan hadir di dataran MBI untuk berbuka puasa, bersolat tarawih dan mendengar tazkirah yang disampaikan sendiri oleh MB Perak.

Pembaharuan ini dilihat satu program untuk 'menghidupkan' malam di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dan ianya dipelopori sendiri oleh Kerajaan Negeri, sekaligus membawa mesej kepada umat Islam di negeri ini agar turut sama untuk melakukan ibadat di malam Ramadhan dengan solat tarawih dan tazkirah.

Malaysia baiki sedikit kedudukan dalam FIFA

KUALA LUMPUR, 3 Sept :-Malaysia membaiki sedikit kedudukan dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila melonjak satu anak tangga untuk menduduki tempat ke-161 dunia.

Berdasarkan laman web Fifa yang mutakhir, Malaysia berkongsi kedudukan dengan St. Lucia, iaitu sebuah negara di kepulauan Caribbean.

Dalam senarai FIFA bulan lepas, Malaysia menduduki tangga ke-162, berbanding ranking ke-166 pada bulan Julai dan ke-170 pada April lepas.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada Ogos 1993 apabila menduduki ranking ke-75.

Sepanyol kekal di ranking teratas dunia untuk tempoh dua bulan berturut-turut selepas menjuarai Piala Eropah Jun lepas.

Dalam senarai ranking Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pula, Malaysia kekal di ranking ke-29 dan di kalangan negara-negara Asia Tenggara, ia berada di belakang Thailand (15), Singapura (20) dan Indonesia (21).

Malaysia yang dibimbing jurulatih B.Sathianathan berpeluang untuk membaiki kedudukan apabila menyertai kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Disember ini.

MB Perak : Kelulusan tanah bukan hanya kepada sekolah Cina

IPOH , 3 Sept. :– Kerajaan negeri sedang memproses kelulusan tanah kira-kira 1,000 hektar kepada sekolah agama persendirian dan beberapa institusi Islam di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengambil sikap pilih kasih dengan hanya menganugerahkan tanah kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina sahaja.
"saya kesian kepada Ketua pemuda UMNO Perak yang tidak mendapat maklumat sebenar mengnai apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perak" katanya.

Menteri Besar Perak didampingi ADUN Titi Serong, Setiausaha Akhbar. Setiausaha Politik dan Pegawai Khas.

Beliau sebaliknya berkata, permohonan tanah dari sekolah-sekolah agama itu adalah lebih awal berbanding permohonan yang dikemukakan oleh sekolah Cina terbabit.

‘‘Sebanyak 18 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) persendirian dan pelbagai institusi Islam di negeri ini telah membuat permohonan tanah yang secara keseluruhannya membabitkan keluasan lebih 1,000 hektar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim, Setiausaha Politik, Ust. Misbahul Munir, Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim dan Pegawai Khas, Amran Harun.

Muhammad Nizar berkata, 18 buah SAR itu terdiri daripada sembilan buah SAR menengah dan sembilan SAR rendah yang telah menubuhkan sebuah koperasi bersama bagi menguruskan tanah berkenaan.

Kata beliau, tanah yang dipohon oleh sekolah terbabit adalah seluas 200 hektar yang akan diusahakan sebagai ladang-ladang supaya mendatangkan hasil.

“Itu baru SAR persendirian, kita turut menerima permohonan tanah daripada pelbagai institusi Islam lain dan jumlahnya jika digabungkan adalah lebih daripada 1,000 hektar,” katanya.

Muhammad Nizar menjelaskan, antara institusi Islam yang memohon tanah kepada kerajaan negeri adalah kira-kira 15 buah sekolah tahfiz al-Quran dan beberapa buah sekolah pondok.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi peruntukan awal sebanyak RM1.3 juta kepada 18 buah SAR terbabit kerana keadaan sekolah itu terlalu daif. Disamping itu belia menjelaskan beberapa bantuan segera telah diberikan kepada beberapa Sekolah Agama dan Maahad Tahfiz.

Menurutnya, peruntukan berkenaan telah dikeluarkan kira-kira tiga bulan lalu tetapi tidak mendapat liputan media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekolah-sekolah persendirian Cina berkenaan akan menubuhkan sebuah syarikat yang tidak mengutamakan keuntungan bagi menampung kos operasi sekolah masing-masing.

Katanya, buat masa ini kerajaan negeri hanya mampu memberi bantuan sebanyak RM30,000 setahun bagi setiap sekolah persendirian itu dan jumlah tersebut amat jauh daripada mencukupi.

‘‘Kos operasi sekolah persendirian Cina itu mungkin mencecah RM10 juta setahun. Kami fikir bagi selesaikan masalah ini dalam jangka panjang, mereka perlu tubuh syarikat yang tidak mengutamakan keuntungan.

‘‘Mereka boleh tanam kelapa sawit yang boleh mendatangkan hasil dengan cepat iaitu dalam tempoh dua setengah tahun sahaja. Kalau nak harap bantuan RM30,000 setahun sahaja mana cukup,” katanya.
Pada sidang akhbar itu beliau juga mendedahkan mengenai Sekolah Pondok Pak Teh di Pebgkalan Hulu yang merupakan seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak yang terpaksa menghentikan operasi sekolah pada bulan Syaaban dan Ramadhan untuk mengutip derma bagi membiayai pengurusan pondok. Dia telah memohon tanah dari Mantan MB yang juga ADUN disitu tetapi tidak dilulusakan.
"Kita sekarang telah mengusahakan kelulusan segera kepada permohonan Pak Teh" Jelasnya.

04 September 2008

Bonus sebulan gaji buat kakitangan kerajaan negeri Kedah

ALOR STAR: Semua kakitangan perkhidmatan awam kerajaan negeri Kedah akan menerima bonus sebulan gaji bulan ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Beliau berkata 9,589 kakitangan, termasuk kakitangan perbadanan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, akan menerima bonus sama seperti yang diumumkan dalam bajet Kerajaan Pusat untuk kakitangan awam persekutuan yang lain.

"Bonus minima RM1,000, dan kerajaan Kedah membayarnya secara sekali gus pada September ini dan saya nasihatkan agar mereka pandai-pandai jimat perbelanjaan untuk akhir tahun," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di sini, hari ini.

Katanya kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM8.1 juta, selain lebih RM11 juta sebulan khusus untuk membayar gaji kakitangan perkhidmatan awam kerajaan negeri.

Azizan berkata kerajaan Kedah juga akan memberi imbuhan khas kepada semua atlit yang berjaya meraih pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu dan pemain bola sepak Kedah yang berjaya menjuarai Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA, baru-baru ini.

Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri akan mengkaji secara menyeluruh mengenai cadangan untuk mengisytiharkan tarikh 16 September sebagai cuti umum, sebagaimana dicadangkan Penasihat Parti Keadilah Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bantuan perkapita SAR dikembalikan oleh Pakatan Rakyat

Kerajaan Pakatan Rakyat akan mengembalikan semula bantuan per kapita berjumlah RM1.3juta kepada 18 buah sekolah Agama Rakyat di Negeri Perak bagi tahun 2008 ini.Bantuan tersebut akan diagih-agihkan dalam bulan Ramadhan , sedikit masa lagi.

Bantuan kepada sekolah agama rakyat telah dinafikan oleh kerajaan BN/Umno yang memeerintah Perak dulu sejak pentadbiran Mahathir lagi;tetapi kini dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, bantuan tersebut telah diberikan semula.

Terdapat 9 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 9 buah lagi Sekolan Agama Rendah yang menjadikan jumlah keseluruhannya 18 buah.

Terbukti bahawa kerajaan Pakatan Rakyat sangat prihatin dan mengambil berat untuk menyelesaikan masalah yang telah dicipta oleh kerajaan BN/Umno dulu.

Tetapi mengapa tiba-tiba baru kini Umno mahu menunjukan rasa prihatinnya terhadap Sekolah Agama Rakyat yang mana sebelum ini merekalah yang menjadi dajal, menindas Sekolah Agama Rakyat dengan menafikan pemberian per kapita tersebut?

Laporan Bernama telah menyebut tentang desakan Pergerakan Pemuda Umno, Zainol Fadzi supaya Menteri Besar Perak Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut memberikan lot tanah kepada Sekolah Agama Rakyat milik persendiran dan Sekolah Agama Pondok dalam usaha memaju dan memartabatkan agama Islam di Perak.

Kerajaan negeri menyedari bahawa pemberian RM30,000 setahun kepada 9 buah sekolah Cina itu( bukan setiap satu sekolah sebagaimana laporan tersebut) adalah tidak memadai.Oleh itu sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan tanah kepada sekolah tersebut bagi membolehkan mereka menubuhkan sebuah syarikat untuk mengusahakan tanah berkenaan.

Mengikut sumber yang boleh dipercayai, tanah tersebut akan diusahan dengan tanaman Kelapa Sawit dimana dalam jangka masa 5 tahun,akan memulakan pengeluaran hasil, maka bantuan RM30,000 setahun itu akan diberhentikan.

Perlu diketahui, bahawa pemberian 400 hektar tanah kepada sembilan buah sekolah menengah persendirian Cina di Perak itu adalah atas tempoh pajakan selama 30 tahun.

Projek seumpana ini telah lama dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan ; dimana kerajaan Kelantan telah memperuntukan 3,000 hektar tanah untuk sekolah-sekolah Cina disana.

Sememangnya,Kerajaan Pakatan Rakyat mahu bersikap adil kepada semua sekolah-sekolah di Negeri Perak ini; bukan macam Umno / BN yang sehingga kini gambar MB Pakatan Rakyat di lima buah negeri tidak dibolehkan digantung dibilik-bilik darjah sekolah-sekolah.

Kerajaan Negeri Perak juga sedang mengenal pasti tanah untuk Sekolah-Sekolah Agama Rakyat bagi tujuan yang sama dan akan di umumkan sedikit masa lagi.

03 September 2008

Beri tanah sekolah Cina luar biasa, beri tanah kepada individu tak apa !

Langkah Kerajaan Negeri Perak menganugerahkan tanah pajakan seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina sekali lagi diberi ulasan yang saya anggap perlu mendapat jawapan yang segera. Kelmarin saya mengulas mengenai apa yang diperkatakan oleh Ketua pemuda UMNO Perak dalam isu yang sama.

Malam tadi saya sempat bersama dengan YAB Menteri Besar Perak di Kediaman MB dalam majlis berbuka dan Solat Tarawih. Saya dengan MB dan Exco Agama kebetulan duduk semeja makan. Kami sempat berbincang mengenai jawapan dalam Blog Cina Islam tentang Isu berkenaan.

MB dan Exco Agama mengatakan mengenai mereka pernah melawat ke Pondok Pak Teh Pengkalan Hulu. Pak Teh menjelaskan ada memohon dari ADUN Pengkalan Hulu dan juga MB pada masa itu untuk mengusahakan sebidang tanah yang terletak dibelakang pondok. Luasnya sekitar 40 ekar.

Kata Pak Teh, pondok memerlukan dana sehingga dalam bulan Syaaban dan Ramadhan semua pelajar cuti untuk mengutip derma bagi mebiayai pondok . Itulah nasib sekolah pondok walaupun MBnya di kawasan DUN pondok itu berada ia tetap dipinggirkan.

Buat masa ini EXCO agama sedang berusaha dengan pihak tertentu supaya kelulusan segera diberikan kepada Pondok Pak Teh.

Setakat ini kerjaan negeri juga telah meluluskan sebanyak RM 1.3 juta membantu Sekolah agama di Perak.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Mohd. Hilmi Ismail berkata, langkah itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan belum pernah dilakukan sebelum ini. Katanya jika pun mahu dilakukan, ia seharusnya turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah-sekolah Tamil yang rata-ratanya masih berkeadaan daif.

Beliau percaya langkah Kerajaan Perak itu mempunyai motif untuk menarik sokongan politik.
Katanya, jika dilaksanakan ia boleh meningkatkan jurang dan tahap pendidikan antara kaum Cina dengan masyarakat Melayu serta India.

Dalam persoalan ini sebenarnya siapakah yang telah menyebabkan timbulkan jurang antara kaum dalam soal pendidikan ,Pakatan Rakyat atau BN ?. Jangan baling batu sembunyi tangan.

Politik siapakah yang paling kotor sehinggakan sanggup mematikan SAR dengan berbagai proses dan tekanan yang tetap akan dikenang sebagai suatu kerja khianat kepada agama sendiri.

Saya yakin isu ini tetap dimainkan oleh UMNO dan BN, dan mesti ada lagi rakyat perak yang kurang cerdik dan percaya dengan isu yang dimainkan oleh mereka. Namun mereka adalah spesisi yang hampir pupus dari kamus politik negara dan negeri Perak yang kita cintai.

02 September 2008

1,800 hilang tempat tinggal akibat gempa di Sichuan, Yunnan

BEIJING: Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda barat daya China, di Sichuan dan Yunnan, Sabtu lalu, kini dilaporkan meningkat kepada 27 orang dengan lebih 180,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Media melaporkan gempa kuat itu juga menyebabkan lebih 800,000 penduduk terbabit. Gempa yang berlaku jam 4.30 petang waktu tempatan itu berpusat di 50 kilometer ke tenggara bandar raya Panzhihua di sudut barat daya Sichuan.

Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa itu berukuran 5.7 skala Richter tetapi agensi berita national China, Xinhua pula melaporkan gempa berkenaan berukuran 6.1 skala Richter. Bagaimanapun, 24 jam selepas itu, gempa susulan berkekuatan 5.6 skala Richter berlaku dan menurut USGS setakat hari semalam tiada lagi maklumat terbaru mengenai kerosakan yang berlaku.


Xinhua melaporkan gempa itu turut menyebabkan lebih 350 cedera dan tiga lagi masih hilang, selain 27 nyawa terkorban.

"Lebih 800,000 penduduk terbabit dalam bencana ini. Daripada jumlah itu, 40,000 orang sudah dibawa ke tempat selamat," katanya. Agensi berita itu berkata, ketika ini dianggarkan lebih 180,000 rumah rosak teruk.

Satu jambatan besar di Bandar Panzhihua, Sichuan, iaitu kawasan pusat gempa juga runtuh. Sementara itu, 656 sekolah rosak dan kini ditutup.

Ketika ini, pasukan penyelamat menghadapi halangan masuk ke kawasan gempa termasuk menyelamatkan mangsa berikutan hujan lebat dan cerun licin. Media tempatan juga menyiarkan gambar rumah yang ranap, selain jalan yang runtuh serta mangsa yang ditempatkan di kawasan perkhemahan yang selamat.

Apa yang pemuda UMNO Perak mahu ?

Akhbar berbahasa Cina semunya memuji dan menyiarkan berita tentang bahawa pengumuman Menteri Besar Perak memberi 400 hektar tanah kepada sembilan sekolah menengah persendirian Cina di Perak.

Menurut laporan itu, pemberian itu bagi membolehkan sekolah tersebut dapat mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiayai kos pentadbiran sekolah.

Mohammad Nizar dipetik sebagai berkata, peruntukan RM30,000 setahun kepada setiap sekolah pada masa ini tidak memadai.

Oleh itu sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi tanah kepada sekolah itu bagi membolehkan mereka menubuhkan sebuah syarikat untuk mengusahakan tanah tersebut.

Mengulas Isu berkenaan Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharuddin berkata :

1.Perlu diperluaskan kepada sekolah agama Islam dan pondok demi memaju dan memartabatkan agama Islam di negeri ini.

2.Langkah kerajaan negeri itu tidak salah tetapi pada masa yang sama perlu berlaku adil kepada sekolah agama dan pondok.

3.Tidak harus mengetepikan kepentingan Melayu dan Islam dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri.

4.Kami mendesak Menteri Besar turut memberikan lot tanah kepada sekolah agama Islam dan pondok demi memaju dan memartabatkan agama Islam di negeri ini dan tidak hanya kepada sekolah Cina

5.Pemuda UMNO menghormati keputusan kerajaan negeri memberikan tanah kepada sekolah Cina di Perak.

Seronok juga membaca 5 cadangan dan komen dari pemuda umno di atas, semacam cadangan dari orang PAS Pula.

Persoalannya kenapakah baru sekarang mereka sedar untuk membantu sekolah Cina sebagaimana yang kita lakukan dan terima kasih tolong peringatkan untuk membantu sama sekolah agama . Tidakkah mereka pernah memegang tampuk pemerintahan perak sudah 50 tahun lebih ?

Jangan ragui tentang perjuangan kami yang sekian lama mempertahankan SAR yang telah di "bunuh" oleh pemimpin UMNO.

Bayangkan semasa beberapa hari sebelum pilihanraya 8 Mac 2008, Tajol Rosli dan PM menganugerah puluhan ekar tanah setiap seorang untuk puluhan individu. Dasar ini hanya menguntungkan satu pihak sahaja. Sedangkan apa yang kami lakukan untuk kelompok ribuaan rakyat.

Sebuah syarikat dianugerahkan untuk projek gula di Beruas dengan keluasan 5000 ekar, tanah itu entah kemana dan projek juga tidak menjadi. Zalim namanya.

Paling manis kesedaran ini muncul setelah 31 ogos berlalu dan terbukti angan-angan mantan MB yang lepas telah berlalu sebagai mainan dan senda gurau dari lawan dan kawan.

Saya beranggapan mereka sudah tidak percaya kepada pimpinan mereka sendiri dan melihat apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri perak pakatan Rakyat lebih perihatin kepada rakyat.

Cadangan yang diberikan bagi saya baik walaupun Utusan Malaysia dengan tidak betul meletakan tajuk beritanya dengan "Perak dipersoal beri sekolah Cina 400 hektar tanah". utusan ...utusan....

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini dan 31 Ogos yang telah berlalu, saya mengajak Pemuda UMNO berganding bahu dengan kerajaan Perak yang ada sekarang demi untuk memajukan Perak yang kita sayangi. Yakinlah perjuangan UMNO sudah tidak relevan dan sudah ketinggalan zaman.

Media Massa Hendaklah Lebih Professional

IPOH: Media Massa hendaklah bersikap lebih profesional dan memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu meningkatkan kesedaran semangat cintakan tanah air, kata Dato Seri ir Haji Mohamad Nizar Jamaludin.

Menteri Besar berkata rakyat sudah bijak membuat pertimbangan yang lebih rasional dalam mengadili pelaporan bahan siaraya oleh media arus perdana, khususnya.


Dalam perutusan sempena hari kemerdekaan negara ke-51 peringkat negeri Perak di sini, Nizar berkata media perlu memerdekakan diri daripada kongkongan tertentu dengan mengubah pengisian ke arah siaraya yang lebih bermoral, bermakna, rasional dan berilmu.


“Hanya melalui langkah seumpama ini akan membantu pembentukan lanskap rakyat dan negara yang lebih makmur dan membangun, serta membina taraf hidup lebih tinggi dan mulia, selaras dengan usaha membentuk sebuah masyarakat madani yang nilai budaya yang lebih bermoral, bermaruah dan bertamadun mulia.”


Beliau berkata rakyat pula hendaklah berilmu dan berinisiatif tinggi untuk maju dan meningkatkan keupayaan serta kemahiran dalam era teknologi bermaklumat dan globalisasi ini, agar mempunyai competetive edge.


Sambil menyifatkan kecintaan terhadap pertiwi adalah obor penyemarak bagi setiap warganegara bagi meningkatkan tanggungjawab mengekalkan kemerdekaan dan memacukan negara ke arah lebih cemerlang, beliau berkata kemerdekaan adalah kurniaan Allah yang menyeru umat Islam berusaha membebaskan diri daripada dibelenggu kejahilan.


Nizar berkata Islam itu syumul yang meletakkan kesejahteran, keharmonian, kedamaian dan keamanan pada martabat tertinggi dan merdeka itu sendiri bermaksud berjihad membebaskan diri daripada terjerumus ke dalam keruntuhan akhlak dan tingkah laku yang boleh membangkitkan kemurkaan Allah.


Sempena sambutan kemerdekaan, Nizar menghadiri majlis detik 31 Ogos di Dataran DBI di sini malam ini bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Dr Abdul Rahman Hashim dan ahli-ahli dewan undangan negeri Perak.

Pada Ahad pula, beliau akan menghadiri perbarisan sempena Hari Kemerdekaan Negara, manakala petangnya akan berucap pada majlis Jamuan Teh sempenan Hari Kemerdekaan ke-51 yang akan dihadiri terutamanya Paduka Seri Sultan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.


http://perakdaily.com/

01 September 2008

Umat Islam mula berpuasa esok

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong dan selepas diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, tarikh permulaan puasa bagi negeri seluruh Malaysia ditetapkan Isnin, 1 September.