16 Februari 2011

Robert Kuok Dahului Senarai 40 Individu Terkaya Malaysia

13 Rabiul Awal 1432H.

KUALA LUMPUR: Robert Kuok, "Raja Gula" yang memiliki rangkaian hotel lima bintang di rantau ini, mengekalkan kedudukannya sebagai individu terkaya di Malaysia dengan aset bernilai RM50.04 bilion, disusuli taikun telekomunikasi T. Ananda Krishnan, yang bernilai RM45.78 bilion.

Di tempat ketiga ialah Pengerusi Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow, yang meningkat satu tangga dengan jumlah kekayaan sebanyak RM12.77 bilion, demikian menurut majalah Malaysian Business berdasarkan kepada kajian 40 individu terkaya dalam negara.

Sebagaimana tahun sebelumnya, kekayaan 40 individu terkaya negara dinilai berasaskan kepada pegangan mereka dalam syarikat tersenarai.

Kajian itu juga mendedahkan 40 individu terkaya Malaysia secara kolektifnya bernilai RM206.27 bilion sehingga pada 21 Jan, naik 30 peratus berbanding dengan RM156.7 bilion tahun lepas, dirangsang oleh pasaran saham yang memberangsangkan dan pengembangan ekonomi.

"Kenaikan keseluruhan seiring dengan peningkatan 20 peratus dalam penanda aras FBM KLCI," katanya.

Menurut majalah tersebut, kekayaan Ananda Krishnan melonjak hampir 70 peratus berikutan peningkatan penilaian Maxis dan langkah beliau mejadikan persendirian tiga syarikat tersenarainya.

Di tempat keempat ialah Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation Bhd, yang bernilai RM12.74 bilion, disusuli dengan Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Group, kekal pada kedudukan kelima dan bernilai RM10.89 bilion.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group pada kedudukan keenam dengan jumlah kekayaan sebanyak RM10.75 bilion, manakala di tempat ketujuh ialah usahawan Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary, yang bernilai RM8.84 bilion.

Balu Tan Sri Lim Goh Tong iaitu Puan Sri Lee Kim Hua, kembali ke tempat kelapan dengan jumlah kekayaan dianggarkan pada RM7.43 bilion manakala Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group tidak berganjak pada kedudukan kesembilan dengan RM4.77 bilion.

Taikun yang tinggal di Singapura, Ong Bee Seng berada di kedudukan ke-10, dengan aset bernilai RM3.98 bilion, diikuti dengan Pengerusi AmBank Group Tan Sri Azman Hashim dengan RM3.93 bilion.

Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group di tempat ke-12 dengan aset bernilai RM2.43 bilion.

Individu lain yang dalam senarai 20 individu terkaya dalam negara ialah Datuk Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng dari IOI Group, Datuk Seri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian dari Batu Kawan, Tan Sri Yeoh Tiong Lay dari YTL Group, Tan Sri Lau Cho Kun dari Hap Seng Consolidated, Datuk Mokhzani Mahathir dari Kencana Petroleum dan Tan Sri Jeffrey Cheah dari Sunway Group.

Terdapat tiga muka baharu dalam senarai, dengan dua nama pertama kali dalam senarai iaitu Tan Sri Leong Hoy Kum dari Mah Sing Group Bhd, Datuk Seri Stanley Thai dari Supermax Corporation Bhd dan Datuk Tan Heng Chew dari Tan Chong Holdings Bhd.

Senarai penuh 40 taikun dan butir mengenai kekayaan mereka disiarkan dalam majalah terbitan 16 Februari yang turut menyenaraikan 10 individu terkaya dalam pasaran ACE. - BERNAMA

Lebih 7.5 juta telefon mudah alih dijual di Malaysia tahun lalu

13 Rabiul Awal 1432H.

KUALA LUMPUR: Lebih 7.5 juta telefon mudah alih bernilai lebih RM4.5 bilion dijual di Malaysia tahun lalu.

Menurut kenyataan syarikat penyelidikan pemasaran, GfK Malaysia, ia adalah peningkatan 24 peratus unit telefon dan peningkatan 30 peratus nilai keseluruhan industri berbanding 2009. Pengurus Besar GfK Malaysia, Jennifer Chan, berkata telefon pintar adalah penyumbang utama kepada peningkatan prestasi industri itu.

Katanya, sejak awal tahun lalu, nilai jualan telefon pintar meningkat setiap bulan dan menguasai 72 peratus daripada keseluruhan jualan telefon menjelang Disember.

"Pergerakan yang lebih meluas dan keperluan untuk berhubung bagi melaksanakan kerja dan tujuan lain adalah sebab peningkatan pemilikan telefon pintar. Kami menjangka jualan telefon pintar terus meningkat tahun ini dan seterusnya," katanya.

Khusrin angkat sumpah.

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia di depan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kanan) pada satu majlis ringkas di sini, hari ini. Pada 6 Januari lalu, Mohamad Khusrin mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan. - Foto BERNAMA

13 Rabiul Awal 1432H.

SHAH ALAM: Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi akhirnya mengangkat sumpah simpan rahsia hari ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa Mohamad Khusrin berbuat demikian di hadapan beliau pada kira-kira jam 1.30 tengah hari ini. Pelantikan Mohamad Khusrin pada mulanya menjadi kontroversi apabila Abdul Khalid mendakwa ia tidak sah kerana tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu, namun beliau akhirnya menerima pelantikan berkenaan yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Mohamad Khusrin mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan pada 6 Januari lalu.

Bagaimanapun, majlis angkat sumpah simpan rahsia ditangguhkan sehingga hari ini.

Menteri Besar sebelum ini mempertikaikan pelantikan Mohamad Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Januari lalu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, menyatakan beliau tidak dirundingi sebelum pelantikan itu.

Berikutan itu, kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tetapi gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Kerajaan negeri menyatakan cadangan pindaan itu bagi mengembalikan semula kuasa kepada sultan dan menteri besar dalam pelantikan tiga jawatan awam di negeri itu iaitu setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri dan penasihat undang-undang negeri. - BERNAMA

Polis teliti kes wanita mati dicabut kuku

13 Rabiul Awal 1432 H.

ALOR SETAR: Polis masih menunggu laporan jabatan kimia berhubung kes seorang wanita yang baru lima bulan mendirikan rumah tangga, mati dengan kesan lebam seluruh badan selain beberapa batang gigi dan kuku jarinya dicabut di Padang Serai, Kedah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata polis akan meneliti semula kes itu berdasarkan laporan kimia dan akan membuka siasatan jika ada bukti berlaku penderaan hingga menyebabkan kematiannya seperti didakwa keluarga mangsa.
Katanya, keputusan bedah siasat tidak dapat menentukan punca kematian S Takiam, 23.
“Walaupun kes itu kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kita tidak menolak kemungkinan menukar seksyen siasatan jika ada bukti baru,” katanya di sini, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, seorang bapa hanya mampu meratap sedih melihat anak perempuannya yang tidak bernyawa dengan kesan lebam, selain beberapa gigi dan kuku kakinya tercabut.

Berita Harian/-

PRK DUN MERLIMAU - PROVOKASI BERMULA, PR HARUS BERSEDIA HADAPI PUAK PENGECUT INI

13 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

MALAM tadi di kawasan PRK Dun Merlimau, DS Anwar bersama `ayam sabung' PAS Mohamad Sabu telah mengempur sarang Umno di dalam satu ceramah di Permatang Serai. Seperti yang dijangka, Melaka yang terkenal dengan agenda `provokasi' terhadap program PR menyaksikan ceramah dua tokoh hebat ini diganggu.

Diberitakan seorang penyokong PAS yang masih tidak diketahui namanya ditahan Polis semasa ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung. Pengarah Unit Amal Pusat, Juhari Othman berkata pemuda tersebut ditahan kerana dituduh memukul penunggang motorsikal yang menganggu ceramah Anwar dengan membunyikan motorsikal mereka dengan kuat.. Beberapa pemuda yang dipercayai diupah oleh parti tertentu merempit tanpa menghiraukan teguran pihak penganjur. Tindakan provokasi mat-mat rempit tersebut menyebabkan berlaku pergelutan sehingga insiden tersebut tercetus (Sumber: Laman Web Resmi PRK Dun Merlimau).

Adakah ini yang diimpikan oleh KM Melaka sejak sekian lama? Sebelum ini bukan sekali dua ceramah oleh PR diganggu sedemikian rupa. Provokasi seperti mengadakan ceramah serentak bersebelahan di antara ceramah PR dengan Umno sudah seperti menjadi tradisi di Melaka. Sebab itulah Ali Rustam awal-awal lagi memberitahu bersedia untuk `berdebat' dengan pemimpin PR. Debat cara Ali Rustam adalah debat yang tidak pernah dilakukan orang hatta budak sekolah rendah sekali pun iaitu dengan cara `berdebat' berlainan pentas. Hanya orang yang tidak berpelajaran atau gila sahaja yang mungkin mengatakan cara Ali Rustam ini adalah cara yang paling berani dan bertamaddun.

Akhirnya nanti, pihak berkuasa akan menjadikan sebab mengapa permit tidak boleh diberikan kerana kununnya berlaku kekecohan. Ada yang berkata memang serasi Ali Rustam dengan Ketua Polis Melaka. Siapa Ketua Polis Melaka? Saya pun tidak tahu, tetapi ada yang mengatakan Ketua Polis Melaka sekarang adalah salah seorang Pegawai Polis yang bernama Mohd Rodwan Mohd Yusof yang pernah terlibat di dalam kes Liwat 1 DS Anwar dan pegawai ini juga dikatakan ditemui oleh Saiful di dalam kes fitnah 2 sekarang.

Pedulikan siapa dia Ketua Polis Melaka, cuma kita berharap agar beliau dapat laksanakan tugas secara profesional.

Bomoh Jampi berkhidmat di DUN Perak

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Merujuk kepada tajuk berita akhbar Sinar Harian hari ini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih diatas laporan muka hadapan yang telah diberikan kepada Sidang Media yang telah dibuat kelmarin berhubung isu ‘tolak sesi soal jawab jawatankuasa hak dan Kebebasan Dewan’.

Namun saya memberi beberapa kenyataan seperti dibawah :

1. Saya membantah penggunaan perkataan ‘Adun Degil’ sebagai tajuk utama akhbar Sinar Harian. Ini kerana penggunaan perkataan ‘degil’ itu sangat merubah sepenuhnya kandungan asal alasan saya bersetuju untuk tidak hadir ke sesi soal jawab JK Hak dan Kebebasan Dewan.

2. Saya memohon supaya pihak akhbar Sinar Harian agar menarik semula penggunaan perkataan “Adun Degil’ itu kerana perkataan ‘degil’ yang digunakan itu secara tidak langsung menjatuhkan reputasi dan imej saya sebagai Adun kawasan Titi Serong yang menggambarkan keputusan yang saya buat bukan dengan alasan yang kukuh dan munasabah..

3. Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa keputusan untuk saya tidak hadir ke sesi soal jawab JK Hak dan Kebebasan Dewan adalah keputusan yang dibuat bagi menjaga kesucian DUN Perak daripada melanggar undang-undang serta peraturan sedia ada.

4. Saya juga menegaskan di sini bahawa sekirannya usul yang dibawa oleh Adun-Adun Barisan Nasional berhubung ‘bomoh masuk dewan’ itu menepati peraturan dan undang-undang Dewan, dan dilakukan keputusan oleh Speaker DUN Perak dengan menepati undang-undang maka tidak ada alasan untuk saya tidak hadir ke sesi soal jawab JK Hak dan Kebebasan Dewan itu .

5. Secara insaf dan sedar ingin saya mengulanginya disini bahawa ‘bomoh masuk dewan’ dalam Sidang DUN Perak itu sememangnya berlaku dan saya bertanggunjawab sepenuhnya dengan kenyataan saya sebelum ini.

Drs. Khalil Idham Lim Abdullah
ADUN Titi Serong
_________________________________________________________

13 Rabiulawal 1432H [MOD] -
KUALA LUMPUR, 16 Feb: “Saya tetap bertegas dengan mengatakan bahawa Dun Perak telah dimasuki bomoh sebelum 7 Mei 2009 dan Dewan Negeri Perak telah dijampi oleh bomoh tersebut,” tegas Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim.

Beliau telah menerima surat rasmi daripada Setiausaha Dun Perak bertarikh 7 Februari lalu dan diminta hadir untuk memberi keterangan dalam sesi soal jawab kepada Jawatakuasa Hak dan Kebebasan Dewan pada 25 Februari, jam 10.30 pagi di bilik mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Perak aras 2, Bangunan SUK Ipoh.

“Saya dikhendaki memberi keterangan dalam sesi soal siasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan berhubung dengan isu bomoh yang saya bangkitkan pada persidangan ketiga mesyuarat ketiga pada penggal ketiga Dewan Negeri Perak yang kedua belas pada 2 Disember 2010,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri dipanggil kerana dikaitkan dengan usul mengikut standing order di bawah fasal 36(3)(b) ke atasnya kerana sewaktu berbahas di Dun Perak telah membuat pendedahan bahawa terdapat pihak yang telah membawa masuk bomoh ke dalam Dun Perak sebelum sidang 7 Mei 2009 yang menyaksikan kerusi Speaker Sivakumar dirampas.

Dalam sidang tersebut, beliau menyebut terdapat seorang Adun yang telah membawa bomoh untuk masuk ke dalam dewan.

“Apabila saya enggan mendedahkan nama Adun berkenaan lalu saya diusulkan untuk disiasat oleh jawatankuasa berkenaan,” jelasnya.

Beliau akan mengadakan sidang media khusus berkenaan surat panggilan tersebut dan akan memberi reaksi mengenai surat itu.

PRK UM makin panas

13 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Nazri Abdullah.

KUALA LUMPUR 16 Feb: Suasana Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya (UM) semakin panas ekoran beberapa insiden berlaku awal pagi ini.

Insiden pertama membabitkan sebuah rumah yang menjadi pusat operasi kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) diserang oleh mereka yang tidak dikenali dengan melemparkan objek berapi yang menyebabkan beberapa kain rentang di perkarangan rumah tersebut terbakar.

Kain rentang tersebut dipercayai akan digunakan semasa kempen PRK itu nanti yang dijadualkan penamaannya esok manakala pengundian 21 Februari ini.

Kejadian tersebut didakwa berlaku sekitar jam 5 pagi tadi ketika petugas Pro-M sedang berehat selepas penat menyiapkan kain rentang dan persiapan lain.

Seorang saksi, yang hanya mahu dikenali sebagai Bukhairy mendakwa beliau tersedar apabila terhidu objek terbakar sebelum terdengar sebuah sebuah motosikal memecut laju dari kawasan tersebut.

”Saya tidur dalam pukul 3.30 pagi. Kami seramai 5 orang sedang tidur diluar rumah untuk menjaga banner yang telah kami cat tengah malam tadi. Namun saya segera tersedar apabila saya terbau barang terbakar dan melihat kelibat orang menaiki motor meninggalkan kawasan dihadapan rumah. Namun tidak dapat dipastikan siapakah orang itu, disebabkan cahaya lampu jalan yang agak suram,” kata beliau.

Objek yang dibaling itu juga didakwa hampir terkena seorang pelajar yang sedang tidur di kawasan rehat rumah tersebut.

Dalam insiden kedua pula, sebuah kereta milik pelajar Pro-M disimbah cat oren awal pagi tadi juga dipercayai ada kaitan dengan insiden sebelumnya.

Perbuatan khianat itu disedari apabila penghuni rumah terbabit keluar untuk ke kelas pada hari ini.

Ketua Jentera Pro-M UM, Fuad Jalpah ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan kejadian tersebut.

Mereka membuat laporan polis terhadap kedua-dua perbuatan khianat tersebut dan akan menunggu tindakan daripada pihak polis.

"Kita menjangkakan ini taktik pihak tertentu untuk menakut-nakutkan jentera kita.

"Saya ingin beritahu kepada pihak terbabit, perbuatan mereka tidak akan mampu melemahkan semnagat kita, apatah lagi untuk kita rasa takut," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang bakal calon PRO-M yang akan mewakili Pusat Sukan didakwa telah menarik diri selepas menerima ugutan dari pihak tertentu.

Calaon berbangsa Cina itu didakwa telah diugut sekumpulan mahasiswa yang mahu beliau menarik diri dari bertanding atas tiket Pro-M.

PRK UM akan menyaksikan pertembungan tradisi antara kumpulan Pro-M yang didokong Mahasiswa dengan kumpulan satu lagi yang menamakan mereka sebagai Penggerak Malahsiswa yang didokong Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Kedua dua mereka akan bertanding bagi merebut 41 kerusi yang ditawarkan iaitu 9 kerusi Umum dan 31 kerusi fakulti.

Harakahdaily/-

Sentral: Terperangkap

13 Rabiul Awal 1432 H.

JALAN berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point dinaiki air.
Jalan berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point kerap banjir

KUALA LUMPUR: Tidak sampai lima minit hujan turun, sudah cukup untuk menenggelamkan jalan berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point dari arah pusat bandar raya sejak dua hari lalu.

Keadaan itu dipercayai mula berlaku sejak Sabtu lalu, menyebabkan kesesakan selama tiga jam bermula jam 5 petang sebaik saja jalan menuju ke jejantas berkenaan tiba-tiba dinaiki air.

Tinjauan Sentral sekitar jam 6 petang mendapati kawasan di situ sesak dengan kenderaan yang tidak dapat melintasi jalan susur ke arah Hulu Klang kerana paras air mula tinggi, manakala pemandu yang melalui jejantas berebut lorong kanan yang paras air lebih rendah.

Sehingga jam 7 petang, empat kereta mengalami kerosakan enjin selepas cuba mengharungi air bagi menyusur ke arah Hulu Klang, manakala dua kereta turut mengalami nasib sama selepas cuba mengharung air bagi menaiki jejantas.

Pemandu kereta terbabit, Aina Rosli, 25, berkata dia tiba di kawasan berkenaan pada jam 5.50 petang ketika hujan baru turun lima minit dan tanpa disedari, air mula bertakung di kawasan berhampiran jejantas.

“Saya dari arah Melawati menuju ke Ampang ketika hujan turun dan apabila tiba di sini, air memenuhi sebahagian jalan menuju jejantas. Enjin kereta mati secara tiba-tiba menyebabkan kami sekeluarga turun untuk menolaknya ke atas jejantas.
“Saya tidak sangka air agak dalam sehingga boleh merosakkan enjin kereta. Banjir berlaku terlalu cepat menyebabkan ramai tidak menyangka paras air agak tinggi dan ini kali pertama saya melihat banjir di situ,” katanya.

Pengguna yang terperangkap dalam kesesakan mendakwa banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada longkang tersumbat kerana sebelum ini, jalan berkenaan tidak pernah dinaiki air.

Seorang penunda kereta berkata, kejadian seumpama itu hanya bermula Sabtu lalu selepas hujan turun beberapa minit saja, menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan empat kereta.

“Kejadian banjir kilat ini sama seperti Sabtu lalu. Lebih teruk, empat kereta berlanggar antara satu sama lain dan menyebabkan ia mengalami kerosakan enjin selepas dimasuki air.

“Kejadian semalam (kelmarin) menyebabkan kereta terperangkap dalam banjir kilat, malah air juga lambat surut kerana longkang di sini dipercayai tersumbat teruk,” katanya.

Berita Harian/-

Penunjuk perasaan tuntut gaji lebih baik

13 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH - Protes terbaru berlaku di Mesir, di mana penunjuk perasaan menuntut gaji dan keadaan yang lebih baik daripada pemimpin tentera negara itu, kelmarin.

Kakitangan awam termasuk bank, pengangkutan dan pelancongan mengadakan demonstrasi aman di Kaherah selepas protes 18 hari berjaya menggulingkan Presiden Hosni Mubarak.

Sebelum ini, ratusan ribu penunjuk perasaan kembali kepada kehidupan asal seperti biasa tetapi kini kembali semula memprotes, bergabung dengan anggota polis yang tidak berpuas hati.

Ratusan anggota polis berarak ke Dataran Tahrir sambil melaungkan "Kami dan mereka adalah satu" dan bersumpah untuk "menghormati mereka yang terkorban demi revolusi negara ini".

Mereka mengatakan merekasebelum ini telah dipaksa untuk bertindak menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan pada awal demonstrasi antikerajaan itu bermula.

Bagaimanapun, mereka dibenci oleh rakyat Mesir, dan untuk memperbaiki semula hubungan dengan mereka, ia akan memakan masa dan perlu bekerja keras.

Sinar Harian/-

Doktor: Tiada bukti kemasukan pada dubur Saiful

13 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR 16 Feb: Ketua unit kemalangan dan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Khairul Nizam Hassan hari ini mengaku tidak menemui bukti wujudnya kemasukan pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalanp eguambela Karpal Singh dalam perbicaraan kes fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah hari ini, lapor TV Selangor.

Dr Khairul Nizam merupakan individu yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan ke atas Mohd Saiful yang juga pengadu kes tersebut.

Beliau mengaku tidak mengisi borang pro-forma mengenai bukti fizikal seperti kekoyakan otot serta lebam di bahagian dubur seperti yang biasa dilakukan ketika ujian liwat.

Beliau juga turut mempertahankan bahawa Saiful tidak menyatakan sama ada percubaan meliwat atau percubaan mengadakan seks oral tetapi borang pro-forma menyatakan sebaliknya.

Menurut Khairul konklusi laporan pro-forma hanya dibuat berdasarkan laporan jabatan forensik dan soalan dalam dokumen itui diisi oleh seorang lagi doktor HKL, Dr Siew Shueu Feng.

Dalam keterangannya pada Isnin lalu, Dr Khairul Nizam memberitahu mahkamah bahawa beliau telah mengambil sampel daripada mulut Saiful kerana pemuda itu mendakwa telah dipaksa melakukan seks oral.

Harakahdaily/-

Pelancaran Kempen Bantah Saman Ekor malam ini

13 Rabiul Awal 1432 H.

GOMBAK, 16 Feb: Pelancaran Kempen Bantah Saman Ekor (Kase) Pakatan Rakyat akan diadakan di Dewan MuhibbahTaman Bolton, Batu Caves, malam ini.

Majlis pelancaran yang bermula jam 9.00 malam itu akan disempurnakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Kase, Datuk Mahfuz Omar.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali turut hadir.

Harakahdaily/-

Ikhwan cadang tubuh parti

13 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH, 16 Feb: Ikhwan Muslimin Mesir berkata, mereka akan menubuhkan parti politik di negara itu jika diberi kebebasan berpolitik.

Ahli Biro Politik pertubuhan itu, Mohammed Mursi, berkata Ikhwanul Muslimin yakin dalam suasana negara itu kini, mereka akan dibenarkan menubuhkan parti politik, lapor AFP.

“Halangan ke atas Ikhwanul Muslimin mencapai matlamatnya sebelum ini adalah undang-undang negara yang mewajibkan penubuhan parti politik mendapat persetujuan Parti Demokratik Nasional (pimpinan Hosni),” katanya kepada media, semalam.

Mereka turut mendakwa waktu ini adalah peluang terbaik selepas Hosni Mubarak yang mengharamkan kumpulan itu disingkirkan.

Menjadi kumpulan pembangkang paling berpengaruh dan tersusun di Mesir, Ikhwanul Muslimin meyertai pilihan raya atas kapasiti calon bebas.

Pada 2005, mereka menggunakan slogan 'Islam Adalah Penyelesaian' dan berjaya memenangi 20 peratus kerusi di Parlimen.

Bagaimanapun, Ikhwan Muslimin memboikot pilihan raya umum terbaru tahun lalu kerana rejim Hosni terbabit dalam penyelewengan bagi memastikan mereka kekal berkuasa.

Walaupun menyertai protes besar-besaran baru-baru ini, Ikhwan Muslimin menyatakan, mereka tidak akan menyertai pilihan raya presiden bagi menggantikan Hosni.

Difahamkan hanya Ikhwan Muslimin sahaja yang bersedia menghadapi pilihan raya dalam masa terdekat.
Pada masa sama, mereka dicurigai Barat dan kumpulan sekular kerana dibimbangi melaksanakan undang-undang Islam jika berkuasa nanti.

Bagaimanapun, Ikhwan Muslimin menafikan dakwaan itu dan bertegas menyokong tuntutan demokrasi menyeluruh di Mesir.

Ulama muktabar dunia Islam Sheikh Yusuf Al-Qaradawi sebelum ini turut berpendapat bahawa menuntut kebebasan adalah lebih utama berbanding melaksanakan undang-undang Islam di negara Tmur Tengah itu.

Harakahdaily/-

PAS PERAK, LANCAR KEMPEN INFAQ PENGHAPUS DOSA

13 Rabiul Awal 1432 H.

IPOH- Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, melancarkan kempen “ INFAQ PENGHAPUS DOSA” diperingkat negeri Perak baru-baru ini.

Program ini telah menghimpunkan seluruh Yang Di Pertua dan Setiausaha PAS Kawasan-kawasan di Perak bagi menerima amanat untuk membuat kutipan Infaq bagi mengukuhkan tabung gerak kerja Tarbiyah, Dakwah dan Politik PAS Perak.

Kempen ini bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM100 Ribu dalam tempoh satu bulan dengan kaedah edaran kupon derma, disamping menggalakkan seluruh ahli PAS Negeri Perak untuk bersedaqah dan menginfaqkan harta.

Selain itu, kempen ini juga dapat mewujudkan budaya mengutamakan bersedaqah yang mana ia mampu melepaskan seorang mu’min dari sifat kedekut dan melatih tumbuhnya sifat berkorban, suka berinfaq dan sikap suka mementingkan orang lain lebih dari diri sendiri.

Pesuruhjaya PAS Perak itu turut mengingatkan agar semua ahli PAS Perak sentiasa mengingtati ayat Al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayar 261 yang bermaksud

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya

Justeru PAS Perak mengharapkan agar usaha murni ini dapat menambahkan kekuatan material PAS Perak bagi membina kekuatan dakwah di Perak bagi merealisasikan konsep Negeri yang baik serta mendapat keampunan dari Allah.

PAS Miri Santuni Penduduk Rumah Panjang

13 Rabiul Awal 1432 H.
www.pas-miri.blogspot.com

PAS Miri telah mengadakan lawatan kebajikan kerumah panjang di pinggir
bandaraya Miri pada minggu lalu yang turut disertai YB Taib
Azamudin,Ahli Parlimen PAS Baling dan Ketua AMK Sarawak,Ahmad Nazib .

PAS Miri diketuai sendiri YDP PAS Kawasan Miri ,Tuan Haji Jofri
Jaraiee telah disambut mesra oleh Tuai Rumah dan penduduk setempat.
Sebanyak 2 buah rumah panjang dilawati terdiri 120 buah pintu .

Walaupun terpaksa meredah hujan dan jalan yang sukar dek kerana
pembangunan infrastuktur yang amat teruk,PAS Miri tetap bersungguh
untuk menyampaikan mesej PAS dan Pakatan Rakyat untuk membuat
perubahan di Sarawak.

YB Taib dengan tegas menerangkan kejayaan PAS dan Pakatan di Kedah dalam melaksanakan program Tanah Untuk Rakyat sedangkan di Sarawak,BN telah merampas hak rakyat.

Kebanyakan penduduk cukup terharu dengan kunjungan mesra PAS Miri dan rakan Pakatan dan memberi jaminan akan membuat perubahan penting demi menjamin
kesejahteraan hidup masa hadapan mereka. Untuk rekod salah sebuah
rumah panjang terdiri dari mangsa kebakaran Rumah Panjang asal mereka
pada 2009 ,namun masih belum mendapat perhatian sewajarnya dari pihak
kerajaan BN.

Harapkan pagar, pagar membawa rebah

13 Rabiulawal 1432H [MOD]
Tiga anggota JPJ dicekup SPRM

SEREMBAN – Tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditugaskan membuat penyamaran dalam sebuah bas ekspres, di sini dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin.

Ketiga-tiga mereka ditahan selepas meminta wang sogokan RM500 daripada pemandu bas ekspres terbabit supaya tidak mengenakan saman akibat kesalahan jalan raya.

Mereka terbabit adalah seorang pegawai dan dua anggota penguat kuasa bertugas di Ibu Pejabat JPJ Selangor, Padang Jawa, Shah Alam. Turut ditahan, seorang lelaki menjadi 'orang tengah' antara pemandu bas dan kakitangan JPJ terbabit.

Jurucakap SPRM Negeri berkata, pihaknya melakukan operasi selepas pemandu bas ekspres berusia 40-an itu membuat aduan kepada SPRM bahawa anggota terbabit meminta wang sogokan untuk dia dilepaskan daripada melakukan kesalahan.

Ketika ditahan, menurutnya, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan sekitar Selangor ke Seremban dan pemandu dikatakan tidak menyedari kehadiran anggota JPJ menyamar berpakaian biasa di dalam bas berkenaan.

"Pegawai JPJ itu mengeluarkan saman kepada pemandu selepas dikesan melakukan kesalahan semasa memandu.

"Semua mereka ditahan selepas pemandu berkenaan mengadu diminta menyerahkan RM500 sebagai dorongan supaya tidak dikenakan tindakan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, keempat-empat mereka berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan secara berasingan antara jam 1.30 dan 5.30 petang, kelmarin dalam operasi di sekitar Shah Alam.

“Ketika soal-siasat, 'orang tengah' terbabit turut mengaku dia diarahkan anggota JPJ terbabit mengambil wang daripada pemandu berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Difahamkan, semua mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.(SH)