16 Februari 2011

Khusrin angkat sumpah.

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia di depan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kanan) pada satu majlis ringkas di sini, hari ini. Pada 6 Januari lalu, Mohamad Khusrin mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan. - Foto BERNAMA

13 Rabiul Awal 1432H.

SHAH ALAM: Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi akhirnya mengangkat sumpah simpan rahsia hari ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa Mohamad Khusrin berbuat demikian di hadapan beliau pada kira-kira jam 1.30 tengah hari ini. Pelantikan Mohamad Khusrin pada mulanya menjadi kontroversi apabila Abdul Khalid mendakwa ia tidak sah kerana tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu, namun beliau akhirnya menerima pelantikan berkenaan yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Mohamad Khusrin mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan pada 6 Januari lalu.

Bagaimanapun, majlis angkat sumpah simpan rahsia ditangguhkan sehingga hari ini.

Menteri Besar sebelum ini mempertikaikan pelantikan Mohamad Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Januari lalu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, menyatakan beliau tidak dirundingi sebelum pelantikan itu.

Berikutan itu, kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tetapi gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Kerajaan negeri menyatakan cadangan pindaan itu bagi mengembalikan semula kuasa kepada sultan dan menteri besar dalam pelantikan tiga jawatan awam di negeri itu iaitu setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri dan penasihat undang-undang negeri. - BERNAMA

Tiada ulasan: