10 Jun 2011

Bersih : Laporan Polis Karut dan Khurafat, Kata Mat Sabu

8 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan sebagai “karut dan khurafat” laporan polis oleh Pemuda Umno yang mahukan perhimpunan Bersih pada bulan depan dibatalkan.

Dalam laporan polis yang dibuat petang tadi, Pemuda Umno dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong Umno mendakwa Himpunan Bersih di Kuala Lumour pada 9 Julai akan menjejaskan keamanan dan mata pencarian peniaga.

Mohamad atau Mat Sabu berkata hujah yang diberikan oleh Pemuda Umno dan NGO berkenaan tidak masuk akal kerana hakikat adalah sebaliknya. Penyertaan orang ramai pada perhimpunan aman itu, akan merancakkan perniagaan penjaja dan peniaga, kata beliau kepada TvSelangor.

“Laporan polis ini satu perkara yang paling pelik, saya rasa ini cubaan UMNO menghasut,” kata beliau.

“Secara rasionalnya, apabila ramai yang hadir menyertai perhimpunan aman BERSIh sudah tentu mereka akan menggunakan perkhidmatan awam, makan, minum, jadi apa isu menjejaskan pendapatan, bukankah ia akan menambah pendapatan peniaga." kata beliau.

"Jadi yang dikatakan Umno bahawa perhimpunan ini boleh menjejaskan pendapatan jelas satu kepercayaan karut dan khurafat." tegas beliau.

Laporan polis itu dibuat oleh Exco hal ehwal bandar Pemuda Umno, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.

Beliau menuntut polis supaya mengambil tindakan awal memastikan perhimpunan itu tidak dijalankan.

Naib Presiden PKR Tian Chua semalam dipetik berkata 60,000 perserta akan terlibat dalam perhimpunan itu pada 9 Julai.

Mengulas lanjut Mat Sabu menegaskan perhimpunan BERSIH akan berjalan secara aman.

Beliau berkata perhimpunan itu akan menzahirkan tuntutan rakyat untuk sebuah sistem demokrasi tuntas demi menjamin sebuah pilihanraya umum yang adil.

Mohamad Sabu menegaskan peserta perhimpunan itu tidak akan menjadi mangsa provokasi polis seperti masa-masa lalu.

"Kalau penjaja tidak mampu menjual air tebu misalnya, ia bukan kerana kebanjiran orang ramai, ia kerana FRU menembah gas dan termasuk kedalam air jualannya," katanya.

tv selangor/-

PAS hantar pemerhati pilihan raya ke Turki

8 Rejab 1432H. [MOD] -

ISTANBUL, 10 Jun: Setelah mengisytiharkan pemimpin yang dipilih dalam Muktamar ke-57 baru-baru sebagai pasukan pilihan raya, PAS menghantar 7 pemimpin dan petugas ke Turki.

Ia bertujuan untuk melihat dan belajar dari dekat teknik dan pengalaman dari pilihan raya Turki yang bakal berlangsung Ahad ini.

Selain PAS, PKR turut menghantar tiga pemimpinnya untuk melihat pilihan raya umum Turki ini dari dekat.

Antara yang menyertai pasukan PAS yang dipimpin oleh Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Siti Mariah Mahmod adalah Nasir Mustafa (Kedah), Onn Jaffar (Johor), Taufek Abdul Ghani (Negeri Sembilan), Baihaki Atiqullah dan Abdul Rahman Yunus (Kelantan).

Turut serta adalah Zulkifli Sulong (Harakah).

PKR pula adalah Nurul Izzah Anwar (naib presiden), Saifudin Nasution Ismail (setiausaha agung) dan Datuk Johari Abdul (ahli MPT).

Mereka sampai di lapangan terbang Atarturk, Istanbul jam 6. 30 pagi dan disambut oleh pegawai dari parti AK.

Pasukan ini dijangka mengambil pengalaman pilihan raya Turki untuk persiapkan Pakatan Rakyat hadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke-13.

Harakahdaily/-
Oleh : Zulkifli Sulong

Tian Chua nafi hantar e-mel minta Pakatan percaya video seks

8 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Naib Presiden PKR Tian Chua menegaskan e-mel yang diterima beberapa pemimpin Pakatan Rakyat berkaitan video seks, yang didedahkan “Datuk Trio”, semalam bukannya dihantar oleh beliau.

Sebaliknya tegas beliau, e-mel itu dihantar oleh pihak tertentu dengan menggunakan namanya untuk “menyebarkan pengakuan palsu” berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, alamat e-mel yang digunakan adalah tianchua@rocketmail.com dan telah dihantar kepada pemimpin Pakatan Rakyat pada pukul 6.02 petang semalam.

Alamat e-mel yang biasa digunakan Tian Chua adalah tianchua@gmail.com dan pkrbatutc@gmail.com.

“E-mel itu mengatakan, rakaman video seks penuh Anwar telah dimuat naik di beberapa laman web hari ini (semalam), saya telah menonton video itu dan sah lelaki itu adalah Anwar.

“Rakaman video itu dirakam dari empat penjuru dan sukar untuk menafikan ia bukan Anwar. Demi mempertahankan integriti dan misi, kita tidak boleh melindungi pemimpin yang tidak bermoral dalam Pakatan Rakyat,” kata Chua (gambar) ketika membacakan e-mel yang dihantar kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Tambah Ahli Parlimen Batu itu, e-mel tersebut juga menggesa barisan kepimpinan Pakatan Rakyat agar mendesak polis mendedahkan pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

“Lantaran saya menggesa semua pemimpin Pakatan Rakyat dari PKR, DAP dan PAS untuk meminta polis dedahkan siapa pelaku dalam video itu.

“Ini satu-satunya cara untuk membuktikan kita mengambil berat dalam isu-isu moral,” katanya.

Justeru kata beliau, satu laporan akan dibuat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang di sebalik penyebaran e-mel palsu itu.

“Saya akan buat aduan pada petang ini di SKMM menggesa mereka menyiasat siapa yang sebarkan e-mel palsu dengan menggunakan nama saya.

“Jadi saya harap pemimpin Pakatan Rakyat tidak mempercayai e-mel yang diterima kerana ia bukan daripada saya... ini semua kerja Umno-BN (Barisan Nasional) yang terdesak,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, beliau menerima satu surat yang mengandungi rakaman video seks dan poster yang dihantar ke rumahnya semalam.

Pada sidang media itu juga, Zuraida berkata, PKR Selangor telah merangka strategi untuk menawan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen milik BN pada pilihan raya ke-13.

“Selain mempertahankan kerusi yang kita menang pada pilihan raya 2008 kita juga memberikan fokus khas untuk menawan tiga kerusi Parlimen lain iaitu Sabak Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.

“Kita juga akan memastikan Pakatan Rakyat memenangi tujuh DUN milik BN iaitu Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,” kata Timbalan Pengerusi PKR Selangor itu.

malaysianinsider/-

Guan Eng minta Soi Lek henti berbohong

8 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Jun: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mempunyai rekod yang tidak tercela dengan lebihan bajet (surplus) untuk tiga tahun berturut-turut sejak mengambil alih tampuk pada 2008 berlandaskan konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Justeru, Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) meminta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhenti daripada terus melakukan pembohongan kepada diri sendiri.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Soi Lek dalam satu wawancaranya bersama Malaysiakini yang disiarkan secara penuh dalam The Star hari ini mengatakan bahawa ‘Pulau Pinang telah membenarkan kenaikan tarif air sebanyak 20 peratus dan kini Pulau Pinang sedang mengalami bajet defisit, di mana akan menjadi lebih teruk menjelang tahun hadapan’.

“Perkara ini adalah tidak benar sama sekali kerana Pakatan Rakyat Pulau Pinang mencatat rekod lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak mengambil alih tampuk pemerintahan BN pada tahun 2008 atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir yang berasaskan CAT,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya turut disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara di mana Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang baik selama dua tahun berturut-turut.

Tambahnya, Pulau Pinang merupakan satu-satunya kerajaan negeri atau negara yang telah dipuji oleh Tranparency International di Malaysia kerana berjaya memerangi rasuah.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Pulau Pinang mencatat surplus yang paling tinggi dalam sejarah dengan RM88 juta pada 2008, RM77 juta (2009) dan RM33 juta (2010).

Jelasnya, anggaran surplus pada tahun 2009 sepatutnya bernilai RM92 juta jika kerajaan negeri tidak perlu membayar RM15 juta atas perintah Mahkamah Tinggi disebabkan skandal tanah Tang Hak Ju yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Menurutnya, dengan pengurusan kewangan yang baiklah telah membolehkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengagihkan RM12 juta setahun kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Sikh.

“Adakah RM12 juta juga diberikan oleh Kerajaan BN sebelum ini?” soalnya.

Beliau menjelaskan Pulau Pinang tidak menaikkan tarif air untuk pengguna domestik malah telah membiayai subsidi yang besar, tetapi mengenakan surcaj pemuliharaan air kepada mereka yang membazirkan air.

Baginya, Chua tidak jujur kerana memutar belitkan perbezaan itu.

Katanya, keengganan Pakatan Rakyat menaikkan tarif air kepada pengguna domestik telah dikutuk hebat oleh NGO yang menginginkan kenaikan tarif air bagi mengurangkan pembaziran air.

Tambahnya, tarif air hanya dinaikkan untuk perniagaan sahaja setara dengan kos pengeluaran.

“Sekiranya Chua tidak gembira dengan kenaikan ini, mengapa beliau tidak menentang kenaikan tarif air di Johor, yang mana tarif air di Johor adalah 3-6 kali lebih tinggi daripada Pulau Pinang?” soalnya lagi.

Menurutnya, Pulau Pinang masih menikmati tariff air yang terendah bagi kedua-dua domestik dan perniagaan di negara ini.

Disebabkan tarif air yang rendah, katanya Pulau Pinang menanggung penggunaan air yang tertinggi dengan purata 291 liter seorang, sehari untuk tahun 2010 berbanding purata kebangsaan sebanyak 205 liter sahaja.

Beliau menambah, prestasi kewangan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bukan hanya untuk pentadbiran kerajaan negeri sahaja tetapi juga telah menyelamatkan MPSP daripada menjadi muflis.

Jelasnya, dari tahun 2000- 2007, MPSP terpaksa menanggung defisit setiap tahun di mana, kehilangan RM230 juta yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri BN sebelum ini.

Katanya, MPSP berada dalam keadaan muflis secara praktikal semasa Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini.

Walau bagaimanapun, ujarnya hanya dalam masa satu tahun, Kerajaan CAT Pakatan Rakyat berjaya menyelamatkan MPSP daripada terus muflis dengan mencatatkan sedikit surplus pada tahun 2008 dan seterusnya untuk tiga tahun berturut-turut iaitu 2008 (RM3 juta), 2009 (RM15 juta) dan 2010 (RM23 juta).

Mengenai kenyataan Chua bahawa ‘BN mempunyai banyak kelemahan, kegiatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tidak melakukan seperti yang dikatakan’, Lim menjelaskan kehilangan RM230 juta di MPSP dan RM40 juta ke atas skandal tanah Tang Hak Ju merupakan contoh terbaik kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Manakala kenyataan BN tidak melakukan seperti apa yang dikatakan, Chua seharusnya merujuk kembali janji-janji yang telah beliau taburkan ketika pilihan raya pemilihan presiden MCA yang lepas,” ujarnya.

Tambahnya, tidak diragukan sememangnya Pulau Pinang menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada BN.

Katanya, keyakinan diiringi dengan kejayaan Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan yang tertinggi dalam sejarah dan menduduki tempat pertama di Malaysia sebanyak RM12.2 bilion.

Pulau Pinang juga, ujarnya mengalami penurunan indeks jenayah yang tertinggi di Malaysia dengan penurunan sebanyak 27 peratus.

Beliau berkata, Pulau Pinang juga menduduki tempat pertama dalam sektor pelancongan kesihatan dan pertumbuhan penumpang udara sebanyak 25 peratus di negara ini.

“Chua seharusnya mencari kebenaran melalui fakta, bukannya berbohong dengan memutar belitkan fakta semata-mata untuk meraih populariti dan menyerang PR.

“PR tidak sempurna dan bersedia untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dilakukan tetapi PR berbeza dengan BN kerana PR tidak memanjakan diri dengan rasuah dan kroni,” katanya.

harakahdaily/-

12 kaki judi dirotan di padang

8 Rejab 1432H. [MOD] -

BANDA ACEH: Seramai 12 orang menjalani hukuman sebat selepas didapati bersalah terbabit dalam perjudian di Aceh, kata pegawai pendakwa, semalam.

Menurut pegawai terbabit, Irvon, pesalah ditangkap dalam beberapa kejadian berasingan dan dibicarakan.

“Mereka dirotan di depan orang ramai di sebuah padang di Langsa, timur Aceh,” katanya.

Irvon berkata, hukuman itu adalah minimum berbanding 12 sebatan maksimum yang diperuntukkan dalam undang-undang wilayah Islam berkenaan.

“Pendakwa memohon mereka dikenakan hukuman minimum untuk memberi pengajaran supaya tidak melanggar perintah agama di masa depan,” katanya.

Mei lalu, 40 pesalah judi turut dirotan di Aceh. - AFP

BN sengsara mahu pikat undi Tionghua

8 Rejab 1432H. [MOD] -

AMPANG, 10 Jun: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, kaum Tionghua memainkan peranan yang besar dalam politik negara sebenarnya.

Malahan, undi 80% kaum Tionghua di Ampang telah memberi kemenangan kepadanya dan PKR sewaktu Pilihanraya Umum 2008 lalu.

Katanya, perubahan yang dibawa kaum Tionghua jelas sudah menakutkan MCA dan BN.

Justeru, beliau yakin, taktik kotor BN yang dikepalai oleh Umno dengan memainkan isu video lucah fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak memberi kesan kepada undi kaum Tionghua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Makan Malam Sempena Ulangtahun Pertama Persatuan Persahabatan Pekan Ampang di Pekan Ampang, di sini semalam.

Zuraida turut membidas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek baru-baru ini untuk menarik sokongan kaum Tionghua yang disifatkannya "retorik semata-mata" dan hanyalah sia-sia.

"Buktinya, lihat sahaja kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek baru-baru ini yang jelas menunjukkan bahawa MCA dan BN sebenarnya kini sedang dalam sengsara mahu menarik kembali undi kaum Tionghua.

"BN harus sedar bahawa kaum Tionghua sangat matang dalam menilai politik dan semua kenyataan retorik yang tanpa perlaksanaan adalah tidak berguna dan sia-sia," kata beliau.

harakahdaily/-

Thai gempar wabak E.coli

8 Rejab 1432H. [MOD] -

BANGKOK - Thailand mengumumkan menemui bakteria pembunuh Escherichia coli (E.coli) di dalam buah avokado yang diimport dari Eropah, semalam.

Pihak berkuasa kini sedang memeriksa sama ada E.coli ditemui itu adalah jenis sama dengan bakteria yang sedang menyebabkan wabak berbahaya di Eropah.

Kerajaan Thailand meminta penduduk negara itu tidak panik kerana terdapat beberapa jenis bakteria E.coli yang kerap ditemui pada tanaman tetapi kebanyakannya tidak berbahaya.

Pengguna di negara itu disaran membasuh atau memasak sayuran dan buah-buahan segar dengan betul sebelum dimakan.

Di Eropah, penularan bakteria E.coli jenis berbahaya sehingga kini menyebabkan 25 orang terkorban dan 2,600 jatuh sakitdi Jerman sejak bulan lalu.

Pihak berkuasa masih gagal mengesan punca sebenar wabak itu yang boleh menyebabkan cirit-cirit berdarah, demam dan kegagalan buah pinggang serta kematian.

sinarharian/-

Polis berkas semula 16 pelatih Puspen lari semasa rusuhan

8 Rejab 1432H. [MOD] -

MUAR - Polis berjaya menahan semula 16 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sengkang, Bukit Gambir yang melarikan diri ketika rusuhan di pusat tersebut malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang DSP Mohd Salleh Abdul Razak berkata, pihaknya juga mengenal pasti hanya 21 yang telah melarikan diri.

Tiga belas daripada mereka ditahan semula ketika bersembunyi di bawah jambatan Sungai Muar di Gersik, kira-kira tiga kilometer dari pusat tersebut, manakala tiga lagi ditahan di berhampiran pusat itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan dan menahan semula lima lagi kini dipergiatkan.

Mohd Salleh berkata, polis juga menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dalang dan punca sebenar rusuhan yang menyaksikan dua bangunan pusat itu dibakar.

Pusat itu menempatkan 377 pelatih, dan dalam kejadian kira-kira 8.40 malam tadi mereka dipercayai membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan serta memecahkan cermin lapan buah kenderaan milik petugas di situ.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan khianat dengan api yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan, katanya. - Bernama

25 Tahun Penjara Dan 15 Kali Sebatan, Hukuman Untuk Perogol

8 Rejab 1432H. [MOD] -

KLANG 10 JUN: Mahkamah Seksyen Klang semalam menjatuhkan hukuman 25 tahun penjara dengan 15 kali sebatan keatas seorang lelaki yang mendakwa dirinya mabuk ketika merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dalam tandas sebuah sekolah dekat Sekinchan, 4 Jun lalu.

Sures Muniandy, 27, mengaku bersalah ke atas jenayah tersebut ketika dihadapkan di Mahkamah Seksyen di sini, semalam.

Hakim Datuk Anita Harun mengarahkan hukuman penjara dijalankan bermula daripada tarikh tertuduh mula ditahan kerana mempunyai dua kesalahan jenayah sebelum ini.

Pemungut besi buruk itu didakwa melakukan jenayah di SRJK (C) Yoke Kuan, Sekinchan dekat Sabak Bernam lebih kurang pukul 9 malam pada 4 Jun.

Dia dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 376(2) (e) Akta Jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nizi Shazril Ithnin pada awalnya meminta hukuman lebih berat dikenakan kerana mangsa hanya berumur lapan tahun dan mengalami kecederaan.

Sures yang tidak diwakili peguam menangis apabila mendengar hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.

Pada hari kejadian, mangsa menghadiri satu majlis perkahwinan di sekolah itu dan dirogol apabila dia pergi ke tandas seorang diri.

Abang ipar dan kakak kanak-kanak itu menunggunya di kantin tidak jauh dari tandas.

Tertuduh mengunci pintu daripada dalam dan merogol mangsa dan kemudian melarikan diri.

Abang ipar mangsa dengan bantuan orang awam menangkap tertuduh yang dijumpai di sebuah longkang 100 meter dari tempat kejadian.

tv selangor/-

Taib disiasat berhubung dakwaan rasuah balak

8 Rejab 1432H. [MOD] -

Abu Kassim menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan mengambil tindakan sebagaimana dilakukan Agensi Pencegahan Rasuah Switzerland, yang baru-baru ini membekukan aset Taib Mahmud atas dakwaan rasuah balak.

Menurut sumber berita asing, Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Switzerland, Micheline Calmy-Rey dilaporkan menyedari tentang dakwaan itu dan telah mengemukakan maklumat mengenai aset Taib di Switzerland kepada badan kawal selia, FINMA (Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland) untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Polis : 43 Pelatih Puspen Lari Dalam Rusuhan Semalam

8 Rejab 1432H. [MOD] -

MUAR 10 JUN : Polis mengesahkan 43 daripada 377 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sengkang, Bukit Gambir dekat Ledang melarikan diri semasa rusuhan di pusat itu semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, DSP Salleh Abdul Razak berkata pihaknya bersama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Agensi Dadah Kebangsaan kini berusahamenjejaki mereka yang meloloskan diri.

"Kami juga masih menyiasat punca sebenar rusuhan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama. Dalam kejadian yang dipercayai bermula kira-kira 8.40 malam itu, sekumpulan pelatih bertindak merusuh dan membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat tersebut.

Mereka juga bertindak memecahkan cermin tujuh buah kereta kepunyaan pegawai dan petugas pusat itu.

Ini adalah kejadian rusuhan kedua pernah berlaku di pusat tersebut selepas kejadian pertama pada 1999.-BERNAMA

Apabila final Piala FA bukan sekadar sukan

8 Rejab 1432H. [MOD] -

“Ambo rasa Kelantan akan menang, tapi ambo tetap sokong Terengganu. Kita orang Terengganu, mestilah sokong negeri kita,” luah seorang peminat bolasepak dari Besut.

Anak muda itu secara jujur menyatakan pendiriannya mengenai kemungkinan keputusan yang bakal berlaku di final Piala FA antara dua negeri Pantai Timur itu, Sabtu (11 Jun ) ini. Pertandingan dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara.

Walau pun bolasepak kerap dianggap tidak lebih sekadar agenda sukan, bual bicara mengenainya di forum-forum rakyat sebenarnya tidak terbatas setakat itu. Di sana tersirat berbagai unsur lain, sama ada politik, agama, patriotisme dan seumpamanya.

Komen peminat di atas adalah contoh terbaik bagaimana semangat wataniah (perasaan cintakan negeri sendiri) tersemai kukuh di hatinya kendati pun apa hakikat yang berlaku. Secara jujur beliau menilai kekuatan pasukan negerinya (Terengganu) tidak sehebat Kelantan.

Apatah lagi selepas aksi hambar Skuad Penyu yang dimalukan di hadapan penyokong sendiri oleh The Red Warriors, Isnin lalu. Namun di atas rasa cintakan negeri sendiri, sokong tetap sokong.

Pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 6 Jun lalu, Terengganu tewas 3-0 kepada Kelantan. Tidak syak lagi aksi sedemikian di ketika kemuncak perhitungan kekuatan antara kedua pasukan itu berbaki hanya lima hari seolah-olah memberikan gambaran awal pertarungan akhir nanti.

Perkembangan itu secara jelas tambah menghangatkan lagi bual bicara masyarakat mengenai final Piala FA. Forum-forum sembang popular, sama ada di warung dan kedai kopi ketika bersarapan, di pejabat sambil melayan pelanggan, di pasar sambil membeli-belah, di pagar jambatan ketika asyik memancing, bahkan di anjung surau dan masjid sementara menunggu bilal iqamat, seakan ‘dikuasai’ topik bola sejak kebelakangan ini.

Mereka yang obses atau mesra dengan dunia siber pula memanfaatkan laman-laman sosial untuk menyatakan sokongan kepada pasukan masing-masing. Banyak entri berkaitan isu bola dan perlawanan akhir itu menjadi pilihan untuk dipaparkan di ‘wall’ masing-masing.

Agak rancak pertukaran pandangan antara mereka yang kekadang beralih menjadi perbahasan dan ‘pertikaman’ kata apabila masing-masing canggah-menyanggahi demi mempertahankan pasukan yang disokong.

Setiap mereka ada hujah dan sandaran tersendiri. Semakin hampir kepada tarikh final Piala FA, perbahasan dan bual bicara mengenainya semakin rancak dan hangat.

Apa yang pasti bolasepak bukan lagi sekadar isu sukan. Ia sudah memaut bersamanya unsur-unsur lain. Jika pendirian peminat dari Besut tadi dikaitkan dengan semangat wataniah, khalayak politik pula mengambil kesempatan keghairahan peminat bola ini untuk agenda politik mereka.

Menyedari hakikat bahawa bolasepak adalah sukan nombor satu rakyat negara ini, ditambah lagi hakikat betapa sebahagian besar penyokong fanatik setiap pasukan bola adalah kalangan anak muda, maka meraikan minat dan kecenderungan kelompok ini dirasakan boleh memberikan keuntungan politik kepada mana-mana pihak.

Sebab itu dapat dilihat kini bagaimana parti-parti politik seakan berlumba menyertai keghairahan peminat bolasepak menuju malam kemuncak itu. Mendahului persaingan menambat hati peminat bolasepak ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Sebaik negerinya mengesahkan tiket ke final Piala FA pertengahan Mei lalu, Ahmad terus sahaja mengarahkan setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu menyediakan bas bagi membawa penyokong Skuad Penyu.

“Jumlah bas terpulang kepada wakil rakyat berdasarkan peruntukan bantuan am yang masih ada. Kita ingin melihat stadium dipenuhi penyokong Terengganu,” tabloid harian edisi Terengganu, 20 Mei memetik katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal turut memaklumkan akan menyediakan 15 buah bas khusus untuk Dun itu sahaja.

“Sudah pasti ada ganjaran yang akan menanti pemain, namun biarlah ia (Piala FA) berada di tangan kita dahulu,” ujar Ahmad.

Tidak dipastikan apakah pemimpin Kerajaan Kelantan turut menjanjikan sesuatu ganjaran untuk pemain The Red Warriors, atau turut menyediakan bas-bas sewa khas mengangkut ribuan peminat pasukan negeri itu ke ibu negara.

Namun, apa yang pasti persaingan meraikan peminat bola bukan terhenti setakat itu. Kini sasaran parti-parti politik beralih pula kepada khalayak peminat di peringkat tempatan.

Lagi pun jumlah yang mampu diangkut ke Bukit Jalil sudah tentu tidak seramai yang masih tinggal di kampung masing-masing. Lalu Bahagian, Kawasan atau Cabang parti-parti seakan berlumba mengajak anggota masyarakat menyaksikan perlawanan akhir itu dalam persekitaran dianjurkan masing-masing.

Pemidang dan poster memaklumkan lokasi tayangan menerusi skrin besar dapat dilihat di merata ceruk tanahair. Ia turut diiklan menerusi laman sosial di dunia siber.

Penganjurnya pula bukan lagi hanya syarikat gergasi, premis niaga atau pihak berkepentingan dalam perniagaan. Ia turut diambilalih parti-parti politik, khususnya sayap pemuda masing-masing.

Politik telah menguasai suasana demam bola kini. Sebab untuk itu tidak sukar dimengertikan. Keghairahan anak-anak muda sememangnya elok disantuni kerana mereka adalah kelompok sasaran meraih undi pilihan raya. Apatah lagi demam pilihan raya semakin dirasai bahangnya kini.

Suratan atau kebetulan, dua negeri bakal berentap di final Piala FA kali ini bukan sahaja berjiran. Pada nilaian politik, mereka sebenarnya mewakili dua bentuk pemerintahan berbeza diterajui dua parti yang sama sekali berlawanan halatuju – Umno/BN di Terengganu dan PAS di Kelantan.

Justeru tidak menghairankan apabila persembahan memberangsangkan skuad The Red Warriors dikaitkan dengan keberkatan pemerintahan seorang ulama. Bagi mereka yang berfirasat sedemikian (sudah tentulah orang PAS!), kemenangan pasukan Kelantan ke atas Terengganu adalah ibarat kejayaan PAS menewaskan Umno.

“Ini dah jadi macam Tok Guru (Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan) lawan Mat (Ahmad) Said ni,” latah seorang aktivis PAS berasal dari Kuala Berang, Terengganu.

Beliau adalah antara sebilangan anak negeri itu yang meletakkan kecintaan kepada parti mengatasi kesetiaan kepada negeri. Maaf cakap, tidak sedikit di kalangan peminat bola di Terengganu yang berpendirian seperti itu.

Baca pula coretan seorang rakan dari Rusila ini, sejurus sebelum sepak mula perlawanan antara Terengganu dan Kelantan, 6 Jun lalu: “... saya memohon maaf kepada peminat bolasepak Terengganu, kerana dalam perlawanan malam ini atau final Piala FA nanti saya telah tekad menyokong Kelantan.....Bendera hijau putih bro.”

Ya, itulah rahsianya. Bendera hijau-putih. Bagi mereka ini, parti lebih utama daripada negeri sendiri. Sepertimana disebutkan tadi, rakan ini juga menganggap Kelantan mewakili PAS, parti dicintainya. Manakala Terengganu mewakili Umno/BN.

Setelah diasak rakan-rakan menerusi laman sembang itu, yang antara lain mempertikaikan kelunturan semangat kenegeriannya itu, rakan tadi menjelaskan: “Sebabnya, seronok kalau Piala FA juga dibawa balik ke negeri di bawah pimpinan ulama' (Kelantan).

Ingat sejarah telah membuktikan bahawa Terengganu boleh wat (bawa) balik Piala M'sia hanya ketika di zaman ulama' (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) memimpin dan Kelantan juga boleh wat balik Piala Malaysia di zaman ulama' memimpin”.

Ya tak ya juga, bukan? Itulah fakta dan hakikat sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan sesiapa pun. Bahawa buat pertama kali Terengganu berjaya menjulang Piala Malaysia ialah pada 3 November 2001, ketika ulama menjadi Menteri Besar.

Tentu sekali jika kepercayaan terhadap keberkatan pemerintahan Islam itu menjadi asas kepada sejumlah peminat bola di Terengganu beralih arah menyokong Kelantan, ia suatu hakikat yang amat tidak disenangi Umno, termasuk para pemimpin Umno Kelantan sendiri.

Bahawa di sana sudah tersemat kesetiaan kepada parti politik yang mengatasi semangat kesukanan, sesuatu yang sudah tentu tidak berlaku di kalangan peminat bolasepak bermazhab Umno!

Ataukah ada peminat bola (penyokong Umno) di Kelantan bersedia mengalih sokongan kepada Terengganu semata-mata di atas dasar parti? Nayyy... payah la sikit rasanya!

Mohd Nasir Awang
harakahdaily-/

Besi penghadang tusuk dalam kereta

8 Rejab 1432H. [MOD] -

ANGGOTA polis memeriksa mayat empat sekeluarga yang terbunuh selepas kereta mereka naiki terbabas lalu merempuh penghadang jalan di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, petang semalam. Gambar kecil (dari atas) Azizah Mahmod, Zalinda Zainuddin dan Zainuddin Abas

KUALA KANGSAR: Empat sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi parah dalam kemalangan ngeri apabila besi penghadang jalan tertusuk ke dalam kereta mereka yang terbabas di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di Sauk, dekat sini, semalam.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu ialah pasangan pesara guru, Zenodin@Zainuddin Abas dan isterinya, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Zalinda, 33, serta cucu mereka yang juga anak Zalinda, Aishah Suffian Afendi, 7.

Seorang lagi anak Zalinda, Nurul Sarah yang juga adik Aishah, parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Chandan, dekat sini, bagi menghadiri kenduri kahwin selepas menziarahi keluarga Azizah di Pasir Mas, Kelantan.

Zalinda dan dua anaknya tinggal di Kuala Lumpur dan mereka pulang ke kampung sempena cuti sekolah sebelum mereka sekeluarga ke Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang, berkata siasatan awal mendapati Zenodin yang memandu dipercayai gagal mengawal kenderaan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan itu.

"Berikutan kejadian itu, tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika mendapat rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Sauk. Nurul Sarah pula dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, suami Zalinda, Suffian Efendi Ahmad Apandi, yang ditemui di HRPB tidak dapat ditemubual kerana terlalu sedih dengan kehilangan isteri dan seorang anaknya.

Anak perempuan sulung pesara guru berkenaan, Zaliana, 44, berkata, kali terakhir dia bertemu ibu bapanya Rabu lalu sebelum mereka bercuti ke Kelantan.

"Dalam pertemuan terakhir itu, bapa (Zenodin) pernah bertanyakan saya bila mahu pulang ke Kuala Kangsar.

"Namun, saya tidak menyangka pesanannya itu tanda dia mahukan kesemua anaknya berkumpul dan melihat jenazahnya buat kali terakhir," katanya.

beritaharian/-

UMNO tidak senang duduk: Pas

8 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Hasrat Pas ingin menjadikan negara ini sebagai negara berkebajikan hanyalah sebagai dasar parti, kata Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu adalah bertujuan membawa perubahan kepada sebuah negara dengan inti pati Islam (keadilan, keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran).

Malah, agenda itu katanya mendapat respons yang baik daripada PKR dan DAP.

“Tidak dinafikan UMNO dan BN gusar dengan hasrat Pakatan Rakyat mahu wujudkan negara berkebajikan, malah mereka seolah-olah tercabar dengan agenda terkini Pas apabila bertubi-tubi lemparkan tohmahan kosong.

“UMNO turut cuba menyembunyikan kegelisahan mereka itu dengan mengkritik Pas sudah ubah dasar perjuangan Islam demi hasrat Pas. Malah Pas dituduh meniru beberapa perkara yang telah dilaksanakan UMNO,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, parti kerajaan itu juga semakin sukar mendapat kepercayaan rakyat apabila mereka berhadapan dengan bebanan kewangan saban hari.

Menurutnya, kegusaran itu dipercayai timbul apabila Pas menawarkan sebuah negara berkebajikan di sebalik kegagalan UMNO menjaga kebajikan rakyat marhaen demi menjaga hati kroni yang semakin angkuh, sombong dan tamak.

“Istilah ‘negara kebajikan’ yang dilaungkan Pas berjaya membongkar permainan sebenar UMNO terhadap rakyat sebagai mangsa dalam banyak kepentingan seperti program pengurangan subsidi berbanding kroni-kroni UMNO atau BN seperti penjana tenaga bebas (IPP).

“Terserahlah kepada mereka (UMNO, BN) sama ada mahu menerima agenda Pas ini atau tidak, kami tetap berusaha melaksanakannya,” katanya.

Apabila ditanya mengenai adakah parti itu akan bersatu dengan UMNO, Tuan Ibrahim menafikannya dengan menyatakan rakyat semakin tidak bersetuju dengan cara UMNO dan mahukan bentuk politik baru.

Beliau sementara itu berhasrat untuk memastikan dana negara (pendidikan, sara hidup dan pendapatan) disalurkan dengan cara yang betul agar taraf hidup rakyat ditingkatkan sekiranya negara berkebajikan dapat dilaksana.

sinarharian/-

Bomoh saka kalah saman

8 Rejab 1432H

Zakaria gagal ubat penyakit diarah bayar semula RM19,000

JOHOR BAHRU: Seorang bomoh diperintah oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam, supaya membayar balik RM19,500 kepada seorang wanita ekoran kegagalannya mengubati penyakit bapa pemohon yang didakwanya terkena saka.

Bomoh yang juga seorang jurunikah dari FELDA Waha, Kota Tinggi, Zakaria Lagiman, 49, diperintahkan oleh Presiden TTPM, Mohd Nasrim Mohd Salleh, membayar balik wang terbabit dalam tempoh 14 hari bermula semalam, selepas meluluskan tuntutan yang difailkan oleh suri rumah, Zaharah Yusuf, 51.

Dalam tuntutannya, Zaharah berkata, pada Disember 2008, bapanya, Yusuf Abdul, yang ketika itu berusia 108 tahun dibawa mendapatkan rawatan tradisional daripada Zakaria di rumahnya.

“Ketika itu, saya dan dua lagi adik, diberitahu oleh Zakaria yang 12 saka menghuni dalam tubuh bapa kami, menyebabkan beliau mengalami masalah kesihatan
ketika itu.

“Ekoran itu, kami tiga beradik membelanjakan wang RM19,500 itu seperti diminta Zakaria untuk mengubati bapa. Kami membelanjakan wang yang banyak untuk melihat bapa pulih sepenuhnya, apatah lagi bomoh itu berkata kos dikenakan termasuk membeli lima helai daun epal jin yang berharga RM1,500 sehelai serta minyak wangi Firdaus.

“Namun, kami kecewa kerana Zakaria langsung tidak mengubati bapa kami dengan alasan dia sendiri tidak sihat, sedangkan wang dibayar secara ansuran sebanyak tiga kali antara Disember 2008 hingga akhir 2009,” katanya.

Zaharah berkata, bapanya meninggal dunia pada 17 Februari tahun lalu, tanpa menjalani sebarang proses perubatan yang dijanjikan Zakaria. Berikutan itu, beliau dan keluarganya memfailkan tuntutan terhadap pengamal perubatan terbabit.

Ketika prosiding TTPM berlangsung semalam, Zaharah hadir bersama ahli keluarganya, manakala Zakaria yang tidak hadir sekadar mengutuskan sepucuk surat memaklumkan beliau tidak sihat.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, Zaharah berkata, tindakannya memfailkan tuntutan terhadap pengamal perubatan terbabit adalah sebarang pengajaran.

“Mungkin ada yang tidak berani bersuara. Namun saya dan keluarga hanya mahukan keadilan untuk Allahyarham bapa kami, kerana selepas banyak wang dilaburkan untuk tujuan perubatan, namun dia (pengamal perubatan terbabit) tidak mengambil sebarang langkah mengubati penyakit bapa kami seperti yang didakwanya,” katanya.

beritaharian/-