10 Jun 2011

Besi penghadang tusuk dalam kereta

8 Rejab 1432H. [MOD] -

ANGGOTA polis memeriksa mayat empat sekeluarga yang terbunuh selepas kereta mereka naiki terbabas lalu merempuh penghadang jalan di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, petang semalam. Gambar kecil (dari atas) Azizah Mahmod, Zalinda Zainuddin dan Zainuddin Abas

KUALA KANGSAR: Empat sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi parah dalam kemalangan ngeri apabila besi penghadang jalan tertusuk ke dalam kereta mereka yang terbabas di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di Sauk, dekat sini, semalam.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu ialah pasangan pesara guru, Zenodin@Zainuddin Abas dan isterinya, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Zalinda, 33, serta cucu mereka yang juga anak Zalinda, Aishah Suffian Afendi, 7.

Seorang lagi anak Zalinda, Nurul Sarah yang juga adik Aishah, parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Chandan, dekat sini, bagi menghadiri kenduri kahwin selepas menziarahi keluarga Azizah di Pasir Mas, Kelantan.

Zalinda dan dua anaknya tinggal di Kuala Lumpur dan mereka pulang ke kampung sempena cuti sekolah sebelum mereka sekeluarga ke Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang, berkata siasatan awal mendapati Zenodin yang memandu dipercayai gagal mengawal kenderaan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan itu.

"Berikutan kejadian itu, tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika mendapat rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Sauk. Nurul Sarah pula dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, suami Zalinda, Suffian Efendi Ahmad Apandi, yang ditemui di HRPB tidak dapat ditemubual kerana terlalu sedih dengan kehilangan isteri dan seorang anaknya.

Anak perempuan sulung pesara guru berkenaan, Zaliana, 44, berkata, kali terakhir dia bertemu ibu bapanya Rabu lalu sebelum mereka bercuti ke Kelantan.

"Dalam pertemuan terakhir itu, bapa (Zenodin) pernah bertanyakan saya bila mahu pulang ke Kuala Kangsar.

"Namun, saya tidak menyangka pesanannya itu tanda dia mahukan kesemua anaknya berkumpul dan melihat jenazahnya buat kali terakhir," katanya.

beritaharian/-

Tiada ulasan: