10 Jun 2011

Guan Eng minta Soi Lek henti berbohong

8 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Jun: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mempunyai rekod yang tidak tercela dengan lebihan bajet (surplus) untuk tiga tahun berturut-turut sejak mengambil alih tampuk pada 2008 berlandaskan konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Justeru, Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) meminta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhenti daripada terus melakukan pembohongan kepada diri sendiri.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Soi Lek dalam satu wawancaranya bersama Malaysiakini yang disiarkan secara penuh dalam The Star hari ini mengatakan bahawa ‘Pulau Pinang telah membenarkan kenaikan tarif air sebanyak 20 peratus dan kini Pulau Pinang sedang mengalami bajet defisit, di mana akan menjadi lebih teruk menjelang tahun hadapan’.

“Perkara ini adalah tidak benar sama sekali kerana Pakatan Rakyat Pulau Pinang mencatat rekod lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak mengambil alih tampuk pemerintahan BN pada tahun 2008 atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir yang berasaskan CAT,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya turut disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara di mana Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang baik selama dua tahun berturut-turut.

Tambahnya, Pulau Pinang merupakan satu-satunya kerajaan negeri atau negara yang telah dipuji oleh Tranparency International di Malaysia kerana berjaya memerangi rasuah.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Pulau Pinang mencatat surplus yang paling tinggi dalam sejarah dengan RM88 juta pada 2008, RM77 juta (2009) dan RM33 juta (2010).

Jelasnya, anggaran surplus pada tahun 2009 sepatutnya bernilai RM92 juta jika kerajaan negeri tidak perlu membayar RM15 juta atas perintah Mahkamah Tinggi disebabkan skandal tanah Tang Hak Ju yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Menurutnya, dengan pengurusan kewangan yang baiklah telah membolehkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengagihkan RM12 juta setahun kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Sikh.

“Adakah RM12 juta juga diberikan oleh Kerajaan BN sebelum ini?” soalnya.

Beliau menjelaskan Pulau Pinang tidak menaikkan tarif air untuk pengguna domestik malah telah membiayai subsidi yang besar, tetapi mengenakan surcaj pemuliharaan air kepada mereka yang membazirkan air.

Baginya, Chua tidak jujur kerana memutar belitkan perbezaan itu.

Katanya, keengganan Pakatan Rakyat menaikkan tarif air kepada pengguna domestik telah dikutuk hebat oleh NGO yang menginginkan kenaikan tarif air bagi mengurangkan pembaziran air.

Tambahnya, tarif air hanya dinaikkan untuk perniagaan sahaja setara dengan kos pengeluaran.

“Sekiranya Chua tidak gembira dengan kenaikan ini, mengapa beliau tidak menentang kenaikan tarif air di Johor, yang mana tarif air di Johor adalah 3-6 kali lebih tinggi daripada Pulau Pinang?” soalnya lagi.

Menurutnya, Pulau Pinang masih menikmati tariff air yang terendah bagi kedua-dua domestik dan perniagaan di negara ini.

Disebabkan tarif air yang rendah, katanya Pulau Pinang menanggung penggunaan air yang tertinggi dengan purata 291 liter seorang, sehari untuk tahun 2010 berbanding purata kebangsaan sebanyak 205 liter sahaja.

Beliau menambah, prestasi kewangan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bukan hanya untuk pentadbiran kerajaan negeri sahaja tetapi juga telah menyelamatkan MPSP daripada menjadi muflis.

Jelasnya, dari tahun 2000- 2007, MPSP terpaksa menanggung defisit setiap tahun di mana, kehilangan RM230 juta yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri BN sebelum ini.

Katanya, MPSP berada dalam keadaan muflis secara praktikal semasa Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini.

Walau bagaimanapun, ujarnya hanya dalam masa satu tahun, Kerajaan CAT Pakatan Rakyat berjaya menyelamatkan MPSP daripada terus muflis dengan mencatatkan sedikit surplus pada tahun 2008 dan seterusnya untuk tiga tahun berturut-turut iaitu 2008 (RM3 juta), 2009 (RM15 juta) dan 2010 (RM23 juta).

Mengenai kenyataan Chua bahawa ‘BN mempunyai banyak kelemahan, kegiatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tidak melakukan seperti yang dikatakan’, Lim menjelaskan kehilangan RM230 juta di MPSP dan RM40 juta ke atas skandal tanah Tang Hak Ju merupakan contoh terbaik kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Manakala kenyataan BN tidak melakukan seperti apa yang dikatakan, Chua seharusnya merujuk kembali janji-janji yang telah beliau taburkan ketika pilihan raya pemilihan presiden MCA yang lepas,” ujarnya.

Tambahnya, tidak diragukan sememangnya Pulau Pinang menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada BN.

Katanya, keyakinan diiringi dengan kejayaan Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan yang tertinggi dalam sejarah dan menduduki tempat pertama di Malaysia sebanyak RM12.2 bilion.

Pulau Pinang juga, ujarnya mengalami penurunan indeks jenayah yang tertinggi di Malaysia dengan penurunan sebanyak 27 peratus.

Beliau berkata, Pulau Pinang juga menduduki tempat pertama dalam sektor pelancongan kesihatan dan pertumbuhan penumpang udara sebanyak 25 peratus di negara ini.

“Chua seharusnya mencari kebenaran melalui fakta, bukannya berbohong dengan memutar belitkan fakta semata-mata untuk meraih populariti dan menyerang PR.

“PR tidak sempurna dan bersedia untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dilakukan tetapi PR berbeza dengan BN kerana PR tidak memanjakan diri dengan rasuah dan kroni,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: