8 Rejab 1432H
Zakaria gagal ubat penyakit diarah bayar semula RM19,000
JOHOR BAHRU: Seorang bomoh diperintah oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam, supaya membayar balik RM19,500 kepada seorang wanita ekoran kegagalannya mengubati penyakit bapa pemohon yang didakwanya terkena saka.
Bomoh yang juga seorang jurunikah dari FELDA Waha, Kota Tinggi, Zakaria Lagiman, 49, diperintahkan oleh Presiden TTPM, Mohd Nasrim Mohd Salleh, membayar balik wang terbabit dalam tempoh 14 hari bermula semalam, selepas meluluskan tuntutan yang difailkan oleh suri rumah, Zaharah Yusuf, 51.
Dalam tuntutannya, Zaharah berkata, pada Disember 2008, bapanya, Yusuf Abdul, yang ketika itu berusia 108 tahun dibawa mendapatkan rawatan tradisional daripada Zakaria di rumahnya.
“Ketika itu, saya dan dua lagi adik, diberitahu oleh Zakaria yang 12 saka menghuni dalam tubuh bapa kami, menyebabkan beliau mengalami masalah kesihatan
ketika itu.
“Ekoran itu, kami tiga beradik membelanjakan wang RM19,500 itu seperti diminta Zakaria untuk mengubati bapa. Kami membelanjakan wang yang banyak untuk melihat bapa pulih sepenuhnya, apatah lagi bomoh itu berkata kos dikenakan termasuk membeli lima helai daun epal jin yang berharga RM1,500 sehelai serta minyak wangi Firdaus.
“Namun, kami kecewa kerana Zakaria langsung tidak mengubati bapa kami dengan alasan dia sendiri tidak sihat, sedangkan wang dibayar secara ansuran sebanyak tiga kali antara Disember 2008 hingga akhir 2009,” katanya.
Zaharah berkata, bapanya meninggal dunia pada 17 Februari tahun lalu, tanpa menjalani sebarang proses perubatan yang dijanjikan Zakaria. Berikutan itu, beliau dan keluarganya memfailkan tuntutan terhadap pengamal perubatan terbabit.
Ketika prosiding TTPM berlangsung semalam, Zaharah hadir bersama ahli keluarganya, manakala Zakaria yang tidak hadir sekadar mengutuskan sepucuk surat memaklumkan beliau tidak sihat.
Ketika ditemui selepas prosiding itu, Zaharah berkata, tindakannya memfailkan tuntutan terhadap pengamal perubatan terbabit adalah sebarang pengajaran.
“Mungkin ada yang tidak berani bersuara. Namun saya dan keluarga hanya mahukan keadilan untuk Allahyarham bapa kami, kerana selepas banyak wang dilaburkan untuk tujuan perubatan, namun dia (pengamal perubatan terbabit) tidak mengambil sebarang langkah mengubati penyakit bapa kami seperti yang didakwanya,” katanya.
beritaharian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan