8 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 9 Jun — Naib Presiden PKR Tian Chua menegaskan e-mel yang diterima beberapa pemimpin Pakatan Rakyat berkaitan video seks, yang didedahkan “Datuk Trio”, semalam bukannya dihantar oleh beliau.
Sebaliknya tegas beliau, e-mel itu dihantar oleh pihak tertentu dengan menggunakan namanya untuk “menyebarkan pengakuan palsu” berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, alamat e-mel yang digunakan adalah tianchua@rocketmail.com dan telah dihantar kepada pemimpin Pakatan Rakyat pada pukul 6.02 petang semalam.
Alamat e-mel yang biasa digunakan Tian Chua adalah tianchua@gmail.com dan pkrbatutc@gmail.com.
“E-mel itu mengatakan, rakaman video seks penuh Anwar telah dimuat naik di beberapa laman web hari ini (semalam), saya telah menonton video itu dan sah lelaki itu adalah Anwar.
“Rakaman video itu dirakam dari empat penjuru dan sukar untuk menafikan ia bukan Anwar. Demi mempertahankan integriti dan misi, kita tidak boleh melindungi pemimpin yang tidak bermoral dalam Pakatan Rakyat,” kata Chua (gambar) ketika membacakan e-mel yang dihantar kepada pemimpin Pakatan Rakyat.
Tambah Ahli Parlimen Batu itu, e-mel tersebut juga menggesa barisan kepimpinan Pakatan Rakyat agar mendesak polis mendedahkan pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.
“Lantaran saya menggesa semua pemimpin Pakatan Rakyat dari PKR, DAP dan PAS untuk meminta polis dedahkan siapa pelaku dalam video itu.
“Ini satu-satunya cara untuk membuktikan kita mengambil berat dalam isu-isu moral,” katanya.
Justeru kata beliau, satu laporan akan dibuat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang di sebalik penyebaran e-mel palsu itu.
“Saya akan buat aduan pada petang ini di SKMM menggesa mereka menyiasat siapa yang sebarkan e-mel palsu dengan menggunakan nama saya.
“Jadi saya harap pemimpin Pakatan Rakyat tidak mempercayai e-mel yang diterima kerana ia bukan daripada saya... ini semua kerja Umno-BN (Barisan Nasional) yang terdesak,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, beliau menerima satu surat yang mengandungi rakaman video seks dan poster yang dihantar ke rumahnya semalam.
Pada sidang media itu juga, Zuraida berkata, PKR Selangor telah merangka strategi untuk menawan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen milik BN pada pilihan raya ke-13.
“Selain mempertahankan kerusi yang kita menang pada pilihan raya 2008 kita juga memberikan fokus khas untuk menawan tiga kerusi Parlimen lain iaitu Sabak Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.
“Kita juga akan memastikan Pakatan Rakyat memenangi tujuh DUN milik BN iaitu Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,” kata Timbalan Pengerusi PKR Selangor itu.
malaysianinsider/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan