10 Jun 2011

Polis berkas semula 16 pelatih Puspen lari semasa rusuhan

8 Rejab 1432H. [MOD] -

MUAR - Polis berjaya menahan semula 16 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sengkang, Bukit Gambir yang melarikan diri ketika rusuhan di pusat tersebut malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang DSP Mohd Salleh Abdul Razak berkata, pihaknya juga mengenal pasti hanya 21 yang telah melarikan diri.

Tiga belas daripada mereka ditahan semula ketika bersembunyi di bawah jambatan Sungai Muar di Gersik, kira-kira tiga kilometer dari pusat tersebut, manakala tiga lagi ditahan di berhampiran pusat itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan dan menahan semula lima lagi kini dipergiatkan.

Mohd Salleh berkata, polis juga menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dalang dan punca sebenar rusuhan yang menyaksikan dua bangunan pusat itu dibakar.

Pusat itu menempatkan 377 pelatih, dan dalam kejadian kira-kira 8.40 malam tadi mereka dipercayai membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan serta memecahkan cermin lapan buah kenderaan milik petugas di situ.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan khianat dengan api yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: