30 Disember 2011

Keluar MCA, Ayuh bersama kami.

5 Safar 1433H. [MOD] -
Kenyataan Media (30 Disember 2011)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengucapkan tahniah kepada Ketua Pergerakan Pemuda MCA Negeri Pulau Pinang, Eng Hiap Boon yang mengambil tindakan meletak jawatan daripada semua jawatan parti serta bersama 439 ahli juga turut keluar parti bersama-sama yang telah mengakibatkan dua MCA cawangan di negeri itu dibubarkan. Kita sedia maklum bahawa kepimpinan utama MCA yang bersikap tidak bermoral adalah punca krisis keyakinan kepada parti tersebut mula hilang termasuk ahli partinya sendiri.

Kami mengambil kesempatan agar semua yang telah keluar daripada MCA agar bersama dengan parti dalam Pakatan Rakyat (PR). Kami juga mempelawa agar Pemuda MCA Perak turut mengambil langkah yang sama kerana di Perak sendiri MCA Perak diketuai oleh seorang yang hilang moralnya. Adakah Pemuda MCA Perak sangguh menerima tamparan hebat apa yang dilakukan oleh Pemuda MCA Pulau Pinang tersebut? Kami berharap agar Pemuda MCA Perak turut menyatakan pendirian mereka di dalam isu moral ini.

Bagi kami juga, sebenarnya MCA di Perak tidak penting lagi bagi Umno Perak kerana banyak perkara yang diperkatakan oleh perwakilan Umno di dalam Perhimpunan Agung Umno mahukan agar kerusi MCA diserahkan kepada Umno semula. Disebabkan itulah bahawa banyak kerusi di Perak dirombak kembali oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.


DR RAJA AHMAD AL-HISS
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

Shahrizat jatuh, Hamidah pun jatuh !

5 Safar 1433H. [MOD] -
Kenyataan Media (30 Disember 2011)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat kenyataan Datuk Hamidah Osman yang mempertahankan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia daripada meletakan jawatan berikutan skandal National Feedlot Centre (NFC) yang melibatkan ahli keluarga Datuk Seri Shahrizat sebenarnya turut memberikan sindrom ketakutan kepada Datuk Hamidah sendiri di dalam isu yang sama seperti Datuk Seri Shahrizat.

Bagi kami, jika Datuk Seri Shahrizat dipaksa atau terpaksa meletak jawatan, sudah tentu langkah yang sama mesti dilakukan oleh Datuk Hamidah yang juga merupakan Ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia. Tetapi mungkin kes seumpama ini juga akan dihadapi oleh Datuk Hamidah jika Datuk Seri Shahrizat yang mungkin diakhir kisah ceritanya sebagaimana yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Negeri Selangor, Dr. Mohamed Khir Toyo.

Apapun, jika angin yang bertiup membawa kisah baru kepada Datuk Seri Shahrizat sudah tentu Datuk Hamidah tidak akan terlepas dengan kisahnya pula selepas ini. Walaupun banyak kisah yang menceritakankan kelicikan Datuk Hamidah di Negeri Perak, marilah kita sama-sama menunggu apa keputusanya nanti. Sudah tentu suasana Pilihan Raya Umum ke – 13 (PRU 13) yang semakin hampir akan menjadikan beberapa orang politik sebagai ‘kambing hitam’ untuk memastikan Umno / Barisan Nasional (BN) dilihat bersih.


SALMAN HAJI SALEH
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Tiga kanak-kanak hilang dikhuatiri lemas di Sungai Perak

5 Safar 1433H. [MOD] -

GERIK: Polis hari ini meneruskan operasi untuk mencari tiga kanak-kanak lelaki yang dipercayai hilang di Sungai Perak dekat Kampung Kuala Kenderong, di sini sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik DSP Wan Jamil Wan Chik berkata ketiga-tiga mangsa itu ialah Mohd Saiful Haikal Dahari, 7, dan dua sepupunya Mohd Amir Ruzai, 11, dan adiknya Adaham, 8.

Mereka dikatakan menaiki sebuah bot di Sungai Perak berhampiran kampung berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka pada 10 pagi semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga petang semalam, katanya di sini hari ini.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang apabila ketiga-tiga mereka masih tidak pulang ke rumah.

Polis yang menerima laporan tersebut, kemudian mengadakan operasi mencari dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan penduduk sehingga malam tadi tetapi gagal menemui ketiga-tiga mangsa. -- BERNAMA

Mohon maaf atau kami bawa pada Agong, kata NGO


5 Safar 1433H. [MOD] -

NGO berkaitan PKR - Jingga 13 - hari ini mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan dua yang lain supaya memohon maaf kerana didakwanya telah "menyalahgunakan" dana zakat.

Dua orang lagi ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.

Dalam satu kenyataan hari ini, setiausahanya, Saifuddin Shafi Muhamad berkata, jika mereka tidak berbuat demikian dalam tempoh 48 jam, pihaknya akan membawa isu tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam.

Beliau mendakwa, perbuatan tersebut bukan sahaja tidak melayakkan Jamil menjadi menteri dalam mengurus hal ehwal agama tetapi beliau wajar meletakkan jawatan sekiranya berakhlak dan bermaruah.

Katanya, ia termasuklah pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan.

Jingga 13 juga hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ketiga-tiga mereka.

Saifuddin berkata, Jingga 13 meminta SPRM menyiasat secara terperinci dakwaan penyalahgunaan kuasa yang didakwa "menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam tersebut serta tindakan diambil tanpa prejudis berserta dua yang lain."

Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Jamil, Che Mat dan Shamsuddin.

Kos guaman itu adalah bersabit kes tuntutan qazaf oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan ketiga-tiga mereka sebagai responden.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan jumlah tersebut telah dikembalikan selepas MAIWP menerima geran RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran, elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan.

malaysiakini/-

Doa bila hujan

5 Safar 1433H. [MOD] -

Allahumma soi yiban naa fi'a

Maksudnya : Ya Allah, jadikanlah ia hujan yang bermanfaat. (HR Bukhari).

Dalam riwayat Ibnu Majah, Nabi saw mengucapkan sebanyak dua atau tiga kali.

tazkirah/-

Jualan dinar, dirham lebih RM40.9 juta

5 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 30 Dis: Pencapaian Kelantan Gold Trade (KGT) sepanjang tahun ini begitu membanggakan sehingga mencecah jualan bersih dinar dan dirham berjumlah RM40,947,972.

(Rekabentuk baru Dinar Kelantan)

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata dengan pencapaian itu KGT muncul sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang begitu aktif dalam urusan jual belinya.

Husam memberitahu, keuntungan kasar yang diperolehi KGT sepanjang tahun ini RM5,211,484 selepas ianya mula ditubuhkan setahun lalu.

Husam menjangkakan keuntungan bersih itu akan meningkat lagi pada tahun hadapan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya petang semalam.

“Hari ini juga kita akan perkenalkan reka bentuk baru dinar sempena tahun baru hijrah 1433 hijrah, termasuk mengeluarkan setengah dinar, 2.16 gm, dua dinar, lapan dinarpun ada,” ujarnya.

Husam berkata, perbezaan dinar lama dengan yang baru dikeluarkan ini, ciri-ciri keselamatan, termasuk kalimah ‘Lailahaillallah.. Muhammadurasulullah yang menggunakan hologram.

Sehubungan itu, Husam berkata, dinar berkenaan muncul sebagai dinar yang pertama mempunyai ‘hologram’.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh pengeluaran dinar dan dirham di negeri ini, ianya diakui terbaik berbanding yang dikeluarkan dalam sejarah manusia.

Husam juga turut mendedahkan Dinar Kelantan mempunyai Kod DNA untuk menjaga keselamatan dinar tersebut.

“Kita jangka dinar ini akan diedarkan pertengahan Febuari 2012,” ujarnya.

Selain itu, katanya KGT turut mengeluarkan ‘dirham kenangan’ bernilai 10 dirham untuk golongan remaja dan wanita yang boleh dibeli dengan harga RM250, iaitu mengikut harga pasaran semasa.

Katanya, pengeluaran dirham itu begitu terhad dan mempunyai reka bentuk yang menarik sempena keluaran khas.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang berminat untuk memiliki dinar dan dirham berwajah baru itu boleh didapati di wakalah (cawangan yang sah) sama ada dalam dan luar Kelantan.

Harakah Daily

Ambil bekalan ayam daripada peniaga bukan Islam

5 Safar 1433H. [MOD] -

PERIKSA...pegawai LPKPM menyoal pembantu dapur sebuah kedai makan di Medan Selera Farlim.

PETALING JAYA: Seorang peniaga makanan di Medan Selera Farlim Jalan PJS 8/9, Bandar Sunway, di sini, mengejutkan ramai pelanggan dengan membuat kecoh apabila enggan memberikan kerjasama ketika pegawai Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) melakukan pemeriksaan terhadap kedainya.

Bagaimanapun, kekecohannya itu bersebab apabila siasatan mendapati dia memperoleh bekalan ayam mentah daripada peniaga bukan Islam yang diragui halalnya.

Malah, ketika resit ayam diminta, dia cuba mengalih perbualan dengan menyuruh LPKPM memeriksa premis lain yang bermasalah.

Hasil siasatan mendapati, peniaga terbabit memang mengambil bekalan ayam mentah daripada peniaga bukan Islam, namun dia enggan bekerjasama.

Malah, keadaan dapur peniaga terbabit kotor dan sampah dipenuhi lalat.

Operasi kali pertama yang dilakukan LPKPM dengan kerjasama penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu bertujuan memastikan peniaga Islam mempamerkan logo halal di samping menjaga kebersihan premis masing-masing.

Ketua Pegawai LPKPM, Sharifah Mat Nor Rashid, ketika ditemui berkata, pihaknya perlu tegas dengan masalah itu dan akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak terbabit seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Harian Metro

Saf

5 Safar 1433H. [MOD] -

Dari Anas bin Malik ra, Rasulullah saw, bersabda, "Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian daripada kesempurnaan solat". (HR Bukhari & Muslim)

Daripada Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok atau akan berpecah belah hati kamu." (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda,"Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf) dan janganlah kamu biarkan celah-celah yang kosong itu untuk syaitan. Sesiapa menghubungkan saf maka Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya dan sesiapa memutuskan saf maka Allah akan memutuskan dia daripada rahmat dan pertolonganNya". (HR Abu Daud)

Daripada Nu’man bin Bashir berkata: “Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya(buku lali) dengan mata kaki(buku lali) saudaranya.” (HR Abu Daud).

Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda: "Pada waktu solat setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki (buku lali) saudaranya". (HR Bukhari).

Nabi saw. bersabda,"Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf". (HR Abu Daud).

Nabi saw. bersabda "Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup ruang kosong dalam saf". (HR Thabrani).

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw. bersabda, "Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah di hadapan dan seburuk-buruk ialah di belakang, sebaik-baik saf bagi wanita ialah di belakang dan seburuk-buruk ialah di hadapan." (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw. bersabda, "Seandainya kamu tahu kelebihan yang terdapat di saf pertama niscaya kamu akan membuat undian untuk mendapatkannya". (HR Bukhari & Muslim)

Nabi saw. bersabda,“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya mengucapkan selawat (selawat Allah: rahmat dan selawat malaikat: istighfar) terhadap makmum-makmum di saf pertama”. (HR Abu Daud dan Nasa’i)

tazkirah/-

RapidKL perkenal token merah untuk warga emas

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - RapidKl memperkenalkan token merah bagi warga emas bagi membolehkan mereka menikmati tambang konsesi atau diskaun 50 peratus bagi tiket Aliran Transit Ringan (LRT) bermula 1 Januari ini.

Pengarah Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) bagi Divisyen Rel, Khairani Mohamed berkata, pengguna berusia 60 tahun ke atas juga akan menikmati tambang separuh harga bagi perkhidmatan KL Monorel.

"Token merah bagi perjalanan sehala ini juga ditawarkan untuk golongan kurang upaya,” katanya.

Katanya, buat masa ini, token LRT dan tiket separuh harga monorel itu hanya boleh dibeli di kaunter tiket.

Beliau turut menasihati warga emas agar menggunakan Kad Warga Emas RapidKL bagi mengelakkan mereka berbaris membeli token berkenaan.

Jelasnya, mereka yang layak boleh memohon kad itu di Stesen LRT Pasar Seni secara percuma dengan hanya perlu membawa kad pengenalan diri atau MyKad, salinan MyKad dan melengkapkan borang permohonan di kaunter di stesen berkenaan.

Bagi OKU pula, mereka perlu menunjukkan kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - BERNAMA

Banjir di dua negeri pulih

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Keadaan kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Johor dan Pahang beransur pulih setakat pagi ini dengan kebanyakan mangsa telah kembali ke rumah masing-masing.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di Segamat kekal 241 orang daripada semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat pukul 8 pagi tadi, enam pusat pemindahan itu menempatkan 58 keluarga dari Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya.

Sementara di Pahang pula, semua mangsa banjir yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Gadak, Rompin dibenarkan pulang malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, seramai 15 orang yang ditempatkan di balai raya tersebut dibenarkan pulang pada 8 malam selepas keadaan banjir di penempatan mereka pulih daripada fenomena air pasang.

"Mangsa di kawasan penempatan itu merupakan mangsa pemindahan terakhir manakala di kawasan lain tidak melibatkan pemindahan baru,” katanya. - BERNAMA

Tol RM9.10 sehala bebankan rakyat Johor – Jui Meng

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 30 Dis : KEADILAN Johor membantah sekeras-kerasnya cadangan kadar tol Lebuh Raya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL) sebanyak RM9.10 sehala oleh pemilik konsesi, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata, kadar tol yang tinggi itu menjadi beban terutama kepada rakyat Johor yang bekerja di Singapura dan perlu membelanjakan kira-kira RM18 sehari bagi berulang alik ke negara republik itu.

“Ini memberikan keuntungan mega kepada kroni Umno, berpuluh-puluh ribu warga Johor keluar masuk ke Singapura. Adakah mereka perlu menanggung kos tol yang tinggi ini?,” kata beliau kepada Keadilandaily.

Malah katanya, cadangan kadar tol yang keterlaluan ini akan turut menjejaskan industri pelancongan di Johor Bahru.

“Semua ini semata-mata hendak menguntungkan kroninya dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat. Justeru kita (KEADILAN) membantah sekeras-kerasnya.

“Rakyat akan mendapat tambahan beban dari aspek kewangan, dan ia juga melibatkan orang Singapura yang akan berkira-kira masuk ke JB. Walaupun mata wang singapura lebih tinggi, tetapi RM18.20 adalah jumlah yang besar,” kata beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Sebelum ini Suara KEADILAN melaporkan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Johor, Steven Chong berkata, kadar tol yang tinggi itu memberi kesan kepada ekonomi Johor Bahru JB.

“Paling terkesan ialah pendapatan pemandu teksi Johor Bahru-Singapura yang akan merosot teruk. Kadar tol ini menjadi punca kerana kos minima bagi sebuah kereta bagi perjalanan pergi balik adalah sebanyak RM18.20,” kata Steven.

EDL dibina dengan kos RM977 juta sepanjang 8.1 km dari Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bersambung ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) melalui susur keluar Pandan.

Pembinaannya bermula Februari 2008 dan dijangka beroperasi pada Februari 2012.
Steven turut mempersoalkan pemegangan konsesi selama 34 tahun yang tidak munasabah oleh MRCB. Syarikat itu bakal menerima perolehan berjumlah RM5.647 bilion, sedangkan kos pembinaannya hanya RM1 bilion.

“Jika kita ambil RM9.10 bagi sebuah kereta dengan lebih kurang 50,000 kenderaan masuk keluar setiap hari, ini bermakna kutipan tol sehari ialah RM455,000. Dalam sebulan, RM13.8 juta dan setahun RM166 juta (keuntungan),” kata beliau.

Keadilan Daily

Rakyat Selangor dapat jalur lebar percuma tahun depan

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 30 Dis : Bagi mendekatkan lagi agenda kerajaan negeri dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Selangor bakal memperuntukkan jalur lebar (wifi) percuma kepada rakyatnya bermula 2012.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei, langkah bijak Selangor itu bagi melahirkan rakyat celik internet di samping dapat menyalurkan maklumat dengan tepat kepada rakyat.

“Dengan adanya wifi percuma, rakyat lebih senang mendapatkan informasi tepat dan benar daripada kerajaan negeri khususnya.

“Ini adalah salah satu cara sesebuah negara demokrasi memberi kemudahan kepada rakyatnya,” kata Pei Nei kepada Suara Keadilan.

Kata beliau, bagi memperluaskan kemudahan itu, beliau menyarankan Kerajaan Selangor menubuhkan pusat internet terutamanya di kawasan kampung.

“Sasaran kemudahan ini akan dinikmati masyarakat bandar dan desa seluruh Selangor. Pelaksanaan yang bakal dimulakan pada tahun depan itu akan diadakan secara berperingkat.

“Kita sedar bukan semua mempunyai komputer, dan atas sebab itu saya mencadangkan pembinaan pusat cyber rakyat bagi keluarga yang tidak mempunyai komputer,” ujarnya.
Tambah Pei Nei, program itu juga mungkin diperluaskan dengan menyalurkan komputer percuma kepada setiap keluarga.

“Kerajaan Selangor harus memberikan komputer percuma kepada golongan belia dan keluarga kurang berkemampuan supaya mereka tidak akan ketinggalan maklumat terkini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, pelaksanaan wifi percuma di Selangor bagi memastikan rakyatnya dapat menerima informasi dengan tepat dan bebas, sesuai dengan Enakmen Kebebasan Informasi (FOI) yang diluluskan kerajaan negeri.

Beliau berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh orang ramai yang menggunakan komputer riba atau telefon bimbit untuk menerima dan menghantar informasi dengan lebih baik.

Keadilan Daily

Seleweng zakat: KEADILAN lapor polis minggu depan

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 30 Dis: KEADILAN akan membuat laporan polis terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Bahrom jika beliau masih enggan menjawab skandal penyelewengan wang zakat melibatkan dirinya, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Penjelasan itu kata Pengarah Komunikasi KEADILAN itu penting kerana kenyataan individu tertentu yang menjawab skandal tersebut bercanggah antara satu sama lain dan mengelirukan rakyat.

“KEADILAN akan membuat laporan polis pada minggu depan jika tiada penjelasan munasabah (dari Jamil Khir) tentang percanggahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Percanggahan itu kata beliau termasuklah dakwaan Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali kelmarin kononnya Pakatan Rakyat mempolitikan isu itu.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail semalam memberi alasan agensi itu mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi membayar yuran guaman melibatkan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Che Mat dan Jamil Khir bagi kes tuntutan qazaf.

“Namun jawapan Che Mat dan Muhammad Yamin bercanggah dengan beberapa pihak yang tiada kaitan dengan Pakatan Rakyat.” katanya.

Nik Nazmi memberi contoh bagaimana Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim (timbalan Jamil sendiri) mengakui kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Dewan Rakyat pada 21 Jun lalu.

“Pada 23 Jun lalu pula, peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman.

“Manakala pada 21 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010 kerana geran kerajaan gagal menampung pembayaran yuran guaman itu,” katanya.

Walau menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun 2010, katanya, pembayaran semula hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.
Beliau juga berharap Che Mat menjawab persoalan dibangkit Saifuddin Jun lalu mengenai kesahihan prosedur yang diguna kerana beliau yang memohon peruntukan kos guaman itu dan beliau juga selaku Setiausaha MAIWP yang meluluskannya.

“Sewajarnya Jamil tampil menamatkan sebarang keraguan dan saya difahamkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin sudah menasihatkan Jamil untuk mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya.

Keadilan Daily

Dakwat kekal: Belum jamin PRU telus – Anwar

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 30 Dis: Penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 nanti bukan jaminan proses pengendalian pilihan raya itu telus, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) semalam yang mengumumkan pindaan ke atas peraturan pilihan raya bagi mewajibkan penggunaan dakwat kekal dalam proses pilihan raya menjelang 1 Februari 2012.

“Perubahan kecil ini tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan kepada proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas dan bersih sepenuhnya,” kata Ketua Umum KEADILAN itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Ini kerana katanya, banyak lagi perubahan yang perlu dibuat oleh PSC terutamanya melaksanakan lapan tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).

“Agensi media awam seperti RTM dan Bernama sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara.

“Tempoh masa kempen pilihan raya dilanjutkan dalam memastikan sebaran maklumat sepanjang tempoh berkempen dapat dicapai oleh segenap lapisan rakyat. Tempoh masa berkempen yang terlalu singkat (10 hari), sepertimana Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru sewajarnya tidak berulang,” tegas Anwar.

Menurut Anwar, pengawasan terhadap komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu dijamin menerusi pengukuhan badan kehakiman yang lebih bebas dan adil.

“Justeru, Pakatan Rakyat komited dan menuntut supaya pihak PSC turut menumpukan penambahbaikan proses pilihan raya ini dengan mengkaji serta menimbang secara menyeluruh kesemua tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih dalam menjamin pilihan raya yang bebas, telus dan adil,” katanya.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

PSC sebelum ini ditubuhkan bagi meneliti sistem pilihan raya akan membentuk rangka kerjanya berdasarkan pada lapan tuntutan Bersih 2.0.

Keadilan Daily

Ketua Ulamak sambut baik pertemuan mahabbah

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib bersyukur dan amat menyambut baik keputusan pertemuan mahabbah untuk menyelesaikan perbezaan pandangan di dalam parti yang diadakan baru-baru ini dengan semangat ukhuwwah yang tinggi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Datuk Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang diadakan di Kelantan, Selasa lalu.

“Amalan memohon kemaafan amat dituntut dan digalakkan oleh ajaran Islam, terdapat dalam satu hadis yang menceritakan kelebihan orang yang meminta maaf, Allah SWT amat menyayangi mereka yang melakukan keterlanjuran kemudian kembali kepada Allah SWT.

“Kedudukan mereka sangat istimewa di sisi Allah SWT berbanding mereka yang enggan melakukan tindakan sedemikian rupa,” tegas beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau lagi, memandangkan kemelut tersebut telah selesai dan kedua-dua tokoh tersebut telah menjelaskan kepada kepimpinan tertinggi parti, maka sebaiknya tidak perlu lagi diambil tindakan yang lain.

Ujar beliau yang juga Adun Manir, Terengganu, pihak parti juga perlu melihat angkara siapa yang sebenarnya yang menjadi punca permulaan yang menyebabkan kemelut itu tercetus sebagai pengajaran pada masa akan datang.

Harakah Daily