30 Disember 2011

Banjir di dua negeri pulih

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Keadaan kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Johor dan Pahang beransur pulih setakat pagi ini dengan kebanyakan mangsa telah kembali ke rumah masing-masing.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di Segamat kekal 241 orang daripada semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat pukul 8 pagi tadi, enam pusat pemindahan itu menempatkan 58 keluarga dari Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya.

Sementara di Pahang pula, semua mangsa banjir yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Gadak, Rompin dibenarkan pulang malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, seramai 15 orang yang ditempatkan di balai raya tersebut dibenarkan pulang pada 8 malam selepas keadaan banjir di penempatan mereka pulih daripada fenomena air pasang.

"Mangsa di kawasan penempatan itu merupakan mangsa pemindahan terakhir manakala di kawasan lain tidak melibatkan pemindahan baru,” katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: