30 Disember 2011

Buruh binaan dituduh cedera lelaki

5 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan mencederakan seorang lelaki hingga putus pergelangan tangan kiri di Machang, 17 Disember lalu.

Pertuduhan terhadap, Mohd Faiz Zahari, 26, dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi, Mohd Faiz didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Imrol Fazly Abdullah, 30, dengan menggunakan sebilah parang pada jam 7.30 malam, tarikh berkenaan.

Kejadian didakwa berlaku di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Pangkal Changgong, Machang.

Bagaimanapun, pada prosiding semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah menyebabkan Hakim Azman Mustpha menetapkan 1 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen kepada peguam bela tertuduh.

Pendakwaan ke atas tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nurhilwani Mat Riffin.

“Jaminan tidak ditawarkan kerana tuduhan yang dihadapi adalah serius dan melibatkan kecederaan putus pergelangan tangan kiri. Tambahan, mangsa kini masih lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: