(05 Safar 1433 / 30 Disember 2011)
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah sekelian!
Saya berpesan kepada diri sendiri dan berpesan kepada sidang jemaah sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Sesungguhnya hanya dengan taqwa mampu memberikan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ – آل عمران : 102
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu berada dalam Islam.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
2 hari lagi akan memisahkan kita dengan tahun masihi 2011. Sesungguhnya pelbagai cabaran dan rintangan telah kita hadapi sepanjang tahun ini, sama ada kita telah menunaikan amanah kita sebagai Khalifah Allah ataupun kita terus alpa dengan kenikmatan dunia. Manusia sifatnya berubah, dan kita perlukan perubahan untuk meneruskan kehidupan. Ianya merupakan Fitrah yang dijadikan oleh Allah sepertimana firmanNYA dalam surah ar Rum ayat ke 54,
ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍۢ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعْدِ ضَعْفٍۢ قُوَّةًۭ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعْدِ قُوَّةٍۢ ضَعْفًۭا وَشَيْبَةًۭ ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۖ وَهُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْقَدِيرُ ﴿٥٤﴾
Allahlah yang telah menciptakan kamu bermula dari keadaan yang lemah, kemudian dia telah menjadikan kamu daripada keadaan lemah kepada keadaan kuat dan memiliki keupayaan tenaga, kemudian dia menjadikan kamu dari keadaan kuat kepada keadaan lemah semula. Sesungguhnya Alllah menciptakan sesuatu apa yang Ia kehendaki.
Ayat ini memberikan kita isyarat betapa al Quran telah awal-awal membicarakan persoalan kitaran hayat manusia yang akhirnya dibuktikan kebenarannya oleh pengetahuan sains dan teknologi. Manusia yang lahirnya dalam keadaan lemah, mempunyai anggota yang lengkap tetapi tidak mampu mempertahankan dirinya dari diperlakukan apa sahaja oleh manusia lain yang lebih dewasa. Ini amat berbeza dengan sesetengah haiwan yang sebahagiannya sudah mampu berdikari sebaik menjejakkan kaki ke muka bumi.
Manusia yang dilahirkan dalam keadaan tidak bermaya, kemudiannya menjadi dewasa, antaranya ada yang menyedari kelemahannya sebagai hamba, sebahagiannya pula mendabik dada melupakan Pencipta. Di saat usia semakin tua, tenaga dan upaya semakin berkurangan, akhirnya kita akan kembali kepada Tuhan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Modal utama kita ialah masa. Atas dasar itu nabi bersabda mengingatkan kita :
اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ ، وَفَرَاغَك قَبْلَ شَغْلِكَ ، وَغِنَاك قَبْلَ فَقْرِكَ ، وَشَبَابَك قَبْلَ هَرَمِكَ ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِك. – ابن أبي شيبة.
Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, masa hidupmu sebelum matimu, masa lapangmu sebelum sibukmu, masa kaya atau berada sebelum papa, masa mudamu sebelum tuamu dan masa sihat sebelum sakit, .
Tahun-tahun yang berlalu, sama ada kita menggunakan kalendar Hijriyyah mahupun Masihiyyah, kita yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara kita. Masa untuk kita melakukan perubahan tidak akan sentiasa menunggu kita. Tahun lalu telah menjadi sejarah yang tidak akan berulang kembali. Apa yang mampu kita lakukan hanyalah mengambil peluang untuk melakukan perubahan di tahun akan datang.
Sidang Jumaat Sekelian,
Pakar kemasyarakatan Islam silam, Ibnu Khaldun menyatakan dalam salah satu penulisannya;
Jatuh bangunnya sesuatu tamadun berpunca daripada dua faktor. Faktor tersebut ialah kesedaran agama dan ikatan persaudaraan.
Beliau melihat perkembangan sesuatu bangsa dan tamadun itu dalam lima tahap perubahan berdasarkan pengamatan dan kajian beliau terhadap jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan sesebuah tamadun lampau. Antara tahap manusia yang disebutkan apabila sesuatu bangsa atau tamadun itu mencapai kemewahan dan tahap pencapaian kemajuan tertinggi sehingga membentuk sifat-sifat negatif dalam diri anggota masyarakat. Kesedaran agama semakin terhakis dan ikatan persaudaraan semakin terungkai. Apakah Islam tidak membenarkan umatnya maju dan mewah?
Sidang Jumaat Sekelian,
Islam tidak pernah menghalang mana-mana umatnya menjadi maju dan berusaha untuk mencapai kemewahan, asalkan ianya memenuhi syarat-syaratnya. Pertamanya, kekayaan yang diperolehinya adalah berdasarkan Hukum Syarak iaitu diperolehi secara halal dan tidak dibelanjakan pada yang haram. Kedua, melaksanakan tanggungjawab membelanjakan harta tersebut pada yang berhak. Ketiga, niat yang ikhlas dan keempat, tidak menyebabkan seseorang itu lalai dalam menjalankan tanggungjawab ibadahnya yang lain.
Sekiranya syarat tersebut dipatuhi, maka bukan sahaja kita beroleh kesenangan di dunia, malah akan mendapat ganjaran besar di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Mengapa kita harus berubah? Kita wajib berubah dari sudut sikap, etika, matlamat, dan semua aspek dalam keperluan kehidupan. Rata-rata masyarakat barat memperkatakan soal azam tahun baru dan sebagainya. Ianya merupakan manifestasi keazaman dalam diri. Di dalam al Quran, perkataan azam merujuk kepada bukan sahaja niat dan angan-angan, tetapi usaha-usaha gigih yang telah dilakukan berlandaskan profesionalisme tugasan, ketajaman kemahiran, dan kemantapan ilmu pengetahuan itu sendiri. Maka apabila kita melafazkan azam baru, ertinya kita meletakkan cabaran dan menguji diri agar bersedia untuk memiliki niat dan tujuan-tujuan murni. Langkah harus dimulakan untuk merubah diri, keluarga, masyarakat dan negara tercinta. Perubahan juga perlu kerana ada matlamat dan objektif yang ingin kita capai di dalam kehidupan ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Perubahan mestilah bersumberkan perundangan yang muktabar iaitu al Quran dan al Sunnah. Perubahan yang paling unggul ialah perubahan yang menjurus kepada kejayaan dunia dan akhirat. Kita wajib melaksanakan perubahan agar seluruh kehidupan kita selaras dengan kehendak Al-Quran dan Al-Sunnah. Allah berfirman dalam surah al-A'raf ayat 96 :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾
Maksudnya :
Dan kalau sekiranya penghuni satu-satu kariah itu beriman kepada Allah nescaya Allah bukakan keberkatan ke atas mereka dari langit dan bumi. Tetapi mendustakan Allah. Maka Allah siksakan mereka dengan perbuatan mereka sendiri.
Allah menjelaskan dari ayat di atas bahawa Allah menjamin kiranya satu-satu kawasan beriman dan berpegang dan mendapat keberkatan dari Allah ertinya dengan rezeki yang melimpah ruah dan memperolehi kehidupan yang hebat dan mendapat keberkatan daripada rezeki itu kiranya tidak tunggulah di sebaliknya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tidak ada perubahan yang lebih baik daripada berusaha merubah masyarakat kita menjadi masyarakat yang beriman dan bertaqwa. Masyarakat yang beriman dan bertaqwa hanya akan berkekalan dengan pengawasan dari pemerintah dan pemimpin yang beriman dan bertaqwa.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
*AMARAN!!! Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan