30 Disember 2011

Wanita Arab Saudi dibenar sertai pilihan raya 2015

5 Safar 1433H. [MOD] -

Tak perlu izin muhrim bertanding, mengundi

RIYADH: Wanita Arab Saudi tidak perlu mendapatkan kebenaran muhrim lelaki untuk bertanding atau mengundi dalam pilihan raya perbandaran pada 2015, apabila wanita negara itu dibenarkan merebut jawatan buat kali pertama, kata pegawai.

Perubahan ini menunjukkan langkah ke hadapan untuk mengurangkan sekatan terhadap wanita oleh kerajaan tetapi ia dianggap terlalu sedikit berbanding apa yang diharapkan kebanyakan reformis Arab Saudi.

Anggota Majlis Syura, Fahad al-Anzi yang dipetik akhbar milik kerajaan al-Watan kelmarin, berkata kebenaran untuk wanita bertanding dan mengundi diberikan oleh pemerintah Arab Saudi, justeru wanita tidak memerlukan kebenaran daripada penjaga lelaki.

Walaupun keputusan bersejarah dibuat Raja itu yang membenarkan wanita menyertai pilihan raya terbuka negara, undang-undang lelaki di Arab Saudi masih tidak berubah.

Wanita masih tidak dibenarkan melancong, belajar ke luar negara, berkahwin, bercerai atau memasuki hospital awam tanpa kebenaran daripada penjaga lelaki.

Profesor sejarah di Riyadh yang juga seorang wanita, Hatoun al-Fasi, berkata pengumuman yang wanita Arab Saudi boleh bertanding dan mengundi tanpa kebenaran penjaga lelaki masih dibahaskan.

“Ia muncul secara tiba-tiba dan mungkin pintu perdebatan terbuka walaupun kami sudah bosan mengenainya,” katanya.

Walaupun Raja Abdullah sudah melaksanakan beberapa perubahan kepada hak wanita, beliau masih berhati-hati tidak terlalu keras terhadap ulama yang sebelum ini menolak perubahan sosial.

Undang-undang penjaga lelaki membebankan wanita, kata aktivis wanita negara itu, Wajeha al Hawidar.

“Undang-undang ini memperlakukan wanita seperti kanak-kanak dalam semua aspek kehidupannya. Wanita tidak dianggap sebagai orang dewasa yang mampu berfikir,” kata al Hawidar.

Wanita Arab Saudi tidak boleh belajar ke luar negara melainkan dengan kebenaran penjaga lelaki dan menemani mereka sepanjang pengajian mereka. Hospital kerajaan tidak boleh menjalankan pembedahan terhadap wanita tanpa kebenaran penjaga lelaki melainkan kecemasan.

Penjaga lelaki di negara itu turut dibenarkan memberhentikan anak perempuan atau adik beradik perempuan dari sekolah pada bila-bila masa. Dalam kes ketiadaan bapa, bapa saudara atau adik beradik lelaki, ibu perlu mendapatkan kebenaran anak lelaki untuk bekerja atau melancong. – AP

Tiada ulasan: