30 Disember 2011

Parah diserang senjata tajam

5 Safar 1433H. [MOD] -

LUNAS - Seorang lelaki berusia 20-an cedera parah di bahagian badan, kaki dan kepala apabila dua lelaki bersenjatakan senjata tajam mencederakan mangsa di Jalan Paya Besar berhadapan dengan sebuah stesen minyak kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Mangsa yang menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya. Apabila tiba di persimpangan Taman Kobis motosikal mangsa dipintas motosikal suspek dan menyerangnya.

Mangsa yang tercedera cuba melarikan diri bagaimanapun rebah kira-kira empat meter dari tempat kejadian sebelum mendapat bantuan daripada orang ramai.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, beliau menerima panggilan daripada orang awam menyatakan seorang lelaki ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Menurut maklumat diperoleh daripada orang ramai yang berada di tempat kejadian, mangsa dikejar tiga motosikal dari Taman Kuchai hingga ke Taman kobis.

“Saya kemudiannya menghubungi ahli PPKM dan mengarahkan mereka pergi ke tempat kejadian untuk membantu mangsa, “ katanya.

Beliau turut bertindak menghubungi ambulan dari Hospital Kulim untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan kecemasan.

“Ini merupakan kejadian kedua, satu kejadian hampir sama turut berlaku di Taman Desa Aman, ” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh mengesahkan kejadian itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

“Kejadian ini melibatkan dua suspek dan seorang mangsa. Turut di temui kapak dan gergaji di tempat kejadian. Mangsa mengalami kecederaan masih di rawat. Polis masih menyiasat motif kejadian ini. Sehingga kini mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: