30 Disember 2011

Penganggur didakwa membunuh

5 Safar 1433H. [MOD] -

KULAIJAYA – Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulaijaya, di sini, semalam, selepas dituduh terlibat dengan kes pembunuhan seorang lelaki di tepi jalan raya, hadapan sebuah premis, Jalan Kenanga, Indahpura, di sini, 19 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh, Tee Hwa Ling, 41, dan Chiung Tien Chai, 26, mengangguk kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa kepada mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama seorang rakan lain yang masih bebas didakwa membunuh Lim Yong Chin, 37, di tepi jalan raya di hadapan premis bernombor 74, Jalan Kenanga 29/7, Indahpura di sini, kira-kira jam 2.45 pagi, 19 Disember lalu.

Bagi pertuduhan berkenaan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan.

Untuk prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan Majistret, Zaiton Anuar menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A Karthiyayini dan tertuduh belum melantik peguam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: