13 Februari 2012

Hari Valentine Hanya Haram Untuk Islam

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Setiap hari kita perlu menunjukkan perasaan kasih sayang antara satu
sama lain tanpa perlu menunggu hari-hari tertentu. Sikap sesetengah
pihak yang cuba membuat fitnah terhadap saranan PAS melarang penganut
agama Islam dari menyambut Hari Valentine telah disalah ertikan dengan
mengatakan PAS menyekat kebebasan hak orang ramai.

Mereka memberi gambaran seolah-olah PAS cuba menyekat kepercayaan
agama lain dari menyambut Hari Valentine dengan menuduh PAS tidak
sepatutnya menyekat mereka yang hendak meraikan Hari Valentine
tersebut.

Akibat salah faham, mereka ini menuduh PAS sudah menyimpang dari
perjuangan mereka selama ini iaitu memberi kebebasan beragama kepada
semua penganut agama di negara ini.

Sebenarnya tiada Isu PAS melarang penganut agama lain untuk meraikan
Hari Valentine. Kalau penganut yang bukan beragama Islam hendak
meraikannya terserah kepada kepercayaan masing-masing dan mereka bebas
melakukannya.

Apa dilarang oleh PAS ada bersesuaian dengan larangan agama Islam
sendiri kepada penganut agama Islam bukannya melarang penganut agama
lain dari melakukannya.

Jadi jelas, PAS tidak pernah mengatakan Hari Valentine mesti dilarang
kepada semua. Mungkin ada sesetengah pihak tidak faham atau sengaja
buat tidak faham maksud PAS melarang menyambut Hari Valentine.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh-tokoh agama telah
menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini
adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA)
dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan
ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Maka bagi orang Islam sudah jelas meraikan Hari Valentine adalah
bertentangan dengan akidah Islam dan bagi yang bukan Islam terserah
kepada kepercayaan masing-masing.

Diharap perkara sebegini tidak akan menimbulkan salah faham, antara
penganut Islam dan bukan Islam dalam Negara ini sebab kita kena
menghormati kepercayaan agama masing-masing.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

ABU akan dilancar seluruh negara

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Asal Bukan Umno (ABU) akan dilancarkan seluruh negara mulai 17 Februari ini di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia akan dilancarkan di Madrasah Ehsaniah Taman Bukit Anggerik @ METBA (Bersebelahan Padang), Bandar Tun Razak, Cheras.

Antara pemidato yang akan menyertai program ini adalah Haji Mohamd Sabu (Timbalan Presiden PAS), Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard (Ketua Penyelaras SAMM), Tan Sri Samad Said (Sasterawan Negara), Adam Adli (Aktivis Mahasiswa).

Pada 23 Februari pula pelancaran ABU peringkat negeri Selangor akan diadakan di Semenyih iaitu di Dewan Orangramai Beranang, Selangor.

Pada majlis ini, pemidatonya adalah Arulchelvan (PSM), Khalid Samad (PAS), Haris Ibrahim (NGI) dan Adam Adli (Aktivis Mahasiswa).

Selepas itu, ABU Melaka akan dilancarkan di Masjid Tanah pada 24 Februari manakala ABU Perak pula akan dilancarkan di Ipoh pada 25 Februari.

Pada 26 Februari pula, ABU Johor akan dilancarkan di Pasir Gudang dengan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan mengetuai pemidatonya.

Pada 3 Mac pula, pelancaran ABU Terengganu akan disempurnakan di Kuala Terengganu manakala pada 4 Mac akan dilancar ABU Kelantan iaitu di perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke 1V di Kota Bharu.

Pelancaran pentas ABU seterusnya adalah Negeri Sembilan - Rantau 6hb Mac, WP Kuala Lumpur - Wangsa Maju 9hb Mac, Pahang - Bera 10hb Mac, Penang - Balik Pulau 14hb Mac, dan Kedah- Alor Star 20 Mac.

Harakah Daily

Israel bedil kandang lembu

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KANDANG lembu yang musnah akibat terkena bedilan peluru berpandu pesawat tentera Israel di bandar Gaza semalam.

GENTING GAZA - Satu serangan tentera udara Israel semalam membedil kandang lembu milik seorang penduduk Palestin di sini.

Beberapa ekor haiwan itu cedera dan terbunuh akibat serangan berkenaan.

Dalam serangan itu, seorang penduduk Palestin dilaporkan terbunuh.

Tentera Israel menyatakan serangan tersebut dilancarkan bagi membalas dendam terhadap satu serangan roket yang dilakukan para pejuang Palestin.

Pertubuhan Pusat Palestin Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di bandar Gaza menyatakan, penduduk yang maut itu ialah seorang petani, Wyad Abdul Hadi Rajab yang berusia 71 tahun.

Menurut pertubuhan itu, dia merupakan pemilik kandang lembu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Israel.

Kandang lembu itu diserang dengan peluru berpandu.

Menurut pertubuhan tersebut, semasa serangan, petani itu berada di dalam biliknya yang musnah.

Seorang anak lelakinya mengalami luka.

Beberapa ekor haiwan ternakan lain turut terbunuh manakala beberapa peralatan lain juga musnah.

Pada Sabtu lalu, satu serangan roket yang dilancarkan para pejuang Palestin mengenai bandar Ashkelon, selatan Israel menyebabkan seorang wanita negara itu cedera ringan. - Agensi

Malaysia dicadangkan panggil Duta Syria

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mencadangkan kerajaan Malaysia memanggil Duta Syria ke Malaysia di samping mendesak OIC bertindak tegas terhadap kekejaman Syria terhadap rakyatnya.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam kenyataannya berkata, OIC perlu menempatkan pemerhati dan tentera bagi memantau situasi di Syria.

Tekanan perlu dibuat kepada Kerajaan Syria bagi patuh kepada norma-norma Islam dan antarabangsa dalam menghormati hak rakyat Syria.

PPMM juga menyeru Kerajaan Malaysia memanggil Duta Syria menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap keadaan di Syria dan memberi kata dua kepada Kerajaan Syria mengembalikan keamanan di Syria.

Kezaliman bukan merupakan suatu pilihan bagi menanhani isu perjuangan rakyat, katanya.

"PPMM yakin Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati masyarakat antarabangsa mampu memainkan peranan dan menggerakkan usaha bermuafakat dengan negara Islam yang lain mencari jalan penyelesaian isu kekejaman di Syria ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PPMM amat prihatin dengan suasana yang berlaku di Syria ketika ini. Pembunuhan beramai-ramai yang semakin berleluasa oleh Kerajaan dan tentera Syria perlu dihentikan serta merta.

Sehingga kini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan serai 6000 orang telah dibunuh sejak kebangkitan rakyat Syria pada bulan Mac 2011.

Kejadian ini adalah ulangan kekejaman yang dilakukan oleh bapa Bashar Al Assad iaitu Hafez al Assad yang telah membunuh 40,000 rakyat Syria di Hama pada tahun 1982 dalam tempoh 27 hari mengikut perangkaan Syrian Human Rights yang dipimpin oleh adik Hafez iaitu Rifaat Al Assad dari puak Syiah Alawi.

Pembunuhan pula dikatakan terarah kepada masyarakat Sunnah yang mahukan kebebasan di Syria.

Adalah amat malang bagi masyarakat dunia yang bertamadun PBB telah gagal menangani kezaliman ini secara tuntas, kata Zainul.

"PBB sebagaimana yang kita ketahui tetap menjaga anggota tetap Majlis Keselamatan dan sekutunya.
Struktur PBB yang memberikan kuasa veto kepada anggota-anggota tetap Majlis Keselamatan sering menggagalkan usaha meningkatkan keamanan dunia khususnya di Timur Tengah," jelasnya.

Ekoran itu, katanya, dalam banyak keadaan umat Islam telah punah kepercayaannya kepada PBB yang sering dilihat tidaka berupaya mengambil sebarang tindakan yang tuntas dalam menyelesaikan polemik yang dihadapi umat Islam kerana dibayangi kuasa-kuasa besar dunia.

Oleh itu, katanya, PPMM menyeru Pertubuhan Negara Islam (OIC) mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap Syria yang merupakan salah sebuah anggota OIC.

"Jika PBB gagal menangani isu ini, janganlah OIC juga melepaskan tangan dengan hanya memandang sahaja pembunuhan demi pembunuhan di bumi Syam itu," tegas beliau.

PPMM juga menyeru Kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Kerajaan Syria bagi menegaskan penghormatan Malaysia terhadap hak asasi rakyat Syria.

PPMM akhirnya menyeru Kerajaan Syria mengembalikan keamanan di Syria dan menghormati hak-hak masyarakat tanpa mengira samada mereka pengikut Syiah ataupun Sunnah.

Lebih penting lagi perjuangan untuk melaksanakan demokrasi di Syria perlu diberi ruang agar keadilan akan menjadi tunjang kepada sistem perundangan di Syria.

Kezaliman yang dilakukan oleh tentera Syria akan hanya meningkatkan pemberontakan di Syria dan akhirnya rakyat keseluruhan akan bangkit melawan kezaliman sebagaimana yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.

PPMM mengajak Kerajaan Syria mengambil iktibar dari situasi yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah beberapa tahun ini.

Pilihan yang tepat bagi menyelesaikan isu ini adalah berunding dengan rakyat tanpa mengira mazhab serta memberikan lebih hak kepada rakyat melaksanakan demokrasi di Syria, katanya.

Harakah Daily

Laluan tambahan LRT siap 2014

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menyasarkan projek penyambungan landasan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bagi aliran Kelana Jaya dan Ampang siap sepenuhnya pada tahun 2014.

Pengarah Kumpulan Divisyen Infrastruktur Prasarana, Zulkifli Mohd. Yusoff (gambar kecil) berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kemajuan projek terbabit yang kini mencecah 20 peratus.

“Projek ini berjalan dengan lancar dan kita menjangkakan perkhidmatan LRT Aliran Ampang dapat digunakan orang ramai pada Oktober 2014 manakala aliran Kelana Jaya pada Disember 2014,” katanya pada Majlis Penerangan Projek Penyambungan Landasan Sistem LRT kepada media di sini semalam.

Zulkifli berkata, sebanyak 90 peratus daripada kontrak kerja penyambungan landasan sistem LRT telah dianugerahkan kepada kontraktor terpilih.

Menurutnya, nilai kontrak yang dianugerahkan kepada kontraktor bagi aliran Ampang bernilai RM2 bilion manakala aliran Kelana Jaya sebanyak RM2.5 bilion.

Jelas beliau, beberapa lagi kontrak masih dalam proses tender dan baki kontrak itu dijangka selesai dianugerahkan kepada para kontraktor yang layak pada April depan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan sebenar kontrak yang telah diberi, sebaliknya memberitahu jumlah keseluruhan kontrak berkenaan antara 40 hingga 50 kontrak.

Kosmo

Ugut bunuh adik, abang dijel sehari

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Abang yang diharap dapat melindungi keluarga, sanggup bertindak luar kawalan sehingga sanggup mengugut bunuh adik-beradiknya sendiri.

Bagaimanapun, tindakan si abang itu tidak berbaloi apabila kedua-duanya, iaitu Mohd Noor Yusof, 40, dan Mohd Dahan @ Mohd Amran Yusof, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan bersama iaitu telah mengeluarkan kata-kata ugutan membunuh kepada ahli keluarganya iaitu Mohd Rosli Yusof, 28, dan Muhammad Fauzi Yusof, 19, pada 6 Februari lalu, kira-kira jam 7.30 malam di belakang Taman Koperasi, Padang Midin, di sini.

Dengan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebaik pertuduhan dibacakan, Mohd Noor mengaku bersalah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda RM3,000. Jika gagal membayar denda, hukuman penjara tiga bulan akan dikenakan.

Manakala Mohd Dahan pula mengaku tidak bersalah dan Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan tarikh 18 Mac depan sebagai tarikh sebut semula dan menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Sinar Harian

MB bertegas PAS 'parti ajaran sesat', sedia disaman

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya yang mendakwa PAS sebagai ‘parti ajaran sesat’.

Malah, menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, Ahmad dikatakan bersedia disaman oleh PAS berhubung dakwaan itu sambil menyerahkan kepada parti berkenaan untuk memilih sama ada kes itu dibawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

kuala terengganu by election 120109 ahmad said“Ikut pandai dia lah (terserah pada PAS), saya tunggu (bila PAS akan saman). Saya tak akan tarik balik.

“Terserah pada dia sama ada nak bawa kes ini ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Nak saman, saman lah,” kata menteri besar itu dipetik oleh akhbar milik Umno itu.

Jumaat lalu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata Ahmad diberi tempoh tiga hari untuk menarik balik kenyataannya bahawa parti itu adalah "parti ajaran sesat" ataupun berdepan dengan tindakan mahkamah.

Katanya, tuduhan oleh menteri besar itu adalah sesuatu yang sangat berat.

Mengulas isu itu, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dipetik berkata, beliau tidak akan tunduk dengan desakan PAS itu kerana penyelewengan dan kesesatan yang dibawa parti itu terhadap umat Islam bukanlah perkara baru.

hadi awang interview 040208 sullen“Tapi dia kata kita (BN dan Umno) macam-macam tak apa. Dia kata kita kafir tak apa,” katanya dipetik Utusan.

Menteri besar itu juga dilaporkan berkata ‘Amanat Haji Hadi’ dan Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah, adalah bukti yang jelas dan nyata berhubung dakwaannya itu.

“Selagi Tok Guru mereka (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak menarik balik amanat itu, selagi itulah PAS berada dalam kesesatan bersama sebahagian pengikutnya yang begitu taksub,” katanya lagi.

malaysiakini/-







Suami isteri curi barang dalam pasar raya

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Demikian yang berlaku kepada sepasang suami isteri yang dicekup ketika sedang memasukkan barangan keperluan harian ke dalam kereta bernilai lebih RM500 dipercayai dicuri dari sebuah pasar raya kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, perlakuan pasangan suami isteri itu dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mereka ditahan.

Ketika pemeriksaan dibuat, pasangan suami isteri itu berjaya membawa keluar dua troli penuh barangan dapur sebelum ditahan dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.

“Suami berusia 25 tahun manakala isterinya 30 tahun. Ketika ditahan, pasangan itu turut membawa dua anak mereka berusia tiga tahun manakala seorang lagi berusia dua bulan. Pasangan lelaki bekerja sebagai pembantu kantin manakala isterinya tidak bekerja.

“Dari maklumat diterima, ini merupakan kali ke lima pasangan itu mencuri sebelum berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan di pasar raya terlibat. Polis mengarahkan pasangan itu menghubungi waris masing-masing tetapi mereka enggan berbuat demikian kerana mereka bernikah tanpa restu keluarga,” katanya.

Polis mengarahkan salah seorang pasangan itu ditahan memandangkan mereka mempunyai anak yang masih kecil.

Si isteri dalam keadaan menangis meminta polis menahan dirinya dan membebaskan suami serta anak-anak dengan alasan dia tidak bekerja.

Si suami pula mengarahkan polis menahan isterinya kerana dia masih bekerja dan boleh menjaga kedua anak-anak mereka sekiranya isterinya ditahan lokap.

Bagaimanapun, polis membebaskan pasangan terlibat dengan jaminan polis dan mengarahkan mereka datang ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Sinar Harian

Katil juruterbang dalam pesawat Boeing

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KATIL untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat Boeing 787 baharu yang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura di Singapura semalam.

SINGAPURA - Pesawat penumpang baharu Boeing 787 Dreamliner mempunyai ruang rehat untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat itu.

Ia juga mempunyai ruang rehat yang sama untuk kru penerbangan lain seperti pramugara dan pramugari.

Menurut laporan Bernama, pesawat Dreamliner itu mempamerkan keupayaan jarak jauhnya beberapa hari lepas, terbang tanpa henti dari Boeing Field di Seattle, Amerika Syarikat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok dengan jarak 12,358 kilometer.

Pesawat itu yang membawa hampir 300 penumpang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura yang bermula esok sehingga 17 Februari depan. - Agensi

Helikopter terhempas, 4 maut

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KABUL 13 Feb. - Empat penumpang etnik Tajik maut apabila sebuah helikopter yang disewa dan membawa bekalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), terhempas di selatan Afghanistan ekoran mengalami masalah teknikal.

Timbalan Gabenor wilayah Zabul, Mohammad Jan Rasuli berkata, helikopter tersebut terhempas di daerah Shinkay di wilayah Zabul pada lewat kelmarin, membunuh semua penumpang.

Semua penumpang yang terbunuh dalam nahas itu berasal dari Tajikistan. - AFP

Presiden Myanmar rayu sokongan

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ORANG ramai berhimpun di hadapan ibu pejabat parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) bagi memperingati ulang tahun ke-65 Hari penyatuan Myanmar di Yangon, semalam. Gambar kecil, Thein Sein, Presiden Myanmar

Bekas jeneral ikrar tamatkan konflik, wujudkan keamanan berpanjangan

YANGON: Presiden Myanmar berikrar mewujudkan keamanan berpanjangan dengan pemberontak bersenjata dan merayu sokongan rakyat semalam, ketika ketegangan etnik terus menjejaskan pembaharuan di negara itu.

Thein Sein, bekas jeneral yang memegang kuasa tahun lalu selepas pemerintahan tentera berakhir, melancarkan usaha menamatkan konflik etnik selama berdekad sebagai sebahagian daripada pembaharuan sejak beberapa bulan lalu.

Rejim awam Myanmar mencapai perjanjian damai dengan beberapa kumpulan pemberontak termasuk etnik Karen di timur dan Shan tetapi pertempuran di Kachin yang bersempadan dengan China di utara mencetuskan ketidaktentuan berhubung perjalanan usaha perpaduan.

“Pembabitan keseluruhan rakyat amat diperlukan untuk menamatkan konflik bersenjata dalaman dan membina keamanan berpanjangan,” kata Thein Sein.
Ucapan sempena Hari Kesatuan, yang meraikan tandatangan perjanjian bersejarah dengan kumpulan etnik minoriti negara itu pada tahun 1947, menyebut kerajaan berusaha untuk terus mempromosikan demokrasi secara aman.

Dia berkata, rakyat gembira untuk melihat pilihan raya demokratik diadakan dan pembabitan sama rata, sambil mengulangi ikrar untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran yang baik dan memperbaiki peraturan undang-undang.

Rejim itu diberi pujian dan beberapa sekatan Barat ditarik balik kerana mengadakan pembaharuan termasuk membebaskan tahanan politik.

Ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi, kini berkempen untuk memasuki Parlimen dalam pilihan raya kecil 1 April ini, perkembangan yang berkemungkinan tinggi memberikan kesahihan kepada Parlimen selepas pilihan raya kontroversi pada November 2010.

Disember lalu, Thein Sein mengeluarkan arahan kepada tentera supaya menghentikan serangan ke atas gerila Tentera Pembebasan Kachin tetapi tindakan itu gagal menghentikan ketegangan.

Salah satu kumpulan pemberontak utama Myanmar, Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) memberi amaran perjanjian damai itu rapuh kerana pertempuran di kawasan etnik lain berterusan kerana hilang kepercayaan kepada kerajaan. – AFP

Odemwingie tambah derita Wolves

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LONDON 13 Feb. - West Bromwich Albion menambah derita pasukan Wolve dengan membenam pasukan yang merudum prestasinya dengan 5-1, termasuk jaringan hatrick penyerang Peter Odemwingie.

Pasukan kendalian Roy Hodgson itu mendahului pada minit ke-34 melalui pemain Nigeria itu.

Wolves bagaimanapun menyamakan kedudukan melalui Steven Fletcher, tetapi Jonas Olsson melebarkan jurang pada minit ke-64.

Selepas itu Odemwingie menambah jaringan pada minit ke-77 diikuti gol Keith Andrews minit ke-85, sebelum Odemwingie menutup tirai kemenangan besar pasukannya dengan satu lagi gol. - AFP

Tidak boleh sertai upacara bertentangan aqidah - PUM

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berpandangan semua pihak khususnya umat Islam sepatutnya lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu keterlibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam.

“Ini adalah kerana perkara tersebut mempunyai hubungkait dengan aqidah umat Islam. Aqidah adalah komponen teras dalam agama Islam,” kata setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Katanya, PUM berpandangan isu berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12 April 2005.

Beliuau berkata, salinan garis panduan tersebut boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim seperti di alamat www.e-fatwa.gov.my.

Dalam garis panduan tersebut, ujarnya antara keputusan yang diputuskan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah jelas menyatakan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam, beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

“Antara kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelasnya berpandukan keputusan tersebut, pada hemat PUM, adalah amat jelas jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut kerana boleh menjejaskan aqidah Islam.

“PUM juga amat mengharapkan semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan pandangan yang betul kepada para pemimpin di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri masing-masing dalam menangani isu ini,” katanya lagi.

Dalam pada masa yang sama, katanya seluruh pemimpin yang beragama Islam tersebut dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli agama tersebut.

Tambahnya, para pemimpin dan masyakarat bukan Islam juga adalah amat diharapkan supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam.

“Pendirian teras ini adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam,” ujarnya lagi.

Justeru, ujarnya semua pihak termasuk para pemimpin di setiap peringkat serta masyarakat awam adalah dinasihatkan supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama Islam khususnya melibatkan aqidah serta syariat Islam.

Beliau menambah, para pemimpin dan masyarakat awam juga adalah dinasihati supaya akur dengan nasihat dan pandangan para ulama’ dalam memelihara kedaulatan agama seperti yang diletakkan dalam prinsip maqasid syariah.

Katanya, PUM berpandangan isu itu adalah mustahak untuk ditangani dengan kadar segera disebabkan umat Islam akan terus berhadapan dengan perayaan agama orang bukan Islam.

Sehubungan itu, ujarnya PUM ingin mencadangkan kepada Jakim agar menganjurkan majlis dialog penerangan secara aktif kepada para pemimpin dan masyarakat Islam tentang keputusan dasar itu.

“Oleh yang demikian, PUM juga bersedia bekerjasama dengan Jakim, Majlis dan Jabatan Agama Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain institusi untuk memberikan kefahaman dalam isu yang berbangkit ini,” katanya.

Harakah Daily

YB BN lari ke Resident?

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Sebuah Jawatan-kuasa Bertindak bagi isu Rampasan Tanah Sekolah Rendah Agama Darul Bayan telah diwujudkan yang dianggotai dari kalangan para ibu-bapa, Pengerusi & AJK Ahli Lembaga Pengarah Sekolah serta Guru Besar dan kakitangan sekolah.

Mereka baru mengetahui pada akhir januari 2012 bahawa tanah sekolah mereka telah dirampas oleh 5 penama JKKK kampung Limbong & kg cacar.

Ketua JKKK, setiusaha, naib dan ajk JKKK sendiri sanggup mengambil tanah sekolah tersebut untuk kepentingan individu mereka sendiri.

Menyedari hal itu Jawatan Kuasa Bertindak tersebut berusaha untuk mendapatkan kembali hak tanah sekolah mereka dengan mengemukakan bantahan dan bertemu dengan pihak Pejabat Tanah Daerah, Pengarah Tanah & Galian Negeri Terengganu.

Mereka menyuarakan simpati tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana alasannya ini kerja orng politik. Pihak Jawatan kuasa juga cuba menemui Menteri Besar Terengganu tetapi gagal. Dan surat bantahan itu diserahkan kepada setiusaha MB.

Beberapa minggu berlalu tanpa respon akhirnya pihak Jawatan Kuasa menggerakkan demo bantahan secara aman agar pihak berkuasa memberi maklum balas segera.

Hari ini, Ahad (12 Februari - pengarang) hampir 3 ribu orang peserta termmasuk masyrakat setempat, ibu-bapa, guru-guru dan para pelajar berdemontrasi ditapak Sekolah Rendah Islam Darul Bayan di jalan Santong, Pekan Paka bermula jam 12.30 tengahari.

Mereka juga turut berarak ke Pejabat Adun Paka kerana pihak Adun & Ahli Parlimenlah yang terlibat secara langsung menandatangani kelulusan rampasan tanah tersebut.

Walaupun pejabat tersebut dibuka pada pagi tadi tetapi menyedari bahawa peserta demo berarak ke pejabat mereka lalu dengan segera pejabat tersebut ditutup.

Bahkan YB Zakaria selaku Adun Paka bertindak melarikan diri dan bersembunyi di Resident Resort, iaitu sebuah resort yang berhampiran.

Amat malang apabila beliau takut untuk berhadapan dengan peserta demo tersebut untuk menerima memorandum bantahan. Apabila peserta telah bersurai barulah pada petang ini mereka kembali berkumpul. Mungkin sedang bermesyuarat tergempar kot!

Apa yang kita dapat maklumat, tindakan ini sebagai satu sabotaj terhadap kepimpinan Menteri Besar Terengganu yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Said.

Semua maklum bahawa Adun Paka dan Ahli Parlimen Dungun iaitu “Datuk” Matulidi adalah team Idris Jusoh dan pastinya tidak sebulu dengan Pok Rosli selaku Ketua Bahagian Dungun yang penyokong kuat & selaku penasihat strategik MB.

Dengan isu yang ada sekarang, mereka boleh berlepas diri dan menyerahkan kepada Team Mat Said menjawab serta mempertahankan 5 orang JKKK yang diberi tanah tersebut dalam menghadapi persoalan dan bantahan orang-ramai.

Dan sememangnya begitu kerana kelulusan akhir adalah ditangan pihak Exco selaku ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan MB sendiri.

Pihak rakyat menunggu respon pihak berkuasa khususnya Datuk Mat Said dalam memberi jawapan yang munasabah sebagai sebuah parti yang mewar-warkan sebagai Parti pembela rakyat, bangsa melayu & agama Islam.

Apakah tindakan rampasan tanah Sekolah Agama ini mengambarkan tanda sebagai rakyat yang didahulukan ?

Sampai bila pihak berkuasa nak membisu???

Harakah Daily

Tiga kilang beroperasi di bawah kabel bervoltan tinggi

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI BULOH - Operasi tiga kilang yang dibina di bawah kabel bervoltan tinggi di Kampung Desa Aman, di sini menimbulkan kebimbangan penduduk.

Penduduk mendakwa, masalah yang berlarutan sejak lebih lima tahun itu perlu diberi perhatian sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Penduduk, Sin Ching Seong, 53, berkata, penduduk kini menuntut penjelasan dari pihak berwajib bagaimana kilang memproses bahan buangan itu diberi kebenaran beroperasi di kawasan hampir dengan penempatan penduduk.

“Kami mahu tahu, bagaimana kilang seumpama ini boleh mendapat kebenaran beroperasi di bawah kabel sedang risikonya sangat besar,” katanya.

Ching Seong berkata, meskipun aduan mengenai masalah itu pernah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun kilang itu masih tetap beroperasi.

Seorang lagi penduduk, R Vicky, 40, berkata, bukan sahaja faktor keselamatan, operasi kilang yang mengumpul bahan buangan itu juga dikatakan mengancam kesihatan penduduk.

Menurutnya, tidak mustahil, dengan keadaan sisa sampah yang banyak setiap hari, ia menjadi salah satu lokasi pembiakan nyamuk.

“Malah, kedudukan lokasi pusat ini yang terletak di jalan utama mengundang pelbagai persepsi buruk kalangan penduduk,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, terdapat tiga kilang memproses bahan kitar semula berada di bawah kabel berkenaan.

Kewujudan papan tanda larangan­ mengukuhkan lagi dakwaan penduduk bahawa semua kilang berkenaan tidak boleh beroperasi di situ.

Keadaan itu menyebabkan penduduk mahu, pihak berwajib memantau dan menyelaras semula kawasan kabel bervoltan tinggi itu.

Penduduk, Ah Fat, 49, berkata, sekiranya kebakaran berlaku, ianya boleh menjejaskan rumah lain yang berada di kawasan berhampiran.

Sinar Harian