08 Mac 2012

Yob tekad halang Terengganu

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TURUN sebagai pasukan bukan pilihan, Perak bertekad menyekat Terengganu pada pusingan kedua Piala FA, bagi memastikan layak ke peringkat suku akhir.

Kapten pasukan, Shahrulnizam Mustafa menuntut rakan sepasu­kan supaya tidak memberi ruang kepada anak buah Mat Zan Mat Aris mendominasi permainan.

“Saya harap mereka dapat mengekalkan momentum terbaik, terutama di posisi tengah dan pertahanan kerana Terengganu memiliki pemain yang sangat lincah dan kemahiran tersendiri,” katanya.

Selesa dengan reputasi pasu­kan underdog, Sharulnizam yang turut dikenali sebagai Arul yakin dengan ramuan jurulatih Norizan Bakar bagi memastikan pasukan dapat layak ke pusingan seterusnya.

“Kerjasama dan kesungguhan setiap anggota pasukan amat penting bagi memastikan matlamat pasukan tercapai,” katanya yang berharap pasukan dapat mengatasi Terengganu walaupun beraksi di gelanggang tuan rumah.

Perak yang memiliki dua pemain import musim ini, Micheal Kubala dan Lazar Popovic dijangka bakal membariskan barisan terkuatnya iaitu Akmal Rizal, K Nanthakumar dan penjaga gawangnya, Mohd Nasril Mat Nourdin untuk menyekat kemaraan skuad Penyu sekaligus memastikan matlamat satu piala musim ini tercapai.

Sinar Harian

Al-Qaeda ancam bunuh 73 tentera kerajaan

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ADEN 8 Mac – Kumpulan Ansar al-Sharia yang merupakan rangkaian al-Qaeda di Yemen, mengancam untuk membunuh 73 tentera kerajaan yang didakwanya telah ditawan, jika pihak berkuasa enggan membebaskan pengikut mereka yang dipenjara.

Ancaman itu dihantar menggunakan mesej pesanan ringkas kepada Reuters semalam, selepas kejadian pertempuran di selatan Yemen pada Ahad lalu antara kedua-dua pihak itu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 110 tentera kerajaan terbunuh.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada mesej itu benar-benar dihantar oleh kumpulan militan tersebut, tetapi mereka sebelum ini sering menggunakan kaedah sama untuk berhubung dengan media tempatan. – REUTERS

Nyaris maut rumah terbakar

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LINGGI – Seorang pekerja sebuah reban menternak ayam di Kampung Tha San, Permatang Pasir Linggi, di sini kerugian harta benda apabila rumah yang didiaminya musnah dalam satu kebakaran, malam kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.55 malam itu, pekerja berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

Sinar Harian difahamkan panggilan kecemasan diterima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang pada jam 8.58 malam dan tiba di lokasi berkenaan 35 minit kemudian.

Jurucakap bomba berkata, ketika tiba di lokasi, keadaan api sedang marak membakar rumah jenis separa kekal dan dapat dikawal dalam masa dua minit.

“Kemudian api dapat dipadamkan sepenuhnya dan kerja-kerja pembersihan selesai pada jam 11.40 malam.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi itu diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Sharif Ahmad dengan kekua­-tan lapan anggota dan dua jentera.

Terdahulu sepasukan anggota Bomba Sukarela Linggi memberikan bantuan awal dalam kejadian kebakaran tersebut.

Sinar Harian

Jag plastik umpan rompak

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang peniaga kedai barangan plastik terkedu apabila salah seorang pelanggan kedainya bertindak mengacukan pisau sebelum mengarahkan dia menyerahkan beg pinggang berisi wang RM4,000, hasil kutipan perniagaannya hari itu dalam satu kejadian samun di Medan Warisan di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Ong Kiow Beng, 58 yang enggan menuruti arahan perompak tersebut terpaksa bergelut demi menyelamatkan wang itu selepas suspek bertindak merampas beg tersebut dengan cuba memotongnya menggunakan pisau.

Menurutnya, akibat pergelutan itu, dia mengalami kecederaan di peha selepas terluka terkena hujung pisau itu.

Menurutnya, kejadian berlaku di belakang premis kedai itu disedari suaminya lalu lelaki itu cuba membantu dan memukul suspek menggunakan tong plastik.

“Suspek turut mengacukan pisau ke arah suami saya sebagai amaran supaya tidak melawan sebelum datang seorang lelaki lain membawa sebilah parang lalu menyerang kami.

“Lelaki itu melibas parang ke arah suami saya, manakala rakannya bertindak merampas beg pinggang saya dan terus melarikan diri,” katanya.


Cuba kejar suspek

Kiow Beng berkata, suaminya cuba mengejar suspek bagaimanapun mereka berjaya melarikan diri ke arah jalan besar dan beredar menaiki sebuah kereta jenis Produa Myvi putih yang diletakkan di tepi Jalan Kuantan-Gambang arah Gambang.

“Suspek terjatuh beberapa kali ketika cuba melarikan diri bagaimanapun suami saya tidak dapat untuk menghalang mereka memandangkan dia dan pekerja sahaja yang ada ketika itu,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak 15 tahun lalu.

Dia berkata, pekerjanya, Anamul Haave, 34, turut cedera di belakang selepas dipukul suspek menggunakan belakang parang.


Suspek pernah datang ke kedai

Menceritakan detik awal kejadian, Kiow Beng berkata, suspek datang ke kedainya kira-kira jam 4 petang untuk membeli dua jag air.

“Saya cam wajah dua lelaki itu kerana mereka ada datang ke kedai ini kira-kira jam 11 pagi tadi (kelmarin) dan membeli barang sama.

“Ketika itu pelanggan agak ramai dan mereka beredar menaiki kereta jenis Produa Myvi tapi berwarna hitam,” katanya.

Dia berkata, selepas suspek membayar harga barang tersebut, dia beredar ke dapur meninggalkan pekerja di bahagian depan untuk melayan pelanggan, manakala suami berada di dalam pejabat.

“Saya perasaan salah seorang daripada lelaki itu mengekori hingga ke dapur sebelum berlaku kejadian ini,” katanya.


Suami nyaris cedera dilibas parang

Suami mangsa berusia lingkungan 60-an berkata, selepas mendengar bunyi bising, dia keluar dari pejabat dan segera ke belakang sebelum ternampak suspek sedang bergelut dengan isterinya.

“Saya sempat ambil satu tong plastik lalu memukul lelaki itu bagaimanapun dia segera mengacukan pisau dan memberi amaran supaya tidak melawan.

“Ketika itu juga, kawannya datang dan bertindak melibas parang namun saya sempat mengelak dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.


Pekerja turut jadi mangsa

Anamul yang berasal dari Bangladesh berkata, dia melayan lelaki itu dengan baik dan langsung tidak mensyaki niat jahat mereka.

Menurutnya, selepas menyerahkan barang dibeli, salah seorang suspek pergi ke bahagian belakang manakala seorang lagi menunggu berhampiran saya sambil membawa sebilah parang.

“Selepas melihat majikan cuba dirompak, saya cuba membantu tetapi lelaki yang berada di sebelah tiba-tiba bertindak memukul belakang saya menggunakan parang,” katanya yang bekerja di situ sejak tiga tahun lalu.


Polis siasat kejadian

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa kira-kira jam 4.40 petang berhubung kejadian.

Menurutnya, beberapa anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri sebelum pihaknya tiba.

“Menurut keterangan mangsa, suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan menggunakan kereta jenis Produa Myvi berwarna putih, namun tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran digunakan.

“Berdasarkan pengecaman mangsa, salah seorang suspek bertubuh kurus, tinggi dan berkulit putih manakala seorang lagi bertubuh kecil dan rendah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, polis percaya suspek sudah memantau kedai tersebut memandangkan mangsa ada memberitahu mereka pernah datang kira-kira jam 11 pagi bagaimanapun tidak sempat bertindak disebabkan pelanggan lain agak ramai.

“Suspek juga sudah bersedia sebelum bertindak memandangkan mereka meletakkan kereta di tepi Jalan Kuantan-Gambang arah Gambang kira-kira 200 meter dari kedai tersebut bagi memudahkan mereka melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek terlibat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun keseksaan.

Sinar Harian

Penggali perigi nyaris maut

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang penggali perigi nyaris maut apabila terperangkap dalam perigi selepas tangan kirinya dihempap dan tersepit di bawah kolong ketika menggalinya bersama rakan di Kampung Padang Purut, Dewan Beta, dekat sini, semalam.

Mangsa, Ab Ghani Yusof, 50, berkata, sebelum kejadian dia mengorek tanah menggunakan cangkul di dalam perigi sedalam kira-kira 1.5 meter dan ketika itu rakannya, Zakaria Mamat, 36, berada di atas.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, tangan kiri Ab Ghani bengkak selepas hampir satu jam tersepit sebelum diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Menurutnya, selepas menggunakan cangkul dia kemudiannya melakukan kerja-kerja mengorek tanah liat dengan tangannya bagi meratakan kedudukan konkrit perigi terbabit.

“Ketika berada di dalam perigi, secara tiba-tiba empat kolong yang siap dipasang menghempap tangan saya dan dalam masa sama tangan saya turut tersepit.

“Saya cuba menarik tangan yang tersepit tetapi tidak berjaya juga kerana konkrit ini sangat berat. Lagipun ketika itu perigi dipenuhi air,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Ab Ghani berkata, kerana dikhuatiri lemas dia terpaksa menjerit meminta tolong dengan kawannya yang ketika itu berada berhampiran kawasan perigi terbabit.

Sementara itu, Zakaria berkata, selepas terdengar jeritan rakannya itu dia bergegas ke kawasan perigi dan terjun untuk memberi bantuan tetapi gagal.

Dia berkata, selepas hampir setengah jam berada di dalam perigi, dia berusaha mencuba mengangkat kolong itu tetapi gagal kerana terlalu berat.

“Selepas puas mencuba mengangkat perigi saya sudah tidak mampu lagi, saya kemudiannya keluar dan meminta bantuan daripada Mohd Hanafi Abdul Ghani, 42, pemilik rumah tersebut sebelum menghubungi bomba,” katanya.

Ketua Operasi menyelamat, Mohd Rashid Yusof berkata, empat anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.12 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pasukannya mendapati mangsa masih terperangkap di dalam perigi dan menggunakan alat pemotong serta memecahkan polong untuk menyelamatkan mangsa.

“Selepas setengah jam menjalankan kerja-kerja menyelamat, akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan dan mangsa kemudian dihantar ke klinik swasta berhampiran untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Pemilik rumah, Mohd Hanafi berkata, dia terpaksa menggali perigi kerana bekalan air di rumahnya berkeladak dan penduduk lain juga mengalami masalah sama.

“Saya difahamkan semua penduduk di sini, menggunakan air boring dan ada di antaranya menerima bantuan enjin air dari Jabatan Kesihatan Kelantan,” katanya.

Sinar Harian

Bekas pengurus 'kebas' duit pelanggan dipenjara

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Seorang bekas eksekutif Citibank di Indonesia dikenakan hukuman penjara lapan tahun setelah didapati bersalah mencuri RM12 juta (AS$4 juta) dari akaun pelanggan untuk hidup mewah dan menjalani pembedahan kosmetik.

Mahkamah Daerah Jakarta Selatan memutuskan pengurus perhubungan pelanggan, Malinda Dee, 49, bersalah atas tuduhan memindahkan wang dari akaun pelanggan.

Malinda ditangkap pada Mac tahun lalu.

Wang itu digunakan untuk hidup mewah termasuk membeli kereta dan menjalani pembedahan kosmetik.

Agensi kawal selia Indonesia mengenakan sekatan ke atas Citibank ekoran kes itu.

Pendakwa raya menuduh Malinda mengarahkan 117 pemindahan dana dengan setiap satu berjumlah dua bilion rupiah (RM674,786) daripada akaun pelanggannya atau akaun beberapa kenalannya antara tahun 2007 dan 2011.

Laporan media sebelum ini menyebut wang tersebut digunakan untuk membeli kereta Ferrari, Porsche, Mercedes dan Hummer selain beberapa buah rumah dan apartmen mewah.

Mahkamah juga memerintahkan agar dua kereta Ferrari, sebuah Hummer dan sebuah trak pikap Toyota selain wang tunai berjumlah RM676,056 dikembalikan kepada Citibank.

Citibank yang merupakan bank ketiga terbesar di Amerika Syarikat mengarahkan satu siasatan dalaman dilakukan selepas seorang pelanggannya mengesan dan melaporkan pemindahan wang dilakukan tanpa kebenarannya.

Suami Malinda, adik perempuan dan juga adik iparnya telah pun dikenakan hukuman penjara empat tahun berhubung kesalahan pengubahan wang haram.

Sinar Harian

Pusat judi veteran diserbu

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG - Memberi helah menghidap sakit jantung sambil mengurut-urut dadanya gagal melepaskan seorang warga emas yang leka bermain judi mahjung daripada dicekup pihak berkuasa di sebuah kedai kopi di Taman Perindustrian Puchong, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan itu, warga emas berusia 73 tahun berkenaan antara lapan pemain berusia 40 hingga 70-an yang ditahan dalam Ops Dadu diketuai Ketua Polis Balai Puchong, Inspektor Hailmi Zil Azam Nordin bersama 10 anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ).

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, bertindak atas maklumat awam, kedai kopi yang terletak di kawasan industri terbabit diserbu kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, ketika diserbu terdapat beberapa pelanggan leka bermain judi mahjung yang kebanyakannya sudah lewat usia.

“Kita menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa kegiatan judi dijalankan secara terbuka di kedai makanan itu.

“Majikan dan masyarakat berhampiran mendakwa pekerja dan saudara mereka sering ‘pokai’ akibat ketagih bermain judi di tempat itu,” katanya pemilik turut menyediakan satu mesin slot kuda untuk kaki judi yang berkunjung.

Beliau berkata, ada juga majikan yang membuat aduan, premis makanan berkenaan menjadi port ponteng kerja bagi pekerja-pekerja mereka.

“Kita ambil serius aduan orang ramai kerana ia membabitkan gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat. Penjaga premis berusia 49 tahun ditahan dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pemain pula dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan. Tiga meja bermain mahjung, kerusi, alatan bermain permainan itu dan wang sebanyak RM490 dipercayai digunakan untuk perjudian dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi turut disertai anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Sinar Harian

MB : Noh Omar Menteri Kanggaru

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar disifatkan sebagai “Menteri Kanggaru” kerana enggan hadir dalam sesi Selcat baru baru ini walaupun beliau dengan yakin, pernah mendakwa mempunyai bukti penyelewengan Kerajaan Selangor.

Dalam menyelar sikap Noh, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap Noh, yang sebelum ini lantang mendakwa yang dia mempunyai fakta penyelewengan Kerajaan Selangor.

“Dia kata mahu selesaikan masalah dan mempunyai fakta, jika menyimpan fakta keluarkan saja fakta itu, kenapa susah-susah hendak jadi kanggaru.

“Dia Menteri Pertanian bukan Menteri Pertanian di Australia yang perlu tahu tentang kanggaru,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Noh tidak hadir pada mana-mana sesi pendengaran awam SELCAT atau Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan yang berlangsung pada 5 ke 7 Mac.

Peranan sesi pendengaran awam tersebut adalah untuk mengenalpasti kelemahan dalam pengurusan Kerajaan Selangor di samping memperbaiki unsur-unsur yang boleh menyebabkan ketirisan dan salah urus tadbir.

Noh pernah mendakwa ada banyak unsur penyelewengan dalam pentadbiran syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Selangor seperti Yayasan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di bawah pemerintahan Pakatan.

Beliau juga telah dicabar oleh Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Khim dan setiausaha politik Menteri Besar Faekah Hussin supaya datang ke sesi Selcat dan kemukan bukti.

Abdul Khalid pada hari ini sekali lagi mengulang pendirian Pakatan Selangor bahawa Selcat merupakan wadah yang terbaik untuk mengemukan bukti tentang penyelewengan dan salah tadbir.

“Kalau dia ada fakta tentang isu haram, jenayah atau sebagainya, keluarkan saja. Dia sebagai mempunyai tugas, bukan sahaja sebagai ahli DUN atau ahli Parlimen tetapi juga sebagai rakyat tempatan.

“Dia kata mahu selesaikan masalah dan menyimpan fakta, tetapi tidak hadir. Jika dia tak reti pasal tugas dia bermakna dia gagal dan saya berasa kasihan kepada rakyat Selangor kerana mempunyai menteri sepertinya.”

selangorku/-

400 Penduduk Ampang Dipindah Akibat Banjir

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Hampir 400 penduduk dari dua kampung di Ampang dipindahkan malam Rabu apabila rumah mereka yang rata-rata terletak berhampiran sungai dinaiki air.

Banjir berikutan hujan lebat di Lembah Klang petang tadi turut menyebabkan beberapa rumah di tebing sungai kawasan itu dihanyutkan.Dua kampung terlibat ialah Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Pinggir Tiga membabitkan 150 rumah.

"Banjir besar itu adalah akibat limpahan sungai di Taman Rimba Ampang yang turut menyebabkan tebing sungai itu runtuh. Kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang," kata Ketua Wanita Umno bahagian Ampang Dr Rozaidah Talib ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kesemua mangsa kini di tempatkan di pusat penempatan sementara di surau Lembah Jaya Utara dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang membuat bancian jumlah mangsa yang terlibat.

"Pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) membuka pendaftaran untuk disalur kepada JKM. Kami juga menyediakan makanan untuk mangsa dan kami memerlukan bantuan pakaian," katanya.

Beliau berkata sesetengah mangsa terpaksa diselamatkan menggunakan bot dalam operasi menyelamat yang melibatkan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sementara itu, seorang pegawai khas kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Dusun Tua berkata kawasan Hulu Langat turut dilanda banjir yang disifatkan sebagai paling teruk.Katanya kawasan paling teruk terjejas ialah Dusun Tua yang ditenggelami air sedalam dua meter.

"Ramai yang dipindahkan...kawasan berlaku banjir terputus hubungan...jalan tak boleh dilalui," katanya. - BERNAMA

TERAS: Buang sisa Lynas ke Sungai Lembing kerja gila

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob agar sisa kilang memproses nadir bumi milik Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan dibuang di Sungai Lembing dibantah keras oleh NGO, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

Sambil menyifatkan cadangan itu sebagai tindakan gila, presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (kiri) dalam satu kenyataan media berkata jika ini benar-benar dilakukan ia adalah jenayah alam sekitar yang sepatutnya dihalang malah diambil tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi.

“Amat jahil bagi sesiapa yang menganggap membuang sisa toksid seperti bahan radioaktif Lynas ke dalam sungai tidak merosakkan alam sekitar.

“Ekologi sungai yang kini sangat sensitif dan bakal punah akibat pembuangan sisa radioaktif, pasti akan mengundang malapetaka yang tidak boleh dirawat lagi,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, walaupun cadangan menteri besar Pahang itu dikatakan adalah di tapak lombong yang sudah tidak digunakan, namun interaksi air bawah tanah yang akhirnya akan bersambung ke sungai pasti akan memberi kesan yang berbahaya dalam jangka panjang.

Katanya, TERAS bukan sahaja mengambil kira soal kehidupan dan punca pendapatan penduduk Sungai Lembing yang bakal terjejas itu tetapi yang lebih penting ialah soal persekitaran yang akan bakal rosak dan tidak boleh dipulih lagi jika ia menjadi tapak buangan sisa radioaktif.

“Adakah pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar dirujuk dalam hal ini? Apakah undang-undang perlindungan sungai akan diketepikan begitu sahaja?

“Ini juga akan memperlihatkan slogan ‘Cinta Sungai Kita’ yang selama ini dicanang oleh JPS hanya menjadi suatu momokan dan bahan ejekan,” katanya.

Selain itu, Mohd Azmi turut mendesak supaya pemimpin negara tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berhubung isu itu kerana tindakan mereka terus mengelirukan malah menyusahkan pegawai kerajaan yang terpaksa berdepan dengan masyarakat.

“Padahal kenyataan yang saling bercanggah antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu pembuangan sisa toksik dari kilang Lynas ini membuktikan kelulusan membenarkan Lynas beroperasi adalah keputusan sembrono.

“Tiba-tiba MB Pahang pula membuat kenyataan yang jauh lebih mengejutkan.

“Yang jelas semua kenyataan ini dibuat hanya untuk berselindung di balik hakikat yang sebenar. Bahaya kilang Lynas sememangnya mempunyai risiko tinggi kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mohd Azmi, TERAS mendesak kerajaan BN agar tidak lagi membohongi rakyat dengan strategi emosi dan psikologi seperti yang disebut oleh Najib.

“Apa yang rakyat mahu ialah dibatalkan terus projek ini demi masa depan masyarakat dan alam sekitar negara,” akhiri kenyataan beliau.

Agency

Hutang Kafa dengan KTC tiada kaitan Harakah, PAS

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 8 Mac: Kelantan Trade Cantre (KTC) menafikan tuntutan hutang terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), sebelum ini langsung ada kena mengena dengan Harakah apa lagi PAS.

Ianya merupakan isu berlainan antara sebuah parti, agensi akhbar dan pihak pengurusan KTC.

Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Desa berkata, dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu langsung tiada kaitan dengan mana-mana politik.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily berikutan menerima beberapa kritikan terhadap usahanya menuntut bayaran sewa Restoran The Red Warriors dari Kafa.

“Ini adalah soal bisnes semata-mata. Jadi saya menuntut hutang ini adalah kerana tanggungjawab saya, walaupun dalam facebook ada pihak yang mendakwa saya ni tidak berlaku adil.

“Jadi untuk keadilan saya perlu menilainya dalam pelbagai sudut, di mana kakitangan kami di sini lebih 50 orang yang semuanya bergantung harap di sini,” ujarnya.

Tambahnya, jika hutang yang tidak dibayar lebih RM72,000 adalah terlalu banyak.

Lagipun, beliau mendakwa surat peguam juga telah dihantar agar segala urusan berjalan baik, namun semuanya gagal.

“Saya hantar surat ‘mesra’ pun tak jawab juga walaupun saya ada tanggungjawab untuk menyita restoran tersebut, tapi saya tidak lakukan pun,” ujarnya.

Sambungnya, lagipun beliau bimbangi surat yang dihantar tidak sampai kepada Presiden Persatuan Kafa, Tan Sri Annuar Musa, dan apa yang berlaku itu memang betul.

Aziz seterusnya berkata, dengan kritikan dan dakwaan dalam facebook yang mengatakan Presiden Kafa tidak mengetahui Restoran TRW ada hutang adalah benar sebagaimana yang didakwa.

Beliau turut menegaskan, tindakan yang diambil pihaknya memberi kebaikan pada pihak Kafa sendiri secara tidak langsung presiden mengetahui tentang perkara itu.

“Jadi saya tak naklah peminat nanti salah tafsir berterusan, dakwa nak buat stadium berjuta-juta tetapi bila kita cerita fasal ada hutang yang tidak dibayar, camana kan,”ujarnya.

Sambungnya, peminat bola sepak melihat TRW adalah satu pasukan yang kuat dan begitu unggul kini, jadi diharap ianya juga turut hebat dari segi pengurusannya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan peminat bola sepak khususnya Kelantan atau pihak tertentu tidak mengaitkan isu tuntutan ‘hutang’ dengan Harakah atau PAS, kerana ianya langsung tidak ada kena mengena dengan pihak berkenaan.

Harakah Daily

Bantu kesan di mana Adik Nurul Nadirah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Orang ramai dirayu membantu mengesan di mana Adik Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang hilang pada 1 Mac lalu di bawah Blok A, Pangsapuri Sri Delima, Bandar Seri Alam, Masai, Johor.

Harakah Daily

Telur ayam dalam telur

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BUKIT RAYA - Seorang peniaga kedai makan di Kampung Bukit Raya Dalam terkejut mendapati sebiji telur ayam dipecahkan mempunyai sebiji lagi telur ayam sebesar duit syiling 50 sen ketika menyediakan hidangan kepada pelanggan, malam kelmarin.

Fairul Rizal Abd Ramli, 29, berkata, dia membeli sebanyak 30 biji telur gred E di sebuah kedai runcit di situ.

“Saya mengambil telur itu dan terus memecahkannya untuk menyediakan hidangan telur mata kepada pelanggan namun terkejut setelah mendapati sebiji telur lagi jatuh ke dalam kuali dan saya menyangka ia adalah telur merah yang beku.

“Telur itu mempunyai telur putih dan merah serta ditambah dengan sebiji lagi telur di dalamnya,” katanya.

Fairul Rizal berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak empat bulan berniaga di situ dan dia akan terus menyimpan telur bersaiz wang syiling 50 sen itu kerana ingin melihat keadaan telur itu.

Sinar Harian

Liga Juara: 5 gol Messi, Barcelona menang 10-2

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LIONEL Messi mencipta sejarah dengan menjaringkan lima gol bagi membolehkan Barcelona 'menyapu bersih' Bayer Leverkusen 7-1 di Barcelona, sekali gus memberi amaran ia pasukan yang mantap untuk mara sehingga ke peringkat akhir kejohanan Liga Juara-juara.

Dengan jaringan besar daripada Messi, Barcelona menempah tiket suku akhir dengan mudah.

Messi menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan disusuli dengan tiga lagi gol pada separuh masa kedua. Messi setakat ini telah menjaringkan 53 gol dalam 49 perlawanan bagi kelabnya.

Barcelona yang turun pusingan kedua, yang berlangsung awal pagi tadi dengan kelebihan 3-0 ke atas Bayer Leverkusen, menang dengan agregat 10-2.

Sinar Harian

All England: Beregu Zakry-Fairuzizuan mara peringkat ke-2

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEREGU lelaki negara, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton All England selepas menewaskan lawan mereka dari Jerman, Michael Fuchs/Oliver Roth di Birmingham, England semalam.

Gandingan Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan mudah menewaskan Fuchs/Roth, 21-19 21-11 pada pusingan pertama kejohanan itu dalam masa 30 minit.

Mereka dijadualkan bertemu pilihan ketujuh dari Indonesia, Mohammad Ahsan/Bona Septano atau beregu dari Amerika Syarikat, Howard Bach/Tony Gunawan pada pusingan kedua kejohanan itu hari ini.

Sementara itu, beregu campuran nombor sembilan dunia dari Malaysia, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying nyata cemerlang apabila menumpaskan lawan mereka dari
India, V. Diju/Jwala Gutta dengan mata 21-14 dan 21-12 dalam masa 26 minit.

Kempen tiga beregu wanita negara pada kejohanan itu berakhir apabila masing-masing tersingkir pada pusingan pertama kejohanan berprestij itu.

Beregu utama Chin Eei Hui/Wong Pei Tty kalah kepada beregu nombor dua dunia dari China, Tian Qing/Zhao Yunlei, 17-21 dan 14-21 manakala beregu kedua negara Vivian Hoo Kah/Woon Khe Wei turut mengalami nasib sama kepada beregu Hong Kong, Poon Lok Yan/Tse Ying Suet, 21-16, 19-21, 18-21.

Satu lagi beregu negara, Goh Liu Ying/Lim Yin Loo yang berjaya melepasi pusingan kelayakan semalam, bagaimanapun gagal memberi aksi cemerlang apabila tumpas di tangan beregu nombor tujuh dunia dari Denmark, Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl, 16-21 dan 16-21.

Sementara itu, pasangan adik-beradik Ng Hui Ern/Ng Hui Lin dijadualkan bertemu beregu wanita dari Jepun, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi, awal pagi ini (waktu Malaysia). - Bernama

Sinar Harian