13 Mac 2012

GMI tidak yakin Parlimen mansuh ISA

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak yakin Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Ia berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang menyatakan undang-undang bagi mengganti ISA masih di peringkat draf di Jabatan Peguam Negara.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, kenyataan Hishammuddin itu merupakan satu lagi alasan untuk melengah-
lengahkan pemansuhan akta zalim itu.

"Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk menggubal dua akta baru, maknanya sudah ada asas sebelum ini. Jadi, draf di pejabat Peguam Negara itu hanya alasan melengah-lengahkan pemansuhan ISA," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Kata Syed Ibrahim, dengan tidak memberikan jaminan tentang bila draf itu selesai, hasrat rakyat untuk melihat janji Najib ditunaikan segera Mac ini, mungkin tidak kesampaian.

Katanya, jika sidang parlimen kali ini kerajaan masih tidak dapat memansuhkan akta tersebut, kredibiliti Perdana Menteri sudah tentu tercalar di mata rakyat Malaysia kerana telah berjanji memansuhkannya.

"Najib bukan sahaja berjanji untuk memansuhkan ISA, tetapi juga berjanji melakukannya pada sidang parlimen, Mac ini. Jika ia tidak berlaku, rakyat Malaysia akan melihat bagaimana pemimpin mereka menabur janji," kata beliau sambil mengharapkan pemansuhan akta itu boleh dilakukan segera dalam bulan ini.

Mengulas lanjut berhubung draf tersebut, Syed Ibrahim berkata tiada keperluan untuk menggubal akta baru bagi menggantikan ISA kerana terdapat banyak peruntukan dalam undang-undang sedia ada untuk mengekang apa yang dikatakan sebagai kesalahan pengganas.

Tambahnya, Parlimen Malaysia telah menambah undang-undang termasuk kesalahan berkaitan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada tahun 2006.

"Menurut Kanun Keseksaan (Pindaan) 2003, Bab baru VIIA yang bertajuk "Kesalahan yang Berkaitan Keganasan" telah dimasukkan dan ini berkuatkuasa sejak 6 Mac 2007. Begitu juga, menurut Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2006, Bab XIIA baru yang bertajuk "Kuasa menyiasat Sampingan Dalam Perhubungan Untuk Kesalahan Keganasan" telah dimasukkan dan berkuatkuasa sejak 6 Mac 2007," jelas beliau lagi.

Begitu juga, tambah beliau Malaysia turut meluluskan undang-undang yang berkaitan dengan pembiayaan anti-keganasan dalam bentuk Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Sehubungan itu, tegas Syed Ibrahim kerajaan tidak memerlukan dua akta baru bagi menggantikan ISA dan boleh memansuhkan akta tersebut dengan kadar segera sepertimana yang dijanjikan.

harakahdaily/-

Mayat pekerja kebun ditemui

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ASUN - Seorang pekerja kebun sayur warga negara Thai ditemui mati dengan kesan cedera pada bahagian lehernya selepas dipercayai berlaku satu pertengkaran dengan seorang rakannya di sebuah ladang getah di Kampung Kawah Lima, Binjal di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Khambu Thongnet, 46, yang berasal dari Satun, Thailand ditemui mati oleh majikan tempatnya bekerja di kawasan semak di ladang getah berkenaan kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, dipercayai berlaku satu pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa ditemui mati.

Menurutnya, bagaimanapun masa sebenar kejadian berlaku tidak dapat dikesan namun pihaknya percaya ia berlaku dalam tempoh satu atau dua jam sebelum mayat mangsa ditemui.

“Terdapat kesan tetakan pada bahagian leher mangsa yang dipercayai dicederakan mengguna senjata tajam. Bagaimanapun senjata yang digunakan masih belum ditemui selain suspek juga berjaya melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Difahamkan suspek yang juga lelaki warga negara Thai turut bekerja di kebun sayur berkenaan sejak lebih sebulan lalu, manakala mangsa baru tiga minggu bekerja di situ.

Kedua-dua mereka tinggal bersama di sebuah pondok yang dibina berdekatan kebun sayur terbabit.

Sementara itu, majikan mangsa, Tan Giap Poh, 47, ketika ditemui berkata, dia difahamkan kedua-dua pekerjanya itu bergaduh sejak malam kelmarin.

Bagaimanapun, Giap Poh hanya memeriksa tempat mereka bekerja pada pagi semalam dan mendapati kedua-dua pekerjanya tiada dan kemudian terdengar salakan anjing yang kuat sebelum menemui tempat tompokan darah tidak berapa jauh dari kawasan kebunnya itu.

“Saya minta pekerja saya yang lain dan penoreh getah yang berada di situ membantu mencari dua pekerja yang hilang. Namun tidak sangka seorang pekerja (mangsa) ditemui dengan kesan cedera manakala seorang lagi gagal ditemui. Saya segera menghubungi polis sebaik menemui mayat mangsa,” katanya.

Penoreh getah, Mohd Zakri Romli, 27, berkata ketika itu dia yang sedang menoreh getah bertindak membantu pemilik kebun sayur itu mencari dua pekerjanya yang hilang itu.

“Saya tidak sangka bunyi salakan anjing yang kedengaran pada masa itu membantu kepada penemuan mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan badannya ditutup dengan daun-daun manakala bahagian lehernya terdapat kesan cedera,” katanya.

sinar harian/-

Guan Eng : Umno-BN Halang Pembangunan Di P.Pinang

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN, 13 MAC : Ketua Menteri Pulau Pinang,Lim Guan Eng menjelaskan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menjadikan ketelusan dan bertanggungjawab dengan mendapat input dan rundingan awam berhubung cadangan pembinaan 4 projek infrastruktur untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memacu pembangunan ekonomi di negeri ini terutama di Seberang Perai Utara (SPU).

“Tiada rundingan awam dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini ketika membina Jambatan Pulau Pinang ke-2. Dan lagi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dikritik lebih teruk kerana telus dan bertanggungjawab daripada Kerajaan Negeri BN sebelumnya, yang tidak pernah membuat input dan rundingan awal ke atas Jambatan Pulau Pinang ke-2,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Menurut Guan Eng, CAP bukanlah satu- satunya organisasi yang menentang empat projek infrastruktur tersebut. Bahkan BN dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menentang pembinaan terowong bawah laut dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam pada 17 November 2011.

Walaupunbagaimanapun maklum balas awam daripada rakyat Pulau Pinang terutamanya di Persiaran Gurney dan SPU menunjukkan bahawa majoriti besar orang Melayu, India dan Cina menyokong dan mahu projek infrastruktur ini diteruskan.

“Exco Negeri Pulau Pinang telah memutuskan untuk melaksanakan projek- projek ini melalui tender terbuka secara kompetitif pada 19 Oktober 2011 selepas rundingan awal dijalankan dari 29 April 2011. Oleh itu, adalah tidak benar untuk CAP mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mengadakan rundingan awam,” ujar beliau.

Tambah Guan Eng, Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 28 April 2011 antara Beijing Urban Construction Group (BUCG) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah dari segi undang- undang kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dengan jelas menyatakan bahawa projek- projek ini mesti dijalankan melalui tender terbuka secara kompetitif.

Majlis menandatangani MOU yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri China Wen Jiabao merupakan penanda aras yang positif tentang minat negara China dalam melaksanakan projek- projek di Pulau Pinang.

Berikutan majlis menandatangani MOU tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meminta mengadakan input awam bermula pada 29 April 2011. Dua sesi rundingan telah diadakan oleh saya secara langsung dengan NGO pada 16 Oktober 2011 dan 19 November 2011.

“Kerajaan Negeri PR kini menjalankan latihan pra- kelayakan melalui tender terbuka secara kompetitif untuk 4 projek infrastruktur dengan menyenarai pendek syarikat yang layak dengan kedudukan kewangan yang kukuh, kepakaran teknikal, berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi dalam menyiapkan projek- projek infrastruktur.

Tiada wang akan dibayar kerana 4 projek tersebut akan dibiayai oleh pertukaran tanah dari tanah yang akan ditambak oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TP),” kata Guan Eng.

Menurut beliau lagi,semasa sesi rundingan pada 19 November 2011 dengan NGO, beliau telah menerangkan rasionalnya untuk melaksanakan projek- projek infrastruktur bawah tanah dengan meminta Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TP) untuk menyerahkan seberapa banyak tanah yang ditambak kepada Kerajaan Negeri. Melalui dua perjanjian yang ditandatangani dengan Kerajaan BN sebelum ini pada 1990 dan 1999, TP telah memberikan hak untuk menambak 980 ekar tanah.

Lebih 200 ekar telah pun ditebus guna oleh TP di mana projek Straits Quay dilaksanakan sekarang. TP mempunyai hak untuk menebus baki 700 ekar tersebut.
Untuk Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau menghalang TP daripada menebusguna tanah memerlukan sejumlah bayaran wang pampasan yang besar kepada TP.

Satu- satunya jalan untuk Kerajaan Negeri PR adalah memohon projek- projek infrastruktur bawah tanah dan jalan raya sebagai pematuhan kepada kemahuan TP untuk menyerahkan seberapa tanah yang mungkin untuk ditebus guna kepada Kerajaan Negeri. CAP juga perlu ingat bahawa TP kini dimiliki oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Sime Darby Bhd.

Malangnya Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pengangkutan awam kerana ia merupakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Banyak yang kita mahu lakukan pembaharuan untuk pengangkutan awam , tetapi Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak dapat membuat apa- apa tindakan kerana ia terletak sepenuhnya di bahawa Kerajaan Persekutuan. Semua perkhidmatan bas, teksi dan tram atau TLRT adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Malah apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu menyediakan perkhidmatan bas CAT yang akan melalui seluruh kawasan warisan George Town secara percuma yang akan dibayar oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan menolak inisiatif ini pada mulanya.

Tambah Guan Eng lagi,Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk membayar RM720,000 setahun untuk menyediakan perkhidmatan bas CAT secara percuma di mana sangat popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

Hanya selepas rayuan oleh Kerajaan Negeri secara langsung kepada Menteri yang bertanggungjawab selama hampir setahun, barulah kelulusan untuk perkhidmatan bas CAT percuma yang akan dibayar oleh Kerajaan Negeri diberikan.

“Kerajaan Negeri PR sangat prihatin terhadap kesan alam sekitar di kawasan pembinaan terowong bawah laut. Kebimbangan alam sekitar ini akan dirunding semasa pusingan kedua rundingan awam apabila reka bentuk dan laluan dipilih pada akhir 2012.

Guan turut berkata,mengikut jadual untuk pembinaan projek- projek di bawah pelaksanaan pra- Q, tarikh terawal untuk memulakan kerja ke atas terowong akan dilakukan pada akhir 2015. Ini adalah untuk membenarkan semua kajian teknikal, reka bentuk dan alam sekitar dijalankan antara 2012 dan 2015.

“Jika kerajaan tidak berpuas hati, EXCO akan menolak untuk menandatangani perjanjian pembinaan yang muktamad di mana ia merupakan keperluan akhir yang dijadualkan pada pertengahan 2015,” kata Guan Eng.

selangorku/-

Ketua polis tagih dadah

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Ketua Polis Cibarusah, Komisioner Adjutan Heru Budi Santoso ditahan Jumaat lalu kerana mengambil dadah jenis kristal methamphetamine atau syabu di kediaman rasminya di Jalan Raya Loji Cibarusah di Bekasi, Jawa Barat.

Polis Bahagian Hal Ehwal Dalaman, menahan Heru dan dua rakannya serta merampas 0.87 gram kristal methamphetamine dan gelas yang digunakan untuk membakar dadah itu.

Jurucakap Polis Bakasi, Komisioner Adjutan Bambang Wahyudi semalam berkata, “Dia kini ditahan di ibu pejabat Polis Jakarta.”

Katanya, Heru kini disoal siasat.

Jurucakap Polis Jakarta, Komisioner Kanan Rikwanto memberitahu wartawan, Bahagian Hal Ehwal Dalaman telah membuat siasatan ke atas Heru sebelum dia ditahan.

Katanya, Heru tidak diserahkan ke bahagian narkotik.

Polis sedang menyoal siasat empat saksi yang dikatakan mempunyai hubungan dengan kes itu dan tahu dia menagih dadah,” katanya.

Katanya, “Dia membeli dadah itu dari empat lokasi di Bekasi, Cibarusah dan Jakarta.”

Katanya, ada tiga laporan mengenai Heru menagih dadah dan kumpulan Bahagian Hal Ehwal Dalaman telah diberi tugas untuk mengendalikan kes itu.

Katanya, Heru akan didakwa di bawah Artikel 114 dan 112 Undang-Undang Dadah yang membawa hukuman lima tahun penjara.

“Kami akan meneruskan siasatan. Selepas itu kes ini akan dibawa ke mahkamah dan dia akan diadili dengan profesional dan beretika,” katanya. - Jakarta Post

700 Tiket F1 Percuma Untuk Rakyat Thai

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BANGKOK: Tujuh ratus tiket F1 Petronas Malaysia Grand Prix 2012 ditawarkan percuma kepada rakyat Thai dan asing di negara ini sebagai usaha menggalakkan pelancongan di Malaysia.

Pengarah Pelancongan Malaysia Pejabat Thailand Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata mereka yang telah membeli tiket penerbangan atau pakej pelancongan ke Malaysia pada hujung minggu grand prix dari 23 hingga 25 Mac layak mendapatkan tiket percuma itu.

"Kami mendapat respon yang baik daripada rakyat Thai, warga asing dan agen pelancongan di negara ini. Kebanyakan tiket telah diberikan dan masih ada kira-kira 100 tiket," kata beliau di sini.

Iskandar Mirza berkata setiap satu tiket grandstand bagi perlumbaan dua hari itu bermula 24 Mac berharga kira-kira RM600.

Pengusaha pelancongan di negara ini menawarkan pakej termasuk sewa hotel, penerbangan dan pindahan dari lapangan terbang ke hotel dan hotel ke Sirkit Antarabangsa Sepang, kata beliau. - BERNAMA

Shahrizat boleh dedah 'bukan dia saja bermasalah'

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: PAS menggesa Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu berundur dari jawatan menteri April ini, tampil membuat pendedahan siapa lagi yang bermasalah dalam parti itu.

Naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekarang ini adalah masa dan peluang terbaik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berbuat demikian.

"Kita minta Shahrizat tampil ke hadapan, dedahkan siapa lagi pemimpin Umno yang dia pernah kata 'bukan dia seorang sahaja bermasalah' sebelum ini.

"Inilah masa terbaik untuk dia dedahkan siapa mereka yang lain demi menyelamatkan negara," katanya kepada Harakahdaily.

Shahrizat yang turut terpalit dengan skandal RM250 juta Perbadananan Feedlot Kebangsaan (NFC) sebelum ini pernah berkata “beritahu saya, pemimpin Umno yang mana tiada masalah” ketika beliau diasak dengan desakan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun kelmarin, Shahrizat mengumumkan mahu berundur sebagai menteri Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat, itupun selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan April ini.

Ekoran itu, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena menyeru Shahrizat yang didakwa dijadikan 'mangsa' oleh Umno dalam skandal NFC, agar tampil mendedahkan siapa lagi pemimpin Umno yang turut bermasalah.

Adalah tidak adil jika segala masalah dalam Umno itu hanya dibebankan seluruhnya kepada Shahrizat sedangkan ramai lagi yang sepatutnya menanggung akibatnya, kata Mahfuz.

harakahdaily/-

Pakatan mahu RM1.92 bilion wang BR1M diaudit

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini menuntut supaya audit dijalankan ke atas jumlah RM1.92 bilion yang didakwa diagihkan melalui skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata audit berkenaan perlu dijalankan memandangkan jumlah yang diperuntuk dalam bajet untuk skim berkenaan hanyalah RM1.8 bilion.

Sedangkan kerajaan tidak mengemukakan apa-apa bajet tambahan untuk membolehkan jumlah tambahan itu diagihkan, kata ahli parlimen PKR itu lagi.

"Jika parlimen sidang ini berakhir dan tidak ada permohonan untuk tambahan bajet, maka jumlah RM130 juta tambahan ini tidak terkandung dalam kelulusan parlimen.

"Bagaimana kerajaan nak justifikasi, dia ambil daripada sumber mana dan apakah kaedahnya," soalnya.

Bercakap dalam sidang media di parlimen hari ini, beliau berkata Pakatan Rakyat tidak membantah usaha membantu rakyat.

"Tapi kerajaan tidak boleh menggunakan sewenang-wenangnya khazanah negara tanpa mengira sumber yang betul.

"Kita tidak mahu golongan berpendapatan rendah diberi bantuan dengan menggunakan kaedah salah," katanya lagi dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat hari ini bahawa jumlah RM1.92 bilion diambil daripada sumber perbendaharaan yang telah diluluskan oleh parlimen.

Sejumlah 3.8 juta isi rumah yang merupakan 59 peratus daripada jumlah isi rumah telah menerima bantuan itu, kata Najib lagi.

malaysiakini/-

4,055 peserta sertai larian lasak

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEBAHAGIAN peserta megharung padang lumpur dalam satu acara larian lasak di Thun, Switzerland.

THUN, Switzerland - Seramai 4,055 orang peserta mengambil bahagian dalam satu acara larian lasak di sini kelmarin.

Larian yang dinamakan Strongman Run itu melibatkan jarak sejauh 16 kilometer.

Selain berlari, para peserta perlu merentasi beberapa halangan termasuk padang lumpur sebelum tiba di garisan penamat. - Reuters

Pas beri rakyat lot rumah

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MARAN - Pas komited dengan janji untuk menyediakan lot rumah kepada rakyat yang belum mempunyai rumah dan menyelesaikan masalah pemilikan tanah diusahakan sejak puluhan tahun.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pakatan Rakyat (PR) membuat keputusan membuka Felda plantation seluas 143,000 hektar di Pahang untuk membolehkan pemberian tanah dan tapak rumah kepada lebih 40,000 peneroka.

Menurutnya, azam, niat ikhlas dan keyakinan PR Pahang bukan lahir dari angan-angan atau dibuat tanpa asas, tetapi berdasarkan kajian mendalam oleh pelbagai pihak.

“PR akui bukan mudah memberi tanah kepada semua penduduk 1.5 juta Pahang, malah buat masa ini, mungkin ia dilihat sebagai di luar kemampuan.

“Akan tetapi, dengan niat, azam dan kemampuan mentadbir PR, kita yakin mampu menyelesaikan sebahagian masalah tapak rumah untuk rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah tapak rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Markas Pas Cawangan Jengka 7, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas Kawasan Maran, Tuan Guru Mohd Baqi Othman.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, PR berjanji untuk memasukkan peneroka di semua ladang Felda berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memajak ladang kepada FGV selama 99 tahun.

Menurutnya, PR yakin dengan tindakan bersepadu antara semua agensi berkaitan, ia mampu mengatasi masalah tapak rumah dan isu tanah yang menjadi isu utama rakyat.

“Segalanya bermula dengan niat dan kesungguhan, barulah jalan baru akan ditempuhi mencapai hasrat diinginkan.

“Saya berharap agar rakyat Pahang sedia berubah bersama PR,” katanya.

sinar harian/-

Tidak puas hati kena saman

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Seorang pemandu tidak berpuas hati apabila dikenakan saman oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 66 Jalan Kuantan-Maran, di sini, 11 Mac lalu.

Mohd Izham Firdaus Khuzaai, 27, berkata, ketika ditahan dia mengakui tempoh sah lesen memandunya sudah tamat.

Katanya, sebelum ini dia pernah ke pejabat pos untuk memperbaharui lesen memandu, tetapi petugas di kaunter memberitahu lesen memandunya masih sah dan hanya akan tamat tempoh mengikut tarikh lahirnya.

“Saya sedia maklum tentang pengumuman tarikh tamat tempoh lesen memandu adalah sama dengan tarikh lahir seseorang pemegang lesen.

“Pun begitu, saya tidak pasti sama ada perlu memperbaharui lesen terlebih dahulu atau sebaliknya,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak JPJ seharusnya memberi kefahaman terlebih dahulu kepada jabatan terlibat dengan urusan memperbaharui lesen supaya tidak mengelirukan orang ramai.

“Bila timbul isu ini, siapa yang harus dipersalahkan? Bukan saya tidak mahu memperbaharui lesen memandu, saya sudah pergi ke pejabat pos.

“Bila kena saman, sudah tentulah saya tidak puas hati,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man berkata, pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) perlu memperbaharui lesen memandu terlebih dahulu sebelum tarikh tamat tempoh lesen memandu diselaraskan mengikut tarikh lahir.

“Tidak dinafikan, masih ramai yang kurang faham dan keliru tentang sistem baru ini. Pun begitu, pihak kami sedia untuk memberikan maklumat kepada pelanggan yang datang ke JPJ.

“Mereka perlu datang memperbaharui lesen kerana sistem dalam komputer yang akan set tarikh tamat tempoh lesen memandu mengikut tarikh lahir,” katanya.

sinar harian/-

Saintis hasil gandum tahan air masin

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEBUAH kawasan yang ditanam dengan gandum jenis durum.

PARIS - Sekumpulan saintis mengumumkan kelmarin bahawa mereka membiak sejenis gandum yang boleh hidup di tanah berair masin.

Ketua penyelidikan berkenaan, Matthew Gilliham daripada University Adelaide, selatan Australia memberitahu, tanaman baharu itu dibiak daripada gandum jenis durum.

Saintis-saintis terbabit memasukkan gen yang dinamakan TmHKT1;5-A untuk membolehkan gandum tersebut tahan terhadap persekitaran masin.

Gen tersebut dimasukkan dengan menggunakan teknik-teknik pembiakbakaan kacuk dan bukan teknologi kejuruteraan genetik.

Tanaman tersebut digunakan untuk membuat pasta dan kuskus.

Menurut Gilliham, gandum baka baharu itu dapat membantu petani Jepun selepas tanaman mereka ditenggelami air laut dalam bencana tsunami tahun lalu.

Sekitar 20,000 hektar sawah padi di timur laut Jepun digenangi air laut dalam bencana tersebut yang menyebabkan ramai petani hilang mata pencarian. - AFP

Kos bertunang: Rakyat masih tunggu jawapan Najib

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Rakyat masih menunggu jawapan dan bukti pembayaran daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembayaran majlis pertunangan anak beliau sebanyak RM409,767 di Hotel Shangri-La.

“Sehingga kini Pejabat Perdana Menteri hanya menafi perbelanjaan ini daripada wang rakyat, sedangkan saudara Rafizi Ramli berjaya membuktikan dengan fakta, tempahan ini dibilkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO),” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

Katanya, ketika rakyat disuruh mengikat perut kerana indeks harga pengguna yang meningkat, subsidi hendak dikurangkan, barang keperluan harian terus melonjak, tiba-tiba Perdana Menteri boleh membelanja sejumlah wang yang begitu besar untuk majlis pertunangan anak beliau.

Menurutnya, rakyat tidak kisah kalau benar wang itu daripada poket peribadi beliau dengan Datin Seri Rosmah.

“Memang rakyat sudah maklum mereka berdua ialah suami isteri yang banyak wang.

“Tetapi jika ia menggunakan harta rakyat untuk kemewahan peribadi maka ia perlu disiasat hingga ke akar umbi, lebih-lebih lagi penafian sudah dibuat secara rasmi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Jika berlaku sebalikanya, kata beliau maka ia satu pembohongan yang besar dilakukan oleh seorang Perdana Menteri.

Justeru, tegasnya orang yang berbohong tidak layak untuk memegang amanah rakyat dan mesti diturunkan segera daripada tampuk kuasa.

Beliau berkata, wang sebanyak RM409,767 hanya untuk satu malam majlis pertunangan anak Najib dan Rosmah sedangkan untuk kos seorang siswazah Fakulti Pergigian untuk tempoh empat tahun hanya RM151,208, Fakulti Perubatan untuk tempoh lima tahun (RM235,390) dan Fakulti Farmasi untuk tempoh empat tahun (RM56,360).

harakahdaily/-

Beza Azizah, Shahrizat bagai langit dengan bumi

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Perbezaan antara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mana keluarganya bertanggungjawab menyalahgunakan sebanyak RM250 juta adalah bagaikan langit dan bumi.

Demikian dinyatakan Naib Presiden PKR, N Surendran yang merujuk kenyataan Timbalan Menteri Ahmad Maslan bahawa Wan Azizah sepatutnya meletak jawatan sebagai Presiden Keadilan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 1999.

Baginya, kenyataan Ahmad itu mendedahkan hipokrasi Umno.

Jelasnya, umum mengetahui Anwar dipenjarakan berikutan rekayasa Umno yang melibatkan Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan sistem kehakiman yang sudah rosak.

Tambahnya, tuduhan dan hukuman terhadap Anwar mengejutkan rakyat Malaysia dan mengundang kritikan antarabangsa.

“Namun Ahmad Maslan terus membohongi dirinya sekiranya beliau menyatakan bahawa Anwar dibicarakan secara adil.

“Mengapa perlu Wan Azizah meletak jawatan apabila beliau dan keluarganya menjadi mangsa kezaliman dan politik kotor Umno?” soalnya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, kata beliau Wan Azizah mempunyai tanggungjawab sebagai seorang pemimpin politik untuk terus kekal di jawatannya dan terus memperjuangkan reformasi, keadilan dan kebebasan.

Menurutnya, selama 13 tahun Wan Azizah telah berjaya memimpin perjuangan dengan berani dan bermaruah, menghadapi cabaran besar.

“Perbezaan antara Wan Azizah dengan Shahrizat yang mana keluarganya bertanggungjawab menyalahgunakan sebanyak RM250 juta adalah bagaikan langit dan bumi,” katanya.

Beliau berkata, hanya selepas berhadapan dengan kritikan Pakatan Rakyat dan rakyat, Shahrizat mengumumkan melepaskan jawatan menterinya pada bulan hadapan.
Ini, jelas Surendran bukannya tindakan sukarela.

Menruutnya, Ahmad Maslan, Muhyiddin dan pimpinan Umno lain tidak boleh membohongi rakyat dengan menyatakan bahawa Shahrizat telah 'mengorbankan' dirinya.

Malah, katanya pimpinan Umno dan BN tidak mempunyai budaya mengambil tanggungjawab terhadap penyelewengan mereka dengan melepaskan jawatan mereka.

“Dilindungi oleh polis, media dan sistem kehakiman yang dikuasai mereka, pimpinan BN tidak pernah melihat perlunya untuk patuh pada prinsip kebertanggungjawaban dan tatakelola yang baik,” ujarnya lagi.

Baginya, kenyataan Ahmad Maslan ialah contoh terbaik kecurangan Umno tersebut.

harakahdaily/-

Imam Maut, Masjid Di Belgium Diserang Bom Petrol

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BRUSSELS: Seorang imam terbunuh apabila sebuah masjid Syiah di ibu negara Belgium diserang seorang lelaki dengan bom petrol petang Isnin.

Masjid itu terletak di kawasan Anderlecht dekat Brussels.

Maklumat awal polis menunjukkan masjid itu diserang menggunakan bom petrol oleh seorang lelaki, yang berjaya ditahan.

Serangan itu adalah yang pertama sejak pembunuhan Abdullah Muhammad al-Ahdai, dalam masjid oleh kumpulan Iran pada 1989.

Datuk Bandar Anderlecht dipetik media tempatan sebagai berkata, suspek membaling bom petrol ke arah masjid itu antara jam 6 dan 7 petang Isnin waktu tempatan.

Laporan-laporan awal juga menyebut bahawa imam berusia 47 tahun meninggal dunia selepas terhidu asap tebal akibat kebakaran.

Seorang lagi mangsa dilaporkan cedera.

Pegawai-pegawai keselamatan berkata, seorang lelaki ditahan berikutan kejadian itu.

"Seorang suspek kini ditahan," kata jurucakap polis Marie Verbeke dipetik agensi berita AFP.

"Lebih 10 jemaah berada di masjid untuk menunaikan solat ketika seorang dilihat masuk dengan membawa beg," kata seorang saksi Azzedine Laghmish kepada stesen RTBF, dipetik BBC.

"Dalam beg itu ada satu bekas yang diisi dengan petrol, yang dia baling ke arah bahagian tengah bilik," kata Laghmish.

"Imam cuba untuk memadamkan kebakaran tetapi terperangkap dalam bilik," katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri Belgium, Joelle Milquet berkata, beliau terkejut dengan kejadian ini.

Imam itu mempunyai empat orang anak.

Laporan The Telegraph dari UK berkata, kebakaran telah memusnahkan sebahagian besar masjid itu, yang merupakan terbesar di Belgium.

mstar/-

Api misteri kembali mengganas

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Zainab menunjukkan api misteri (dalam bulatan) yang membakar kain tudungnya di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Selepas lebih setahun tenang tanpa serangan api misteri, keluarga Zainab Sulaiman, 75, atau lebih dikenali sebagai Mok Nab kembali resah apabila serangan tersebut kembali berulang di kediamannya di sini kelmarin.

Terbaru, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, dekat sini, apabila api misteri tersebut muncul secara tiba-tiba dan membakar sebuah almari yang sarat dengan pakaian.

Menurut Zainab, kejadian tersebut disedari oleh seorang cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 16, yang terbau hangit seperti benda terbakar sebelum mendapati sebuah almari yang terletak di dalam sebuah bilik terbakar.

Katanya, ketika disedari api yang muncul tersebut begitu marak dan membakar almari serta sebahagian dinding bilik tersebut menyebabkan beliau dan menantunya, Rafeah Zakaria, 38, serta dua lagi cucunya, Wan Nurfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, panik dan berada dalam ketakutan.

“Kami semua terpaksa mengambil semua pakaian yang disimpan di dalam almari dan dicampak ke luar rumah melalui tingkap untuk mengelakkan daripada terus hangus terbakar selain bimbang api menjadi semakin marak.

“Orang kampung juga datang menolong memadamkan kebakaran dan disebabkan api yang sangat marak, saya terpaksa meminta orang kampung menelefon pihak bomba kerana bimbang rumah saya hangus terbakar,” katanya ketika ditemui semalam.

kosmo/-