19 Mac 2012

Asah bakat istimewa fotografi dan kulinari

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Ini bermaksud usaha atau cita-cita tidak akan tercapai jika tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) yang sebelum ini seperti kurang disedari kebolehan mereka apabila tidak ada kelas kemahiran khas secara benar-benar terancang untuk mereka tonjolkan bakat dan kemahiran selain dalam pelajaran.

Setelah digubal semula cara pembelajaran pelajar ini, barulah satu persatu bakat mereka dapat ditonjolkan dan ada perkembangan memberangsangkan apabila banyak pihak mula berminat mengambil dan bersama-sama dengan pelajar ini untuk menjayakan projek yang sedang dilaksanakan.

Penolong Kanan Pendidikan Khasnya, Zaharuddin Mohd, 42 berkata, pelajar pendidikan khas ini memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding pelajar normal. Mereka lebih memerlukan pembelajaran berbentuk praktikal dan dunia sebenar.

Menurutnya, matlamat sebagai guru pendidikan khas adalah mahu melihat mereka berjaya dalam sesuatu bidang praktikal yang dikenal pasti selain pelajaran. Justeru pihak sekolah mahu memaksimumkan potensi pelajar dengan mengesan kebolehan dimiliki seterusnya digilap agar berjaya.

“Caranya adalah dengan memberi pendedahan, peluang ceburi sesuatu kemahiran dan biasakan mereka bergaul serta berinteraksi dengan masyarakat. Kebanyakan daripada pelajar istimewa ini mudah berasa rendah diri kerana lemah dalam pelajaran.

"Malah terdapat ibu bapa pada awalnya kurang berkeyakinan untuk dedahkan anak mereka kepada masyarakat kerana kekurangan yang ada pada anak mereka,” katanya kepada Sinar Harian.


Ubah cara didikan

Zaharuddin berkata, perubahan sedikit demi sedikit secara berpasukan daripada guru Pendidikan Khas dan pihak sekolah dilakukan sejak dia mula bertugas ke sekolah berkenaan pada 2010 untuk mengubah perspektif dan keyakinan ibu bapa yang pada waktu itu kurang memfokuskan kebolehan anak mereka.

“Setelah saya berpindah ke sekolah ini pada Ogos 2010. Saya berusaha mengubah pandangan itu dan buktikan bahawa anak mereka boleh dibentuk dan mempunyai bakat terpendam untuk berjaya pada masa hadapan.

“Misalnya bermula tahun ini, saya mula melaksanakan kelas fotografi dan kulinari khas untuk pelajar pendidikan khas. Hasil kerja mereka boleh dilihat walaupun mereka baru belajar asas kemahiran berkenaan,” jelasnya.

Subjek teras seperti Sejarah, Sains, Matematik, Geografi, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu turut diambil tetapi sebagai guru pendidikan khas, cara penerangan lebih fokus kepada tahap penguasaan individu untuk memudahkan mereka faham.

“Pendekatan teknik sebegini mampu menunjukkan peningkatan prestasi pelajar lebih baik daripada sebelum ini. Walaupun agak lambat proses pembelajaran tetapi pelajar dapat faham apa kita ajar. Jika sehari mereka dapat satu ilmu, dalam seminggu mereka boleh dapat lima ilmu dan praktik perkara berkenaan dalam kehidupan mereka. Ia pencapaian membanggakan terutama bagi golongan seperti mereka,” ujarnya.


Gilap bakat

Kini seramai 52 pelajar pendidikan khas yang terdiri daripada mereka yang mempunyai Autisme, Sindrom Down, Disleksia dan masalah pembelajaran lain. Zaharuddin berkata, pembukaan kelas khas fotografi dan kulinari sedang dilaksanakan untuk memberikan kemahiran tambahan kepada pelajar istimewa berdikari selepas tamat belajar di sekolah itu nanti.

“Kelas foto ini dibuka khas untuk pelajar belajar menggunakan kamera DSLR. Walaupun baru masuk empat minggu kelas ini berjalan tetapi pelajar telah pandai asas teknikal menggunakan kamera. Perancangan kami, setiap pelajar yang ambil kelas ini akan menjalani latihan industri dengan mengambil gambar perkahwinan sekitar Putrajaya pada waktu cuti November dan Disember ini sebagai amali dunia sebenar kepada mereka,” katanya.

Selain itu katanya, pihak sekolah juga membuka kelas kulinari seperti perusahaan kulinari sebenar untuk dipelajari pelajar pendidikan khas yang berminat.

“Semua guru dan pembantu pengurusan murid yang terlibat telah dihantar menghadiri kursus khas di Kolej Komuniti Selayang pada November tahun lalu untuk mengajar pelajar khas ini secara serius. Tambah menggembirakan apabila, baru-baru ini terdapat sebuah yayasan menyatakan kesudian memberi penajaan sebagai persediaan untuk menyediakan kelengkapan kulinari bagi memudahkan sesi pembelajaran,” jelasnya.


Boleh cipta nama

Dengan kebolehan dimiliki, Zaharuddin berkata, tidak mustahil kemahiran fotografi dan kulinari mereka boleh dijadikan modal untuk menubuhkan syarikat sendiri seterusnya mengajar mereka berdikari apabila telah tamat persekolahan.

“Bagi meningkatkan keyakinan diri pelajar ini, kami turut menubuhkan Pasukan Kadet Pertahanan Awam Program Pendidikan Khas Integrasi untuk mereka. Turut membanggakan apabila aktiviti kokurikulum beruniform yang dijalankan pada jam 3 hingga 5 petang setiap Rabu dapat disertai semua pelajar.

“Kami pasti sedih dan terkilan jika melihat pelajar pendidikan khas yang telah habis belajar tidak mampu berbuat apa-apa untuk menonjolkan bakat dan kemahiran mereka. Justeru saya bersama seluruh pasukan kerja program ini bertekad mengubah situasi ini,” kata Zaharuddin.

Setakat ini, perkembangan pelajar yang mengikuti kemahiran ini sangat memberangsangkan. Ibu bapa juga sentiasa bersama dan memberikan sepenuh sokongan untuk melihat anak mereka berjaya.

Sinar Harian

Berlumba dam tangga gergasi

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Taman Herba Tropika di Teluk Bahang, Pulau Pinang membawakan keseronokan terbaru dengan memperkenalkan dam tangga bersaiz besar di dalam landskap semula jadinya. Siapa yang tidak pernah bermain dam ular? Sebelum adanya gajet permainan elektronik, papan dam ini memberikan keseronokan kepada pemainnya, bukan sahaja kanak-kanak malah buat si dewasa.

Setiap lontaran dadu, petak dam, tangga atau ular menentukan siapa yang paling cepat ‘naik’ atau ‘turun’. Tidak hairanlah pada zaman kanak-kanak dahulu, ada kawan-kawan sepermainan yang bermasam muka semata-mata asyik tewas bermain dam ular.

Namun, bagaimana pula jika papan damnya bukan lagi sekeping kertas, tetapi petak-petak kayu yang bersaiz besar manakala ‘buahnya’ pula adalah pemain itu sendiri. Tentunya seronok bukan? Dam tangga dan ular bersaiz besar menjadi tarikan baru kepada pengunjung ke Taman Herba Tropika di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Dibina daripada kayu, ia mengambil masa empat bulan disiapkan oleh kakitangan taman berkenaan tanpa memotong walau sebatang pokok, sebaliknya membiarkan tumbuh-tumbuhan di situ terus hidup dalam landskap semula jadinya.


Gamit nostalgia

Pengarah Urusan Taman Herba Tropika, Katharine Chua berkata, hasil daripada landskap itu, ia kelihatan seperti sebuah taman permainan berwarna-warni yang seolah-olah tersorok di dalam rimba nan menghijau.

“Memang sengaja kami bina dam ini di tengah-tengah rimba taman herba. Permainan ini dijangka bakal menggamit nostalgia dalam kalangan orang dewasa sekiranya mereka adalah penggemar dam ular ketika zaman kanak-kanak,” katanya.

Dam berbentuk tiga dimensi itu mempunyai 52 petak. Enam tangga menaik serta empat gegelung lungsur menurun yang boleh dimainkan secara berkumpulan atau individu. Dengan berukuran kira-kira 7.4 meter persegi yang terletak di lereng bukit ini, ia adalah permainan luar yang menyihatkan kerana pemainnya perlu bergerak ke setiap petak.

Beberapa petugas di tempatkan bagi mengawasi keselamatan pemain, manakala seorang lagi petugas berada di atas para sebagai pemantau permainan. Jika dam biasa menggunakan dadu, sebaliknya dam gergasi ini menggunakan pemutar mata yang tertera angka 1 hingga 6.


Pakej lawatan

Katharine berkata, petugas di atas para akan memutarkan mata ini dan pada masa yang sama memberi arahan kepada pemain.“Sama seperti dam ular, pemain yang bertuah menapak ke petak ‘menaik’ dan melangkah pantas melangkaui beberapa anak tangga. Namun bagi pemain yang terkena petak ‘menurun’, mereka perlu menggelongsor melalui gegelung lungsur ke petak tertentu.

“Bagaimanapun, permainan dam itu khusus untuk pemain berusia empat hingga 14 tahun, sesuai dengan temanya iaitu menimbulkan keseronokan kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau memberitahu, sejak diperkenalkan pada Januari lalu, sambutan pengunjung ke sini cukup menggalakkan terutamanya daripada kanak-kanak yang datang bersama keluarga.

Pihak taman menyediakan pakej lawatan ke taman herba serta permainan kepada kanak-kanak sekolah yang datang berkumpulan atau ingin menganjurkan parti hari jadi di sini. Hubungi sahaja taman herba di talian 04-8811 797.

Waktu permainan adalah dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari dan tiada bayaran dikenakan. Pengunjung perlu membayar untuk masuk ke taman herba iaitu RM14 bagi dewasa, RM10 kanak-kanak atau RM45 untuk pakej keluarga.

Sinar Harian

'Doakan saya cepat sembuh'

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Hampir tiga tahun menderita dan sudah dua kali menjalani pembedahan, namun ia sedikit pun mematahkan semangatnya untuk pulih seperti remaja lain.

Biar raut wajahnya sentiasa mengukir senyum, namun jauh di sudut hatinya, Nur Suhaila Tukijan, 15, tidak mahu melepaskan usia remajanya dengan hanya terlantar dan mengenang nasib.

Selagi masih bernafas. Ibu dan keluarga sentiasa di sisi. Sahabat dan taulan tidak putus berdoa. Selagi itu tiada rasa mengalah dalam diri.

“Saat mula-mula tahu saya menghidap penyakit ini, satu perasaan menerpa diri. Bertuah atau malang? Mengapa saya? Sedih sangat apabila mengenang banyak aktiviti terbatas.

“Mujur ibu sentiasa memberi nasihat. Kakak dan adik juga tidak putus-putus memberi kata-kata nasihat, begitu juga kawan-kawan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah keluarganya di Pinggiran USJ, di sini.

Itulah harapan adik Nur Suhaila yang akan menjalani pembedahan Conginetal Disorder di Hospital Universiti Sharjah, Khamis ini.

Suhaila bersama ibunya, Hanita Mohd Tahir akan berlepas ke Dubai jam 5 petang ini.

Anak kedua daripada tiga beradik ini adalah pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 di sini mahu kembali aktif dalam aktiviti sukan terutamanya bola jaring.

“Selama ini, saya banyak duduk di tepi padang dan melihat kawan-kawan. Kalaupun dapat peluang, saya tidak boleh terlalu aktif.

“Hidup saya bergantung pada pil perancang. Terdetik juga, sampai bila harus begini? Sedangkan kawan-kawan seusia saya sibuk menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi saya, hanya mampu melihat sahaja,” katanya lagi.

Berharap pembedahan kali ketiga ini akan menemui jalan penyudah untuknya dan akhirnya dapat kembali seperti biasa.

“Saya harap semuanya akan kembali seperti biasa. Apabila dikenang semula saat-saat saya sakit, saya rasa seperti tiada masa depan.

“Terlalu sakit. Bukan hanya tak ada selera, malah saya hanya mampu berguling di katil. Saya benar-benar berharap selepas ini perkara ini tidak berulang lagi.

Saya tidak mahu berfikiran negatif. Saya sedar, jika saya terlalu memikirkan perkara ini, pasti akan memberi impak kurang baik untuk saya.

“Saya sangat berterima kasih di atas keprihatinan banyak pihak serta individu yang tampil menghulurkan sumbangan kepada saya.

“Insya-ALLAH, jika diizinkan DIA untuk saya terus bernafas dan kembali sihat seperti biasa, pasti saya akan mengejar cita-cita menjadi doktor dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sinar Harian

16 Mac 2012

Air: Selangor perkenal program 'Lapor dan Dapat'

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 16 Mac: Penduduk pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal hanya perlu melaporkan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) mereka bilangan kediaman yang berpenghuni di pembangunan mereka untuk mendapat air percuma.

Demikian kata, Iskandar bin Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor dalam kenyataannya.

Apabila mendapat laporan itu, katanya, kerajaan negeri kemudian akan menyampaikan maklumat itu kepada SYABAS yang akan membuat potongan pada bil meter pukal.

"Oleh itu MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berjumpa dengan COB mereka untuk mendapatkan air percuma tersebut," kata beliau dalam kenyataan itu.

Iskandar membuat kenyataan itu bagi menjelaskan tindakan kerajaan negeri untuk memberikan air percuma kepada penghuni flat yang tidak mendapat kemudahan itu ekoran berkongsi meter (meter pukal).

Melalui pendekatan ini, penghuni flat juga akan menikmati kemudahan 20 meter padu air percuma dari kerajaan negeri Selangor ini.

Program "LAPOR DAN DAPAT" akan berupaya memperlipat ganda bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat air percuma.

Menurut Iskandar, potongan yang diberikan oleh SYABAS adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman yang berpenghuni.

Mereka kemudian mesti memberi potongan pada bil-bil meter individu penduduk, katanya.

Bukti potongan ini mestilah ditunjukkan kepada COB, tambah beliau.

COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sepertimana yang dilaporkan.

Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang tetapi program "LAPOR DAN DAPAT" akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.

Program ini akan bermula pada 1 April 2012.
Ekoran itu, penduduk pangsapuri rumah kos rendah digesa untuk mendesak MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk agar menghubungi COB supaya mereka mendapat air percuma.

Sistem kupon turut dilaksanakan sebelum ini di dalam usaha untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia juga amat rumit.

Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh SYABAS tidak dapat dilakukan secepat yang dihasrat.

Harakah Daily

SPR tidak tunai janjinya - anggota PSC

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuktikan badan tersebut tidak menunaikan janjinya apabila bertindak menukar kawasan mengundi membabitkan kawasan Parlimen.

Biarpun ia ekoran pembetulan sempadan kawasan pilihan raya, pertukaran itu hanya boleh melibatkan kawasan yang dilingkungi Parlimen yang sama sebelum ini.

"Jika yang bertukar hanya Dun tetapi masih di Parlimen yang sama, ia tidak menjadi masalah. Tapi, apabila membabitkan pertukaran Parlimen (dan dalam kes MB Selangor negeri), itu sudah tidak betul," tegas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan SPR berhubung pertukaran kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, dari Parlimen Petaling Jaya Selatan di Selangor ke Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Akibat pertukaran ini, Khalid tidak lagi boleh bertanding dalam DUN Selangor dan menyebabkan beliau tidak lagi boleh menjadi MB Selangor.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi penambahbaikan pilihan raya (PSC), berkata dengan pertukaran tersebut menunjukkan tindakan SPR yang kononnya membekukan pembetulan sempadan pada 2011 itu sebenarnya tidak berlaku.

"Saya tidak tahu di mana silapnya SPR dalam hal ini, tetapi saya berharap SPR berpegang pada janji bagi memastikan badan itu bebas dari mengundang persepsi negatif daripada rakyat, lebih-lebih lagi dalam 'mood' pilihan raya umum yang semakin hampir, " tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sewajarnya pihak SPR memaklumkan kepada pengundi yang terlibat dalam pembetulan sempadan itu bagi mengelakkan sebarang kekecohan.

Katanya, jika pengundi dimaklumkan lebih awal tentang pembetulan kawasan mengundi tersebut, kemungkinan berlaku kekecohan pada hari mengundi kelak dapat dielakkan.

"Bayangkan, jika pengundi tidak membuat semakan awal dan tidak dimaklumkan, apabila hari pengundian baru tahu tempat mengundi yang lain, akan berlaku kekecohan. Macam Tan Sri ini, dia sendiri buat semakan," tegas beliau.

Kes membabitkan Khalid ini mula dikesan apabila Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi 'pengundi hantu' di Lembah Pantai.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, langkah tersebut dibuat pada awal tahun 2010 selaras dengan keputusan SPR untuk menyelaraskan peta pilihan raya dengan peta rasmi negara.

Beliau berkata Khalid telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat.

Apabila peta pilihan raya dan peta rasmi itu diselaraskan dengan menggunakan sistem geografi, didapati Jalan 16/2 sebenarnya berada di bawah zon mengundi Rumah Kakitangan Universiti, di bawah kawasan Lembah Pantai.

Harakah Daily

Guru India jadi sasaran Ali Rustam

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MELAKA, 16 Mac: Nampaknya golongan guru sedang menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) untuk mempastikan mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

(Surat yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Melaka)

Kalau di Tawau, mereka di kelas-kelaskan mengikut sokongan kepada parti politik oleh Jabatan Pelajaran Daerah, di Melaka guru-guru India di'jemput' beramah mesra dengan Ketua Menteri Melaka.

Jemputan itu dibuat sendiri oleh Jabatan Pelajaran Melaka dan dihantar kepada pengetua dan guru besar setiap sekolah.

Menurut surat bertarikh 9 Mac yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Melaka itu, semua guru India sekolah menengah dan rendah di Melaka di'jemput'.

Mereka dijemput menyertai majlis ramah mesra guru-guru India Melaka dengan Ketua Menteri Melaka pada 19 Mac Isnin ini.

Ia akan diadakan di Dewan Seri Negeri, Air Keroh, Melaka mulai jam 1.30 tengahari.

Harakah Daily

Pemuda PAS ke Syiria pantau pelajar Malaysia

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menghantar wakil ke Syria bagi meninjau keadaan pelajar Malaysia ekoran krisis yang berlaku di negara berkenaan.

Wakil Lajnah Antarabangsa dewan itu akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi II, Ustaz Fakurazi Mokhtar dan akan berangkat ke Damsyik pada malam ini.

Perkara itu dimaklumkan Naib Ketua DPMM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang juga pengerusi lajnah antarabangsa dalam satu kenyataan hari ini.

Disamping itu beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia di Syria agar tidak melibatkan diri dalam sebarang program dan aktiviti dalaman dan tempatan rakyat Syria yang boleh mengakibatkan mereka diambil tindakan oleh pihak tertentu di sana.

"Para pelajar terutamanya perlulah sentiasa mengikut arahan dari kedutaan Malaysia walaupun dilaporkan Kedutaan Malaysia tidak mahu bertanggungjawap terhadap rakyat Malaysia yang masih berada di pusat-pusat pengajian awam di seluruh Syria.

"Wakil -wakil pelajar malaysia dari persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia diseluruh Syria diminta sentiasa berhubung dan berkomunikasi secara setempat dengan ahli-ahlinya," katanya.

Konflik di Syria semakin hari semakin mendesak apabila jumlah kematian dianggarkan mencecah ribuan rakyat yang tidak berdosa ekoran kebangkitan rakyatnya yang inginkan lebih ruang demokrasi di sana disamping menuntut Presiden Bashyar Assad berundur.

"Kita juga berharap, kerajaan Syria dapat memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Syria terjamin walaupun kemelut politik dalaman disana semakin runcing kerana adalah tanggungjawap kerajaan Syria untuk memastikan keselamatan rakyat asing tidak diapa-apakan serta dilibatkan," katanya.

Harakah Daily

NGO Beras Kampit turut tanding PRU?

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ada seorang kawan yang bergerak cergas dalam Ngo beras kampit memberi tahu presidennya sedang mengenal pasti beberapa buah kerusi Dun di Selangor yang akan diganggu oleh Ngo itu dengan cara ikut bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Kesemua kerusi itu dimenangi Pas.

Kata kawan itu Ngo itu akan memastikan sekurang-kurang lima kerusi yang mereka ganggui untuk memastikan kerusi itu tewas bagi membolehkan UBN menang dan seterusnya membentuk kerajaan di Selangor.

Di antara kerusi yang disebut kepada saya yang menjadi perhatian Ngo beras kampit itu ialah Gombak Setia yang kini disandang presidenya yang menang atas tikit Pas, Hulu Klang, Lembah Jaya, Meru, Bangi, Sejangkang dan Chempaka. Dari tujuh kerusi itu dua kerusi mungkin tidak akan diganggu. Kerusi itu, Sijangkang yang dimenangi Ahmad Yunus dan Chempaka dimenangi Iskandar.

Bentuk gangguan menurut kawan itu Ngo beras kampit akan menurunkan orangnya untuk bertanding atas tikit bebas. Mereka menghitung calon mereka akan dapat menarik 500 hingga 1,000 undi.

Kalau ini menjadi kenyataan kerusi-kerusi Pas yang dimenangi dengan majoriti 1,048 hingga 5,513 undi itu mungkin akan jatuh kepada UBN sekiranya formula itu menjadi kenyataan.

Kata kawan itu kalau Ngo beras kampit itu berjaya membantu UBN menumbangkan Pas beberapa orang pemimpin utama mereka akan diberi ganjaran termasuk dilantik menjadi pengerusi atau pengarah dalam syarikat GLC. Salah seorang dari mereka katanya akan dilantik menjadi senator kononnya untuk dilantik menjadi menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam. [wm.kl.7:43 pm 15/03/12]

Harakah Daily

Siapa sabotaj Khalid agar tidak jadi MB?

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Tan Sri Khalib Ibrahim tidak boleh lagi menjadi Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum akan datang apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan kawasan pilihan raya beliau dari Selangor.

Berikutan perubahan sempadan kawasan pilihan raya, Khalid yang mengundi di Petaling Jaya Selatan, Selangor sebelum ini bakal mengundi di Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Menurut peraturan pilihan raya, hanya mereka yang berdaftar di di negeri berkenaan boleh menjadi calon Dewan Undangan Negeri di negeri itu.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi "pengundi hantu" di Lembah Pantai.

Mohd Razlan juga mendakwa peralihan kawasan mengundi itu, yang hanya boleh berlaku jika menteri besar itu menukar alamat pada kad pengenalannya, adalah kerja dalam untuk mensabotaj Khalid.

Namun, dengan fakta yang ada, kelihatan sabotaj dalaman yang dimaksudkan Razlan adalah "untuk menghalang Khalid menjadi MB Selangor."

Dengan pengakuan SPR bahawa Khalid berubah kawasan ke Lembah Pantai akibat 'pembetulan sempadan pilihanraya', jelas yang mensabotaj Khalid adalah melalui SPR sendiri.

SPR sebelum ini menjelaskan bahawa Khalid kini merupakan pengundi di Lembah Pantai, walaupun sebelum ini mengundi di kerusi parlimen bersebelahan, ekoran langkah pembetulan sempadan kawasan pilihan raya.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, langkah tersebut dibuat pada awal tahun 2010 selaras dengan keputusan SPR untuk menyelaraskan peta pilihan raya dengan peta rasmi negara.

Beliau berkata menteri besar Selangor telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat.

Apabila peta pilihan raya dan peta rasmi itu diselaraskan dengan menggunakan sistem geografi, didapati Jalan 16/2 sebenarnya berada di bawah zon mengundi Rumah Kakitangan Universiti, di bawah kawasan Lembah Pantai.

"Beliau tidak dipindahkan. Beliau masih didaftarkan di alamat yang sama, tetapi sempadan telah diperbetulkan selaras dengan Akta Pilihan Raya 1958," kata Wan Ahmad ketika dihubungi.

Kes yang sama di Hulu Selangor.

Menurut Wan Omar, pembetulan sempadan itu juga menjadi sebab 228 pengundi yang mengundi di Hulu Selangor sebelumnya, mendapati mereka menjadi pengundi di Selayang.

Harakah Daily

Halang ceramah: Umno masih berpolitik cara kuno

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 16 Mac: Umno disifatkan masih bermain dengan politik kuno apabila sedaya upaya cuba menghalang ceramah Pakatan Rakyat khususnya di kawasan yang didakwa 'kubu kuat' mereka.

Di Kampung Rambai di sini, Umno Cawangan Permatang Rambai didakwa cuba menghalang majlis penerangan Pakatan Rakyat semalam dengan membuat laporan polis dan mengutip tanda tangan penduduk kampung.

Ekoran itu, majlis itu kemudiannya dipindahkan ke lokasi lain atas arahan pihak polis.

Pada ceramah pertama Pakatan Rakyat di kampung itu 5 Mac lalu, mereka didakwa mengganggu ceramah dengan membuat bising dan melaungkan kata-kata kesat ketika pemimpin sedang berucap.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak berkata, sikap Umno itu memperlihatkan mereka masih dibelenggu kerisauan ekoran sokongan yang mendadak terutamanya golongan muda terhadap ceramah PAS, DAP dan PKR.

"Apa yang mereka buat itu tidak langsung mengambarkan mereka berada di negara demokrasi sebaliknya berada di sebuah negara yang kuno, " tegasnya.

Selain itu katanya, tindakan itu juga tidak mengambarkan apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hasratkan iaitu mahu melaksanakan tranformasi politik negara ini yang memberikan kebebasan kepada parti politik menerangkan dasar-dasar parti kepada rakyat secara terbuka.

Namun sambung Asrol. perbuatan Umno cawangan tersebut akhirnya memakan diri sendiri apabila ramai penduduk kampung tersebut keluar juga mendengar ceramah di kampung Baru yang terletak berhampiran.

"Sebenarnya ada hikmah disebalik halangan itu. Sebelum ini ketika aktivis mahasiswa Adam Ali, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah dan Timbalan Ketua AMK Kedah, Saudara Khairul Nizam diganggu. Ramai orang kampung sendiri tidak begitu senang, " katanya.

Harakah Daily

Kebangkitan hebat Chelsea: Terry

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

“KEMENANGAN ini membuktikan kepada semua orang bahawa kami bersatu sebagai satu unit. Itu reaksi Kapten Chelsea, John Terry apabila The Blues menjadi pasukan tunggal England mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas menumbangkan Napoli pada pusingan kedua 16 pasukan terakhir di Stamford Bridge, awal pagi semalam.

Sementara itu, Pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo menyifatkan kemenangan tersebut sebagai luar biasa.

“Ini adalah musim yang sukar buat kami, tapi kemenangan ini pasti merubah nasib kelab.

“Jika kami mampu teruskan aksi seperti ini, tidak mustahil kami mampu kalahkan siapa sahaja,” katanya.

Untuk rekod, Di Matteo menang kesemua tiga perlawanan sejak mengambil alih tugasan daripada Andre Villas-Boas yang dipecat.

Pada perlawanan itu, Branislav Ivanovic muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan ketika Chelsea bangkit menewaskan Napoli 4-1.

Jaringan pemain Serbia itu pada minit ke-105 memastikan The Blues layak ke suku akhir menerusi agregat 5-4.

Sinar Harian

Kecederaan pemain, Mat Zan tenang

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

“SEMAHUNYA saya tidak mahu lagi melihat ada pemain tercedera. Itu reaksi Mat Zan Mat Aris ketika mengulas krisis kecederaan membelenggu pasukan Terengganu.

Ketika ini, tiga tonggak utamanya Marzuki Yusof, Ahmad Nordin Alias dan Reeshafiq Alwi terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan.

Terbaru, penjaga gol utama, Mohd Sharbinee Allawee Ramli terpaksa diketepikan akibat kecederaan groin.

“Sharbinee masih belum pulih dan berkemungkinan Mohd Sharmiza Yusof akan menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama.

“Saya yakin dengan kebolehannya dan dia sudah pun buktikan ketika saingan Piala FA menentang Perak, baru-baru ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mat Zan memaklumkan pasukannya itu akan melakukan rombakan menjelang pertemuan menentang Sabah esok.

“Sepanjang minggu ini kita melalui jadual perlawanan padat (Piala FA dan Piala AFC). Saya pasti pemain utama agak keletihan.

“Oleh itu, saya mungkin menurunkan beberapa pemain simpanan dan berharap tiga mata penuh menjadi milik Terengga-nu,” katanya mahu pemain beraksi sebagai pasukan mantap bagi menundukkan skuad Sabahawk kendalian Justin Ganai.

Sinar Harian

Redknapp masih mahu jawatan pengurus England

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

HARRY Redknapp percaya individu bakal mengemudi skuad kebangsaan England perlulah ‘tua’ dan semestinya berbangsa Inggeris.

Komen bos Tottenham Hotspurs itu seolah-olah, memberi gambaran dia mahu menduduki kerusi panas skuad The Three Lions ditinggalkan Fabio Capello yang meletak jawatan bulan lalu.

“Menjadi pengurus kepada negara sendiri pastinya hebat,” katanya.

Selepas Capello meletak jawatan, nama Redknapp disenarai pendek selaku pilihan utama mengemudi England pada Kejohanan Euro 2012 yang berlangsung Jun ini.

Malah, beberapa pemain England termasuk Wayne Rooney dan Rio Ferdinand setuju, jika pengurus berbangsa­ Inggeris berusia 65 tahun itu, mengemudi skuad The Three Lions.

Namun, Redknapp terus mencetuskan spekulasi dengan menegaskan dia tidak mahu diganggu kerana fokus bersama Spurs.

“Sehingga kini, tiada seorang pun daripada­ Persatuan Bola Sepak Inggeris cuba menghubungi saya.

“Apa pun, pengganti Capello mesti berbangsa Inggeris dan mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak,” katanya.

Sinar Harian

13 tong bahan kimia berselerak

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK KALONG – “Tiba di selekoh, muatan bahan kimia dalam tong yang saya bawa berkocak menyebabkan kedudukan tongnya beralih ke kanan, jadi bagi mengelakkan treler terbalik ke kanan, saya pulas stereng ke kiri,” kata pemandu treler, Rosmi Jusoh, 34.

Rosmi yang dalam perjalanan menghantar bahan kimia, Sodium Bromide ke Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) berdepan detik cemas, apabila kesemua 13 tong mengandungi bahan kimia tersebut jatuh berselerak di bahu jalan sejurus treler miliknya terbalik di satu selekoh di jalan pintasan Kuala

Terengganu -Kuantan, berdekatan Syarikat Bitumen Kemaman (KBC), Teluk Kalong, dalam kejadian jam 8.40 pagi, tiga hari lalu.

Menurut Rosmi, ketika kejadian, dia yang membawa treler pada kelajuan 60 kilometer sejam berusaha memulas stereng ke kiri bagi mengelakkan treler yang dipandunya terbalik ke kanan sekali gus boleh mengakibatkan kenderaan yang datang dari arah bertentangan turut terlibat dengan kemalangan.

Katanya, bahan kimia berkenaan diambil dari Pelabuhan Klang untuk dihantar ke KSB kerana dia bekerja mengambil upah menghantar bahan terbabit.

“Selepas terbalik, saya keluar ikut cermin depan treler dan lihat bahan kimia yang dibawa semuanya jatuh ke bahu jalan serta di bawah tebing jalan,” katanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ada antara tong yang dibawa turut pecah dan cecair di dalamnya mengalir, pun begitu difahamkan muatan Sodium Bromide itu tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan alam sekitar.

Berikutan kejadian itu, dua buah jentera bomba dengan kekuatan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh bergegas ke tempat kejadian dan melakukan semburan air bagi melarutkan cecair yang tumpah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Yahaya Hanapi berkata, operasi yang dilakukan tidak mengalami masalah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan menasihatkan pengguna sentiasa berhati-hati di atas jalan raya tambahan lagi dalam cuaca hujan ketika ini di daerah ini.

Sinar Harian

Fergie sedia lepas Berba

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BOS Manchester United, Sir Alex Ferguson memberi lampu­ hijau kepada Dimitar Berbatov meninggalkan Old Trafford, musim panas ini.

“Kami ada pilihan buatnya­. Sambung kontrak atau menjualnya. Saya masih mahu menggunakan khidmatnya namun bukan sekarang. Se­karang dia hanya boleh panaskan bangku simpanan.

“Tapi dia mahukan penampilan dalam skuad utama. Itu saya tidak boleh jamin,” katanya.

Sinar Harian