16 Mac 2012

Pemuda PAS ke Syiria pantau pelajar Malaysia

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menghantar wakil ke Syria bagi meninjau keadaan pelajar Malaysia ekoran krisis yang berlaku di negara berkenaan.

Wakil Lajnah Antarabangsa dewan itu akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi II, Ustaz Fakurazi Mokhtar dan akan berangkat ke Damsyik pada malam ini.

Perkara itu dimaklumkan Naib Ketua DPMM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang juga pengerusi lajnah antarabangsa dalam satu kenyataan hari ini.

Disamping itu beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia di Syria agar tidak melibatkan diri dalam sebarang program dan aktiviti dalaman dan tempatan rakyat Syria yang boleh mengakibatkan mereka diambil tindakan oleh pihak tertentu di sana.

"Para pelajar terutamanya perlulah sentiasa mengikut arahan dari kedutaan Malaysia walaupun dilaporkan Kedutaan Malaysia tidak mahu bertanggungjawap terhadap rakyat Malaysia yang masih berada di pusat-pusat pengajian awam di seluruh Syria.

"Wakil -wakil pelajar malaysia dari persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia diseluruh Syria diminta sentiasa berhubung dan berkomunikasi secara setempat dengan ahli-ahlinya," katanya.

Konflik di Syria semakin hari semakin mendesak apabila jumlah kematian dianggarkan mencecah ribuan rakyat yang tidak berdosa ekoran kebangkitan rakyatnya yang inginkan lebih ruang demokrasi di sana disamping menuntut Presiden Bashyar Assad berundur.

"Kita juga berharap, kerajaan Syria dapat memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Syria terjamin walaupun kemelut politik dalaman disana semakin runcing kerana adalah tanggungjawap kerajaan Syria untuk memastikan keselamatan rakyat asing tidak diapa-apakan serta dilibatkan," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: