16 Mac 2012

Kilang diserang 15 lelaki

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Beberapa pekerja di sebuah kilang elektronik di Kampung Jawa, Bayan Baru di sini kerugian beribu ringgit apabila kenderaan yang diletak di luar pejabat mereka dipecahkan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang dan tukul besi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, suspek yang terdiri 15 lelaki tempatan juga bertindak memecahkan cermin kereta mewah milik pengurus syarikat berkenaan selain memecahkan sebahagian cermin bangunan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Superintendan Lai Fah Hin berkata, kesemua pekerja syarikat tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan memandangkan ketika kejadian mereka diarah berada di dalam bangunan.

Katanya, kejadian serangan itu kemungkinan bermotifkan balas dendam di antara syarikat terbabit dan pihak luar.

“Suspek yang memakai topeng itu datang menaiki tiga kenderaan yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu. Mereka melarikan diri selepas bertindak memecah sebahagian harta benda syarikat dan 16 kenderaan yang diletakkan di hadapan bangunan kilang berkenaan. Polis sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Fah Hin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 iaitu merusuh.

Katanya, pemeriksaan polis di tempat kejadian tidak membawa kepada penemuan apa-apa objek tajam yang dipercayai digunakan sebagai senjata utama ketika kejadian itu.

Kes katanya disiasat mengambil kira secara terperinci pelbagai kemungkinan termasuk masalah individu, perniagaan, cemburu mahupun tukar milik dan sebagainya.

“Kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: