23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
MARAN - Seorang pemandu lori tiga tan dan kelindannya maut tersepit selepas lori dinaiki merempuh belakang sebuah treler membawa muatan bijih besi di Kilometer 158.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, kira-kira jam 5.50 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, rempuhan kuat menyebabkan pemandu lori, Muzadrul Hasdi, 35, dari Batu Caves, Selangor dan kelindannya, Muhamad Fuzi Yaakob, 22 dari Negeri Sembilan tersepit di tempat duduk masing-masing.
Menurutnya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.
“Kejadian berdekatan hentian rehat Maran itu berlaku ketika keadaan lebuh raya kabus tebal dan boleh menghalang penglihatan pemandu. Siasatan mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian lori berkenaan dipandu pada kelajuan antara 70 hingga 80 kilometer sejam dikatakan tidak perasaan sebuah treler berada di depannya akibat kabus tebal sebelum merempuh belakang kenderaan berat terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Johari berkata, lori bermuatan produk makanan sejuk beku terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Puchong menuju ke Kota Bharu, Kelantan manakala treler terbabit dalam perjalanan dari Kerambit, Lipis ke Kemaman, Terengganu.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran kemudian bergegas ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing. Polis juga mengambil keterangan pemandu treler berusia lingkungan 40-an dan siasatan lanjut berhubung kejadian dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan