23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 16 Mac: Lajnah Pendidikan PAS Pusat Pusat merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga allahyarhamuha Nurul Nadirah Abdullah,5, terutama ibunya, Norelyn Alan di atas pemergian allahyarhamuha yang dibunuh dengan kejam dan dijumpai rentung dalam sebuah lubang berdekatan Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Johor Bahru, baru- baru ini.
Anak kecil yang tidak berdosa intu didapati hilang sejak 1 Mac ketika keluar dari kediamannya di Flat Seri Delima untuk membeli maggi dan telur.
“Selaku AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat ,saya ingin melahirkan rasa kesal dan dukacita atas pembunuhan anak kecil yang tidak berdosa ini,” kata Normala Sudirman kepada Harakahdaily.
(Gambar: Normala bersama Penyelaras Pusat Aduan Rakyat Negeri Johor dan Persatuan Anak Melayu Sabah menziarahi keluarga mangsa, kelmarin.)
Justeru, katanya pihak Lajnah Pendidikan mengharapkan agar keluarga mangsa terutama ibu mangsa akan terus tabah dalam menempuh dugaan hidup atas kehilangan insan yang disayangi itu.
“Kami juga berharap agar pembunuh yang tidak berperikemanusiaan ini dikenakan hukuman yang berat untuk memberi pengajaran kepada masyarakat pada masa akan datang,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Mala.
Tambahnya, Dewan Muslimat PAS Pusat juga ingin menasihati agar ibu bapa memantau keselamatan anak-anak dan berwaspada selalu kerana cabaran 'mendidik' anak-anak pada masa sekarang begitu besar lantaran ada kalangan pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan kanak-kanak yang tidak berdosa sebagai mangsa dendam atau nafsu jahat mereka.
Menurutnya, cabaran menjadi ibu bapa semakin hebat dalam 'mendidik' anak-anak agar terhindar daripada perbuatan pihak yang kejam dan tidak bertanggungjawab serta melanggar norma kemanusiaan dalam masyarakat.
Beliau berkata, sikap 'berwaspada' perlu ditanamkan kepada anak-anak agar sentiasa berhati- hati terhadap insan yang tidak dikenali.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan keluarga Allahyarhamuha Adik Nurul Nadirah Abdullah tabah dan redha terhadap qada' dan qadar yang diterima terutama kepada Puan Norelyn Alan, ibu mangsa,” ujarnya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Negeri Johor.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan