16 Mac 2012

Penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Akibat menyorokkan dadah dalam mesin basuh, seorang penganggur menerima padah apabila dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Liang Weng Heng, 43, disabitkan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama kerana kesalahan mengedar 515.8 gram methamphetamin.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Impian Murni, Bukit Mertajam, kira-kira jam 6.30 petang, 23 Ogos 2008.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shakila Banu Shaik Allaudeen dan Charanjit Singh Mahinder Singh manakala Weng Heng diwakili Shaik Saleem SM Daud.

Terdahulu, Hakim Datuk Zamani Abd Rahim membuat keputusan itu setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Weng Heng di peringkat akhir pembelaan kes.

Zamani dalam penghakimannya berkata, selepas mendengar keterangan saksi pendakwaan dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan dengan penilaian maksimum, mahkamah mendapati cara dadah disorok dalam mesin basuh menunjukkan Weng Heng mempunyai pengetahuan mengenai dadah dimiliki serta mempunyai niat untuk melakukan kesalahan itu.

“Bukti ini cukup jelas bahawa Weng Heng mempunyai kawalan dan pengetahuan terhadap barang itu. Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Weng Heng ditahan polis pada 23 Ogos 2008 dan hasil pemeriksaan menemui 67 pil Eramin 5 di dalam kenderaannya.

Siasatan lanjut ke atas tertuduh membawa penemuan dadah yang disorok di dalam mesin basuh di sebuah rumah di Bukit Mertajam.

Analisis yang dijalankan Jabatan Kimia mengesahkan dadah yang disorok itu adalah jenis methamphetamine.

Sinar Harian

Tiada ulasan: