23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
TELUK KALONG – “Tiba di selekoh, muatan bahan kimia dalam tong yang saya bawa berkocak menyebabkan kedudukan tongnya beralih ke kanan, jadi bagi mengelakkan treler terbalik ke kanan, saya pulas stereng ke kiri,” kata pemandu treler, Rosmi Jusoh, 34.
Rosmi yang dalam perjalanan menghantar bahan kimia, Sodium Bromide ke Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) berdepan detik cemas, apabila kesemua 13 tong mengandungi bahan kimia tersebut jatuh berselerak di bahu jalan sejurus treler miliknya terbalik di satu selekoh di jalan pintasan Kuala
Terengganu -Kuantan, berdekatan Syarikat Bitumen Kemaman (KBC), Teluk Kalong, dalam kejadian jam 8.40 pagi, tiga hari lalu.
Menurut Rosmi, ketika kejadian, dia yang membawa treler pada kelajuan 60 kilometer sejam berusaha memulas stereng ke kiri bagi mengelakkan treler yang dipandunya terbalik ke kanan sekali gus boleh mengakibatkan kenderaan yang datang dari arah bertentangan turut terlibat dengan kemalangan.
Katanya, bahan kimia berkenaan diambil dari Pelabuhan Klang untuk dihantar ke KSB kerana dia bekerja mengambil upah menghantar bahan terbabit.
“Selepas terbalik, saya keluar ikut cermin depan treler dan lihat bahan kimia yang dibawa semuanya jatuh ke bahu jalan serta di bawah tebing jalan,” katanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ada antara tong yang dibawa turut pecah dan cecair di dalamnya mengalir, pun begitu difahamkan muatan Sodium Bromide itu tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan alam sekitar.
Berikutan kejadian itu, dua buah jentera bomba dengan kekuatan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh bergegas ke tempat kejadian dan melakukan semburan air bagi melarutkan cecair yang tumpah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Yahaya Hanapi berkata, operasi yang dilakukan tidak mengalami masalah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan menasihatkan pengguna sentiasa berhati-hati di atas jalan raya tambahan lagi dalam cuaca hujan ketika ini di daerah ini.
Sinar Harian
1 ulasan:
itu baru bahan kimia..kalau sisa nadir buni yg nak dipindahkan dari gebeng dan terbalik..macam mana?
Catat Ulasan