16 Mac 2012

Halang ceramah: Umno masih berpolitik cara kuno

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 16 Mac: Umno disifatkan masih bermain dengan politik kuno apabila sedaya upaya cuba menghalang ceramah Pakatan Rakyat khususnya di kawasan yang didakwa 'kubu kuat' mereka.

Di Kampung Rambai di sini, Umno Cawangan Permatang Rambai didakwa cuba menghalang majlis penerangan Pakatan Rakyat semalam dengan membuat laporan polis dan mengutip tanda tangan penduduk kampung.

Ekoran itu, majlis itu kemudiannya dipindahkan ke lokasi lain atas arahan pihak polis.

Pada ceramah pertama Pakatan Rakyat di kampung itu 5 Mac lalu, mereka didakwa mengganggu ceramah dengan membuat bising dan melaungkan kata-kata kesat ketika pemimpin sedang berucap.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak berkata, sikap Umno itu memperlihatkan mereka masih dibelenggu kerisauan ekoran sokongan yang mendadak terutamanya golongan muda terhadap ceramah PAS, DAP dan PKR.

"Apa yang mereka buat itu tidak langsung mengambarkan mereka berada di negara demokrasi sebaliknya berada di sebuah negara yang kuno, " tegasnya.

Selain itu katanya, tindakan itu juga tidak mengambarkan apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hasratkan iaitu mahu melaksanakan tranformasi politik negara ini yang memberikan kebebasan kepada parti politik menerangkan dasar-dasar parti kepada rakyat secara terbuka.

Namun sambung Asrol. perbuatan Umno cawangan tersebut akhirnya memakan diri sendiri apabila ramai penduduk kampung tersebut keluar juga mendengar ceramah di kampung Baru yang terletak berhampiran.

"Sebenarnya ada hikmah disebalik halangan itu. Sebelum ini ketika aktivis mahasiswa Adam Ali, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah dan Timbalan Ketua AMK Kedah, Saudara Khairul Nizam diganggu. Ramai orang kampung sendiri tidak begitu senang, " katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: