23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU-Seorang wanita mengandung tujuh bulan antara empat yang diberkas dalam sekatan jalan raya kerana disyaki memiliki dadah dan senjata berbahaya selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Satria.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kesemua terbabit ditahan oleh sepasukan anggota polis ketika menjalankan operasi sekatan jalan raya di Kok Lanas kira-kira jam 3 pagi dua hari lalu selepas kelihatan mencurigakan.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, tiga lelaki lain yang masing-masing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun berasal dari Pahang turut ditahan dan salah seorang suspek itu adalah pasangan adik-beradik kepada wanita berumur 24 tahun tersebut.
Katanya, hasil serbuan tersebut polis merampas, dua buku lima, pedang, serbuk dipercayai dadah, topeng muka dan kereta yang dinaiki keempat-empat suspek terbabit.
“Kesemua yang ditahan ini dalam perjalanan dari Kuala Krai dipercayai menuju rumah pemandu kereta tersebut di Bachok. Kita mempercayai dadah yang ditemui ini adalah untuk kegunaan sendiri berikutan kesemua ditahan positif ujian air kencing,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.
Azham berkata, ketika pemeriksaan awal dalam kereta tersebut anggota menemui satu paket serbuk putih yang dipercayai heroin di dalam beg kecil berhampiran ‘hand break’ kenderaan itu.
“Pemeriksaan lanjut terhadap pemandu kereta tersebut polis juga turut menjumpai satu buku lima yang diselitkan di pinggangnya,” katanya.
Selain itu, satu buku lima lain bersama topeng muka yang diletakkan di bahagian depan kereta turut ditemui dan pemeriksaan seterusnya membawa kepada penemuan pedang kira-kira 0.75 meter dipercayai disembunyikan di sebalik kotak tisu.
Kesemua suspek ditahan reman tiga hari bermula 14 Mac lalu dan pemandu kereta terbabit didapati mempunyai kes lampau termasuk curi kenderaan serta dadah.
Katanya, polis kini masih menjalankan siasatan berhubung penahanan keempat empat suspek terbabit dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen (6)(1) Akta Bahan Kakisan atau letupan Berbahaya 1985.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan