23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KERTEH – Seorang kakak tidak menyangka gerak hatinya yang terlalu ingin berjumpa adiknya empat hari lalu, menjadi petanda akan kehilangan adiknya itu yang bekerja mencari besi buruk di sini.
Mangsa mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kerteh dekat Jeti Kuala Kerteh dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam semalam.
Mayat adiknya, Che Ahamed Abdan Ismail, 46, dijumpai kira-kira jam 11 malam selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Kerteh dan Balai Polis Kerteh.
Rosmani Ismail, 53, berkata, empat hari sebelum tragedi malang berkenaan, dia bersama seorang cucunya, Mohd Ikram Jaafar, 2, ke rumah adiknya itu yang juga bekas komando di Kampung Gelugor kerana terasa begitu rindukan adiknya yang mempunyai lima anak.
“Saya tidak tahu kenapa perasaan saya melonjak-lonjak mahu bertemunya, lalu saya berjalan kaki ke rumahnya bersama seorang cucu walaupun dalam cuaca panas terik. Meskipun kami tinggal di kampung yang sama tapi disebabkan kesibukan mencari rezeki, kami masing-masing jarang berjumpa. Bila sampai di rumahnya arwah menjamu kami dengan roti disapu susu pekat yang dia buat sendiri kerana waktu itu isterinya, Wan Norhayati Wan Sulaiman, 40, kurang sihat,” katanya yang berniaga di sebuah kedai makan di Medan Selera di Kerteh yang tidak jauh dari lokasi adiknya lemas.
Bapa pesan jaga adik
Menurut Rosmani, arwah beria-ia menyuruh cucu Rosmani yang juga cucu saudara arwah memakan roti yang dibuatnya sambil dia berseloroh mengatakan itu adalah roti terakhir yang disediakannya buat kami.
“Saya masih ingat kata-kata arwah ketika itu ‘Tok ki tak mboh (mahu) buat lagi roti susu untuk adik kalau adik tak makan’. Lalu saya mengambil roti dan menyuapkan pada cucu, tapi tiba-tiba cucu saya tersedak ketika makan roti menyebabkan arwah bergegas ke dapur mengambil air kosong dan meminta maaf kerana dia tidak tahu bancuh air,” katanya yang merupakan anak keempat yang mengakui kata-kata yang diucapkan arwah itu kini terngiang-ngiang di telinga.
Mangsa pula merupakan anak ketujuh daripada 10 beradik dan sejak berhenti kerja, dia mula mencari besi buruk di kawasan sekitar Kerteh dengan turut membawa bersama sebuah tukul besar.
Malahan sebelum kejadian, mangsa juga sempat menukar tong gas, lampin pakai buang anak dan gula yang menjadi keperluan terakhir dibeli untuk keluarganya setelah memperoleh wang hasil jualan besi buruk.
Sementara itu, anak sulung mangsa, Che Ahmad Zulkifli, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kampung Baru Kerteh berkata, pada Isnin lalu, bapanya ada berpesan kepadanya agar menjaga adik-adik jika dia tiada nanti.
“Kali terakhir saya jumpa ayah sebelum ayah keluar rumah selepas Maghrib pada hari kejadian,” katanya sayu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes terbabit berkata, selepas tiga jam setengah usaha mencari dilakukan, mayat mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari lokasi dia dipercayai terjatuh sebelum mayat dihantar ke Hospital Kemaman.
Agency
Tiada ulasan:
Catat Ulasan