16 Mac 2012

Guna taktik menyamar, nelayan asing warnakan bot

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH - Tindakan nelayan Vietnam menggunakan taktik penyamaran dengan mewarnakan bot nelayan mereka dengan cat merah gagal, apabila perbuatan itu berjaya dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Penguatkuasaan Maritim Daerah, Komander Maritim Zainin Abdul Majid berkata, perbuatan tersebut disedari ketika mereka sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

”Kami mula menyedari bot nelayan mereka bukan daripada negeri ini apabila melihat nombor pendaftaran bot tidak diletakkan di hadapan tetapi ditengah seperti mana bot nelayan asing lain. Apabila kami melakukan pemeriksaan didapat kesemua tujuh orang nelayan tersebut yang terdiri daripada awak-awak dan tekong tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya ketika ditemui semasa sidang media di sini, semalam.

Operasi Ops Perkasa Timur itu diketuai Pegawai Memerintah Leftenan Komander Maritim Norhafizi Mohd Rafek bersama 16 anggota.

Zainin berkata, kebiasaannya bot nelayan berwarna merah mewakili nelayan daripada Negeri Kelantan, manakala hijau dari Terengganu dan Kuning pula dari Pahang.

Beliau berkata, semasa operasi tersebut dijalankan berlaku adegan kejar mengejar selama 10 minit sebelum kesemua mereka dapat ditahan dan dibawa ke Jeti Operasi Maritim Malaysia Tok Bali untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, jumlah keseluruhan tangkapan ialah RM300,000 dan kesemua mereka berumur dari 20 hingga 55 tahun.

Menurutnya, bot nelayan bernombor pendaftaran BT 92819 TS itu ditahan kerana kesalahan menangkap ikan di Perairan Perikanan Malaysia tanpa permit sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

”Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau enam bulan penjara bagi setiap awak-awak atau kedua duanya sekali,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: