23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
PERMAISURI – Hasrat empat lelaki dan seorang wanita warganegara Filipina untuk ‘menikmati’ hasil samun sebuah stesen minyak tidak kesampaian, apabila ditahan oleh pemilik stesen minyak itu sendiri, di Pekan Sungai Tong kira-kira jam 4.20 petang, kelmarin.
Taktik licik yang digunakan oleh suspek yang berumur antara 23 hingga 54 tahun itu bermula apabila dua daripada mereka masuk ke dalam kedai Mesra di stesen Petronas itu dan berpura-pura untuk membeli minyak pelincir, manakala seorang lagi berada di kaunter bayaran untuk membeli rokok.
Sinar Harian telah mendapatkan maklumat terperinci dengan salah seorang pekerja ketika kejadian kelmarin.
Menurut Nor Azureen Mahassan, 17, semasa kejadian, dia seolah-olah dipukau dan tidak menyedari wang yang berada di dalam mesin sebanyak RM700 diambil oleh suspek sehinggalah rakannya menepuk bahu.
“Sebelum itu, saya sedang berurusan dengan pelanggan lain untuk memberi baki wangnya dan ketika itulah suspek yang berada di kaunter terus mengambil wang di dalam mesin wang. Selepas mendapat habuannya, ketiga-tiga suspek terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Nissan Sunny,” katanya.
Ekori kereta suspek
Sementara itu, menurut Pemilik Stesen Petronas Bandar Permaisuri, Cik Sanusi Daud, 36, ketika kejadian itu berlaku dia dalam perjalanan pulang dari Kuantan dan berada di Kuala Terengganu.
“Apabila diberitahu oleh pekerja, saya terus bergegas pulang dan menghubungi polis untuk mendapat kerjasama daripada mereka sehinggalah saya terserempak dengan kereta suspek di simpang tiga kilang sawit Chalok. Selepas itu saya terus mengekori kereta suspek dan apabila sampai di Pekan Sungai Tong suspek berjaya ditahan ketika pihak polis membuat sekatan jalan raya,” katanya.
Katanya, mujurlah ketika kejadian semua wang hasil jualan tidak disimpan di dalam mesin itu.
“Saya amat bersyukur kerana penahanan suspek berjaya setelah dibantu oleh semua pihak.
Suspek direman sehingga 18 Mac ini
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
“Difahamkan, selepas suspek menyamun stesen minyak itu, mereka terus ke Kampung Nyatoh untuk mengambil dua lagi rakan mereka di situ sebelum menghala ke Kuala Terengganu. Bagaimanapun, hasrat mereka tidak kesampaian apabila ditahan oleh pihak polis dan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, kelima-lima suspek yang berjaya di tahan itu kini direman bermula semalam hingga 18 Mac ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan pihak kita telah menyita kereta yang dinaiki suspek. Hasil siasatan kita mendapati semua suspek mempunyai dokumen perjalanan sah dan kita percaya mereka masuk ke negara ini untuk mencari kerja,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan