23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
JOHOR BAHRU - Segelintir penduduk kediaman Bayu Puteri 1, di sini, menyuarakan rasa tidak berpuas hati apabila mendakwa bil elektrik bulanan yang diterima sangat membebankan berbanding dengan kadar penggunaan harian.
Suri rumah, Wong Bee Yee, 33, berkata, sejak meter baru digital dipasang sejak awal Januari tahun lalu, bil elektrik rumahnya meningkat hampir RM1,000 sebulan, berbanding kiraan terdahulu antara RM70 hingga RM80 sahaja.
Menurutnya, aduan terhadap permasalahan itu sudah dibuat untuk diambil tindakan, namun sehingga kini maklum balas masih belum diterimanya.
“Saya sudah membuat aduan banyak kali kepada pihak berkenaan namun Setiap bulan, saya masih tetap dikenakan caj lebih RM900 setiap bulan sejak meter baru digital dipasang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Ibu kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia pernah merujuk kepada pihak pengurusan kediaman untuk membuat kiraan kadar penggunaan pada meter baru, selain membuat aduan dan meminta penjelasan daripada pihak berkenaan, tetapi menemui jalan buntu.
“Saya ada menyuruh mereka datang membuat pemeriksaan meter baru, namun pihak berkenaan tidak datang. Sejak Januari 2011, saya sudah membuat pembayaran bil elektrik sebanyak RM7,000. Saya tidak tahu bagaimana pihak berkenaan mengambil kiraan kadar penggunaan harian. Kami jarang berada di rumah dan anak pula tiada di rumah kerana bersekolah disusuli mengikuti kelas tuisyen,” katanya.
Selain itu, Bee Yee berkata, kediaman ibunya yang tinggal berasingan di kawasan perumahan sama juga turut mengalami masalah caj bil elektrik tidak munasabah setiap bulan.
Bagi Choo Pow Yoong pula, dia turut merasa terbeban dengan caj bil elektrik bulanan antara RM200 hingga RM300 yang dikenakan ke atas kediamannya walaupun kadar penggunaan harian amat sedikit.
“Saya tiada sebarang aduan mengenai pertukaran daripada meter lama kepada baru, tetapi rasa terkejut dengan caj bulanan yang dikenakan kerana amat membebankan. Siapa larat bayar jika bil bulanan berjumlah lebih RM200?” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan (Perkhidmatan Pengguna dan Pemasaran ) TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth ketika dihubungi berkata, kesemua pengadu diharapkan dapat hadir ke pejabat TNB bagi memudahkan pihaknya menyelesaikan masalah berkenaan.
“Saya minta dan nasihatkan mereka supaya hadir untuk bertemu saya terus sebagai penyelesaian kes ini. Jika mereka dakwa meter baru bermasalah, pihak TNB akan siasat dan membuat pemeriksaan kejituan jangka,” katanya.
Agency
Tiada ulasan:
Catat Ulasan