19 Mac 2012

Berlumba dam tangga gergasi

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Taman Herba Tropika di Teluk Bahang, Pulau Pinang membawakan keseronokan terbaru dengan memperkenalkan dam tangga bersaiz besar di dalam landskap semula jadinya. Siapa yang tidak pernah bermain dam ular? Sebelum adanya gajet permainan elektronik, papan dam ini memberikan keseronokan kepada pemainnya, bukan sahaja kanak-kanak malah buat si dewasa.

Setiap lontaran dadu, petak dam, tangga atau ular menentukan siapa yang paling cepat ‘naik’ atau ‘turun’. Tidak hairanlah pada zaman kanak-kanak dahulu, ada kawan-kawan sepermainan yang bermasam muka semata-mata asyik tewas bermain dam ular.

Namun, bagaimana pula jika papan damnya bukan lagi sekeping kertas, tetapi petak-petak kayu yang bersaiz besar manakala ‘buahnya’ pula adalah pemain itu sendiri. Tentunya seronok bukan? Dam tangga dan ular bersaiz besar menjadi tarikan baru kepada pengunjung ke Taman Herba Tropika di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Dibina daripada kayu, ia mengambil masa empat bulan disiapkan oleh kakitangan taman berkenaan tanpa memotong walau sebatang pokok, sebaliknya membiarkan tumbuh-tumbuhan di situ terus hidup dalam landskap semula jadinya.


Gamit nostalgia

Pengarah Urusan Taman Herba Tropika, Katharine Chua berkata, hasil daripada landskap itu, ia kelihatan seperti sebuah taman permainan berwarna-warni yang seolah-olah tersorok di dalam rimba nan menghijau.

“Memang sengaja kami bina dam ini di tengah-tengah rimba taman herba. Permainan ini dijangka bakal menggamit nostalgia dalam kalangan orang dewasa sekiranya mereka adalah penggemar dam ular ketika zaman kanak-kanak,” katanya.

Dam berbentuk tiga dimensi itu mempunyai 52 petak. Enam tangga menaik serta empat gegelung lungsur menurun yang boleh dimainkan secara berkumpulan atau individu. Dengan berukuran kira-kira 7.4 meter persegi yang terletak di lereng bukit ini, ia adalah permainan luar yang menyihatkan kerana pemainnya perlu bergerak ke setiap petak.

Beberapa petugas di tempatkan bagi mengawasi keselamatan pemain, manakala seorang lagi petugas berada di atas para sebagai pemantau permainan. Jika dam biasa menggunakan dadu, sebaliknya dam gergasi ini menggunakan pemutar mata yang tertera angka 1 hingga 6.


Pakej lawatan

Katharine berkata, petugas di atas para akan memutarkan mata ini dan pada masa yang sama memberi arahan kepada pemain.“Sama seperti dam ular, pemain yang bertuah menapak ke petak ‘menaik’ dan melangkah pantas melangkaui beberapa anak tangga. Namun bagi pemain yang terkena petak ‘menurun’, mereka perlu menggelongsor melalui gegelung lungsur ke petak tertentu.

“Bagaimanapun, permainan dam itu khusus untuk pemain berusia empat hingga 14 tahun, sesuai dengan temanya iaitu menimbulkan keseronokan kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau memberitahu, sejak diperkenalkan pada Januari lalu, sambutan pengunjung ke sini cukup menggalakkan terutamanya daripada kanak-kanak yang datang bersama keluarga.

Pihak taman menyediakan pakej lawatan ke taman herba serta permainan kepada kanak-kanak sekolah yang datang berkumpulan atau ingin menganjurkan parti hari jadi di sini. Hubungi sahaja taman herba di talian 04-8811 797.

Waktu permainan adalah dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari dan tiada bayaran dikenakan. Pengunjung perlu membayar untuk masuk ke taman herba iaitu RM14 bagi dewasa, RM10 kanak-kanak atau RM45 untuk pakej keluarga.

Sinar Harian

Tiada ulasan: