19 Mac 2012

Rempah Faiza semakin dikenali

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Menyedari penerimaan dan penggunaan rempah ratus dalam masakan semakin digemari, Pengasas Syarikat Faiza, Faiza Bawumi Sayed Ahmad mula meneroka bidang itu sejak 35 tahun lalu.

Ditubuhkan pada 2001, Faiza Marketing Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar rempah ratus Bumiputera menawarkan 123 jenis rempah selain garam gunung dan kurma yang hanya difokuskan pada bulan Ramadan.

Berusaha ke arah mendapatkan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Faiza optimis meneroka pasaran luar dan meningkat perolehan antarabangsa sebanyak 30 peratus berbanding sebelum ini.


Sejarah ciptaan rempah Faiza

Pengarah Urusannya, Najwa Abu Bakar berkata, gemar makan kari mendorong ibunya, Faiza mendapat idea mencipta resipi rempah sendiri sekali gus menjualnya dari rumah ke rumah sebagai pasaran percubaan.

Najwa berkata, tanpa disangka, walaupun berasal dari Mesir, ia tidak menjadi kekangan kepada ibunya mencipta resipi rempah dan cuba memasarkannya kepada umum.

“Maklum balas diterima menjadi pemangkin kepada umi mengembangkan mekanisme jualan dengan memasuki kedai runcit sekitar Johor selepas dua tahun.

“Bermula dari proses awal hingga akhir, semua dilakukan bersama dua pekerja dan kemudian menubuhkan Syarikat Faiza,” katanya kepada Sinar Harian di Subang Jaya.

Menurutnya, selain mengeluarkan rempah ratus, jenama Faiza juga terkenal dengan produk beras. Apabila perniagaan semakin maju maka pengurusan rempah dan beras diasingkan.

Katanya, kini, semua produk diletakkan di bawah Syarikat Faiza, tetapi pengurusan beras dikelola Faiza Sdn Bhd, manakala rempah di bawah Faiza Marketing Sdn Bhd.


Bimbingan Matrade, Fama, Mara

Najwa berkata, melalui rangkaian Syarikat Faiza, rempah keluarannya mula menakluki pasar raya besar secara berperingkat seperti Carrefour, Giant dan Tesco.

Dia berkata, kejayaan ini adalah berkat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
(Mardi) memberi peluang kepada Faiza menembusi pasaran antarabangsa.

“Antara negara berjaya ditakluki adalah New Zealand, Australia, Brunei, Singapura serta beberapa negara lain bersama dengan bimbingan Matrade untuk mengeksport produk rempah tersebut ke luar negara.

“Pasaran antarabangsa terlalu besar untuk ditakluki maka kami perlu memastikan kualiti produk dikeluarkan menepati piawaian dan telah mendapatkan khidmat nasihat daripada Mardi,” katanya.

Katanya, Faiza menawarkan rempah tunggal iaitu rempah diproses tanpa campuran manakala rempah separa dibungkus dalam 10 jenis berbeza.

Menurut Najwa, permintaan bagi rempah separa lebih tinggi dan menyumbang sebanyak 80 peratus kepada perolehan bulanan.

“Purata pengeluaran setiap bulan mencecah 60 tan melibatkan saiz pembungkusan 25 gram, 220 gram dan sekilogram diproses di kilang terletak di Johor dengan kapasiti kakitangan 35 orang di bahagian pengeluaran.

“Faiza bakal membuka sebuah kilang di Bandar Enstek, Sepang pada 2013 sekali gus menyasarkan peningkatan dua kali ganda dan meningkatkan kualiti produk,” katanya.


Perolehan, pengeluaran meningkat 40 peratus

Najwa berkata, sambutan baik terhadap rempah Faiza menyumbang ke arah perolehan tinggi dan mencecah RM 5.5 juta bagi tahun 2011.

Katanya, berikutan rempah semi premix lebih menyumbang kepada perolehan maka Faiza optimis ia akan meningkat sehingga RM 7.5 juta tahun ini.

“Sehubungan itu, kami meramalkan peningkatan 40 peratus di bahagian perolehan dan pengeluaran. Tambahan pula, pengeluaran pes Faiza pada April nanti memudahkan kami mencapai sasaran tersebut.

“Walaupun kini, sumbangan bagi pasaran antarabangsa tidak sampai 10 peratus tetapi selepas pelancaran lima pes perasa seperti kari, kurma, rendang, sambal tumis dan beriani dapat meningkatkan sehingga 30 peratus,” katanya.

Menurutnya, pengeluaran produk berbentuk pes dihasilkan apabila mendapat permintaan tinggi bagi pasaran antarabangsa sekali gus bakal merasmikan kilang yang melibatkan pelaburan hampir RM18 juta.


Ke arah HACCP

Katanya, tidak hanya mementingkan kuantiti pengeluaran tetapi kualiti produk turut menjadi keutamaan Faiza dan sedang menuju ke arah pembaikan.

Najwa berkata, syarikat masih berusaha untuk mendapatkan taraf HACCP khususnya selepas pembukaan kilang baru dan meyakinkan pelanggan dengan produk keluaran Faiza.

“Dengan adanya HACCP, pelanggan tidak akan was-was untuk membeli produk Faiza selain mempunyai sijil halal dan ISO 9001.

“Apabila mendapat HACCP, ia turut memudahkan kami memasarkan produk ke pasaran antarabangsa sekali gus menjadikan Faiza satu-satunya syarikat rempah mempunyai sijil tersebut,” katanya.

Menurutnya, pengeluaran meningkat tetapi tenaga kerja bakal dikurangkan kerana Faiza akan menggunakan mesin automatik sepenuhnya selepas pembukaan kilang baru berbanding kini hanya separa auto.

Sinar Harian

Tiada ulasan: