19 Mac 2012

Antara NFC RM250 juta dan Stadium RM290 juta

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Akhirnya Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, suami kepada Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia Datuk Sharizat Abdul Jalil yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, telah didakwa di Mahkamah terhadap dua pertuduhan pecah amanah yang melibatkan RM49.7 juta berhubung pembelian dua unit kondominium serta dua lagi pertuduhan menyalahi Akta Syarikat.

Isu NFC, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang di bentangkan di Parlimen pada Oktober lalu menyatakan pusat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia menjadi semakin panas selepas beberapa ahli Parlimen serta pimpinan Pakatan Rakyat telah mendedahkan bukti wujudnya penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Sementara itu, dalam kes Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang runtuh pada pada 2 Jun 2009, seorang jurutera perunding Wan Manan Wan Ali telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Beliau didakwa atas tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Stadium Sultan Mizan yang dianggap 'tercanggih' di Pantai Timur telah siap dibina pada tahun 2008 menjelang berlangsungnya sukan SUKMA yang diadakan di negeri Terengganu.

Ia telah dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008 dalam satu upacara yang gilang gemilang. Malangnya baru hanya setahun digunakan ia telah runtuh dan tidak dapat digunakan sehingga sekarang.

Secara faktanya, projek ’kebanggaan’ kerajaan negeri di bawah kepimpinan Umno/BN ini pada mulanya di jangka siap pada tahun 2007 dengan kos asal projek berjumlah RM191 juta. Namun akibat daripada berlakunya kelewatan siapnya projek ini lebih dari setahun, kosnya telah melambung naik kepada lebih RM 292 juta.

Projek Mega ini telah di serahkan perlaksanaannya kepada 3 ’kontraktor kroni’ utama iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn. Bhd. Manakala pembekal utama bumbung stadium berbentuk 'Space Frame’ ini adalah syarikat SOWON PTE. LTD. dari Korea Selatan.

Namun pada 2 Jun 2009 suatu trajedi yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu telah berlaku. Sebahagian daripada bumbung utama stadium kebanggaan ini telah runtuh. Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden ini.

Semasa kejadian, projek ini masih lagi dalam 'Tempuh Tanggungan Kecacatan’ dan pihak kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja membaiki kecacatan.

Satu Jawatankuasa Khas Penyiasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Kerjaraya (JKR) untuk menyiasat punca berlakunya keruntuhan bumbung stadium ini. Hasil dari penyiasatan yang telah dijalankan ini telah di taklimatkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen Malaysia. Semua punca keruntuhan telah dikenalpasti olh pihak JKR semasa taklimat kepada PAC dan telah diserahkan juga kepada kerajaan negeri.

Namun sehingga kini, ramai kalangan yang tertanya-tanya, siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap skandal keruntuhan yang memalukan ini? Walaupun begitu banyak laporan telah dibuat kepada pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), hanya seorang konsultan bertaraf ’jurutera Perunding’ yang boleh dianggap sebagai ’bilis kecil’ telah diseret ke mahkamah.

'Jerung-Jerung besar’ yang telah mengaut laba berganda dari projek pembinaan stadium yang bernilai hampir RM300 juta ini masih lagi bebas berpoya dengan keuntungan yang mereka dapat.

Ramai yang tertanya-tanya dimanakah hasil laporan terperinci oleh pihak SPRM setelah hampir 3 tahun menjalankan siasatan yang rapi ini? Apakah tidak ada langsung elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam skandal sebesar ini? Dan kenapakah laporan yang di buat oleh oleh pihak JKR kepada PAC Parlimen tidak di ambil tindakan wajar oleh pihak SPRM sendiri?

Sekurang-kurangnya dalam kes projek lembu NFC, setelah diasak dengan laporan kepada pihak polis dan SPRM serta pelbagai 'pendedahan’ akhirnya 'jerung besar’ yang beristerikan seorang menteri terpaksa dikorbankan pihak Peguam Negara dan diseret ke mahkamah.

Berbeza dengan kes skandal Sultan mizan, walaupun semua punca keruntuhan telah dikenalpasti oleh pihak Kementerian Kerjaraya (JKR) dan telah di taklimat kepada PAC Parlimen, namun setelah hampir 3 tahun laporan lengkap telah disiapkan oleh pihak JKR, kenapakah masih belum ada 'Jerung-Jerung Besar’ yang didakwa dan diseret ke Mahkamah?

Bayangkan stadium Sultan Mizan yang runtuh yang nilainya jauh lebih besar dari skandal lembu NFC. Semua pihak seolah-olahnya mahu 'cuci tangan’ dan meletakkan seluruh bebanan kesalahan kepada seorang jurutera ‘bilis kecil’ yang dikambing-hitamkan’.

Apakah ianya akan hanya tinggal satu kenangan yang terus menjadi ’titik hitam’ dalam sejarah negeri Terengganu Darul Iman sendiri? Kemana perginya 'kontraktor kroni’ dan kepimpinan Menteri Besar sekarang, Datuk Sri Ahmad Said? Yang nyata, ia jelas merupakan satu lagi ‘Projek kebangaan Kerajaan Barisan Nasional’.

----------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk

Harakah Daily

Tiada ulasan: