19 Mac 2012

Piala Presiden: Kelantan tidak mahu berputih mata lagi

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Selepas diikat keputusan seri 2-2 oleh Melaka, juara bertahan, Kelantan enggan berputih mata lagi apabila turun berhadapan pasukan Johor MBJB pada perlawanan Liga Piala Presiden di Padang Seri Gelam, Johor Bahru petang ini.

Penolong Jurulatihnya, Mohd Nafuzi Mahamad Zain berkata, meski pun gagal meraih mata penuh dalam perlawanan tersebut namun beliau tidak bercadang melakukan rombakan terhadap pasukannya pada pertemuan petang ini.

“Kegagalan mengutip mata penuh ketika bertemu Melaka minggu lalu menjadi pengajaran berguna kepada barisan pemain saya. Malah mereka sudah berjanji akan berjuang habis-habisan untuk mengutip tiga mata pada perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

“Apa yang berlaku sebelum ini kita tidak perlu dikenang lagi. Sebaliknya kita perlu fokus kepada persiapan pasukan. Saya akui pasukan Johor MBJB setanding dengan kita dan saya secara peribadi menghormati keupayaan pasukan tersebut.

Meski pun pasukan The President Warriors bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan pemain, namun Mohd Nafuzi turut melontarkan keresahan rentetan barisan serangannya masih gagal memanfaatkan peluang dengan menjaringkan gol.

“Itulah masalah kita sekarang. Mempunyai banyak peluang (menjaringkan gol) tetapi gagal disempurnakan. Kadangkala mungkin pemain kita sendiri hilang fokus disebabkan kesilapan mereka sendiri.

“Saya harap ia tidak berlaku lagi pada perlawanan ini. Saya masih percaya gandingan Mohd Shahiran (Md Zain) dan Mohd Aris (Zaidi) adalah yang terbaik dan mampu menjaringkan gol pada pertemuan ini. Insya-Allah, saya optimis Kelantan mampu menewaskan Johor MBJB petang ini,” katanya.

Sementara itu, penyerang muda yang sedang mencipta nama, Mohd Shahiran Md Zain mengakui tidak mudah tenggelam dengan pujian melambung meski pun sudah meledakkan tujuh gol daripada 11 perlawanan setakat ini.

“Tujuh gol yang dijaringkan dan menyamai rekod rakan sepasukan, Mohd Aris (Zaidi) tidak menerbitkan perasaan riak kepada saya. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan saya akui prestasi saya masih belum memuncak.

“Sebaliknya ia memberikan keyakinan tinggi kepada saya untuk terus meledak pada perlawanan ini. Insya Allah dengan kerjasama berpasukan, tidak mustahil kita dapat mengalahkan Johor MBJB meski pun beraksi di tempat mereka pada perlawanan ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: