19 Mac 2012

Bukan perpustakaan 'biasa'

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ketika berjalan menuju pintu utama bagi memasuki Perpustakaan Raja Tun Uda yang terletak dalam Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS), Seksyen 13 Shah Alam, apa yang dibayangkan di fikiran pastilah deretan buku di rak dan suasana dingin lagi senyap seperti bangunan-bangunan berisi khazanah ilmu lain.

Bagaimanapun sebaik sahaja masuk, blok-blok huruf aneka warna menyambut pandangan. Tertera Zon Kreatif, nama ruangan ini terbias daripada sepohon pokok yang dinamakan reading tree. Menjadi titik tumpu adalah tiga ekor kuda hijau dan merah yang sedia untuk ditunggang di bawahnya.

Di sekelilingnya, pelbagai bahan bacaan menarik disusun pada rak berbentuk gelongsor yang sudah tentu mendapat perhatian istimewa kanak-kanak. Pada masa sama, si cilik pasti sukar melepaskan pandangan pada sudut interaktif di mana terdapat permainan Nintendo Wii serta tarikan utama di sini, i-Step.

Turut disediakan, aplikasi istimewa On Location Reporter yang dapat membina keyakinan diri kanak-kanak menerusi peluang berucap ala wartawan yang sedang bersiaran secara lintas langsung. Manakala bagi kanak-kanak yang menyukai alam siber, tersedia lapan komputer peribadi HP Windows 7 dan lapan iMac untuk dibuat melayari internet.

Satu yang pasti, apabila ibu bapa memasuki Zon Kreatif ini pasti terbit satu perasaan untuk meneroka lebih luas laman ilmu bersama anak-anak. Nyata konsep taman dengan bauran warna ceria upaya membangkitkan suasana kondusif bagi mendidik si kecil menyukai budaya membaca.


Bagai di rumah

Salah satu kelebihan Perpustakaan Raja Tun Uda sebenarnya ialah pemandangan indah tasik yang berisi banyak teratai di sebelahnya. Justeru jika Zon Kreatif digayakan dengan warna-warni sesuai dengan usia yang mengisi bahagian berkenaan, tingkat lain bangunan ini menawarkan suasana damai setiap kali pandangan melewati dinding kaca.

Lebih sempurna, suasana yang tidak membayangkan sudut kota ini disatukan dengan deretan rak buku moden, sofa ranggi dan kerusi meja berwarna putih yang jarang menjadi pilihan tempat seperti perpustakaan. Merujuk pada hiasan dalaman yang sangat relevan masa, pegawai yang mengiringi penulis menelusuri bangunan ini mengakui merealisasikan sesuatu di luar kotak sememangnya ada cabaran tersendiri.

Sebagai contoh warna kerusi meja pernah dipertikaikan kerana dikhuatiri mudah comot akibat contengan nakal namun demi memulakan sesuatu yang dipercayai mampu mengubah persepsi gedung ilmu terutama dalam minda generasi muda, pengurusan Perpustakaan Raja Tun Uda meneruskannya.

Selain hiasan dalaman, kelainan yang diperkenalkan agar pengunjung lebih mesra perpustakaan adalah mereka dibenarkan tidur sebentar asalkan dalam keadaan sopan dan tidak mengganggu orang lain apabila terasa letih mengulit buku. Alas kaki juga perlu dilepaskan di luar sebelum memasuki setiap bahagian. Hasilnya baik berkaki ayam mahupun berstoking, pijakan pada hamparan karpet lembut mewujudkan perasaan selesa bak berada di rumah.

Elemen spiritual terutama berkaitan agama semestinya bersangkut dengan ketenangan yang didambakan setiap orang terutama pencinta ilmu. Di Perpustakaan Raja Tun Uda, hal ini terbias daripada kemudahan surau yang disediakan di setiap tingkat. Bagi yang ingin berjemaah setiap kali masuk waktu solat, mereka dialu-alukan berbuat demikian di surau paling besar yang terletak di tingkat bawah.

Bahan bacaan yang ditawarkan semestinya terbaru dan banyak. Bagi golongan remaja bahagian paling sesuai untuk mereka adalah Tingkat 1 yang menempatkan bahan bacaan meliputi naskhah fiksyen dan bukan fiksyen seperti novel, ensiklopedia, buku motivasi dan koleksi peperiksaan. Manakala bagi golongan dewasa, koleksi di Tingkat 2 dan Tingkat 3 yang disusun mengikut pengkelasan Dewy Decimal Classification (DDC) boleh diakses sendiri.

Tingkat 4 merupakan Bahagian Rujukan. Ia menempatkan koleksi ilmiah dan buku-buku bukan fiksyen untuk tujuan rujukan dan penyelidikan sahaja dengan keseluruhan koleksi dianggarkan melebihi 37,000 naskhah. Selain koleksi umum terdapat Koleksi Akta yang menyimpan bahan berkaitan akta, undang-undang kerajaan Malaysia dan kanun; Koleksi Akses Terhad yang terdiri daripada buku, koleksi jabatan, jurnal dan tesis yang tidak lagi diulang cetak serta Koleksi Nadir Umum yang cukup berharga, jarang ditemui dan amat bernilai.

Umumnya buku disusun dengan tetulang buku di sebelah hadapan untuk memudahkan akses pembaca. Menerusi cara ini, muatan buku di setiap rak juga dapat dipertingkatkan. Bagaimanapun bagi sesetengah buku yang menepati tema tertentu iaitu Anatomi di Tingkat 1, Lautan (Tingkat 2), Bumi (Tingkat 3) dan Angkasa Lepas (Tingkat 4); bahan bacaan disusun menghadap ke depan.

Meskipun susunan mirip aplikasi rak buku maya yang dinamakan Book Wall ini membuatkan kira-kira 1,500 naskhah sahaja boleh dipamerkan, ia pantas menarik perhatian pengunjung untuk mencapai bahan bacaan berkaitan tidak kira secara berdiri mahupun dibawa duduk di sofa hijau zaitun berdekatan.

Pengunjung Perpustakaan Raja Tun Uda yang berdaftar menjadi ahli dibenarkan meminjam sebanyak tiga naskhah buku untuk tempoh tiga minggu dan tempoh pinjaman boleh dilanjutkan selama tiga minggu lagi secara pembaharuan menerusi panggilan telefon. Dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang kecuali Sabtu dan Ahad (9.30 pagi hingga 5.30 petang); keahlian perpustakaan dibuka percuma kepada semua termasuk kanak-kanak peringkat umur bayi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: