12 Jun 2012

Penyokong Rusia diberi amaran

22 Rejab 1433H. [MOD] -

PERSEKUTUAN Bola Sepak Rusia (FRS) memberi amaran keras kepada semua penyokong mereka agar menjaga sikap dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan atau keganasan menjelang aksi menentang Greece, awal pagi esok.

Berikutan kekecohan yang ditimbulkan ketika pertemuan dengan Republik Czech Sabtu lalu, FRS kini disiasat Jawatankuasa Disiplin Uefa atas dakwaan membabitkan isu perkauman yang menyaksikan pertahanan Czech Theodor Gebre Selassie menjadi sasaran ejekan penyokong yang mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.

Apa yang membimbangkan badan induk bola sepak Rusia itu, adalah hukuman yang bakal diterima, sama ada hanya didenda atau mata pasukan ditolak.

“Di sini tiada tempat untuk penyokong membuat kacau atau menjadikan bola sepak sebagai tempat mereka meluahkan rasa tidak puas hati, membangkitkan isu politik atau peribadi dan ditujukan kepada pihak tertentu.

“Kami mahu penyokong yang datang menjauhi sikap provokasi yang akan menimbulkan kemarahan pihak lain, sebaliknya memberi keutamaan soal berkaitan keselamatan,” katanya menerusi kenyataan di laman sesawang rasmi kelab itu.

Gebre Selassie sebelum ini menjadi sasaran sebahagian kecil penyokong Rusia, bagaimanapun tidak akan membuat sebarang dakwaan terhadap penyokong tersebut.

“Ini perkara biasa dan saya sendiri sudah melalui pengalaman yang lebih teruk daripada ini,” katanya yang enggan mengambil berat hal remeh tetapi fokus pada saingan peringkat kumpulan.

Sinar Harian

Bawa lima penumpang hantu

22 Rejab 1433H. [MOD] -

SETIU - Sebuah bas ekpres dikesan membawa lima penumpang "hantu" tanpa tiket bas sebaliknya hanya diberikan resit dalam Ops Bersepadu membabitkan beberapa agensi di Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Air Sejuk di sini kelmarin.

Pengurus Penguat Kuasa Zon Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Terengganu, Mohd Sharif Jamalabidin berkata, taktik itu dipercayai dilakukan pemandu bas untuk kaut keuntungan peribadi melalui syarikat bas ekspres.

Menurutnya, penumpang sebuah bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuantan itu dikenakan bayaran tertentu dan hanya diberi resit barang sahaja.

“Perbuatan salah pemandu berkenaan boleh mengundang masalah kepada penumpang sekiranya bas yang dinaiki mengalami kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui pada operasi anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu.

Mohd Sharif berkata, tumpuan operasi adalah kenderaan pengangkutan awam dan sebanyak 23 kenderaan diperiksa, daripada jumlah itu sebanyak lima kenderaan didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan beroperasi di luar kawasan, gagal kemukakan permit semasa diperiksa, gagal kemukakan jadual perjalanan dan mengambil penumpang tanpa tiket.

Bagi kesalahan membawa penumpang tanpa tiket kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Perkhidmatan Awam Darat 2010 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 23 akta yang sama antara RM1,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi menentukan pengusaha bas mematuhi syarat dan memberi perkhidmatan bermutu kepada penumpang,” katanya.

Sinar Harian

Curi madu untuk bayar bil elektrik

22 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Gara- gara tidak sanggup tinggal bergelap, seorang penganggur mengambil jalan pintas mencuri madu dari sebuah pasar raya di Gong Badak, di sini, kelmarin untuk mendapatkan wang dengan cepat bagi memastikan bekalan elektrik di rumahnya tidak dipotong setelah tertunggak beberapa bulan.

Bagaimanapun, perbuatan tertuduh, Nazaruddin Alias, 47, dari Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, di sini, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara selama dua hari dan denda RM400 oleh Mahkamah

Majistret, di sini, semalam. Lebih malang, seandainya Nazarudddin yang masih bujang itu gagal menjelaskan jumlah denda dikenakan, dia terpaksa meringkuk di penjara selama dua minggu lagi.

Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi setelah Nazaruddin mengaku salah mencuri empat botol madu jenama ‘Wescobee Ezy Serve’ seberat 500 gram berharga RM64 milik Pasaraya Hock Kee Seng, Gong Badak, Jalan Gong Badak, di sini, 10 Jun lalu.

Nazaruddin mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan itu pada jam 3.30 petang.

Nazaruddin mengaku mencuri empat botol madu milik Pasaraya Hock Kee Seng, Gong Badak, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Nazaruddin tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Nazaruddin telah memasuki pasar raya berkenaan kira-kira jam 3 petang sebelum mengambil empat botol madu dan menyorokkannya di dalam seluar yang dipakai.

Bagaimanapun, Nazaruddin kantoi setelah perbuatannya disedari seorang pekerja pasar raya berkenaan yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan.

Berikutan makluman itu, Nazaruddin ditahan di pintu masuk pasar raya lalu pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ke atas badannya dan berjaya menjumpai empat botol madu di dalam seluarnya.

Sinar Harian

Pemberian kepada T’ganu, royalti atau wang ehsan

22 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Kewangan menyatakan status pemberian royalti petroleum kepada Negeri Terengganu selepas penarikan balik saman Kerajaan Negeri Terengganu terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Adakah pemberian tersebut atas nama royalti petroleum sepertimana sebelum tahun 2000 atau Wang Ehsan,” demikian pertanyaan bagi jawab lisan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat, pagi ini.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan statistik kecenderungan remaja khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang mungkin boleh diukur daripada lawatan mereka ke Pusat Sains Negara, Pusat Remote Sensing Negara, Agensi Angkasa Negara dan Agensi Nuklear Malaysia atau program anjuran Kementerian sempena promosi Tahun
Sains, Gerakan dan Inovasi.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah seseorang pegawai awam berpangkat JUSA "C" atau Gred Khas "C" ke atas dibiarkan "terapung" (float) di perjawatan "JPA Pool" kerana masih tidak disahkan penempatannnya di mana-mana jabatan yang bersesuaian.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [ Kuala Krai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah jumlah pengundi pos yang berdaftar setakat bulan Jun 2012 di seluruh negara. Bagaimanakah mekanisme yang dibuat SPR atau Kerajaan untuk membuat pengasingan antara anggota tentera dan anggota polis yang telah berdaftar sebagai pengundi pos terdahulu dan sekarang perlu mengundi secara
pengundian awal.

Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan jumlah permohonan dan jumlah biasiswa yang ditawarkan di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) bagi tempoh sepuluh tahun terakhir (2002-2011) dan apakah Kerajaan berhasrat menambah lagi jumlah peruntukan tersebut supaya lebih ramai yang boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan sejauh manakah penyelesaian berkaitan caj pembangunan yang dikenakan oleh Kerajaan Singapura bagi kawasan tanah yang diterima oleh Perdana Menteri di Marina South dan di Ophir/Rochor berikutan pertukaran tanah Keretapi Tanah
Melayu (KTM) di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands, dan tiga lagi di Bukit Timah.

Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sumber kewangan untuk membiayai bayaran 'durian runtuh' sebanyak RM1.68 bilion kepada peneroka Felda. Apakah asas atau formula yang digunakan untuk menentukan jumlah RM15,000 kepada peneroka, isteri dan anak peneroka. Bagaimanakah dan bilakah pembayaran tersebut dapat diselesaikan.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah SPAD telah mengeluarkan kebenaran atau permit bagi van-van pelancong asing daripada Thailand untuk beroperasi mengangkut pelancong di dalam kawasan Malaysia.

Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah tindakan Kementerian untuk mengatasi masalah kos import daging setelah NFC gagal.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan status pemberian royalti petroleum kepada Negeri Terengganu selepas penarikan balik saman Kerajaan Negeri Terengganu terhadap PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, adakah pemberian tersebut atas nama royalti petroleum sepertimana sebelum tahun 2000 atau Wang Ehsan.

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [ Bukit Gantang ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan sepanjang tempoh pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berapakah jumlah pelatih yang meninggal dunia dan mengalami kecacatan kekal semasa dalam tempoh latihan mereka. Berapakah pula jumlah pampasan yang telah pihak Kerajaan keluarkan.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan berapakah penduduk luar bandar yang masih tidak mendapat kemudahan infrastruktur asas berbanding dengan keseluruhan penduduk luar bandar di Malaysia.

DatukTaib Azamudden Md Taib [ Baling ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik kes penyeludupan pendatang asing bagi tahun 2010 dan 2011. Kenapakah statistik meningkat begitu ketara daripada tahun 2010 ke 2011 dan apakah langkah-langkah Kerajaan untuk mengatasinya.

Mohd. Abdul Wahid Endut [ Kuala Terengganu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai semua ajaran sesat yang wujud di negara ini khususnya di Terengganu serta jumlah siasatan dan pendakwaan yang telah dilakukan.

Datuk Kamarudin Jaffar [ Tumpat ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan perkembangan terkini cadangan penswastaan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Akta Pilihanraya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 akan dipinda sebelum PRU 13 nanti.

Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kemampuan server Kementerian bagi ujian PSELT amat perlahan dan kadangkala berlaku “server breakdown” terlalu lama, guru terpaksa mengakses laman web ini. Tempoh yang diberi juga terhad (7 hingga 10 minit sekali) menyebabkan ramai guru gagal melaksanakan program ini. Apakah komen Menteri.

Harakah Daily

Warga Perancis cedera jatuh longkang

22 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang warga Perancis cedera di beberapa bahagian badan dan kepala, selepas terjatuh ke sebuah longkang di Pasar Siti Khadijah, di sini, pagi semalam.

Antoine Roger Georges, 45, dijumpai orang awam di dalam longkang terbabit kira-kira jam 6.30 pagi, dengan pakaian yang tidak sempurna.

Dipercayai lelaki itu datang ke Kelantan bersama dua rakannya menaiki kereta dari Kuala Lumpur dan menginapdi sebuah rumah tumpangan di bandar ini.

Mangsa serta dua rakannya dikatakan datang ke Kota Bharu untuk tujuan melancong dan berpecah dengan rakanya dalam bandar terbabit, menyebabkan dia hilang arah dan tidak dapat pulang ke tempat penginapannya semula.

Lelaki terbabit kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) untuk menerima rawatan susulan.

Pegawai Perhubungan Awam, HRPZ II, Zaid Ahmad, berkata, buat masa ini pelancong itu ditempatkan di hospital untuk dipantau keadaan kesihatannya.

”Keadaannya kini stabil walaupun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala.

”Kami mengharapkan supaya rakan atau kenalannya dapat datang ke hospital untuk mengenal pasti mangsa yang fasih bertutur bahasa Perancis selain hanya mempunyai pengenalan diri di samping sejumlah wang Ringgit Malaysia dan Bath Thailand.

”Mangsa setakat ini tidak dapat mengingati kejadian itu secara tepat dan mengharapkan bantuan dari mana-mana pihak termasuk Kedutaan Perancis untuk membantu mengesan dua lagi rakannya itu,” katanya.

Sinar Harian

Bapa Chong Wei nafi mahu bunuh diri

22 Rejab 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Bapa pemain badminton nombor satu dunia, Lee Ah Chai, 59, menafikan laporan media yang mengaitkannya cuba membunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi kelmarin.

Beliau yang dihubungi Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita dan Komuniti, Ong Kok Fooi kelmarin mengakui ada memberhentikan kenderaan di atas jambatan, namun bukan berniat untuk membunuh diri.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan dari pantai Queensbay dan mahu pulang ke rumah. Ketika melalui Jambatan Pulau Pinang saya berasa tidak selesa lalu menghentikan kenderaan di tepi jalan untuk mengambil angin dan tenangkan fikiran.

“Namun orang lain telah salah sangka dan menganggap saya ingin bunuh diri...ini tidak betul," katanya.

Sementara itu, Kok Fooi ketika dihubungi Sinar Harian semalam berharap orang ramai tidak salah faham dengan kejadian ini.

Beliau berkata, media juga tidak perlu menghebahkan lagi perkara ini kerana ia adalah masalah keluarga dan boleh diselesaikan oleh keluarga Ah Chai sendiri.

“Saya difahamkan, Ah Chai telah ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan anaknya, Datuk Lee Chong Wei.

“Kita harap semua masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Sinar Harian

Gelagat Umno sebelum turun takhta

22 Rejab 1433H. [MOD] -

Regim yang hampir tumbang sepatutnya melakukan usaha pembaharuan bagi merebut kembali sokongan rakyat, dengan berusaha sebaik mungkin menjinakkan hati dan minda pengundi, supaya dapat terus bertakhta.

Malangnya, apa yang sering berlaku, kebanyakan penguasa yang dibenci massa itu, selalu bertindak di luar jangka, dengan meneruskan -- malah meningkatkan lagi -- tahap kejahatan dan kezaliman, sehingga menyebabkan kebencian dan kemarahan orang ramai bertambah. Mereka seolah-olah gagal membaca isyarat kejengkelan rakyat yang muncul di mana-mana.

Sekadar contoh, perhatikan saja bagaimana perilaku bekas Presiden Indonesia di ambang kejatuhannya, 14 tahun lalu. Di kala rakyat mula memberontak dan menunjukkan aksi protes secara terbuka, ketika itu jugalah Suharto cuba memperkukuh kedudukannya dengan melantik suku-sakat dan anak-anaknya ke jawatan atau posisi strategik, yang menambah-parah amarah rakyat. Dua bulan sebelum berundur secara paksa, selepas 31 tahun memerintah, Suharto masih ghairah bertanding untuk penggal ketujuh.

Bagaimana pula dengan Hosni Mubarak, yang memerintah Mesir sejak 1981 dan dihukum penjara seumur hidup baru-baru ini? Masakan agensi perisikan yang berpengaruh besar di zamannya gagal mengesan mood rakyat, hinggakan menjelang perletakan jawatan pada Februari 2011, Hosni tetap angkuh mahu mewariskan Mesir buat anak-anaknya, menyebabkan kemarahan rakyat yang tertindas sejak sekian lama meledak.

Di negara kita, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno-BN kelihatan resah gelisah mencari strategi terbaik untuk memastikan kekal berkuasa. Jangkaan tarikh PRU13 -- ibu segala pilihan raya -- terus berubah-ubah, tanda sang penguasa tidak yakin bahawa rakyat sekali lagi akan memberi mandat, walaupun pelbagai insentif one-off dicurahkan, selain dana "durian runtuh" ditabur, misalnya kepada peneroka Felda.

Malah, semasa berkempen di Kulim, dalam program Jelajah Janji Ditepati, pada 8 Jun lalu, Najib membayangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan diberikan buat pusingan kedua. Ternyata, peruntukan hampir RM3 bilion untuk giliran pertama baru-baru ini belum cukup untuk membeli sokongan rakyat.

Najib tidak senang duduk berkejar ke sana sini melaksanakan program yang diatur buatnya, semata-mata untuk meraih simpati pengundi. Ada segmen berbeda buat khalayak berlainan, bukan saja dikategorikan oleh perbedaan kaum dan agama, juga meliputi himpunan khusus buat anak-anak muda, terutama pemilih yang baru pertama kali mengundi.

Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya hujung Mei lalu, digambarkan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, sebagai mendapat sambutan luar biasa, dengan 2.4 juga pengunjung. Hanya segelintir yang percaya angka tersebut, namun lebih ramai mengingati program itu dengan kemunculan artis Korea dalam persembahan sensasi K-Pop, yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri di atas pentas. Gambar Najib bersalaman dengan penyanyi berpakaian seksi itu menjadi bualan ramai.

Kontroversi timbul bukan saja berpunca daripada bentuk persembahan dan pakaian menjolok mata tiga kumpulan K-Pop itu, tetapi kos besar membawa mereka datang ke Malaysia. Ada blogger mendedahkan invois bernilai RM2.4 juta tetapi Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan jumlah itu dibuat berdasarkan perkiraan awal dan hasil perbincangan kos akhirnya adalah RM900,000 (masih terlalu tinggi, 'kan?).

Sukar untuk dipastikan apakah kos yang membazir itu boleh membawa keuntungan politik kepada Umno-BN? Terujakah generasi muda untuk menyokong BN selepas menghadirinya? Apakah formula lapuk BN, dengan menyogokkan hiburan tanpa adab itu kepada anak muda, akan memberi kelebihan kepada mereka, bagi memastikan Putrajaya tidak terlepas? Saya yakin, jika itulah strateginya, dengan melekakan generasi muda, target tersebut pasti tersasar.

Sekonyong-konyong, debat Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin, yang disiarkan secara langsung Astro Awani, membicarakan isu yang menarik tumpuan anak-anak muda, berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Rata-rata penonton berpendapat hujah dan argumen Pengarah Strategi KeADILan itu lebih memikat dan bernas. Generasi muda terpelajar dapat diyakinkan bahawa Malaysia di bawah Pakatan, yang memerangi rasuah dan ketirisan, mampu menyediakan pendidikan percuma, apabila khazanah kekayaan negara dilindungi oleh pemerintah yang beramanah.

Dua tahun lalu, dalam jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin menjelaskan, sehingga April 30 April 2010, seramai 1.5 juta pelajar mendapat pinjaman PTPTN. Tentulah jumlah peminjam sehingga kini menghampiri 2 juta orang, satu angka yang cukup besar dan dapat mempengaruhi PRU13. Pengundi seramai itu, dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, tidak boleh diremehkan kecenderungan mengundi mereka.

Seterusnya, Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yasin (juga mentornya, Dr Mahathir Mohamad) dikejutkan dengan kehadiran lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Himpunan Hijau ke Putrajaya, di Stadium Darul Aman, malam 1 Jun lalu. Siapa sangka, dengan persiapan tidak sampai dua minggu, gelombang lautan hijau mencipta sejarah baru dan menggegarkan Alor Setar?

Gugup dengan situasi yang semakin mengasak Umno-BN itu, tanpa diketahui siapa perancang dan penasihatnya, tiba-tiba, pada Selasa lalu, kita dikejutkan dengan berita pembekuan pinjaman PTPTN untuk pelajar baru Unisel dan Kuis, dua IPT di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak syak lagi, ini merupakan amalan politik dendam kesumat berniat jahat Umno-BN, bukan saja untuk merampas Selangor tetapi bertujuan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat yang menjanjikan pendidikan percuma. Umpama kata pepatah, tiada tanduk, telinga dipulas. Pelajar yang tidak berdosa -- dan 80 peratus daripada mahasiswa baru Unisel itu adalah Melayu -- menjadi mangsa politik bebal Umno.

Arahan yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi Khalid Nordin -- seperti disahkan Pengerusi PTPTN, Ismail Mohamad Said, yang juga Ahli Parlimen BN Kuala Krau -- yang direstui Muhyiddin dan pastinya disokong sepenuhnya oleh Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, telah mendapat reaksi yang cukup mengejutkan Najib: Tentangan dan kecaman cukup meluas dan merata!

Beberapa pemimpin Umno, misalnya Khairy dan Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi secara terbuka membantah langkah primitif itu.

Ya ... dalam suasana genting BN mengharapkan undi anak muda, tiba-tiba Umno mempamerkan wajah hodoh dan jelik. Tentu pelik dan aneh, 'kan? Reaksi awal MB Khalid Ibrahim bahawa Unisel akan mencairkan asetnya, hartanah seluas 500 ekar yang diperolegi hasil penyusunan semula hutang Talam, makin menambahkan gelabah Umno.

Noh, yang selalunya kelihatan berang dan garang, terkedu seribu bahasa. Sebelumnya, beliau berkata pembekuan PTPTN hanya akan ditarik balik jika kerajaan PKR (istilah ciptaannya) "mengaku salah dan mengiytiharkan tidak mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong".

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin melihat daripada perspektif yang menarik: "Nampaknya kedua-dua menteri (Khalid dan Muhyiddin) dari Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang, Pakatan Rakyat akan pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN.

"Kita percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga Khaled baru sedar bahawa pembekuan ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno. Kita berterima kasih kepada Khaled yang juga disebut-sebut bakal menggantikan MB Abdul Ghani Othman ... Selepas ini, Khaled akan dijadikan kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno-BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo."

Mungkin suasana kelam-kabut, flip-flop dan keliru ini, membayangkan Umno sengaja menempah maut, sepertimana tindak-tanduk penguasa zalim atau diktator tua di penghujung pemerintahan mereka, misalnya kes Hosni Mubarak dan Suharto tadi.

Harakah Daily

Bersih 3.0: Menteri KDN patut tanggung kerugian

22 Rejab 1433H. [MOD] -

Kalau Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein bersama polis bijak membaca keadaan dan pandai menguruskan keselamatan awam negara tidak mengalami kerugian sebanyak RM1.8 juta dalam tempoh hanya beberapa jam saja. Tetapi kerana Hishammuddin dan pasukan polis tidak bijak menyebabkan wang sepatutnya boleh digunakan untuk membeli uniform baru polis hangus begitu sahaja.

Kerugian wang negara sebanyak RM1.8 juga itu kerana digunakan untuk mengawal himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Jumlah itu tentulah untuk membayar gas pemedih mata yang digunakan untuk menyuraikan himpunan dan juga tanggungan-tanggungan lain termasuk membayar rawatan anggota polis cedera dalam himpunan berkenaan.

Angka itu dikeluarkan hari ini oleh kementerian dalam negeri di parlimen bagi menjelaskan pertanyaan wakil rakyat DAP Batu Gajah (Fong Po Kuan).


Dalam kejadian itu kementerian dalam negeri memberi tahu sebanyak 909 kelongsong gas pemedih mata digunakan pada himpunan pada 28 April itu di mana jumlah tersebut tiga kali ganda daripada yang digunakan dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lepas. Jumlah ini mengesahkan bahawa Bersih 3.0 lebih hebat dan ramai berbanding dengan kehadiran pada Bersih 1.0 dan Bersih 2.0.


Turut sama dijelaskan sebanyak 58 lagi jenis gas yang dibaling dengan tangan terhadap para himpunan. (Cis... kepada polis jahat).


Barang kali wajar kalau mana-mana parti bakal membentuk kerajaan di masa akan datang tidak melantik orang-orang yang tidak bijak ataupun kurang akal dalam menyelesaikan apa juga isu membabitkan rakyat kerana disebabkan kelemahan itu kerajaan terpaksa mengalami kerugian. Bayangkan kalau menteri dalam negeri dan juga perdana menteri gentleman membenarkan himpunan itu berlangsung secara aman negara tidak mengalami kerugian sebanyak itu dan wang RM1.8 juga boleh diagihkan untuk perkara lebih berfaedah.


Sebenarnya kalau hendak dihitung jumlah kerugian itu bukan saja bagi kerajaan tetapi peserta juga mengalami kerugian sama. Betapa tidak beratus buah telefon bimbit, kamera, kereta, motosikal juga mengalami kemusnahan disebabkan kerakusan polis. Semasa peserta himpunan lari bercelidar disebabkan amukan polis, berbagai peralatan peribadi termasuk dompet, beg tangan, gedget, kasut, selipar dan pelbagai peralatan IT bertaburan di jalanan.

Semoga untuk masa akan datang kejadian seperti itu (yang boleh dilakukan dengan baik) tidak diurus dengan rakus semata-mata kerana kerajaan UBN ingin memberi gambaran kepada umum yang himpunan Bersih jahat. Kini orang ramai dapat menilai sendiri siapa yang selama ini mengkhianati harta benda negara ataupun membelanjakan wang negara di tempat tidak wajar dan mengetahui apakah punca dan di mana kelemahannya. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Harakah Daily

3 tahun skandal runtuhnya Stadium Sultan Mizan

22 Rejab 1433H. [MOD] -

Hujung minggu lepas menyaksikan ribuan rakyat Terengganu yang kebanyakannya terdiri dari kalangan anak-anak muda telah berhimpun di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bagi memperingati peristiwa '3 tahun runtuhnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin' yang berlaku pada 2 Jun 2009.

Peristiwa malang yang kini menjadi mercu tanda bagi keangkuhan dan kebebalan kepimpinan UMNO Terengganu ini telah mengakibatkan rakyat Terengganu terpaksa menanggung kerugian ratusan juta ringgit.

Untuk ingatan kita, stadium ini telah siap dibina pada tahun 2008 menjelang berlangsungnya sukan SUKMA yang diadakan di negeri Terengganu. Projek mega ’kebangaan’ kerajaan kepimpinan Umno/BN ini pada mulanya di jangka siap pada tahun 2007 dengan kos asal projek berjumlah RM191 juta. Namun akibat daripada berlakunya kelewatan siapnya projek ini lebih dari setahun, kosnya telah melambung naik kepada lebih RM 292 juta.

Projek Mega ini telah di serahkan perlaksanaannya kepada 3 ’kontraktor kroni’ utama yang rapat dengan kepimpinan Umno Terengganu iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn. Bhd. Manakala pembekal utama bumbung stadium berbentuk ’Space Frame’ ini adalah syarikat SOWON PTE. LTD. yang didatangkan khas dari Korea Selatan.

Namun pada 2 Jun 2009 suatu trajedi yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu telah berlaku. Pada jam 9.40 pagi, sebahagian daripada bumbung utama stadium kebangaan ini telah runtuh.

Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden ini tetapi terdapat beberapa kenderaan yang rosak teruk akibat dari keruntuhan ini. Semasa kejadian, projek ini masih lagi dalam ’Tempuh Tanggungan Kecacatan’ dan pihak kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja membaiki kecacatan.

Pada 15 Jun 2009, satu Jawatankuasa Khas Penyiasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Kerjaraya (JKR) untuk meenyiasat punca berlakunya keruntuhan bumbung stadium ini. Hasil dari penyiasatan yang telah dijalankan ini telah di taklimatkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen Malaysia.

Antara faktor yang telah dikenalpasti olh pihak JKR semasa taklimat kepada PAC adalah 4 punca utama iaitu; Rekabentuk yang tidak memadai; Bumbung tidak dibina dengan sempurna menyebabkan berlaku salah jajaran kepada geometri; Kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak dan Bahan dan kualiti hasilkerja (workmanship) tidak memenuhi spesifikasi yang telah ditentukan. Mutu pembuatan komponen keluli didapati tidak baik dan tidak memenuhi spesifikasi yang ditentukan.

Skandal runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan ini adalah amat mendukacitakan serta memalukan seluruh rakyat Terengganu.

Walaupun kerajaan negeri telah berbelanja ratusan juta, kini telah lebih 3 tahun stadium ini tidak dapat digunakan langsung. Manakala kerja-kerja baikpulih tidak berjalan lancar seperti yang di jangkakan.

Lebih malang lagi apabila baru-baru ini telah berlaku kecurian barang-barang seperti peralatan sukan, kabel dan generator yang di anggarkan lebih dari RM50 juta.
Uniknya sepanjang stadium ini tidak dapat digunakan ia telah dijaga di bawah sebuah syarikat keselamatan yang di bayar lebih dari RM1 juta setahun oleh kerajaan Terenganu bagi menguruskan penjagaan stadium tersebut. Namun telah berlaku kecurian barangan stadium yang amat-amat memalukan seluruh rakyat Terengganu.

Ramai kalangan rakyat Terengganu juga sehingga kini masih tertanya-tanya siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap keruntuhan yang memalukan ini? Dan pihak manakah yang akan menanggung kos baikpulih ini?

Dan berapakah pula kos sebenar baikpulik stadium ini yang bernilai hampir RM300 juta ini? Dan bilakah baikpulih stadium ini akan disiapkan?

Kini persoalan besar yang timbul, apakah keseluruhan struktur stadium ini selamat untuk digunakan oleh rakyat Terengganu?

Skandal besar yang memalukan ini sehingga kini telah mendapat reaksi ’sambil lewa’ dari kepimpinan Dato Sri Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Beliau tidak boleh menutup ’sebelah mata’ dengan menyalahkan ’kontraktor kroni’ kepimpinan yang lalu dibawah Dato Sri Idris Jusuh semata-mata.

Skandal besar ini telah meletakkan maruah rakyat Terengganu amat tercabar. Seluruh rakyat Terengganu bukan sahaja menanggung bebanan 'malu' tetapi juga terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta sedangkan di waktu yang sama 'kontraktor kroni' berpoya-poya mengaut laba keuntungan yang besar.

Namun inilah realiti yang berlaku di negeri 'penyu bertelur' ini. Negeri yang kaya raya ini terus berhadapan dengan pelbagai skandal, salah-urus dan masalah kepimpinan yang amat lemah. Kebanyakan rakyat bawahannya pula terus disogok dengan pemikiran 'subsidi' dan 'wang ehsan' dan terpaksa menanggung bebanan yang melibatkan pembaziran dan kerugian ratusan juta ringgit.

Ya...penyu terpaksa menangis lagi di negeri Gganu kite ini.
-------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burpk, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk

Harakah Daily

Bapa kafir: Rahim Noor, NST disaman RM10 juta

22 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Gara-gara mengeluarkan kenyataan menuduh Menteri Besar Kelantan sebagai bapa kafir, kini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berdepan dengan tuntutan saman sebanyak RM10 juta.

Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Dan sebutannya akan diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu 15 Julai depan.
Saman tersebut difailkan Nik Aziz melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu dan akan diserahkan kepada semua defendan terbabit dalam masa terdekat ini.

Selain Rahim, enam lagi defendan yang dinamakan ialah NST, ketua editornya, Abdul Jalil Hamid dan wartawannya iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean, Nik Amran Abdullah dan pengarang NST Syed Nadzri Syed Harun.

Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir” dalam tempoh yang diberikan.

"Defendan-defendan secara bersama/berasingan telah bertanggungjawab menulis dan menyebabkan tersiarnya sebuah artikel di muka surat 6 di dalam akhbar New Straits Times, yang bertajuk 'NIK AZIZ IS FATHER OF KAFIR’ yang diterbitkan pada hari Selasa 08 Mei 2012, yang mana artikel tersebut secara jelas menyebut secara langsung berita yang tidak benar dan tidak berasas yang dikaitkan dengan Plaintif," tulis writ saman tersebut.

Rahim dalam kenyataannya melalui akhbar New Straits Times pada 8 Mei lalu menyebut “Nik Aziz is father of kafir”.

Ekoran itu Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim bagi menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun bekas ketua polis yang kontroversi itu gagal menarik balik kenyataan tersebut. Keengganan Rahim menyebabkan pelbagai pihak tampil membuat laporan polis dan demontrasi membantah kenyataannya.

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan diwakili pasukan peguam diketuai Hanipa Maidin dengan dibantu Hisham Fauzi, Aminudin Zulkepli, Hatman Abdullah, Abdul Rasyid Yah dan Hilmi Abdullah.

Saman juga dikemukakan terhadap enam lagi pihak iaitu tiga wartawan NST yang terbabit menulis berita berkenaan, Pengarang Urusan Kumpulan NST, penyunting kumpulan NST dan syarikat NST.

Menteri Besar dalam pernyataan tuntutan mahu defendan-defendan menarik balik berita fitnah yang disiarkan NST pada 8 Mei lalu.

Selain itu permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif dengan mengiklankan permohonan maaf tersebut semuka penuh dalam akhbar Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Turut dituntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

Injunksi juga dikemukakan bagi menghalang defendan-defendan memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif.

Dalam afidavitnya Menteri Besar berkata, tulisan tersebut bermaksud menuduh dan memfitnahnya sebagai “bapa kafir” menggunakan agama untuk mengelirukan umat Islam.

Tulisan tersebut juga disifatkan memberikan gambaran yang buruk terhadap plaintif.

Harakah Daily

Benarkah Aishah akan bertanding atas tiket PAS?

22 Rejab 1433H. [MOD] -

Penglibatan artis atau selebriti dalam dunia politik bukanlah satu fenomena yang baru. Namun sejak kebelakangan ini ianya menjadi perdebatan hangat apabila artis muncul di pentas politik pembangkang. Bagi sesetengah pihak ianya perkara yang pelik, tidak pula menjadi pelik apabila artis berada di pentas kerajaan.

Situasi ini sedikit sebanyak dirasai seorang penyanyi bersuara merdu yang cukup popular dengan lagu Janji Manismu, Aisyah. Beliau kini mengakui ada kepuasan bila berada di dalam jemaah yang berpendirian sama, PAS.

Bagaimanapun semenjak beliau mula mendekati PAS, pelbagai persepsi timbul malah ada yang mengatakan beliau antara yang akan bakal bertanding atas tiket PAS dalam PRU nanti. Sejauhmana kebenaran itu? Ikuti temubual Wartawan Harakahdaily, SALMIYAH HARUN dengan Wan Aishah.


1. Bagaimana perasaan Saudari setelah duduk di dalam PAS berbanding sebelum ini? Seronok?

Menyertai PAS bukan untuk berseronok tapi untuk membantu dalam perjuangan meletakkan Islam sebagai 'priority' dalam kehidupan rakyat. Ianya satu cabaran yang besar. Saya cuma boleh bantu apa yang termampu tapi ada satu kepuasan bila berada di dalam jemaah yang berpendirian yang sama.


2.Macam mana perhubungan saudari dengan rakan-rakan artis yang lain, adakah mereka memandang serong selepas saudari masuk PAS?

Setakat ini saya macam biasa sahaja dengan rakan-rakan artis, kalau mereka pandang serong itu tidak jadi masalah kepada saya. Kita semua ada pendirian dan pandangan masing-masing. Yang penting ada rasa hormat antara satu sama lain .


3.Saudari berucap di Perhimpunan Hijau ada 1 Jun lalu, bagaimana perasaan saudari ketika itu?

Saya sangat terharu bila berada di perhimpunan hijau tempoh hari, betapa ramainya penyokong yang membanjiri stadium. Rakyat yang datang dari setiap pelusuk negara, pengorbanan mereka untuk sampai ke perhimpunan itu tanpa dibayar malahan dengan duit mereka sendiri. Walaupun ramai dari kalangan mereka bukannya datang dari golongan berada. Saya juga terharu diberi penghargaan untuk bercakap. Menunjukkan PAS adalah
parti politik yang progresif dan tidak mengamalkan kronisme.


4.Sejak saudari berada di pentas PAS, ada tak tawaran dari pimpinan PAS untuk saudari bertanding dalam PRU nanti?

Setakat ini belum ada tawaran rasmi dari PAS Pusat untuk saya bertanding dalam PRU.

5.Jika saudari diberi peluang bertanding, kawasan manakah saudari mahu?

Saya belum terfikir sampai ke tahap itu.


6.Khabar angin mengatakan Saudari bakal bertanding di Jempol. Betul ke?

Saya pun tidak tahu dari mana datangnya cerita saya hendak bertanding di Jempol. Ianya tidak betul kerana saya tidak dapat apa-apa tawaran rasmi dari PAS.


7.Ditakdirkan saudari menjadi wakil rakyat selepas PRU nanti, apa agaknya perkara utama yang saudari mahu lakukan untuk rakyat?

Kalau ditakdirkan begitu saya akan berkhidmat untuk rakyat sebaik mungkin, dengar rintihan dan masalah mereka. Yang penting ialah 'to give the people what they realy need' (memberi bantuan kepada yang memerlukan).

Harakah Daily

Pasangan kekasih dijel

22 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Pasangan kekasih tersenyum apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara selepas mengaku bersalah secara bersama memiliki heroin seberat 0.01 gram pada 14 Mac lalu.

Justeru pengakuan salah itu, Majistret, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap Shahrizal Mirza Faizal, 36 manakala pasangannya, Noor Azlina Ilias, 33, dipenjarakan selama lima bulan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh tersebut kira-kira jam 6.30 pagi anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) melakukan serbuan di rumah rakan tertuduh yang beralamat Lot 1076, Paya Bemban, di sini.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik air pengadu polis menemui beg yang mengandungi satu botol lut sinar bertudung kuning di dalamnya terdapat dua tiub straw pendek setiap satunya berisi serbuk putih dipercayai dadah.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Sebelum itu, Shahrizal Mirza yang bekerja sebagai buruh meminta kepada mahkamah untuk mengurangkan hukuman terhadapnya dengan alasan supaya dapat memberi peluang kepadanya untuk berubah.

Shahrizal Mirza yang sudah berkahwin itu juga menyatakan kekesalannya dan benar-benar mahu berubah kerana masih mempunyai keluarga.

Manakala, pasangannya juga seorang ibu yang mempunyai tiga anak dan bekerja sebagai jurujual turut merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan hukuman terhadapnya kerana masih perlu menanggung perbelanjaan persekolahan anaknya .

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Muhamad menepis rayuan tersebut dan meminta kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman yang setimpal kepada kedua-dua tertuduh.

Sinar Harian

Wajah dirakam bertukar ngeri

22 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH – Seorang pemandu lori tidak sangka gambar yang dirakam untuk kenangan menjadi sebaliknya apabila muncul lembaga berambut panjang menggantikan wajah adiknya.

Menceritakan kejadian pada malam Jumaat minggu lalu, La’aba Lata, 38, berkata, gambar tersebut dirakam atas permintaan adiknya, Belly Lata,22, untuk mengabadikan perkataan ‘IPOH’ sebelum pulang ke Sabah.

Menurutnya, gambar tersebut dirakam pada jam 9.30 malam di Jalan Kuala Kangsar bersebelahan dengan Kawasan Pelancongan dan Rekreasi Gunung Lang.

“Ketika merakamkan gambar, saya tidak nampak apa-apa namun, ketika Belly memeriksa kamera digital dalam kenderaan, dia terus menjerit sambil kata tidak mahu lihat lagi.

“Mulanya saya berasa pelik.

Setelah melihat dengan mata sendiri, kami lihat lembaga perempuan berambut panjang seolah-olah mahu terkam adik.

“Dalam gambar itu, wajah adik tidak kelihatan langsung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

La’aba berkata, mereka juga turut diganggu sepanjang malam selepas tiba di rumah di Taman Chepor Impian.

“Saya pernah dengar kawasan tersebut tidak sesuai untuk anak-anak kecil kerana sering diganggu sehingga menangis tapi tak sangka, saya pula yang terkena.

“Namun, malam tersebut, rumah kami pula diganggu dengan bunyi orang berjalan di atas bumbung selain bunyi orang buka pintu. Nasib baik, kami diganggu malam itu sahaja,” katanya.

Katanya, semua rakan yang melihat gambar tersebut berasa terkejut dengan imej wajah lembaga tersebut yang jelas kelihatan apabila dibesarkan.

Sinar Harian

Euro 2012: Fakta Perlawanan (Hari Keempat)

22 Rejab 1433H. [MOD] -

BERIKUT fakta ringkas dan statistik perlawanan Kejohanan Euro 2012 setakat hari keempat. Kejohanan bermula 8 Jun lalu dan lapan perlawanan telah selesai.


PENJARING:

2 gol - Mario Mandžukic m-3 (Gol terpantas setakat ini) (Croatia); Alan Dzagoev m-15, (Rusia); Andriy Shevchenko m-54,61 (Ukraine)

1 gol - Roman Pavlyuchenko m-83, Roman Shirokov m-24 (Rusia), Dimitris Salpingidis m-51 (Greece), Mario Gomez m-72 (Jerman), Michael Krohn-Dehli m-24 (Denmark), Robert Lewandowski m-17 (Poland), Vaclav Pilar m-54 (Republik Czech), Antonio Di Natale m-60 (Itali), Cesc Fàbregas m-64 (Sepanyol), Nikica Jelavic m-43 (Croatia), Sean St Ledger m-19 (Republik Ireland), Joleon Lescott m-30 (England), Samir Nasri m-39 (Perancis); Zlatan Ibrahimovic m-52 (Sweden)



PERCUBAAN TEPAT KE PINTU GOL:

5 – Karim Benzema (Perancis)

4 - Cristiano Ronaldo (Portugal); Vaclav Pilar (Republik Czech)

3 - Michael Krohn-Dehli (Denmark); Robin Van Persie (Belanda); Cesc Fabregas, Andres Iniesta (Sepanyol); Yohan Cabaye, Florent Malouda (Perancis)

2 - Roman Pavlyuchenko, Alan Dzagoev (Rusia); Mario Gomez, Lukas Podolski (Jerman); Eugen Polanski (Poland); Tomas Rosicky (Rep Czech); David Silva (Sepanyol) Keith Andrews (Rep Ireland); Luka Modric, Mario Mandzukic, Darjio Srna (Croatia); Claudio Marchisio (Itali)

1 - Aleksandr Kokorin (Rusia); Silvestre Varela (Portugal); Lasse Schone (Denmark); Antonio Di Natale, Antonio Cassano (Itali); Klass-Jan Huntelaar (Belanda); Dimitris Salpingdis (Greece); Jan Rezek (Rep Czech); Kevin Doyle (Republik Ireland)



DIBUANG PADANG:

Sokratis Papastathopoulos (Greece), Wojciech Szczesny (penjaga gol Poland)



JUMLAH GOL DIJARING:

- Tujuh (hari pertama) - Kumpulan A: Rusia (4); Poland (1); Greece (1); Republik Czech (1)

- Dua (hari kedua) - Kumpulan B: Denmark (1); Belanda (0); Jerman (1); Portugal (0)

- Enam (hari ketiga) - Kumpulan C: Sepanyol (1); Itali (1); Croatia (3); Republik Ireland (1)

- Lima (hari keempat – Kumpulan D: Perancis (1); England (1); Ukraine (2) Sweden (1)





JUMLAH KAD KUNING:

Empat pada hari pertama kejohanan (Kumpulan A; Poland lawan Greece)

Tiga pada hari kedua (Kumpulan B; Denmark lawan Belanda); Empat ketika Jerman melawan Portugal (juga Kumpulan B)

Enam pada hari ketiga (Kumpulan C; Sepanyol lawan Itali); Tiga ketika Republik Czech melawan Croatia (juga kumpulan C)

Dua pada hari keempat (Kumpulan D; Perancis lawan England); Tiga ketika Ukraine melawan Sweden (juga Kumpulan D)





KAD KUNING:

2 - Sokratis Papastathopoulos (Greece)

1 - Helder Postiga, Fabio Coentrao (Portugal); Jose Holebas, Giorgos Karagounis (Greece); Mark Van Bommel (Belanda); Jerome Boateng, Holger Badstuber (Jerman); William Kvist, Simon Poulsen (Denmark); Keith Andrews (Republik Ireland); Luka Modric, Niko Krancjar (Croatia); Jordi Alba, Fernando Torres, Alvaro Arbeloa (Sepanyol); Mario Balotelli, Christian Maggio, Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini (Itali); Alex Oxlade-Chamberlain, Ashley Young (England), Kim Kallstrom, Rasmus Elm (Sweden)



OFSAID:

Antonio Cassano (2, Itali)

Robbie Keane (2, Republik Ireland)

Dennis Rommedahl (2, Denmark)

Andrey Arshavin (2, Rusia)

James Milner, Ashley Young (2, England)

Milan Petržela (1, Republik Czech)

Kostas Fortounis (1, Greece)

Antonio Di Natale (1, Itali)

Jan Rezek (1, Republik Czech)

David Silva (1, Sepanyol)

Fanis Gekas (1, Greece)

Helder Postiga (1, Portugal)

Cesc Fàbregas (1, Sepanyol)

Milan Baroš (1, Republik Czech

Mesut Ozil (1, Jerman)

John Heitinga (1, Belanda)

Kostas Katsouranis (1, Greece)

Luka Modric (1, Croatia)

Vaclav Pilar (1, Republik Czech)

Danny Welbeck (1, England)



SEPAKAN SUDUT:

Belanda, Portugal - 11

Croatia, Sepanyol (7)

Republik Czech - 5

Denmark, Greece, Poland - 4

Rusia - 3

Itali, Jerman - 2

Republik Ireland (1)

Perancis (11)

England (4)

Ukraine (3)

Sweden (2)



PENGUASAAN PERMAINAN:

Jerman - 56% (34 min)

Belanda - 53% (34 min)

Poland - 53% (29 min)

Republik Czech - 51% (32 min)

Rusia - 49% (31 min)

Denmark - 47% (30 min)

Greece - 47% (26 min)

Portugal - 44% (27 min)

Sepanyol 60% (39 minit)

Itali 40% (25 minit)

Republik Ireland 45% (25 minit)

Croatia 55% (31 minit)

Perancis (55%)

England (45%)

Ukraine (53%)

Sweden (47%)

Sinar Harian

Tuan rumah Ukraine atasi Sweden 2-1

22 Rejab 1433H. [MOD] -

PENGANJUR bersama Euro 2012, Ukraine, yang muncul kali pertama dalam persaingan pusingan akhir kejohanan benua Eropah ini, mencatatkan kemenangan manis dengan penuh bergaya di bumi sendiri dengan mengatasi Sweden 2-1.

Walaupun ketinggalan 0-1, dalam perlawanan yang penuh rancak pada separuh masa kedua, Ukraine menjaringkan dua gol dalam tempoh tidak sampai 10 minit di Stadium Olimpik, Kiev.

Kemenangan ini juga 'memadamkan' dakwaan insiden-insiden berbaur perkauman dilemparkan ke atas Ukraine, yang mengenakan jernis warna kuning, selaku tuan rumah bersama Poland.

Jika Poland hanya seri 1-1 dengan Greece dalam pertemuan pembukaan pada 8 Jun lalu, Ukraine selaku tuan rumah membawa kemenangan untuk menduduki tempat teratas dalam Kumpulan D.

Mereka memanfaatkan peluang mengukuhkan cengkaman apabila mengungguli Kumpulan D dengan kutipan tiga mata berharga. Dalam pertemuan sulung Kumpulan D tengah malam tadi (waktu Malaysia), England dan Perancis seri 1-1.

Kapten Andriy Shevchenko menjadi wira Ukraine apabila meledak dua gol masing-masing minit ke-54 dan ke-62. Sweden mendahului kedudukan menerusi jaringan Zlatan Ibrahimovic pada minit ke-51.

Perlawanan Ukraine-Sweden ini adalah yang terakhir dalam pertemuan pertama bagi kesemua 16 pasukan kejohanan.

Bagi anak-anak buah Oleh Blokhin, mereka pastinya tidak akan mengecewakan para penyokong setia di bumi sendiri. Kelihatan lautan kuning-biru memenuhi stadium memberi sokongan padu.

Separuh masa pertama yang menyaksikan Ukraine banyak melakukan asakan, berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Pasukan Sweden melakukan asakan berbahaya demi memburu gol penyamaan, namun usaha mereka gagal sehingga tiupan wisel penamat. Ia gagal menyempurnakan banyak peluang keemasan termasuk pada minit-minit perlawanan.

Kedua-dua pasukan ini mempunyai rekod seimbang ketika pertemuan perlawanan persahabatan antarabangsa. Kedua-dua Ukraine dan Sweden pernah bertemu dalam tiga perlawanan sebelum ini - peringkat perlawanan persahabatan. Kali terakhir mereka bertemu pada Ogos 2011 di mana Sweden menewaskan Ukraine 1-0.
Selaku tuan rumah, Ukraine juga satu-satunya pasukan yang turun di final Euro 2012 buat julung kali.



Barisan pemain Ukraine:

12 Pyatov
02 Selin
03 Khacheridi
17 Mykhalyk
04 Tymoschuk
09 Gusev
11 Yarmolenko
18 Nazarenko
19 Konoplienka
07 Shevchenko
10 Voronin

Barisan pemain Sweden:
01 Isaksson
02 Lustig
03 Mellberg
04 Granqvist
05 Mn Olsson
06 Elm
07 Larsson
09 Kallstrom Booked
10 Ibrahimovic
20 Toivonen
22 Rosenberg



Sekilas fakta di akhir perlawanan:

- Kedudukan: Ukraine (2); Sweden (1)

- Jaringan oleh Andriy Shevchenko (Ukraine, minit ke-54 dan ke-62); Zlatan Ibrahimovic (Sweden, minit ke-51)

- Penguasaan bola: Ukraine (57%); Sweden (43%)

- Sasaran ke gawang: Ukraine (14); Sweden (12)

- Tendangan sudut: Ukraine (3); Sweden (2)

- Kad kuning: Sweden (Kallstrom; Elm)

Sinar Harian