12 Jun 2012

Bawa lima penumpang hantu

22 Rejab 1433H. [MOD] -

SETIU - Sebuah bas ekpres dikesan membawa lima penumpang "hantu" tanpa tiket bas sebaliknya hanya diberikan resit dalam Ops Bersepadu membabitkan beberapa agensi di Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Air Sejuk di sini kelmarin.

Pengurus Penguat Kuasa Zon Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Terengganu, Mohd Sharif Jamalabidin berkata, taktik itu dipercayai dilakukan pemandu bas untuk kaut keuntungan peribadi melalui syarikat bas ekspres.

Menurutnya, penumpang sebuah bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuantan itu dikenakan bayaran tertentu dan hanya diberi resit barang sahaja.

“Perbuatan salah pemandu berkenaan boleh mengundang masalah kepada penumpang sekiranya bas yang dinaiki mengalami kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui pada operasi anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu.

Mohd Sharif berkata, tumpuan operasi adalah kenderaan pengangkutan awam dan sebanyak 23 kenderaan diperiksa, daripada jumlah itu sebanyak lima kenderaan didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan beroperasi di luar kawasan, gagal kemukakan permit semasa diperiksa, gagal kemukakan jadual perjalanan dan mengambil penumpang tanpa tiket.

Bagi kesalahan membawa penumpang tanpa tiket kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Perkhidmatan Awam Darat 2010 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 23 akta yang sama antara RM1,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi menentukan pengusaha bas mematuhi syarat dan memberi perkhidmatan bermutu kepada penumpang,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: