22 Rejab 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU - Pasangan kekasih tersenyum apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara selepas mengaku bersalah secara bersama memiliki heroin seberat 0.01 gram pada 14 Mac lalu.
Justeru pengakuan salah itu, Majistret, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap Shahrizal Mirza Faizal, 36 manakala pasangannya, Noor Azlina Ilias, 33, dipenjarakan selama lima bulan.
Mengikut fakta kes, pada tarikh tersebut kira-kira jam 6.30 pagi anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) melakukan serbuan di rumah rakan tertuduh yang beralamat Lot 1076, Paya Bemban, di sini.
Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik air pengadu polis menemui beg yang mengandungi satu botol lut sinar bertudung kuning di dalamnya terdapat dua tiub straw pendek setiap satunya berisi serbuk putih dipercayai dadah.
Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.
Sebelum itu, Shahrizal Mirza yang bekerja sebagai buruh meminta kepada mahkamah untuk mengurangkan hukuman terhadapnya dengan alasan supaya dapat memberi peluang kepadanya untuk berubah.
Shahrizal Mirza yang sudah berkahwin itu juga menyatakan kekesalannya dan benar-benar mahu berubah kerana masih mempunyai keluarga.
Manakala, pasangannya juga seorang ibu yang mempunyai tiga anak dan bekerja sebagai jurujual turut merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan hukuman terhadapnya kerana masih perlu menanggung perbelanjaan persekolahan anaknya .
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Muhamad menepis rayuan tersebut dan meminta kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman yang setimpal kepada kedua-dua tertuduh.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan