22 Rejab 1433H. [MOD] -
PENGANJUR bersama Euro 2012, Ukraine, yang muncul kali pertama dalam persaingan pusingan akhir kejohanan benua Eropah ini, mencatatkan kemenangan manis dengan penuh bergaya di bumi sendiri dengan mengatasi Sweden 2-1.
Walaupun ketinggalan 0-1, dalam perlawanan yang penuh rancak pada separuh masa kedua, Ukraine menjaringkan dua gol dalam tempoh tidak sampai 10 minit di Stadium Olimpik, Kiev.
Kemenangan ini juga 'memadamkan' dakwaan insiden-insiden berbaur perkauman dilemparkan ke atas Ukraine, yang mengenakan jernis warna kuning, selaku tuan rumah bersama Poland.
Jika Poland hanya seri 1-1 dengan Greece dalam pertemuan pembukaan pada 8 Jun lalu, Ukraine selaku tuan rumah membawa kemenangan untuk menduduki tempat teratas dalam Kumpulan D.
Mereka memanfaatkan peluang mengukuhkan cengkaman apabila mengungguli Kumpulan D dengan kutipan tiga mata berharga. Dalam pertemuan sulung Kumpulan D tengah malam tadi (waktu Malaysia), England dan Perancis seri 1-1.
Kapten Andriy Shevchenko menjadi wira Ukraine apabila meledak dua gol masing-masing minit ke-54 dan ke-62. Sweden mendahului kedudukan menerusi jaringan Zlatan Ibrahimovic pada minit ke-51.
Perlawanan Ukraine-Sweden ini adalah yang terakhir dalam pertemuan pertama bagi kesemua 16 pasukan kejohanan.
Bagi anak-anak buah Oleh Blokhin, mereka pastinya tidak akan mengecewakan para penyokong setia di bumi sendiri. Kelihatan lautan kuning-biru memenuhi stadium memberi sokongan padu.
Separuh masa pertama yang menyaksikan Ukraine banyak melakukan asakan, berakhir dengan seri tanpa jaringan.
Pasukan Sweden melakukan asakan berbahaya demi memburu gol penyamaan, namun usaha mereka gagal sehingga tiupan wisel penamat. Ia gagal menyempurnakan banyak peluang keemasan termasuk pada minit-minit perlawanan.
Kedua-dua pasukan ini mempunyai rekod seimbang ketika pertemuan perlawanan persahabatan antarabangsa. Kedua-dua Ukraine dan Sweden pernah bertemu dalam tiga perlawanan sebelum ini - peringkat perlawanan persahabatan. Kali terakhir mereka bertemu pada Ogos 2011 di mana Sweden menewaskan Ukraine 1-0.
Selaku tuan rumah, Ukraine juga satu-satunya pasukan yang turun di final Euro 2012 buat julung kali.
Barisan pemain Ukraine:
12 Pyatov
02 Selin
03 Khacheridi
17 Mykhalyk
04 Tymoschuk
09 Gusev
11 Yarmolenko
18 Nazarenko
19 Konoplienka
07 Shevchenko
10 Voronin
Barisan pemain Sweden:
01 Isaksson
02 Lustig
03 Mellberg
04 Granqvist
05 Mn Olsson
06 Elm
07 Larsson
09 Kallstrom Booked
10 Ibrahimovic
20 Toivonen
22 Rosenberg
Sekilas fakta di akhir perlawanan:
- Kedudukan: Ukraine (2); Sweden (1)
- Jaringan oleh Andriy Shevchenko (Ukraine, minit ke-54 dan ke-62); Zlatan Ibrahimovic (Sweden, minit ke-51)
- Penguasaan bola: Ukraine (57%); Sweden (43%)
- Sasaran ke gawang: Ukraine (14); Sweden (12)
- Tendangan sudut: Ukraine (3); Sweden (2)
- Kad kuning: Sweden (Kallstrom; Elm)
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan